Sektor Pertanian dan RMK9 : Apa yang dirancang dan apa pula yang dicanang?

1. PENGENALAN

Rencana ini telah saya tulis dalam bulan Ogos 2006. DBP dan Utusan Malaysia berpendapat ianya agak teknikal; justeru tidaklah sesuai untuk disiarkan. Mungkin mereka berpendapat tahap kefahaman pembaca mereka adalah rendah.

Saya cari semula dalam arkib saya dan dikeluarkanlah dalam Blog ini untuk dikongsi bersama.

Berdasarkan apa yang dicanangkan, masyarakat umum mendapat tanggapan bahawa di bawah RMKe-9, Kerajaan memberi keutamaan kepada sektor pertanian dan asas tani untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara. Justeru analisis ini dibuat untuk melihat sejauh mana kebenaran apa yang dicanangkan itu dalam konteks apa yang dirancang oleh RMKe-9.

Tumpuan analisis adalah kepada 4 angkubah – sumbangan kepada KDNK (GDP), kadar pertumbuhan KDNK, sumbangan kepada eksport dan sumbangan kepada guna tenaga.

Saya tidak bercadang untuk melihat pencapaian sebenar. Kita tunggulah RMKe-10 nanti. Yang pasti ialah prestasi sektor pertanian dan asas tani bagi tempoh separuh pertama RMKe-9 adalah memberangsangkan kerana harga komoditi yang tinggi tetapi bagi tempoh kedua pula ianya dijangka akan mengalami kelembapan.

2. SUMBANGAN KEPADA KDNK

Sektor perkhidmatan merupakan enjin utama pertumbuhan ekonomi; ia menyumbang 53.9% (RM113,408 juta) kepada KDNK pada tahun 2000, terus mengukuh 58.1% (RM152,205 juta) pada tahun 2005 dan sumbangannya diunjurkan meningkat kepada 59.2% (RM208,086 juta) pada tahun 2010 (Sila rujuk Jadual 1, item 1.8 & 1.9).

Sektor pembuatan, yang merupakan jentera pertumbuhan kedua, menyumbang 31.9% (RM67,250 juta) pada tahun 2000, menyusut kepada 31.4% (RM82,394 juta) pada tahun 2005 dan diunjurkan kembali mengukuh 32.4% (RM113,717 juta) pada tahun 2010 (Jadual 1, item 1.6 & 1.7).

Sektor pertanian, jentera ketiga KDNK, hanya menyumbang 8.9% (RM18,662 juta) pada tahun 2000, menyusut 8.2% (RM21,585 juta) pada tahun 2005 dan disasarkan menguncup 7.8% (RM27,518 juta) pada tahun 2010 (Jadual 1, item 1.2 & 1.3).

Walau bagaimanapun, dari segi nilai tambah, ketiga-tiga sektor mencatatkan peningkatan bagi tempoh 2000 – 2010.

Adalah jelas peratus sumbangan sektor perkhidmatan dan pembuatan meningkat pada tahun 2010 sedangkan peratus sumbangan sektor pertanian kepada KDNK bukan sahaja menyusut pada tahun yang sama malah nilainya jauh lebih kecil.

3. KADAR PERTUMBUHAN KDNK

Dalam tempoh RMKe-7, kadar pertumbuhan KDNK mencatatkan 4.7%, ia menguncup kepada 4.5% bagi tempoh RMKe-8 dan disasarkan berkembang pada kadar 6.0% dalam tempoh RMKe-9 (Jadual 1 para 2.1).

Bagi mencapai status negara maju pada tahun 2020, KDNK Malaysia dianggarkan perlu tumbuh secara purata 7.0% setahun. Adakah ini bermakna Kerajaan, khususnya EPU, sengaja merancang untuk menggagalkan Wawasan 2020? Diharap EPU dapat enlighten rakyat Malaysia tentang anomali ini.

Dari segi sektoral, sektor pembuatan mencatatkan purata kadar pertumbuhan sebanyak 9.1%; tertinggi berbanding lain-lain sektor bagi tempoh RMKe-7, menyusut kepada 4.1% bagi tempoh RMKe-8 dan diunjurkan kembali mengukuh sebanyak 6.7% dalam tempoh RMKe-9 (Jadual 1, item 2.3).

Sektor perkhidmatan pula mencatatkan purata kadar pertumbuhan sebanyak 5.1% bagi tempoh RMKe-7, terus menokok pada 6.1% bagi tempoh RMKe-8 dan diunjurkan terus mengukuh 6.5% dalam tempoh RMKe-9 (Jadual 1 , item 2.4).

Sektor pertanian hanya mencatatkan purata kadar pertumbuhan sebanyak 1.2%, paling rendah dalam tempoh RMKe-7; menokok kepada 3.0% bagi tempoh RMKe-8 dan dalam tempoh RMKe-9 dianggarkan mengukuh pada 5.0% (Jadual 1, item 2.2).

3.3 Adalah jelas kadar pertumbuhan sektor pembuatan dan perkhidmatan lebih kukuh / pantas berbanding kadar pertumbuhan sektor pertanian.

4. SUMBANGAN KEPADA EKSPORT

Eksport Malaysia telah melonjak 1.43 kali ganda daripada RM373,270 juta pada tahun 2000 kepada RM533,790 juta pada tahun 2005 dan diunjurkan mengukuh 1.5 kali ganda lagi pada tahun 2010 (RM803,163 juta) [Jadual 1, item 3.1].

Penyumbang utama kepada eksport ialah produk pembuatan iaitu 85.2% (RM317,908 juta) pada tahun 2000. Pada tahun 2005, peratus sumbangan sektor pembuatan kepada eksport menyusut kepada 80.5% (RM429,873 juta) disebabkan kemerosotan permintaan industri elektronik dunia dan diunjurkan akan meningkat semula kepada 83.4% (RM670,767 juta) pada tahun 2010 [Jadual 1, item 3.6 & 3.7].

Sektor pertanian pula hanya menyumbang 6.1% (RM22,892 juta) kepada eksport pada tahun 2000 dan 7.0% (RM37,421 juta) pada tahun 2005. Peratus sumbangannya diunjurkan menguncup kepada 6.8% (RM54,992 juta) pada tahun 2010 [Jadual 1, item 3.2 &3.3].

Berkaitan rapat dengan sumbangan kepada KDNK, sumbangan sektor pertanian kepada eksport negara pada tahun 2010 adalah kecil dan peratusannya merosot. Sebaliknya, sumbangan produk pembuatan adalah besar dan meningkat.

5. SUMBANGAN KEPADA GUNA TENAGA

Dalam tempoh 2000 – 2005, pertumbuhan tahunan guna tenaga meningkat pada kadar purata 3.3% setahun dengan 1.6 juta pekerjaan baru diwujudkan. Sebanyak 1,062,800 pekerjaan disediakan oleh sektor perkhidmatan dan 566,300 pekerjaan lagi oleh sektor pembuatan. Sebaliknya, guna tenaga dalam sektor pertanian menguncup sebanyak 17,300 pekerjaan pada tahun 2005 ekoran daripada peningkatan penggunaan teknologi penjimatan buruh dan pengurusan ladang yang lebih baik.

Sektor pembuatan menyumbang 27.7% (2.6 juta) kepada jumlah guna tenaga pada tahun 2000. Sumbangan tersebut terus meningkat kepada 3.1 juta (28.7%) pada tahun 2005 dan dianggarkan terus mengukuh kepada 3.6 juta (30.0%) pada tahun 2010 [Jadual 1, item 4.6 & 4.7]. Perubahan yang sedang berlaku dalam sektor pembuatan ke arah industri yang mempunyai nilai ditambah tinggi dan berintensifkan pengetahuan telah meningkatkan permintaan terhadap guna tenaga yang mempunyai kelayakan tertiari serta latihan vokasional dan teknikal.

Sektor perkhidmatan, ‘majikan’ terbesar kepada guna tenaga, menyumbang 48.4% (4.5 juta) kepada jumlah guna tenaga pada tahun 2000. Sumbangannya melonjak kepada 5.6 juta (51.0%) pada tahun 2005 dan dianggarkan terus mengukuh kepada 6.2 juta (52.2%) pada tahun 2010 [Jadual 1, item 4.8 & 4.9].

Guna tenaga dalam sektor pertanian pula adalah yang terendah iaitu hanya menyumbang sebanyak 15.3% (1.423 juta) pada tahun 2000 dan mengalami penguncupan pula kepada 1.406 juta (13.3%) pada tahun 2005. Sumbanganya dianggarkan terus merosot kepada 1.323 juta (10.9%) pada tahun 2010 [Jadual 1, item 4.2 & 4.3].

Gambaran ini jelas menunjukkan bahawa guna tenaga dalam sektor pertanian terus menguncup manakala guna tenaga dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan terus berkembang.

6. KESIMPULAN

Analisis yang telah dilakarkan di atas jelas menunjukkan bahawa:

(a) EPU seolah-olah merancang untuk menggagalkan W2020 kerana mensasarkan pertumbuhan KDNK hanyalah 6%;
(b) ekonomi negara masih terus dipacu oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan;

(c) peranan sektor pertanian semakin berkurangan, sumbangannya kecil dan jauh tertinggal di belakang sektor perkhidmatan dan pembuatan dalam semua angkubah, sekalipun industri berasaskan pertanian (mengikut piawaian antarabangsa ianya di bawah sektor pembuatan) dimasukkan di bawah sektor pertanian;

(d) apa yang dicanang dan apa yang dirancang dalam RMKe-9 tentang pembangunan sektor pertanian adalah at variance;

(e) Menteri Pertanian dan Asas Tani pada masa itu dan EPU nampaknya telah tidak memberikan maklumat dan penerangan yang sebenar semasa RMKe-9 ini dibentangkan di Parlimen pada tahun 2006 dulu;

(f) rakyat, khasnya para petani, penternak dan nelayan, diberikan harapan palsu.

Dalam pada itu, untuk mencapai status negara maju, penekanan hendaklah diberikan kepada sektor yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi, selaras dengan Teras Pertama Misi Nasional iaitu “untuk meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi”. Sudah pasti sektor pertanian bukanlah sektor yang ideal untuk mencapai wawasan tersebut. Terdapat negara maju yang ekonominya dipacu oleh sektor ini?

Namun sektor pertanian, khususnya makanan, adalah kritikal dari segi food security. Tetapi setinggi mana pula iltizam RMKe-9 terhadap food security ini?

Nampaknya iltizam EPU untuk merealisasikan Teras 3 Misi Nasional dan W2020 juga tidak selari dengan aspirasi rakyat. Saya gembira jika EPU dapat membuktikan saya salah.

table1 table2

  1. #1 by huda on July 23, 2010 - 10:32 pm

    Assalamualaikum,
    sebuah artikel yang cukup untuk mencelikkan mata masyarakat. namun, saya tertanya tanya berkenaan dengan jadual yang ditunjukkan dan saya berpendapat, ianya akan lebih meyakinkan jika sumber dan tarikh maklumat itu diperolehi dapat dinyatakan.

  2. #2 by Darahtuah on July 27, 2010 - 12:02 pm

    huda,

    Mohon rujuk nota kaki di bawah Jadual 1.

    T/kasih.

  3. #3 by rakyat perihata on March 23, 2011 - 7:46 pm

    terima kasih ye,
    informasi ini banyak membantu saya dlm perbahasan yg akan diadakan minggu depan,
    bersyukur sangat sbb pihak pembangkang bagi tajuk “pertanian penjana utama ekonomi negara” berpadanan dengan info yang dinyatakan.
    terimakasih sekali lagi,
    doakan saya menang perbhasan tu nanti;)

  1. Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) - Siapa Mereka / Di Mana Mereka? « Hidup Tuah!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: