KABINET YAB DATO’ SRI NAJIB – SIAPA SENYUM; SIAPA MENANGIS?

Sambutan positif

1. Sekarang kita semua sudah tahu saf (barisan) ahli Jemaah Menteri YAB DS Najib. Ia terdiri daripada 28 Menteri dan 40 Timbalan Menteri untuk menguruskan 25 buah kementerian. Penubuhan kabinet ini adalah mengikut Perkara 43, Perlembagaan Malaysia.

2. Majlis angkat sumpah DS dan ahli Jemaah Menteri beliau pada hari keramat ini diharap akan memberi berkat kepada negara dan rakyat.

3. First impression saya ialah DS meneruskan komitmen beliau untuk mengembalikan keyakinan dan sokongan rakyat terhadap kerajaan BN. Perlantikan ahli kabinet ini merupakan sebahagian daripada rantaian usaha tersebut.

4. Reaksi pasaran adalah positif. KLCI meningkat 10.02 mata (1.10%) semasa ianya ditutup pada jam 5 petang (9 April 2009); meneruskan arah aliran menaik sejak 30 Mac lalu. Ia merupakan satu manifestasi keyakinan pelabur terhadap kerajaan BN di bawah pimpinan DS.

5. Namun, kita hendaklah segera berpegang kepada nasihat orang tua-tua agar kita tak tenggelam dalam keseronokan. Janganlah memuji hari sebelum sampai ke petangnya. Yang ingin dilihat oleh semua ialah pencapaian, hasil dan impaknya.

6. Dalam pada itu, di samping petunjuk tersebut, eloklah pula kerajaan menyelami hati majoriti rakyat mengenai tahap penerimaan mereka terhadap barisan kabinet ini; terutama oleh golongan muda. Buatlah segera kajian (survey) oleh badan yang credible.

7. Pada masa yang sama, banyak juga pihak yang telah membuat ulasan – pro dan kontra. Biaslah tu. Saya pun ingin tumpang semangkok.

8. Terlebih dahulu wajarlah diakui bahawa tidak mudah hendak menubuhkan sebuah kabinet yang dapat memuaskan hati semua pihak; lebih-lebih lagi kabinet yang terdiri daripada 14 buah parti komponen.

9. Sudah pasti setiap parti mahukan saham masing-masing. Di samping itu ‘wing’ masing-masing pula (wanita, pemuda, puteri) turut menuntut agar mereka tidak dilupakan. Mereka tentulah ingin ‘harta karun’ yang semua idamkan itu difaraidkan dengan saksama. Namun, sudah tentulah ada pihak yang akan dikorbankan.

Misi

10. Walau apapun, yang lebih penting ialah keupayaan memenuhi objektif dan misi kabinet itu ditubuhkan. Objektif dan misinya telah digariskan oleh DS dalam ucapan beliau yang mengiringi pengumuman tersebut.

11. Secara ringkas, mereka yang hendak dilantik itu mestilah dapat memenuhi 4 kriteria yang telahpun beliau maklumkan awal-awal lagi iaitu (a) setia, (b) berintegriti, (c) kompeten dan (d) berdadakasi.

12. Mereka ini diberi masa 30 hari untuk merangka tugas masing-masing. Prestasi mereka akan diukur berdasarkan KPI yang akan ditetapkan dan dipandu oleh paradigma baru yang akan diumumkan. DS akan menilai pencapaian mereka setiap 6 bulan. Yang akan diutamakan nanti ialah impak bukan input; hasil bukan output.

13. Secara kolektif mereka hendaklah menghayati dan menjayakan falasafah Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan.

Penyusunan semula

14. Seperti yang diramalkan, bilangan menteri / kementerian telah dikurang/dikecilkan. Bilangan menteri telah dikurangkan daripada 32 kepada 28 orang dan bilangan kementerian pula telah dikecilkan daripada 28 kepada 25 buah.

15. Terdapat kementerian baru yang diwujudkan iaitu Hal Ehwal Perpaduan dan Pengurusan Prestasi. Teknologi Hijau pula diwujudkan di bawah Kementerian Tenaga dan Air.

16. Ada kementerian telah disusun semula seperti Kementerian Penerangan (kini menjadi Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan) dan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (kini Kementerian Tenaga, Tekonologi Hijau & Air).

17. Ada kementerian yang diramalkan akan dicantumkan tetapi terus kekal. Misalnya, Kementerian Pelajaran dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pertanian & Asas Tani dengan Kementerian Perusahaan Perladangan & Komoditi.

18. Yang mengejutkan ialah pemansuhan Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi yang mana penubuhannya was dedicated to serve the Bumiputeras. Apa wisdomnya berbuat demikian?

19. Di kalangan 28 orang menteri itu, hanya terdapat 7 muka baru atau 25%. Ramai mahukan sekurang-kurangnya separuh muka baru. Ia membuktikan bahawa tidak mudah untuk menukar muka lama kerana beberapa kekangan, khususnya tuntutan hiraki parti.
20. Di kalangan muka baru yang dibawa masuk oleh DS, sekurang-kurangnya 10 orang (menteri dan timbalan menteri) yang saya kenali adalah tokoh profesional dan pakar dalam bidang masing-masing. Contohnya, YB Dato’ Ahmad Husni, YB Dato’ Dr Awang Adek dan YB Dato’ Mukhriz.

Siapa senyum?

21. Boleh dijangkakan bahawa pihak yang paling gembira dan boleh senyum lebar ialah:

• Gerakan kerana dapat TAMBAHAN satu jawatan menteri walaupun parti tersebut hanya menyumbang SATU kerusi parlimen sahaja. Ini bermakna bilangan kaum Cina dalam kabinet bertambah. Mereka tentu gembira tetapi adakah berterima kasih?

• Wanita UMNO dan MCA kerana ketua masing-masing diberi tempat seperti sebelum Mac 2008 – Menteri dan Timbalan Menteri; dan

• Sabah dan Sarawak kerana mendapat TAMBAHAN jawatan menteri; kini masing-masing dapat 4 dan 2 kerusi kabinet. Harap Sarawak (30 kerusi parlimen) tidak mencemburi Sabah (25 kerusi parlimen) dan menuntut tambahan kerusi.

22. Yang tidak rugi ialah MCA dan MIC kerana bilangan kerusi mereka tidak tergugat.

23. Yang tidak mendapat tempat ialah Ketua Pemuda walaupun Timbalannya, YB Datuk Razali Ibrahim diberi peluang menjadi Timbalan Menteri Belia dan Sukan. Mungkin ada mesej yang hendak disampaikan oleh DS.

24. Satu yang positif ialah kini Pemuda boleh mengkritik kerajaan tanpa terikat dengan etika collective responsibility yang mesti dijunjung sebagai anggota Jemaah Menteri. Gunakanlah peluang ini secara berhemah dan judiciously.

Siapa terkorban?

25. Yang terkorban seorang diri ialah UMNO. Bilangan menterinya dikurangkan seramai 4 orang (17%); daripada 23 kepada 19 orang.

26. Mengapa, atas semangat setiakawan, pengorbanan ini tidak dikongsi bersama antara UMNO dan MCA? Misalnya, UMNO berkorban 3 kerusi dan MCA berkorban 1 kerusi? After all, kaum Cina tidak rugi apa-apa sebab yang dapat faedah daripada pengorbanan MCA itu ialah pemimpin CINA dari Gerakan.

27. Nampaknya kaum Cina tidak ada semangat setiakawan. Mereka tidak sedia bertolak ansur walau seinci pun. Sedangkan Melayu, nampaknya sejak dahulu hingga sekarang, terus bermurah hati dan mudah beralah:

Negeri Melayu ternama indah
Orangnya baik laku peramah
Dibawa berunding mereka mudah
Terhadap pendatang hati pemurah.

28. Persoalannya ialah adakah mereka menghargai sikap tolak ansur Melayu / UMNO ini dengan kembali menyokong BN? Atau mereka tak pernah rasa cukup dan syukur? Malah, jika berpeluang, mereka mungkin gigit lagi tangan UMNO? Inilah kebimbangan yang dirasakan oleh ramai ahli UMNO / Melayu yang dituduh pula mengamalkan dasar Apartheid.

Siapa menangis?

29. Yang meratap dan menangis sendirian ialah MELAKA. Sudah 16 tahun UMNO Melaka tidak mempunyai wakil di dalam kabinet. Wakil terakhir ialah pada tahun 1993 – Tun Ghafar.

30. Pada tahun 2004, Perlis yang menyumbang 3 kerusi parlimen mempunyai 2 orang menteri manakala Melaka yang menyumbang 6 kerusi parlimen hanya diberi satu kerusi (MCA) kabinet. Pada tahun 2008 pula, Melaka hanya diberi 2 jawatan timbalan menteri.

31. Kini, pada 9 April 2009, Melaka hanya layak diberi satu jawatan timbalan menteri. Rezeki negeri lain amatlah murah tetapi rezeki negeri Melaka bukan saja secupak tidak menjadi segantang tetapi yang segantang inipun sudah menjadi sekal. Nasib Melaka ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

32. Sebagai anak Melaka dan masih sayang kepada UMNO, masih duduk di atas tikar yang sehelai dan masih berdiri di atas tanah yang sebidang, saya merayulah kepada DS sebagi Presiden parti dan PM agar menggunakan budi bicara yang diperuntukkan oleh Perkara 43, Perlembagaan Persekutuan dengan memulangkan semula beras kami yang secupak itu.

33. Terima kasih, DS.

Dari Bentung pergi ke Rengit,
Tanjung Puteri airnya tenang,
Langit tergantung bumi tersenget,
Budi DS tetap di kenang.

  1. CEO TERAJU – BERSILAT / BERTAICI? « Hidup Tuah!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: