Majlis Pertunangan Anakanda Ketua Menteri Melaka

PANTUN SELOKA PERTUNANGAN

MOHD RIDHWAN / NUR AZIEHA

PADA 3 SEPTEMBER 2011 @ 8.30 MALAM

1. Pihak perempuan membuka bicara.

2. Salam…
Sesungguhnya saya amat menghargai permintaan YAB DS Hj Mohd Ali Mohd Rustam sekeluarga yang mahukan saya menjadi wakil dan juru bicara di majlis ini yang penuh bermakna.

Kapal dagang dari seberang,
Sarat dengan kayu meranti,
Dari Bk Katil kami datang,
Datang membawa hajat di hati.

3. Pihak perempuan mungkin akan bertanya apa hajat di hati?

4. Berapa tinggi pohon kesidang,
Tinggi lagi pohon jati,
Berapa tinggi Gunung Ledang,
Tinggi lagi hajat di hati.

5. Reaksi dari pihak perempuan.

6. Di taman DS terdapat seekor kumbang yang sudah matang,
Di taman DS pula terdapat sekuntum bunga yang sedang kembang,
Sang kumbang dah terpandang bunga yang sedang kembang,
Cantiknya umpama bunga anggerik
Siapa memandang sudah pasti hati tertarik.

Merpati sekawan terbang ke dusun
Anak ketam bermain kaca
Bukan Ridhwan termakan racun
Hati tertikam kerlingan mata.

Maka nasib dicuba usahapun dibuat
Lalu yang jauh menjadi dekat
Bila dekat bertambah rapat
Sudah rapat semakin erat
Antara tidur dan jaga mereka melihat
Tanpa sedar dua hati itu telah terpikat.

Seiring madah pantun bersambut
Halua telinga santapan mata
Mesra berdakap kasih terpaut
Semadi di kalbu bertandangnya cinta.

Lalu kedua orang tua telah merisik bertanya
Syukurlah pinangan pun telah diterima.

Kalaulah hari tu pinangan ditolak:

Tanam pinang rapat-rapat
Biar senang puyuh berlari
Kalaulah dipinang, pinang tak dapat
Mungkin Ridhwan pujuk-pujuk dibawa lari.

Kalau disukat bergantang-gantang
Baik disukat tiga sukat
Kalau dibentang tentulah panjang
Baik dipintal supaya singkat.

Saya difahamkan dalam masa yang terluang
Kedua pihak telah duduk berbincang di dalam terang,
Bermuafakat di dalam gelap
Lantaran tercapai kata sepakat
Lalu janji pun diikat disimpul erat.

Maka pada malam ini adalah niat suci DS berdua
Untuk menunaikan janji kata dikota
Kerana jika kerbau dipegang talinya
Maka manusia dipegang pula janjinya.

Saya difahamkan kedua pihak telah bersetuju wang hantaran sebanyak RM22,222.00 serba dua iaitu 2 pasang baju, seutas rantai tangan dan seutas rantai leher. Dan di Majlis Pertunangan pada malam ini, pihak lelaki membawa 11 dulang pelbagai iringan dan separuh wang hantaran (RM11,111.00). Separuh lagi wang hantaran dan 2 pasang baju, seutas rantai tangan dan seutas rantai leher akan disempurnakan pada masa pernikahan nanti. Tempoh pertunangan ini akan dirundingkan oleh kedua-dua pihak. Bukan begitu, DS?

7. Selepas kedua-dua pihak mengesahkan pemufakatan itu…

8. Sampai di sini, dengan penuh takzim, bagi pihak lelaki, saya persembahkan separuh wang hantaran dan 11 dulang kepada wakil pihak perempuan seadanya sebagai tanda mengikat tali pertunangan antara Mohd Ridhwan DS Hj Mohd Ali dengan Nur Azieha Mohd Ali.

9. Setelah diterima dan bertukar hantaran…

10. YAB DS, YBhg DS dan semua yang hadir:

Adat bersendikan syarak
Syarak bersendikan Kitabullah
Syarak mengata, adat memakai.
Hidup dikandung adat, mati dikandung tanah
Masjid sebuah, balairung seruang.

Setelah tali pertunangan ini diikat erat dan dijalin mesra, memanglah hasrat kedua ibu bapa, sanak saudara agar merpati dua sejoli ini akan menjadi raja sehari dan kekal bahagia hingga ke anak cucu nanti. Maka nasihat kita semua kepada dua sejoli ini, mulai hari ini:

Kalau pukat sudah direntang
Jangan dikira kering dan basah
Kalau kasih sudah dipasang
Janganlah suka berpaling tadah

Namun kehendak Allah siapa yang tahu:

Unggun api embun berderai
Patah galah haluan perahu
Niat hati tak hendak bercerai
Kehendak Allah siapa nan tahu.

Maka jika ditakdirkan pihak lelaki yang mengengkari janji maka diadatkan semua hantaran yang diserahkan kepada pihak perempuan sebentar tadi akan hangus. Jika pihak perempuan pula yang mengengkari janji maka ianya akan digandakan. Mohon kedua-dua pihak menzahirkan persetujuan.

11. Kedua-dua pihak diminta menyatakan persetujuan.

12. Terima kasih di atas persetujuan yang telah diberikan oleh kedua-dua pihak.

Buah pedada di dalam raga
Anak bilis diratah-ratah
Lapanglah dada dua keluarga
Bersyukur Majlis sempurnalah sudah.

Mencari bermi pergi ke seberang
Pasir Panjang Kuala Linggi
Maafkan kami terlebih terkurang
InsyaAllah, umur panjang berjumpalah lagi.

13. Bagi pihak diri saya sendiri, saya ingin memohon maaf kepada YAB DS dan keluarga, kepada YBhg DS sekeluarga dan semua yang hadhir, jika ada terdapat sebarang kesilapan dan kelemahan; yang sempurna dari Allah swt dan yang kurang sempurna itu dari saya:

Buah papaya dibuat juadah
Buah berangan dari Beluran
Tugas saya selesailah sudah
Mengangkat tangan tanda kesyukuran.

Kunang-kunang terbang ke lembah
Hinggap bersarang dipohon buluh
Pinang mengadap sirih menyembah
Saya menyusun jari sepuluh.

Salam dan terima kasih.

DATUK AKBAR ALI
3 SEPTEMBER 2011.

  1. Leave a comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: