Khutbah Khas: Bersama Menjauhi Ajaran Sesat Syiah” (21 September 2012)

 

أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلَهَ إِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَ عَلى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ،

 

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ. اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.

Sidang Jumaat Yang Dihormati Sekalian,

Marilah kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat. Mimbar akan membicarakan Khutbah Jumaat yang bertajuk: “Bersama Menjauhi Ajaran Sesat Syiah”

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian,

Akhir-akhir ini masjid-masjid di Negeri Melaka menjadi sasaran penyebaran buku-buku ajaran sesat Syiah. Buku-buku yang disebarkan antaranya berjudul:

         Pertama:      Akhirnya Ku Temui Kebenaran

         Kedua:         Dialog Mengenai Islam Dan Aqidah Islam Sebenar atau nama lain

Dialog Mengenai Islam Dan Aqidah Islam Sebenar dan Kewajipan  Muslim Mentaati Kepimpinan Yang Dilantik Allah Dan Rasul Demi Perpaduan Dan Kejayaan Dunia Akhirat.

Fenomena ini sememangnya telah menimbulkan tanda-tanya di kalangan umat Islam di negeri ini. Sehubungan dengan itu, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) telah mengarahkan pihak masjid yang menerima buku tersebut, agar menyerahkan kepada pejabat agama berdekatan dan membuat laporan polis untuk tindakan yang selanjutnya.

Sidang Jumaat Yang Berbahagia Sekalian,

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam telah membuat keputusan bagi pengharaman ajaran Syiah di Malaysia dan menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikuti ajaran Islam yang berasaskan kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah samada dari segi aqidah, syariat dan akhlak. Begitu juga Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka telah memfatwakan pengharaman Syiah pada 24 Julai1997.

Sedarlah bahawa perbezaan fikrah atau aliran pemikiran boleh menyebabkan perkelahian sesama kita, walaupun adik-beradik. Bukankah kita pernah membaca ayat al-Quran yang menceritakan tentang perkelahian antara adik-beradik iaitu Nabi Musa dan abangnya Nabi Harun a.s akibat perbezaan aliran pemikiran? Firman Allah Taala dalam surah Tahaa ayat 92-94 yang bermaksud:

”(sekembalinya), Nabi Musa berkata: “Wahai Harun, apakah yang menghalangmu ketika engkau melihat mereka sesat, daripada menurutku? Adakah engkau ingkar akan suruhanku?” Nabi Harun menjawab: “Wahai anak ibuku! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku, sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku: “Engkau telah memecah belahkan kaum Bani Israel sesama sendiri, dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku!”

Sidang Jumaat Dikasihi Allah Sekalian,

Melalui ayat tadi kita dapat memahami, bagaimana perbezaan pandangan antara Nabi Musa dan abangnya Nabi Harun a.s boleh menyebabkan kejadian si adik menarik janggut dan rambut abangnya.

Saudara-saudaraku, dalam kejadian itu, Nabi Musa a.s tetap berselisih faham dengan abangnya Nabi Harun a.s tentang cara pendekatan terbaik bagi menghalang Bani Israel daripada menyembah anak lembu emas, sedangkan kedua-dua mereka memiliki pandangan yang betul.

Jadi bayangkan saudara-saudaraku, apakah yang akan berlaku nanti dalam masyarakat kita bila ajaran Syiah yang jelas bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah samada dalam permasalahan pokok, aqidah atau cabang syariat, diamalkan oleh sekelompok umat Islam di negara kita? Siapakah boleh menjamin tidak akan terjadi perkelahian dan berbunuh-bunuhan pada ketika itu?

Sidang Jumaat Yang Dihormati Sekalian,

Ketahuilah, perbezaan kita dengan Syiah bukanlah hanya dari segi aliran pemikiran semata-mata, tetapi ia lebih daripada itu. Ianya melibatkan perbezaan aqidah. Rukun iman mereka berbeza dengan rukun iman kita. Rukun Islam mereka berbeza dengan rukun Islam kita. Begitu juga kitab-kitab hadith mereka juga berbeza. Bahkan sebahagian besar ulama’-ulama’ Syiah mengakui bahawa al-Quran mereka berbeza dengan al-Quran yang ada bersama kita. Walaupun ada dari ulama’ mereka yang pura-pura (taqiyyah) mengatakan bahawa al-Qurannya sama dengan al-Quran kita, tetapi pada masa yang sama mereka menafsirkan ayat-ayat al-Quran dengan tafsirnya yang sangat berlainan dengan ulama’ Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Hal ini menepati dengan kata-kata ulama’ Ahli Sunnah Wal Jamaah bahawa Syiah Imamiyyah Ithna ‘Asyariyyah (Ja’fariyyah) adalah satu agama yang tersendiri. Melihat pentingnya persoalan tersebut, maka disini disebutkan sebahagian dari perbezaan atau percanggahan antara aqidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah dengan aqidah Syiah Imamiyyah Ithna ‘Asyariyyah (Ja’fariyyah) ialah:-

         Pertama:      Khalifah diwasiatkan secara nas.

         Kedua:         Imam adalah ma’sum.

         Ketiga:         Ilmu Allah berubah-ubah mengikut sesuatu peristiwa yang berlaku kepada manusia.

         Keempat:     Kemunculan semula Imam Mahdi dan kumpulan orang yang telah mati untuk memberi keadilan.

         Kelima:        Berpegang dengan konsep berpura-pura.

        Keenam:      Berpegang dengan konsep mahdiyyah iaitu kepercayaan kepada Muhammad bin Hassan al-‘Askari al-Mahdi sebagai Imam Mahdi  muntazar.

         Ketujuh:       Penyanjungan yang keterlaluan kepada Sayyidina Ali.

         Kelapan:      Mengkafirkan para sahabat rasulullah s.a.w.

       Kesembilan: Menuduh Saidina Abu Bakar, Umar, Utsman dan Muawiyyah sebagai  empat berhala Quraisy serta pengikut mereka adalah musuh Allah.

    Kesepuluh:   Hanya Ali dan para imam sahaja yang menghafaz dan menghimpunkan al-Quran dengan sempurna.

         Kesebelas:    Menghalalkan nikah mut’ah.

         Kedua belas: Menambah syahadah.

         Ketiga belas: Menolak hadis yang diriwayatkan oleh ahli sunnah wal jamaah sekalipun hadis mutawatir.

Seterusnya percanggahan dari sudut syariat antara aqidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah dengan aqidah Syiah Imamiyyah Ithna ‘Asyariyyah (Ja’fariyyah). ialah:-

       Pertama:      Ketika berwudhu’, wajib menyapu kedua-dua kaki, bukan membasuh pada kedua-duanya.

         Kedua:         Mengharuskan jama’ sembahyang pada semua keadaan.

         Ketiga:         Mengamalkan nikah mutaah.

         Keempat:     Islam bukanlah syarat wajib haji.

         Kelima:        Menolak ijma’ ulama’ dan qias.

Seterusnya percanggahan umum antara aqidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah dengan aqidah Syiah Imamiyyah Ithna ‘Asyariyyah (Ja’fariyyah). iaitu:-

        Pertama:      Menziarahi kubur Saidina Husain, ganjarannya adalah syurga.

         Kedua:         Menyeksa tubuh badan sempena 10 Muharram.

         Ketiga:         Menghina isteri-isteri nabi Muhammad s.a.w.

Sidang Jumaat Yang Berbahagia,

Percanggahan ini boleh menyebabkan pihak yang bertelagah dengan mudah menghalalkan darah lawannya. Jika keadaan fitnah ini berjaya ditanam dalam masyarakat Islam di negara kita, sudah tentu musuh-musuh Islam yang sudah lama mengidam ingin melihat kehancuran masyarakat dan negara kita bersorak gembira.

Kematian dan kemusnahan harta benda, akibat perbezaan mazhab sebegini bukanlah sekadar andaian semata-mata, tetapi ia telah berlaku dan sememangnya akan berlaku lagi di negara yang memiliki pengikut dua aliran yang berbeza ini. Lihat sahaja apa yang terjadi diantara pengikut Sunni dan Syiah di Pakistan dan Iraq. Saban hari, kita melihat di kaca televisyen, bagaimana kedua-dua pihak tersebut saling membunuh dan memasang bom di masjid pihak lawan. Jika ini terjadi di negara kita, mungkin masjid-masjid di tempat kita pada suatu masa kelak akan terbahagi kepada masjid puak Sunni dan masjid puak Syiah dan pada masa itu, kita tentu tidak lagi khusyu’ mengerjakan solat Jumaat atau solat-solat lain kerana asyik memikirkan ancaman bom dari pihak lawan. Oleh itu, jauhilah ajaran Syiah yang merbahaya ini sebelum kita ditimpa musibah perkelahian, bunuh membunuh dan perang saudara.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah Taala,

Apakah yang boleh dibanggakan dari ajaran Syiah, sehinggakan ada segelintir dari masyarakat kita yang berminat dengannya? Adakah mereka buta untuk melihat dan memahami kebatilan dan kesesatan yang diamalkan dalam ajaran Syiah seperti keharusan menolak hadis yang sahih dan mutawatir, mengkafirkan para sahabat Rasulullah s.a.w, mengatakan imam mereka ma’sum dari sebarang kesilapan, menghalalkan nikah mut’ah, menolak pemakaian hukum ijma’ dan qias, menghina isteri-isteri nabi kita s.a.w, menyeksa tubuh badan sempena hari 10 Muharram dan banyak lagi kesesatan lain yng telah disepakati oleh para ulama’.

Sidang Jumaat sekalian,

Cuba kita fikirkan sejenak, apakah sebenarnya yang kita boleh dapat atau harapkan dari ajaran Syiah? Adakah ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang telah diamalkan di negara kita sejak awal kedatangan Islam sehingga hari ini, menyebabkan kita menjadi lemah, tidak maju, tidak aman, tidak bahagia atau belum cukup untuk masuk syurga Allah Taala?

Oleh itu, marilah saudara-saudaraku sekalian, kita bersegera mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk membendung gejala penyebaran ajaran Syiah di tempat kita sebelum menjadi lebih parah. Setiap ahli masyarakat seharusnya beringat sebelum terjadi sesuatu yang buruk, bak kata pepatah “cegah sebelum parah” setiap orang berkewajipan membuat laporan kepada pihak berkuasa agama di daerah masing-masing jika mengsyaki, menyedari atau melihat sendiri terdapat mana-mana pihak yang berusaha memberikan ajaran Syiah yang sesat ini.

Ingatlah bahawa sebarang usaha ke arah membendung ajaran sebegini adalah termasuk dalam ertikata “jihad” kerana mempertahankan kesucian ajaran agama yang diwarisi dari junjungan nabi kita Muhammad s.a.w, manakala sebarang usaha yang cuba menghidupkan fitnah dengan menyebarkan ajaran Syiah adalah termasuk di dalam perbuatan sesat lagi menyesatkan.

Di akhir khutbah ini juga, mimbar ingin mengajak dan berpesan kepada semua umat Islam agar berpegang teguh dengan ajaran Ahli Sunah Wal Jamaah yang telah terbukti menjadi ubat dan penawar yang mujarab bagi menyatukan hati-hati kita selama ini. Justeru, usaha kita mengambil ubat dan penawar yang palsu, serta telah terbukti boleh melemah dan menyusahkan perpaduan umat Islam sejak zaman akhir pemerintahan sahabat Khulafa’ ar-Rasyidin lagi.

Firman Allah s.w.t didalam Surah an-Nisaa’ ayat 115  yang bermaksud:“Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah s.a.w sesudah terang nyata kepadanya kebenaran petunjuk (yang dibawa), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkan ke dalam neraka jahannam, dan neraka itu adalah seburuk-buruk tempat kembali”..

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْقُرْءَانِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلأَيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ.أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ اْلأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَاْلأَمْوَات، فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.

 

  1. Leave a comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: