Teks Ucapan Di Perhimpunan Agung Umno 2008

(Nota: Teks 15 minit ini telah saya sediakan tetapi tidak berpeluang untuk disampaikan kerana kesuntukan masa. Justeru saya abadikan saja di blog ini. Saya menghargai sumbangan fikiran mereka ini dalam membantu saya menyediakannya – YBhg. Tan Sri Sanusi, YB Datuk Wira Hj. Ahmad Hamzah, YBhg. Dato’ Zuraidah, En. Zainal, En. Asrul, Staf DOS, EPU dan YKSM. Para 49 – 52 mungkin menarik).

Bismillah…Assalamu’alaikum wbt.

YBhg. Tan Sri Pengerusi Tetap,
YAB Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, Presiden UMNO,
YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, Presiden UMNO yang bakal dinobatkan,
YAB Datuk Seri Hj. Mohd Ali Mohd Rustam, Naib Presiden UMNO,
YB Tan Sri Hj. Muhyiddin Mohd Yassin, Naib Presiden UMNO dan Timbalan Presiden UMNO yang baru dipilih,
Semua Ahli MT, Wanita, Pemuda dan Puteri,
Para perwakilan dan pemerhati yang dihormati,
Tuan-tuan & puan-puan sekelian.

1. Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan setinggi penghargaan di atas keyakinan yang diberikan kepada saya oleh UMNO Melaka untuk turut sama membahaskan usul ekonomi ini.

Dari Bentung pergi ke Rengit,
Sarang penyengat di celah daun,
Langit tergantung bumi tersenget,
Kekal diingat bertahun-tahun.

YBhg Tan Sri Pengerusi,

2. Perbahasan saya akan menumpukan terus kepada ulasan dan cadangan kerana kesuntukan masa dan berpandukan semangat pantun keramat ini:

Jika hendak pergi ke seberang,
Jangan patahkan limau purut,
Jika hendak menjadi orang,
Janganlah menjadi pak turut.
Salah sasaran

3. Pertama, usaha kerajaan menangani masalah serius ini nampaknya tidak akan menepati sasaran seratus peratus kerana ianya doesn’t tackle the bull by the horns. Negara menghidapi dua penyakit utama ekonomi iaitu pertumbuhan ekonomi yang menjunam dan kadar pengangguran yang tinggi. Virus yang amat merbahaya (deadly) ialah ketiadaan keyakinan. Tiga perkara inilah yang sepatutnya menjadi Teras dan Sasaran.

4. Malangnya, pakej kedua ini kurang mesra pertumbuhan (less growth friendly) dan kurang mesra pekerjaan (less employment friendly). Ia adalah mesra majikan. Buktinya, sektor swasta diberi separuh daripada RM60 bilion itu manakala Skim Jaminan dan Elaun Modal Dipercepatkan pula hanya mensyaratkan saiz pegangan saham.

5. Sepatutnya yang menjadi tunggak kelulusan ialah nilai tambah (value added) dan saiz gunatenaga. Tiga syarat lagi perlu ditambah iaitu (a) berdaya maju, (b) berdaya saing dan (c) berdaya tahan.

Underestimate

6. Kedua, kerajaan nampaknya under-estimate potensi keterukan atau severity kemelesetan ekonomi ini. Pada hemat saya, ianya jauh lebih teruk daripada apa yang kerajaan dan Bank Negara umumkan. Sebagai bandingan, kerajaan diagnosnya sebagai sakit kepala (migrain) saja sedangkan saya diagnosnya sebagai barah otak. Justeru ubat dan dosagenya tentulah berbeza. Pakej ketiga diperlukan!

7. Berapa teruknya ekonomi kita nanti? Sekiranya kejatuhan lebih 20% nilai barang perkilangan dan nilai eksport kekal sepanjang tahun ini maka dianggarkan lebih RM130 bilion nilai barang perkilangan dan RM180 bilion nilai eksport akan hangus. Ianya bersamaan 18% – 25% daripada nilai KDNK kita.

8. Mengambil kira juga faktor-faktor lain, ekonomi kita akan menguncup sekitar negatif 6% ke 7%; bukannya berlegar antara -1% dan +1%, sepertimana yang telah diumumkan.

9. Lantaran itu, tidak hairanlah jika reaksi pasaran terhadap pakej tersebut adalah dingin, sepertimana yang diukur oleh kejatuhan KLCI selama beberapa hari! Reaksi ini mirip kepada ulasan Mauro Bianci terhadap pakej ransangan di USA dan di Eropah yang menyamakan ubat aspirin digunakan untuk mengubat penyakit yang serius.

10. Akan turut hilang bersama-sama dengan kejatuhan nilai jualan barang perkilangan dan eksport tersebut ialah beribu pekerjaan dan berbilion ringgit pendapatan para pekerja. Persekutuan Majikan Malaysia telah meramalkan sebanyak 200 ribu orang akan hilang pekerjaan pada tahun 2009.

11. Mengambil kira (a) pencari kerja yang baru memasuki pasaran buruh, (b) bilangan penganggur yang sedia ada, termasuk 60 ribu siswazah menganggur, serta (c) sebahagian mereka yang bekerja di luar negara yang terpaksa balik ke tanah air, maka jumlah mereka yang memerlukan pekerjaan akan melebihi 1.2 juta orang.

12. Berapa banyak pula peluang pekerjaan akan dapat diwujudkan? Hanya 163 ribu! Ini bermakna kadar pengangguran diunjurkan sekitar 8%; bukannya 4.5% sepertimana yang dimaklumkan. Makanya, sekitar 900 ribu orang akan menganggur; bukannya 500 ribu!

13. Untuk memberi peluang kerja kepada penganggur seramai itu, maka lebih ramai pekerja asing, termasuk yang bekerja di LTAB, perlulah dihantar pulang pada tahun ini juga; bukan 260 ribu menjelang tahun depan seperti yang diumumkan.

14. Penghantaran pulang pekerja beramai-ramai ini akan menyelamatkan lebih banyak wang daripada mengalir ke luar negara. Dianggarkan 2 juta pekerja asing menghantar pulang sebanyak RM16 ke RM17 bilion setahun. Ia bersamaan dua kali ganda peruntukan Kementerian Dalam Negeri.

15. Di samping itu, ratusan ribu kerja baru perlu diwujudkan. Keutamaan wajar diberi kepada merancakkan sektor perkhidmatan, khususnya sektor pelancongan kerana tiga sebab utama: pertama, sektor ini, menurut WTTC, adalah job creator and export driver; kedua, ia paling mudah menyerap self employment dan ketiga, ia mempunyai kesan berganda yang tinggi (1:12).

16. Untuk meringankan beban pekerja, kerajaan juga hendaklah segera mewujudkan skim ala-insuran untuk menampung tiga keperluan pekerja yang diberhentikan iaitu (a) keperluan sara hidup, (b) perubatan dan (c) latihan semula bagi tempoh selama setahun, sepertimana yang dilaksanakan di Amerika.

17. Jika syor-syor ini dilaksanakan maka barulah rakyat, kerajaan dan Negara mendapat faedahnya.

YBhg Tan Sri,
Merebut peluang

18. Setelah kita memahami dan mengakui keadaan sebenar, maka yang lebih crucial ialah kesungguhan dan iltizam untuk mengambil calculated risks bagi menangani bahaya serta mengambil peluang daripada krisis ini. Ia selaras dengan saranan Baron von Rothschild yang menyuruh kita membeli harta semasa kekacauan berlaku… “When there’s blood on the streets, buy property”.

19. Kita hendaklah merebut peluang-peluang berikut:

Pertama, kita menyahut aspirasi rakyat yang mahukan kesamarataan dan keadilan sosial. Maka Perhimpunan hari ini menegaskan bahawa kita akan meneruskan prinsip kesamarataan dan keadilan sosial itu yang berpaksikan komposisi kaum (67% Bumi, 26% China & 7% India); justeru semua dasar dan sasaran hendaklah berlandaskan prinsip ini;

Kedua, ke arah mencapai kesamarataan dan keadilan sosial tersebut, maka usaha yang drastik dan unothordox hendaklah segera diambil terlebih dahulu untuk meratakan padang permainan antara kaum dan juga di kalangan masyarakat Bumi sendiri;

Ketiga, melawat semula atau revisit Wawasan 2020 yang nampaknya sudah dilupakan oleh EPU;

Keempat, membetulkan sasaran MPPB yang tidak munasabah sepertimana yang dirancang oleh EPU dan MeCD; tentulah tidak munasabah kerana saiz yang disasarkan amatlah kecil iaitu hanya 1.5% pada tahun 2010; dikecilkan lagi kepada 1.4% pada tahun 2020;

Kelima, menebus kegagalan menambah pemilikan ekuiti dan aset Bumiputera dan kaum India agar selaras dengan prinsip kesamarataan yang ditegaskan tadi (19.4% & 15%);

Keenam, menyusun semula struktur gunatenaga di sektor swasta yang menyediakan 90% pekerjaan agar selaras dengan prinsip kesamarataan yang dipahatkan itu;

Ketujuh, mengambil langkah secara menyeluruh dan bersepadu untuk mengurangkan pemanasan dunia yang mana kita hanya ada masa tak sampai pun 100 bulan untuk mengatasinya dan, pada masa yang sama, berpindah ke green economy dan green technology;

Kelapan, menyegerakan usaha mencari tenaga alternatif (alternative energy) dan mengatasi defisit yang dialami sekarang,

Kesembilan, EPU dan Jabatan Perangkaan hendaklah segera menyediakan National Accounts of Wellbeing, mengukur the Progress of Society, menyusun Sustainable Society Index, dan memantau Gross National Happiness bagi mencapai kualiti hidup kelas pertama.

YBhg Tan Sri,
Ketiadaan keyakinan

20. Di awal tadi saya ada menyatakan musuh utama ekonomi negara ialah ketiadaan keyakinan. Realiti ini disahkan oleh kajian MIER (kira-kira 40%) dan kejatuhan ketara (36%) pinjaman bank yang diluluskan. Justeru itu, pada masa ini, keyakinan adalah lebih berharga daripada emas. Yang demikian, mengembalikan keyakinan sepatutnya menjadi usaha pertama dalam urusan memulihkan ekonomi negara.

21. Pemulihan ekonomi dijangka akan lebih cepat berjaya jika keyakinan pengguna terlebih dahulu dipulihkan dan diikuti pula oleh usaha memulihkan keyakinan masyarakat peniaga.

22. Langkah pertama untuk memulihkan keyakinan pengguna dan menggalakkan mereka berbelanja ialah dengan menjamin atau memberikan harapan bahawa mereka tidak akan kehilangan pekerjaan dan pendapatan mereka pula tidak akan terjejas seperti yang berlaku sekarang.

23. Langkah berikutnya ialah memulihkan keyakinan para pelabur yang kian merosot. Kemerosotan tersebut membuktikan bahawa dasar kewangan yang telah dilonggarkan itu tidak cukup untuk memberikan keberanian kepada institusi kewangan untuk meluluskan pinjaman dengan mudah dan tidak pula menggalakkan pelabur berlari ke bank untuk meminjam.

24. The missing link ialah ketiadaan keyakinan. Nampaknya kerajaan mengakui keadaan ini dan cuba menyelamatkannya dengan memperkenalkan Skim Jaminan. Dijangka Skim ini akan merangsang keyakinan kedua-dua pihak iaitu institusi kewangan dan para pelabur.

25. Tindakan segera yang boleh DS Najib laksanakan untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat, pengguna dan pelabur ialah dengan melantik pasukan kabinet yang berwibawa. Kita endorse kualiti ‘setia (Hang Tuah), berintegriti, berkebolehan dan berdedikasi’ yang disyaratkan oleh DS itu.

26. Harap DS juga prihatin bahawa rakyat ingin melihat ramai muka baru dan menteri yang accountable (ala Jepun). Juga bersopan-santun dan berbudi bahasa:

Elok ladang kerana berpadi
Elok padi lebat buahnya
Elok orang kerana berbudi
Elok budi kerana bahasanya.

YBhg Tan Sri,
Rich-biased

27. Perkara yang lebih serius dan perlu diubah segera ialah dasar yang salah. Dasar dibuat atas nama orang miskin tetapi yang mendapat faedah besar ialah orang kaya iaitu rich-biased dan ia mesti digantikan dengan poor-biased atau poor-centric.

28. Dasar poor-centric ini bukanlah bermakna kerajaan akan menjadi seperti Robin Hood. Yang diharapkan ialah satu keinsafan bahawa kemakmuran negara tidak akan bertahan lama jika kita hanya mengutamakan orang kaya.

29. Saya berikan beberapa contoh dasar yang dibuat atas nama hendak menolong rakyat yang susah tetapi yang mendapat untung besar ialah orang kaya.

30. Pertama, subsidi sebanyak RM674 juta yang diperuntukan untuk mengekang kenaikan harga gula, roti dan tepung. Yang turut mendapat menfaat ialah 94% rakyat yang tak miskin. Sebenarnya, RM148 juta sahaja diperlukan jika kita hanya membantu 3.6% (247,400) isi rumah miskin. Maka sebanyak RM526 juta wang rakyat dapat diselamatkan.

31. Sebanyak RM1 bilion lagi dapat diselamatkan jika kerajaan tidak memberi peluang kepada nelayan kaya untuk ‘merompak’ subsidi dan insentif yang disediakan bagi nelayan miskin. Secara purata, seorang nelayan kaya mendapat RM52 ribu berbanding RM3,250 yang diterima oleh nelayan miskin.

32. Terdapat penternak ayam yang kaya pula menerima insentif sebanyak RM312,300.11 sebulan sedangkan seorang penternak kambing yang miskin hanya mendapat RM130 sebulan. Sekarang eloklah kita tanya secara jujur siapakah sebenarnya yang kerajaan ‘Apartheid’ ini tolong? Baba atau Boo Cheng Hau? Siapakah yang kaya itu? Siapa pula yang miskin? Tidakkah kita menggunungkan bukit, mendalamkan lembah? Lantaran jurang semakin melebar.

33. Nampaknya kita telah terlalu lama melaksanakan dasar yang salah dengan memperalatkan orang miskin untuk melakukan misallocation of scarce resources. Saya berterima kasih di atas keperihatinan sahabat baik saya, Dato’ Mustapa, yang telah memberikan komiten pada bulan Disember lepas untuk mengkaji semula dasar subsidi ini.

34. Jaminan YAB DS Najib untuk kembali ke pangkal jalan setelah sesat di hujung jalan amatlah bertepatan masanya dan it is very honourable.

35. Berdasarkan senario yang telah saya lakarkan itu, nampaknya cerita silam Emak Si Randang akan terus berkumandang:

Baik budi Emak Si Randang
Anak di pangkuan diletakkan
Kera di hutan disusukan
Dagang pergi awak terhutang
Beras habis padi tak jadi.

36. Pada masa yang sama, kesayuan dan kebimbangan Allahyarham Aminudin Baki terhadap nasib bangsanya akan terus menjadi igauan:

Orang Melayu di bumi sendiri umpama
ayam di kepuk mati kelaparan,
Itik di air mati kehausan.

37. Lantas ia mengingatkan saya keluhan orang Melayu masa kini: PM Melayu, TPM Melayu, Menteri ramai Melayu, KSN Melayu, KSU Melayu, KP Melayu tetapi kita masih terus melarat dan merempat. Nampaknya, kita bukan gagal merancang; sebenarnya kita merancang untuk gagal!

38. Mereka yang menyebabkan kegagalan itu hendaklah bertanggungjawab dan berhenti. GLCs, PEMUDAH dan Majlis Ekonomi Negara hendaklah diberi amaran supaya tidak membunuh semangat DEB manakala kita tertanya-tanya mengapa ada rakyat Singapura berkhidmat di Urusetia Majlis tersebut?

39. Majlis berkenaan juga perlu berubah segera agar dilihat secekap MTEN dan rakyat-centric. Yang demikian barulah ia dapat membantu rakyat serta mendengar keluhan dan tangisan yang disemadikan dalam syair ini:

Bila ditengok ditimbang-timbang
Nasib Melayu zaman sekarang
Ada melarat tak ramai senang
Di rumah sendiri bagai penumpang.

YBhg Tan Sri,
Dasar Liberal

40. Kini saya ingin menarik pula perhatian kepada komitmen kerajaan untuk mengamalkan pendekatan yang lebih liberal bagi menarik lebih banyak pelaburan. Sehubungan inisiatif ini, kita mendesak supaya garis panduan yang hendak dirangka itu nanti tidaklah mengorbankan semangat DEB atas nama daya saing. Apatah pula dasar ini terbukti telah mampu memberi faedah kepada semua kaum dan tidak menghalang pertumbuhan ekonomi.

41. Sebagai bukti, purata pertumbuhan KDNK melebihi 5% dan ada masanya mencecah 10%, pendapatan bulanan isi rumah semua kaum telah meningkat dan kadar kemiskinan setiap kaum telah menurun. Malangnya, orang Melayu masih tertinggal di belakang; hatta kita berada di belakang kaum India dan jauh ditinggalkan oleh kaum Cina.

42. Nampaknya kita umpama kerbau yang penat membajak di sawah; kucing pula yang kenyang makan nasi di rumah! Lebih malang lagi, kita dituduh pula mengamalkan dasar Apartheid.

YBhg. Tan Sri,
Kestabilan & perpaduan

43. Dalam membincangkan isu ekonomi ini, kita perlu turut mengambil kira faktor kestabilan politik dan perpaduan kaum. Ia merupakan pra-syarat bagi pertumbuhan ekonomi dan anak kunci keyakinan para pelabur dan pengguna. Maknanya DS hendaklah dilihat komited dan jujur berusaha ke arah mewujudkan kestabilan politik dan memupuk keharmonian kaum.

44. Lantaran itu, UMNO Melaka menyokong penuh pelawaan YAB DS Najib agar rakan-rakan pembangkang dan semua lapisan masyarakat berganding bahu serta bermuafakat umpama aur dengan tebing dalam menangani kemelut politik dan ekonomi yang getir ini.

45. Saya yakin, seluruh ahli UMNO juga yakin, bahawa DS akan sehebat Abraham Lincoln who had the “guts” to do “the right thing” against “a great big opposition”.

46. DS akan bertambah hebat dan perkasa jika mendapat pula sokongan padu semua rakyat. Justeru kita orang Melayulah yang terlebih dahulu perlu kembali bersatu. Kita tak mampu terus bergaduh dan berperang kerana antara lesung dan antan berlaga, ayam yang kenyang.

47. Dalam pada itu, kita akan terus menjadi lemah dan diterajang:

umpama pohon besar yang telah tumbang,
kura-kura pun berani memanjat dan menendang.
Umpama cempedak sebiji, lada sebatang;
terpijak pergi, terlanda pulang.

48. Melayu yang lemah akan hilang pula kuasanya. Insaflah. Kuasa bagi orang Melayu umpama dara bagi perawan; apabila hilang, ianya tak akan kembali lagi.

YBhg Tan Sri,
Semangat baru

49. Kita bersyukur kerana di Perhimpunan Agong yang bersejarah ini kita disuntik semula dengan semangat keramat:

Kita dapat merasakan DS umpama tali pengikat,
Yang jauh ditarik dekat,
Yang dekat bertambah rapat,
Yang rapat semakin erat,
Antara tidur dan jaga kami melihat,
Tanpa sedar…jutaan hati..hati ini telah terpikat!

50. Justeru itu, hanya di bawah DS kita berkeyakinan untuk menggantungkan harapan kerana yang rebah akan DS tegakkan; yang condong DS akan tongkatkan. Di bawah payungan DS juga rakyat yakin dapat berlindung dan berteduh. Selamatkanlah rakyat, selamatkanlah UMNO parti keramat ini dan selamatkanlah Melayu.

51. Yakinlah, kukuh UMNO selamatlah Melayu; tumbang UMNO hilanglah Melayu:

Pohon nyiur di tepi laut,
Dimakan kumbang pucuknya layu,
Kepada UMNO kita berpaut,
UMNO tumbang hilanglah Melayu.

52. Dengan kasih yang padu, kesetiaan yang kental, sokongan yang kukuh dan kepimpinan yang mantap itu maka UMNO akan bangkit semula dengan wajah, semangat dan nafas baru. Dengan berbekalkan azimat ini,

kita akan mampu mendaki gunung, meredah hutan, mengharung lautan dan membelah awan.
Kita berani nak memberitahu kawan dan lawan:
padang orang jangan berlari jika padang sendiri hendak berjingkit;
nanti kau kan tahu, langit itu tinggi dan bumi ini berbukit-bukit.

53. Sekian, UMNO Melaka menyokong usul yang dibentangkan itu.

Terima kasih.

  1. #1 by slyderrose on March 30, 2009 - 5:41 pm

    umno tumbang, tumbanglah melayu umno. Kenapa agakany umno tumbang? kenapa kerajaan othmaniah tumbang/ kenapa kerajaan abbasiah tumbang/. jawapannya ada dalam umno sendiri. Rasuah dan penyalahan guna kuasa. Sila baca sejarah.

    Apa pun ramai lagi orang2 melayu di luar umno.

    • #2 by darahtuah on April 2, 2009 - 10:09 am

      saudara slyderrose,

      1. sy setuju ada kelemahan/rasuah dalam umno; juga terdapat dalam pas & pkr. rasuah juga akn dilakukan olh parti2 lain, (termasuk PAP) jika mereka berpeluang berkuasa.betul lebih ramai melayu di luar umno (14 juta) tapi mengapa melayu nampaknya lebih lemah kuasanya drp kaum india?

      2. sdr menghayati para 46 – 48 di atas?

      terima kasih. darahtuah.

  2. #3 by MISA on April 2, 2009 - 2:04 pm

    Perbandingan keadaan ekonomi negara kita dengan barah otak adalah amat keterlaluan. Barah otak adalah sesuatu panyakit yang buat masa ini tiada ubatnya and pesakit akan mati. Manakala ekonomi kita mungkin akan mengalami kelemesetan pada tahun ini tetapi semua pakar ekonomi termasuk drp IMF,WB,ADB dan MIER dan bukannya oleh MOF,BNM dan EPU menyatakan ekonomi Malaysia akan pulih tahun 2010. Bukan maksud saya menyatakan masalah ekonomi negara perkara yang mudah atau remeh. Keadaan eknomi perlu dipulih dan bayak langkah telah dilaksanakan oleh Kerajaan.

    Banyak bantuan untuk rakyat miskin telah disediakan seperti persekolah dan rawatan kesihatan percuma, bantuan kewangan bulanan, rogram perumahan, kawalan barang makanan keperluan dan sebagainya. Adalah tidak tepat menyatakan pogram Kerajaan lebih condong kepada golongan kaya dan bukannya golongan miskin.
    Untuk mendapatkan hasil, Kerajaan juga terpaksa menyediakan insentif kepada golongan perniagaan. Sekiranya golongan perniagaan berjaya maka ini membolehkan mereka bayar gaji pekerja mereka dan juga bayar cukai kepada Kerajaan, yang kesemuanya membawa kepada kemakmuran negara. Kita perlu membantu golongan miskin disamping itu juga menyediakan suasana kondusif bagi sektor swasta berniaga dan kompetitif.

    Hanya UMNO boleh mentadbir negara bukan PAS atau PKR. Hanya UMNO boleh memimpin Barisan Nasional bukan MCA atau MIC. Maka kekuatan UMNO adalah amat penting untuk membawa kepada kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat. Kehilangan keyakinan rakyat terhadap Barisan dan UMNO menyebabkan kemenangan kepada Pakatan dan PKR. Pimpinan negara dibawah DS Najib sebagai PM keenam harus membuat perubahan mental golongan perkhidmatan awam, sektor swasta dan juga ahli politik. Kita perlu satu barisan pemimpin UMNO yang dinamik dan boleh berfikir secara out-of-box. Pemimpin UMNO veteran dan menteri kabinet yang kalah dalam pemilihan UMNO harus dikeluarkan dan diganti dgn pemimpin baru yang berwibawa dan berkaliber. Dengan dynamism dan kebolehan pemimpin dan Jemaah Menteri baru akan dipercayai rakyat. Barisan bakal akan dapat mengalahkan sesiapa saja menentang Kerajaan pimpinan Barisan Nasional. Bawakanlah kembali the Glory days of Malaysia.

  3. #4 by mylivingwall on April 3, 2009 - 3:20 pm

    A solid speech.

    Will feature this article in our website http://mylivingwall.com and link back to your blog.

    All the best!

    mylivingwall.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: