1Malaysia & 11 Hadiah Rakyat

Langkah pemula

1. Sempena genap 100 hari DS Najib menyandang jawatan PM Malaysia, beliau telah mengumumkan 11 hadiah untuk rakyat tepat jam 11 pagi pada 11 Julai lalu. Ia merupakan sebahagian daripada rantaian usaha dan iltizam beliau yang berterusan untuk meningkatkan kebajikan rakyat Malaysia.

2. Sebelum ini, beliau telah mengumumkan pelbagai ‘berita’ yang radikal bagi kumpulan tertentu dalam masyarakat. Antaranya ialah membebaskan 13 tahanan ISA, membubarkan MECD, mengliberalisasikan 27 sub-sektor perkhidmatan, sektor kewangan & perbankan, menghapuskan kuota 30% untuk Bumiputera, menubuhkan Biasiswa Nasional dan Ekuinas dll.

3. Pada keseluruhannya, semua inisiatif yang diumumkan oleh DSN itu merupakan langkah pemula ke arah meningkatkan kesejahteraan rakyat, kemakmuran ekonomi, memperbaiki hak asasi manusia & kebebasan media serta meningkatkan kecekapan penjawat awam dan sistem penyampaian.

4. Beliau mengajak kita bahu membahu dalam merealisasikan wawasan beliau itu dan membandingkan perjalanan menjayakannya ibarat sebuah sungai. Saya pula mengajak semua rakyat Malaysia mencontohi naluri sekumpulan geese (angsa) yang terbang.

5. Alas, seperti biasa, sebahagian besar kejayaan DSN nanti, samalah seperti PM terdahulu dan di negara-negara lain juga, akan terletak di atas kebijaksanaan dan keberkesanan penjawat awam menterjemahkannya.

6. Syarikat akan maju dan mampu mencatatkan keuntungan besar jika para pekerjanya happy. Begitu jugalah dengan sektor awam. Jentera kerajaan akan bergerak pantas dan tangkas jika warganya happy.

7. Oleh itu, eloklah diselami hati naluri mereka untuk mengetahui Gross Happiness masing-masing dan sebab-sebab mereka tidak gembira. Adakah mereka tidak gembira dengan suasana kerja? Tidak puas hati dengan syarat-syarat bekerja? Bagi pegawai atasan, adakah mereka gembira dengan menteri, Ketua Menteri/Menteri Besar, EXCO, KSN, KSU, SUK dan KPPA?

8. Elakkanlah diri dari menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada kekalahan BN dalam PRU ke-13 nanti. Mereka yang bertakhta di Puterajaya kajilah keputusan Parlimen Puterajaya dan belajarlah dari kesilapan DS Khir Toyo.

Ulasan

9. Pada hemat saya, DSN sedar dan hairan bahawa walaupun banyak goodies, kemudahan dan insentif telah diberikan oleh kerajaan BN namun sokongan rakyat terhadap parti tersebut masih belum pulih lagi sejak PRU ke-12 lepas. Ukurannya ialah kekalahan di semua pilihan raya kecil sejak 8 Mac 2008, kecuali di Sarawak.

10. Mungkin salah satu sebabnya ialah semua goodies itu tak masuk terus ke kocek individu iaitu tidak dinikmati secara personal oleh kumpulan sasar. Goodies berkenaan bersifat makro, seperti pembinaan prasarana di luar bandar dan Ekuinas. Justeru, kali ini, beliau memberi perhatian khusus kepada individu; 9 hadiah adalah individu-centric manakala 2 lagi adalah masyarakat-centric (mengurangkan kadar jenayah dan menambah baik kemudahan asas).

11. Diakui kesemua 11 hadiah itu adalah baik dan disokong. Namun, saya ingin menghalusinya untuk pertimbangan DSN / Kerajaan.

najib11

Diskaun 20% kepada pengguna kad prabayar Touch ‘n Go dan SmarTag

12. Difahamkan ianya hadiah awal sementara menunggu keputusan kajian yang dibuat oleh EPU. Sekali imbas, hadiah ini lebih tertumpu kepada golongan menengah dan atasan pengguna lebuh raya yang kerap menggunakannya (80 kali atau lebih dalam sebulan) dan memiliki kad berkenaan.

13. Golongan pekerja yang kebanyakannya berulang alik ke tempat kerja sahaja (20 hari dalam sebulan) dan mereka yang membayar tunai tidak akan mendapat hadiah tersebut. Mungkin sebahagian yang sekarang ini membayar tunai dan menggunakan lebuh raya lebih daripada penanda-aras berkenaan akan tergerak untuk membeli kad tersebut.

14. Ganjaran perlu difikirkan untuk kumpulan sasar yang lebih ramai iaitu golongan pekerja yang berpendapatan sederhana dan terpaksa menggunakan lebuh raya tetapi <80 kali sebulan.

Membeli PPR

15. Sesungguhnya hadiah ini adalah poor-centric / poor-biased. Dilaporkan bahawa, di Kuala Lumpur, hampir 45,000 buah rumah yang disewa di bawah PPR sedia dijual berperingkat-peringkat mulai November depan.

16. Untuk membantu merealisasikan impian (1 Impian, 1 Harapan) mereka agar dapat memiliki rumah sendiri, maka eloklah diberi kemudahan pinjaman yang lebih fleksible. Dalam pada itu, oleh kerana kebanyakan mereka ini mungkin kurang arif dari segi selok belok pinjaman, maka praktikkanlah pendekatan mesra rakyat – mountain goes to Muhammad.

17. Di jangka kerajaan negeri di bawah BN akan mengikut jejak langkah kerajaan Pusat. Kerajaan negeri di bawah pakatan pembangkang (PP) pula mungkin turut terdesak untuk mengikut jejak yang sama atau berusaha mengatasi hadiah BN ini. Maka lebih ramailah rakyat yang akan mendapat faedah.

18. Diharap rakyat akan menghargai daya usaha BN; bukannya PP.

Diskaun 50% kepada peniaga kecil

19. Hadiah ini juga poor-biased. Dilaporkan seramai 71,500 orang penjaja di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan menikmati durian runtuh ini.

20. Sekiranya semua kerajaan negeri sederap dan selangkah dengan kerajaan Pusat maka seramai 200,000 peniaga kecil akan mendapat faedahnya.

21. Dalam pada itu, kerajaan perlulah juga memikirkan hadiah bagi golongan yang sama; yang lebih memerlukan dan lebih besar iaitu seramai 300,000 penjaja yang terkeluar dari tebaran jala ini.

Peruntukan tambahan RM150 juta untuk TEKUN & RM15 juta untuk usahwan muda India

22. Dalam keadaaan kegawatan ekonomi seperti sekarang ini maka bekerja sendiri adalah salah satu kaedah yang paling berkesan untuk mengatasi pengangguran. Pinjaman melalui institusi kewangan seperti TEKUN pula merupakan penyelamat bagi golongan ini yang tidak diminati bank. Lantaran itu, tambahan peruntukan RM150 juta ini adalah bertepatan masa; lebih-lebih lagi dilaporkan bahawa TEKUN telahpun kehabisan peruntukan.

23. Mungkin peruntukan sebanyak itu merupakan peruntukan awal. Ia mungkin ditambah jika timbul keperluan.

24. Wang sebanyak itu hanya dapat menampung 30,000 peminjam, sekiranya purata pinjaman TEKUN adalah sebanyak RM5,000 seorang atau hanyalah 6% atau seramai 2,150 orang setiap negeri.

25. Bagi golongan muda India pula seramai 3,000 orang usahwan muda akan dapat meminjam, jika purata pinjaman yang diberikan adlah juga sebanyak RM5,000 seorang.

26. Harapan kerajaan dan rakyat ialah semua peminjam itu akan membayar balik keseluruhan hutang mereka. Yang demikian, lebih ramai lagi yang senasib dengan anda akan dapat dibantu.

3,000 permit teksi individu

27. Sudah pasti hadiah ini amat mengembirakan para pemandu yang menyewa teksi dan mereka yang berfikir-fikir hendak membawa teksi sebagai sumber pendapatan. Dijangkan kerajaan akan mengutamakan para pemandu yang menyewa teksi untuk diberikan permit tersebut. Itulah harapan mereka.

28. Harapan besar para pengguna perkhidmatan teksi pula ialah dengan pemberian 3,000 permit teksi baru kepada individu maka dapatlah diselesaikan sebahagian besar masalah kronik yang melanda perkhidmatan teksi – tidak menggunakan meter, lintah darat/over charging, penipuan, biadab, memilih laluan dsbnya.

Mengurangkan kadar jenayah

29. Kadar jenayah di Malaysia telah meningkat 3.4% dari 746 per 100,000 penduduk pada tahun 2006 kepada 771 per 1,000 penduduk pada tahun 2007. Ia merupakan top 3 issues yang menjadi perhatian/kebimbangan rakyat.

30. Yang demikian, sudah sewajarnyalah kerajaan memberi perhatian kepada isu keselamatan rakyat ini. Ia lebih tinggi dari kadar jenayah di Melaka iaitu sebanyak 743 per 100,000 penduduk.

31. Sebenarnya tugas membasmi jenayah bukanlah semata-mata tugas pihak Polis sahaja. Kerjasama dari semua pihak, termasuklah masyarakat setempat, adalah anak kunci kejayaan usaha ini.

32. Satu consolation ialah kadar jenayah di negara-negara OECD adalah jauh lebih tinggi iaitu di antara 2,275 (Slovak Republic) hingga 21,186 per 100,000 penduduk (Iceland).

Mempercepatkan pendaftaran lewat kelahiran

33. Rakyat pendalaman di Sabah dan Sarawak tentulah gembira dengan pengumuman ini. Kerajaan komited untuk menyelesaikan segera baki 2,900 permohonan di Sabah dan 3,800 permohonan di Sarawak yang belum diselesaikan sejak 2005. Seterusnya, harapan rakyat ialah kelewatan tidak akan berlaku lagi selepas ini.

Segera selesaikan masalah warganegara

34. Kerajaan juga komited untuk menyelesaikan segera baki permohonan kewargenegaraan sebanyak 18,400 dan baki 20,000 permohonan Permit Masuk. Sekiranya mereka ini lahir di Malaysia sebelum Hari Merdeka dan Hari Malaysia maka memang wajarlah permohonan mereka ditimbangkan dengan segera dan saksama.

35. Dalam pada itu, rakyat ingin tahu apakah faedah kepada negara jika mereka ini mendapat apa yang mereka idam-idamkan itu? Apakah pula kerugiannya jika permohonan mereka itu ditolak? Pengalaman pahit yang dialami sekarang cukup menjadi pengajaran.

36. Agak menghairankan ialah bagaimana sebahagian yang menjadi warganegara tetapi tak tahu bercakap Bahasa Melayu sepatah haram? Apa jadi dengan peruntukan Perlembagaan – Fasal 16(d), 16A(d) dan 19 (1) (c) & (2) (c)? SPRM dan SIAP wajar siasat.

Menambah baik kemudahan asas

37. Jalan sepanjang 1,500 KM akan dibina di Sabah dan Sarawak di bawah RMKe-10; akses bekalan air bersih akan ditingkatkan kepada 80% isi rumah dan liputan bekalan letrik juga akan diperluaskan. Inilah hadiah yang telah dijanjikan.

38. Pada masa yang sama, KPLBW hendaklah segera membantu membangunkan prasarana di projek kampung tersusun yang dirancang oleh kerajaan negeri seperti yang terdapat di Melaka. Ia lebih berfaedah daripada sebahagian projek PIA dan PIAS yang dilaksanakan di bawah pakej rangsangan masa kini.

39. Namun, terlebih dahulu KPLBW hendaklah segera mengubah syarat lapuk yang tidak mesra rakyat itu. Pada masa ini, KPLBW hanya bersedia membina prasarana jika sudah terbina 30 atau 50 buah rumah di satu-satu projek berkenaan. Syarat tersebut mewujudkan situasi ‘ayam dulu atau telur dulu?’

40. Manusia moden mana yang bersedia membina rumah tanpa kemudahan air, letrik dan jalan? Saya menanyakan soalan ini kepada KSU, KPLBW dalam satu taklimat pada 15 Jun lalu. Beliau dan menterinya enggan menjawab. Hairan?

41. Saya telah mengemukakan cadangan untuk mengatasi masalah ‘ayam dan telur’ ini. Nampaknya KPLBW tak berminat. Cadangan baru pula tak ada. Sudah banyak kali EXCO negeri Melaka berbincang tetapi masih tak ada penyelesaian.

42. Untuk menyelesaikan masalah ini seleras dengan slogan ‘Rakyat Didahulukan’ maka perlulah KPLBW berfikir di luar kotak dan menggunapakai Blue Ocean Strategy.

Mengurangkan kadar bayaran lesen motorsikal

43. Pada masa ini kadar bayaran untuk mendapatkan lesen memandu (B2) adalah antara RM500 – RM700. Kearajaan setuju mengurangkan kadar bayaran belajar dan kadar lesen memandu kepada RM211. Golongan belia yang merupakan kira-kira 40% penduduk negara ini dan mereka yang berpendapatan rendah tentulah gembira dengan hadiah tersebut.

44. Diharap kadar kemalangan tidak pula meningkat.

Sekim ASW dan AS 1MALAYSIA

45. Kerajaan telah mengumumkan pengagihan 100 juta unit ASW khususnya untuk golongan miskin tegar di bandar. Dijangka 10,000 isi rumah miskin tegar bandar akan mendapat 10,000 unit ASW yang bernilai RM10,000.

46. Ulasan tentang pemberian ini telah saya ulas dalam artikel bertajuk PNB Menganak-tirikan Bumi?

47. Seterusnya DSN telah menghadiahkan AS 1MALAYSIA bernilai RM10 bilion kepada semua rakyat negara ini tanpa mengira kaum yang berumur 18 tahun dan ke atas.

48. Tindakan DSN ini adalah untuk meredakan kemarahan Bukan Bumi kerana tak mempunyai peluang yang cukup untuk melabur dalam saham amanah PNB.

49. Namun saya yakin bahawa (a) Bumi tidak berminat membelinya kerana kekurangan modal dan, pada masa yang sama, ASB/ASD dijangka lebih menarik lagi dan (b) Bukan Bumi pula akan terus tak puas hati kerana ASB dan ASD tak dibuka kepada mereka. Ini terbukti bahawa mereka tetap tak puas hati walaupun ASW dan ASM telah diperkenalkan untuk memenuhi desakan mereka dahulu.

50. Apakah dividen politik yang bakal diperoleh DSN dan BN melalui pemberian 11 hadiah ini? Sama-samalah kita saksikan.

51. Usaha, harapan dan doa saya ialah BN akan mencapai kemenangan yang lebih besar dalam PRU Ke-13 nanti. Lindungilah kami dari malapetaka yang bakal menimpa umat Malaysia. Kekejaman ke atas ethnik Uighur di Xinjiang, China adalah satu iktibar yang mengerikan. Peliharalah keselamatan anak cucu kami dari semua kaum dan kesucian agama Islam serta agama-agama lain. Amin.

uighur

  1. Menghalusi KRA/KPI Najib « Hidup Tuah!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: