Ringkasan isu – Zaid Ibrahim

1. Beberapa hari lepas, Zaid Ibrahim mendapat perhatian umum sekali lagi, terutama orang Umno. Sebagai bekas ahli Umno, bekas ketua bahagian Umno, bekas senator dan bekas menteri yang dilantik atas tiket Umno, ia dikritik kerana berjinak jinak dipentas pembangkang. Perbuatannya itu melanggar etika berparti. Lalu sewajarnyalah dia dipecat kerana itulah seolah olah yang dia minta.

2. Sebenarnya Zaid adalah contoh klasik anak Melayu yang berjaya kerana dasar dan perjuangan Umno, khususnya Artikel 153, Perlembagaan Persekutuan dan DEB. Ia menuntut di ITM yang diwujudkan oleh Umno melalui MARA. Dia menjadi kaya raya kerana Umno memberi dia dengan mudah kontrak kerajaan. Dia tidak sauk air mandikan diri.

3. Terkini ia menjadi contoh yang unik sebagai orang yang sudah menyeberang titi membuang tongkatnya, kacang lupakan kulit, susu dibalas dengan tuba dan seperti melepaskan anjing tersepit.

4. Ulasan saya ini telah dimasukkan Tun Dr Mahathir dalam blog beliau;

“Yang dihormati lagi dikasihi Tun,

Zaid kaya hasil produk DEB; DEB pula dilahirkan oleh UMNO. Dalam bahasa Lim Kit Siang, Zaid adalah UMNOputera yang nak dipeluknya, setelah mendakap UMNOputera bergelar Anwar Ibrahim dan konco-konconya. Bagi orang Melayu yang bermarwah dan berbudi, Zaid, Anwar dan sekutu dengannya bukan sahaja kacang lupakan kulit dan susu dibalas dengan tuba malah umpama anjing tersepit yang dilepaskan. Merekalah yang menjadi keris dan kerambit yang akan membunuh Melayu. Bukan orang Cina atau India.

Zaid dan mereka yang sepemikiran dengannya juga ibarat kiambang yang akarnya tak jejak ke bumi; ke hilir dibawa arus, ke hulu dipukul ombak.

Sesungguhnya semua orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak adalah UMNOputera, termasuklah SAYA dan anak-anak saya. Kita tidak sesenang ini jika dilahirkan di Singapura, Indonesia, Selatan Thailand atau di Mindanao. Yang membuat kita lebih senang dan bermarwah ialah UMNO. Insaflah dan bersyukurlah.

Malangnya ramai juga orang Melayu yang tidak pandai bersyukur; malah kurang ajar pula, termasuk beberapa orang menteri dan bekas menteri. Satu kerja berat bagi Shafie Afdal. Sekolahkanlah mereka. Tetapi Musa Hitam tentu gembira kerana terdapat anak murid yang menganuti ajaran sesatnya. Kerana itu Musa Hitam perlulah terus menunjukkan keangkuhannya terhadap Tun supaya ia kekal menjadi icon di kalangan mereka yang nak belajar menjadi kurang ajar; selaras dengan slogan ‘Kepimpinan Melalui Teladan’ yang sudah dipesongkan.

Nampaknya murid Musa bukan sahaja di kalangan bangsa Melayu tetapi terdapat juga di kalangan kaum Cina dan India, seperti Tsu Koon, Lian Hoe, Kee Teat, Soo Lek serta penyokong Hindraf. Mereka sudah tidak tahu beterima kasih; jauh sekali memegang prinsip ‘ada ubi, ada batas’. Malah yang membimbangkan ialah mereka nampaknya seperti diberi betis hendakkan peha. Lebih menakutkan bangsa Melayu lagi ialah mereka ni nampkanya seperti ‘Arab dengan unta.’

Semua mereka sudah tersilap berguru. Sepatutnya tok guru mereka ialah Siew Sin, bukan tok guru Musa. Inilah yang dikatakan pantun Melayu:

Berguru di padang datar,
Dapat rusa bergelang kaki,
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.

Di kesempatan ini saya ingin merakamkan setinggi penghargaan di atas kesudian Tun melapangkan masa yang sungguh berharga untuk saya membuat kunjungan hormat pada hari ini (12 November 2008). Hari Ini Dalam Sejarah bagi saya, setelah 20 tahun tidak menjejakkan kaki di kamar pejabat Tun. Saya turut gembira kerana dapat bertemu YABhg. Tun Siti Hasmah. Saya juga berterima kasih kepada warga pejabat Tun yang telah memberikan layanan yang baik dan mesra. Mereka adalah kawan-kawan lama saya.

Sempena proses pemilihan pemimpin UMNO yang sedang berjalan hingga Mac depan, Tun telah melahirkan kebimbangan dan kerisauan terhadap barah politik wang yang melanda UMNO. Beliau menasihatkan saya dan semua ahli UMNO supaya memilih pemimpin yang tidak korup walaupun sedikit kurang kualiti kepimpinan mereka. Jika pemimpin UMNO yang korup itu menang, dibimbangi mereka akan ditolak oleh pengundi dalam pilihanraya ke 13 nanti sebab bilangan pengundi bukan UMNO (diunjurkan 10 juta) jauh lebih ramai daripada ahli UMNO (3.5 juta). Rebahlah mereka dan tumbanglah UMNO sebab ikan busuk dari kepalanya. Apabila pohon yang besar ini dah tumbang maka kura-kura pun berani panjat! Sedarlah.

Bagi pemimpin yang bertanding, amalkanlah prinsip demokrasi. Contohilah Tun dari segi amalan demokrasi tulin.

Pada tahun 1986, UMNO dan MCA mengalami krisis yang besar. Terdapat Team A dan B dalam kedua-dua parti.

Dalam UMNO, Team A dipimpin oleh Tun dan Tun Ghafar manakala Team B dikepalai oleh Tengku Razaleigh dan Musa. Dalam MCA pula, Team A dipimpin oleh Neo Nee Pan dan Team B diketuai oleh Tan Koon Swan.

Datang pilihanraya 1986, calon UMNO ramai yang menang manakala calon MCA pula ramai yang tersungkur. Mengapa? Sebab utamanya terletak pada sifat demokratik atau tidak demokratiknya seseorang pemimpin.

Tun, sebagai pemimpin UMNO, bukan sahaja mencalonkan penyokong-penyokongnya tetapi tidak pula menyisihkan penentang-penentangnya di dalam Team B. Tuako-tuako seperti Tengku Razaliegh, Musa, Pak Lah dan Shahril tetap dicalonkan. Sudah tentu ada yang digugurkan tetapi pengguguran itu meliputi kedua-dua Team dan ianya merupakan sebahagian daripada dasar UMNO yang mahu memberi peluang kepada muka baru. Rule of Thumb – satu pertiga digugurkan. Adakah para pemimpin Team B menghargai sikap demokratik ini? Oh! Sesungguhnya tidak. Alang-alang menyeluk pekasam, mereka terus lawan dalam pemilihan tahun 1987 hinggakan yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu. Para pemimpin Team B sanggup melihat UMNO diharamkan pada tahun 1988.

Saya pernah bertanya kepada Tun mengapa beliau beri peluang kepada Team B untuk bertanding dalam pilihanraya 1986 sedangkan beliau boleh menang dengan mudah pada tahun 1987 nanti sebab dalam tradisi UMNO amat sukar orang tak berjawatn untuk menang, kecuali tokoh-tokoh seperti Tun Ghafar. Jawapan beliau mudah sahaja. Mereka itu marah kat saya, bukan marah kat UMNO. Lagipun beliau dapat melihat awal-awal lagi bencana yang bakal menimpa UMNO jika tokoh-tokoh Team B itu tidak dicalonkan semula. UMNO boleh kalah.

Bencana itu tidak dapat diteropong oleh Koon Swan. Apabila beliau menang dalam pemilihan MCA, beliau pancong Nee Pan dan semua penyokongnya. Ahli MCA dan kaum Cina marah. Maka tewaslah calon-calon MCA dalam pilihanraya 1986, kecuali di kawasan yang ramai orang Melayu.

Contohilah sifat demokratik Tun ini. The truly practising democrat!”

 

5. Sebelum dia menyeberang, kita harap Zaid akan berhambakan tangan, bersaksikan mata dan berhakimkan hati. Semoga dia insaf bahawa dia sudah sesat di hujung jalan dan akan kembali ke oangkal jalan.

6. Jika dia menyeberang juga ianya tak ubah arang habis besi binasa dan kita terpaksa menganggap api puntung hanyut.    

  1. #1 by asrilamirul on December 4, 2008 - 9:59 am

    Salam Darah Tuah,

    Perhaps the best way for umno is to let zaid go. But I do think that the sacking of zaid will only make him a ‘martyr’ to the eyes of some. Even PR seems to take this advantage by luring him in. In PR he will be glorified as the great defector.

    What do you think saudara?

    • #2 by darahtuah on December 5, 2008 - 9:18 am

      Saudara,

      “the best way for umno is to let zaid go”. Perhaps you can clarify the modus operandi of ‘let (him) go’? Zahid will be accepted by any party so long he can be of some use. Which ever party accepts him will glorify him to justify the acceptance albeit for a few days

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: