DASAR INDUK NEGARA – 1MALAYSIA

(Hari  ini blog saya berusia 6 bulan. Sempena tarikh tersebut, berikut saya siarkan suntingan sedutan ucapan saya pada 31 Mac 2009 – Siri 1).

_______________________________________________

Polarisasi kaum

1. Kita semua akui bahawa setiap orang berhak memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing. Namun ia hendaklah diperjuangkan di dalam ruang lingkup Perlembagaan dan undang-undang negara. Ia tidak boleh dilihat pula sebagai mengancam hak kaum-kaum lain sehingga bertukar wajah menjadi anti-perkauman.

2. Kita semua sedar bahawa api perkauman ini boleh pula merosakkan perpaduan yang menjadi paksi kemakmuran negara, yang menjadi tiang seri kepada keselamatan negara. Justeru kita tidak faham kenapa masih ramai juga yang mahu meniupkan api kemarahan ini yang akhirnya membakar kita semua.

3. Jadi kita haraplah api perkauman ini, sebelum ianya bersemarak, dapatlah dipadamkan dengan segera. Kita sedar ia tidak semudah yang diperkatakan kerana polarisasi kaum nampaknya semakin ketara sama ada di universiti, di IPT, sama ada di tempat kerja bahkan, minta maaf kalau saya katakan, di kafeteria Dewan Rakyat dan Dewan Negara pun kita boleh lihat polarisasi ini.

4. Mungkin perumpamaan bahasa Inggeris ini masih valid lagi iaitu apa yang dikatakan the ornothological specimen of congruent plumage congregate a close proximity. Jadi nampaknya maksud perumpamaan bahasa Inggeris tersebut masih lagi dapat kita lihat manifestasinya di Malaysia. Kalau perumpamaan Melayu yang hampir sama maknanya dengan perumpamaan ini, saya rasa, air sama air, sampah ke tepi juga.

1Malaysia

5. Saya jangka dan ramai orang juga jangka, Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri cukup sedar dan insaf tentang perkara ini. Itu sebab, antara lain awal-awal lagi, beliau telah pun mencipta ataupun mereka satu ungkapan, boleh jadi satu slogan yang diharap dapat mengikat semua rakyat Malaysia iaitu apa yang beliau panggil Satu Malaysia atau One Malaysia. Dengan harapan semua kaum dapat berfikir dan bertindak, walaupun dalam budaya yang berlainan, sebagai satu bangsa, bangsa Malaysia.

6. Diharap walaupun kita berlainan tradisi tetapi kita boleh berkongsi satu jiwa macam Dato’ Gooi pernah bercakap pagi ini. Walaupun kita tidur berlainan bantal tetapi kita boleh berkongsi mimpi yang sama. Walaupun kita berlainan tangkai tetapi mungkin kita mempunyai bau wangi yang sama.

7. Jadi, kalau boleh, saya ulangi apa yang telah saya katakan pada 10 Disember lalu. Sekarang nampaknya masanya semakin hampir apabila sudah dicipta One Malaysia. Maka apalah salahnya jika kita angkat ke tahap setingkat lagi lebih tinggi dengan merangka satu dasar induk. Ianya cukup dekat dengan hati saya dan, kalau ada peluang, saya akan terus kemukakan dan ketengahkan perkara ini.

malaysia_day_02

Dasar Induk Negara

8. Hari ini, petang ini, saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa sudah sampai masanya, dengan adanya One Malaysia ini, kita merangka apa yang dipanggil mother policy ataupun dasar induk negara. Kalau saya boleh imbas kembali pada bulan Disember lalu, saya katakan Singapura, Israel dan Switzerland mempunyai pelan induk atau dasar induk negara dan dasar induk negara mereka berpaksikan keselamatan negara. Semua dasar, semua tindakan selari dengan dasar induk itu.

9. Bagi Malaysia, antara total security dengan perpaduan negara, mungkin perpaduan negara mengambil precedent yang lebih tinggi berbanding dengan total security kerana keselamatan kita sendiri berpaksikan perpaduan negara.

10. Jadi, seperti apa yang dikatakan oleh Dato’ Gooi pagi tadi tentang perlunya mengajar Perlembagaan Malaysia di peringkat rendah lagi, memang saya sokong kerana perkara yang sama telah saya timbulkan pada 10 Disember lalu. Saya juga telah turut mencadangkan supaya Sejarah, kalau masa dulu ialah Tawarikh, diajar di sekolah supaya kita kenal siapa kita, siapa negara kita.

11. Dengan adanya dasar induk ini, sama seperti Perlembagaan Malaysia di mana semua undang-undang mestilah selari dengan Perlembagaan Malaysia dan mana-mana yang tidak selari, setakat yang ia tidak selari itu, adalah terbatal, maka semua dasar, sama ada dasar ekonomi, dasar pelajaran, termasuklah yang kita tengah rancak bincangkan ini, PPSMI, medium of instruction, dasar guna tenaga, dasar daya saing yang kadang-kadang dijadikan topeng untuk mengukuhkan satu-satu argument dan begitu juga affirmative policy, mestilah selari dengan dasar induk tadi.

Harapan

12. Saya sedar bahawa perkara sebesar ini tidak boleh diselesaikan dalam masa sehari ataupun setengah jam. Untuk mengupas isu yang sebesar ini, saya harap dapat ditubuhkan satu majlis ala Majlis Perundingan Negara seperti yang wujud selepas 1969 dulu. Dengan dada yang lapang, dengan otak yang dingin, kita yakin suatu yang baik akan dapat dihasilkan. Buat masa terdekat, saya haraplah suatu yang lebih mudah dapat dilaksanakan.

13. Contohnya, kalau boleh, dimulakan dengan Menteri-menteri sendiri. Misalnya Kementerian Pelajaran hendak meluluskan peruntukan bagi sekolah Cina. Oleh sebab Menteri Pelajaran itu adalah Melayu, maka dialah yang mengumumkan peruntukan untuk sekolah Cina itu. Bukan seperti sekarang, kalau sekolah Cina, Timbalan Menteri Cina yang mengumumkannya. Timbalan Menteri Cina pula boleh mengumumkan peruntukan untuk sekolah Melayu.

14. Jadi kita kena buat sesuatu yang lain daripada yang biasa dibuat supaya ia tidak dilihat masih lagi berasaskan perkauman. Begitu juga tanpa menyeru orang lain, mungkin kita dalam UMNO dan Barisan, kita perlu memperbanyakkan aktiviti di mana lebih banyak interaksi antara orang UMNO, orang MCA, PPP, MIC dan sebagainya di peringkat bahagian dan di peringkat cawangan.

15. Dengan harapan ini, diharap akan wujud pula satu platform di mana, melalui NGO dan sebagainya, kawan kita dari PAS, dari PKR dan DAP akan dapat converge, akan dapat bersama di mana, apa yang dikatakan, sepadang sepermainan, seperigi sepermandian, seperigi setepian. Dengan adanya usaha-usaha seperti ini maka kita haraplah perpaduan itu akan lebih mudah diwujudkan. InsyaAllah.

  1. #1 by asril on May 24, 2009 - 3:44 am

    salam DT,
    This is your speech? I am qurious… who are you? throw me a bone eh.

  1. Perfecting 1Malaysia «

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: