Ucapan di Parlimen (Bahagian 1)

DIABADIKAN UCAPAN MEMBAHASKAN RANG UNDANG-UNDANG SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN 2009
PADA 8 JULAI 2009

Bacaan Kali Yang Kedua Dan Ketiga

Dato’ Hajah Samsiah binti Samsudin: Ahli-ahli Yang Berhormat, masalah di hadapan Majlis ialah rang undang-undang bernama suatu akta untuk mengadakan peruntukan mengenai penubuhan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan dan untuk mengadakan peruntukan mengenai fungsi dan kuasanya serta mengenai perkara lain yang berkaitan dengannya dibacakan kali yang kedua sekarang dan terbuka untuk dibahas. Dijemput yang berhormat Datuk Akbar.

Datuk Akbar bin Ali: Sebelum saya pergi kepada membahaskan rang undang-undang ini, izinkan saya mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi penghargaan kepada mantan Tuan Yang di-Pertua kita iaitu Tan Sri Dr. Abdul Hamid Pawanteh. Beliau sesungguhnya telah memberikan sumbangan yang cemerlang dan gemilang kepada Dewan yang mulia ini. Saya tidak pula bercadang untuk menghuraikan satu per satu pencapaian cemerlang beliau itu kerana kita sama-sama telah mendapat peluang menonton video clip pada malam Isnin lalu.

Namun izinkan saya merakamkan penghargaan yang tinggi ini dalam beberapa ungkapan pantun:

Hanyut kayu dari bukit,
Dari gunung berkati-kati,
Sumbangan jasa bukan sedikit,
Tidak tertanggung sampai ke mati,

Tanjung Puteri sudah terbilang,
Bunga tanjung di dalam dulang,
Sumbangan Tan Sri cemerlang gemilang,
Kami sanjung dan kami julang.

Bagaimana hendak kami ikat,
Ikat-ikat dengan durinya,
Bagaimana kami tak ingat,
Hati baik dengan budinya.

Dalam pada itu Dewan ini juga bertuah kerana telah mendapat ganti yang juga cemerlang dan gemilang berdasarkan prestasi beliau sebagai Timbalan Yang di-Pertua. Begitulah adat dunia:

Pasir Tumbuh di Tanjung Jati,
Sawah padat padi di huma,
Patah tumbuh hilang berganti,
Begitulah adat resam dunia.

Tuan Yang di-Pertua, berhubung dengan rang undang-undang di hadapan kita ini, saya ingin menarik perhatian bahawa pembentangan SIAP kali ini adalah merupakan satu rantaian usaha Kerajaan Barisan Nasional untuk memenuhi janji, kata di kota. Janji ini telah dipahatkan dalam manifesto pilihan raya Barisan Nasional pada tahun 2004 dahulu. Sebahagian daripada rantaian usaha yang saya sebutkan tadi adalah untuk melengkapkan lagi SPRM yang telah kita luluskan pada bulan Disember lalu. Komitmen, iltizam yang tinggi ini harus kita hargai.

Tuan Yang di-Pertua, integriti adalah satu konsep yang encompassing, dengan izin, lebih komprehensif daripada apa yang biasa kita dengar, jujur atau honesty, dengan izin. Ia merangkumi amanah dan nilai-nilai murni yang lain seperti akauntabiliti dan kebertanggungjawaban. Sehubungan dengan ini, dan oleh kerana saya katakan tadi bahawa ia adalah satu konsep yang menyeluruh, maka saya ingin bezakan antara integriti dan honesty yang kadang-kadang kita fikir ia adalah sama.

Saya ingin memetik daripada buku, “Living With Honour’ yang ditulis oleh Shiv Khera dan saya berikan contoh untuk memudahkan kefahaman untuk membezakan honesty dan integriti ini. Saya berikan contoh sedemikian, katakanlah ‘A’ bertanya kepada ‘B’, “Jikalau saya tertinggal sejuta ringgit ini, adakah kamu akan ambil?” ‘B’ pula menjawab, “Kalau tidak ada sesiapa nampak, saya akan sapu seratus juta ini.”

Di sini kita dapat lihat ‘B’, dengan jawapan sedemikian, adalah seorang yang honest dan jujur iaitu di dalam hatinya dia akan ambil duit seratus juta ringgit yang tertinggal itu. Akan tetapi dia tidak ada integriti; kalau dia ada integriti, orang nampak atau tidak nampak, dia tidak ambil wang bukan miliknya. Itu beza antara honesty dan integriti, sepertimana yang terpahat dalam karya Living With Honour.

Sehubungan dengan itu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada dua tokoh pegawai polis yang baru-baru ini dilaporkan dalam akhbar. Kedua-dua ini menolak upah insentif yang dikatakan bernilai RM500 ribu. Adanya insan-insan seperti ini dalam pentadbiran kerajaan, khususnya polis, seperti Koperal Mohd Surani Sarbini dan Lans Koperal Mohd Tarmizi Arbayee maka mereka akan memberikan cahaya dan harapan kepada rakyat Malaysia khasnya dan mankind amnya.

Bahawa adanya insan-insan yang mengamalkan integriti ini akan membantu meningkatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan, terhadap sektor awam yang mana cuba diperkukuhkan lagi melalui SIAP ini.

Kebetulan pula kita dalam suasana ekonomi yang gawat yang mana kita diserang oleh tsunami ekonomi yang berpunca daripada Amerika Syarikat. Tahap keyakinan terhadap kerajaan dan ekonomi amat rendah seperti mana yang digambarkan oleh indeks BCI serta Consumer Sentiment Index di mana kedua-duanya menurun agak ketara. Antara suku pertama tahun ini berbanding dengan suku yang sama tahun yang lalu, dua-dua indeks ini menurun antara 37% hingga 47%. Jadi keyakinan adalah satu komoditi yang cukup mahal pada masa ini, lebih mahal daripada emas. Maka pembentangan SIAP ini adalah amat sesuai dari segi masa dan ketikanya untuk mengembalikan semula keyakinan yang telah terhakis itu.

Tuan Yang di-Pertua, sehubungan juga dengan integriti yang hendak saya perkatakan ini, kita tidak perlu pergi jauh daripada Dewan ini, kita harus lihat dalam Dewan ini sendiri. Sebahagian daripada integriti adalah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh jujur serta berintegriti. Sehubungan itu, saya mengucapkan tahniah kepada para anggota pekerja Dewan Negara kerana membekalkan kemudahan ICT ini yang mana ia membantu Ahli-ahli Dewan seperti saya untuk melaksanakan tugas dengan lebih berkesan lagi.

■1240pm

Sesungguhnya kemudahan ICT ini, pada diri saya sendiri, ia amat membantu, terutama untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang segera melalui internet. Kemudahan ini amatlah saya hargai kerana ia menyumbang ke arah meningkatkan keberkesanan dan kecekapan. Cuma orang Melayu di Melaka ini, kita boleh cakap cekap, kita boleh cakap licin. Kalau cakap pagar, dia jadi “pagau”. Kalau dia ular, jadi “ulau”, tapi kita tidak boleh guna perkataan lancar. Perlu betul-betul sebut ‘lancar’; jangan salah sebut, ya.

Cuma saya merayu, untuk memperkukuh dan memantapkan lagi integriti Ahli Dewan Negara, supaya kita boleh melaksanakan tugas dengan lebih baik lagi, saya mengharapkan segala syor, pandangan yang kami kemukakan, yang dimasukkan di dalam Hansard, diambil tindakan susulan oleh semua kementerian yang berkenaan dan dilaporkan semula kepada kita melalui kemudahan ICT ini.

Yang demikian, kita akan tahu apakah tindakan susulan yang sedang dan telah diambil terhadap segala pandangan dan syor kita, supaya kita faham ia telah pun diusahakan atau belum diusahakan. Maka barulah dia boleh memberikan full satisfaction, dengan izin, terhadap tanggungjawab kita.

Sekarang ini, saya sendiri tidak tahu apakah tindakan-tindakan susulan yang telah diambil ataupun langsung tidak akan diambil. Kalau begitu apa guna yang saya beriya-iya bercakap di Dewan ini? Melakukan research sendiri dan sebagainya supaya saya dan kawan-kawan lain dapat memberi sumbangan yang bermakna kepada Dewan ini dan seterusnya kepada rakyat.

Jadi, saya merayulah agar diadakan anjakan paradigma dari cara bekerja yang lama, yang mana kita tidak tahu tindakan susulan yang diambil, kepada anjakan yang baru di mana kita dimaklumkan segala syor dan pandangan yang dikemukakan. Ayat-ayat yang mengatakan, mana-mana yang selalu disebut oleh Menteri dan Timbalan Menteri, ayat biasa yang kita dengar, ‘mana-mana yang saya tidak jawab, akan dijawab kemudian’, ‘mana-mana yang tidak sempat saya jawab, tindakan akan diusahakan oleh pegawai-pegawai saya’, ini saya rasa tidak berlaku, kerana saya tidak dapat pun jawapan bertulis bagi mana-mana jawapan yang tidak sempat dijawab di Dewan ini.

Tuan Yang di-Pertua, kembali kepada rang undang-undang ini, memanglah semua agama, semua ideologi membenci rasuah dan mengharapkan integriti yang tinggi. Dalam agama Islam, kita boleh lihat banyak hadis dan ayat al-Quran, yang memperkatakan perkara ini. Sebagai contoh, di dalam Hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Hakim, baginda Rasulullah berkata, ‘Rasulullah SAW melaknat orang yang memberi rasuah, yang menerima rasuah dan yang menjadi perantara’. So, ketiga-tiga kumpulan ini, pemberi, penerima dan perantara, dilaknat oleh Tuhan.

Juga terdapat banyak ayat dalam Quranul Karim, antaranya, dalam Surah al-Baqarah, ayat 188. Dalam Bible Timothy 6:10, Christianity juga membenci rasuah.”‘The love of money is the root of all evil”.

Confucianism juga membenci rasuah dan mengharapkan integriti. Confucius berkata, bukan sahaja yang rasuah, ”don’t even talk about profit”, dengan izin. “Don’t even talk about profit…”, kerana ”…profit pitching the nation into grave danger”, Ayat 1:1.

Begitu juga dengan agama Hindu. Dalam Bhagavad-Gita 3:27, ”the greedy desire is the great evil, the enemy of the soul”. Musuh roh kita. Maka itu, apa yang diusahakan oleh kerajaan untuk membasmi rasuah dan meningkatkan integriti, dia melangkaui, melampaui semua agama, semua keturunan, ethnicity dan sebagainya.

Di peringkat dunia sekarang, saya rasa semua Yang Berhormat pun tahu. Trendnya ialah untuk meningkatkan integriti seperti yang diawasi, dipelopori oleh badan-badan dunia yang mahu mewujudkan the good governance, dengan izin. Tadbir urus yang baik seperti badan-badan UNCAC, OECD, Transparency International, yang mana Yang Berhormat Mulia Raja pernah berkhidmat di sana, saya difahamkan, Bank Dunia, dan juga World Economic Forum. Malangnya, mengikut kajian-kajian yang dibuat, kalau saya ambil salah satu indicator iaitu, CPI; dia bukan Consumer Price Index; ia adalah Corruption Perception Index. Betul Yang Berhormat Mulia, ya?

Berdasarkan kajian dua tahun, antara 2007 dan 2008, negara-negara yang mana telah merekodkan CPI yang tinggi, hampir 10, 10 terbaik, 0 terburuk, contohnya Denmark, negara-negara yang mencatatkan tinggi indeksnya, macam yang saya kata tadi, telah menunjukkan trend menurun.

Bermakna integritinya semakin rendah, persepsi korupsinya inversely semakin meningkat. Contohnya Denmark, dari 9.4 turun kepada 9.3. New Zealand juga sama, 9.4 turun kepada 9.3, manakala Finland lebih teruk, 9.4 turun kepada 9.0, dan UK sendiri, turun dari 8.4 kepada 7.7.

Ini bermakna, persepsi-persepsi bahawa kononnya, rasuah berleluasa di negara-negara membangun, sebenarnya juga berleluasa di negara-negara maju. Ini diakui sendiri oleh Chairperson T.I, yang mana beliau mengatakan corporate scandal di negara-negara maju, saya quote, ‘undermines the credibility of the wealthiest nation in calling for greater action by low income countries’.

Ini dapat kita lihat, bagaimana Enron ranap, bagaimana Madoff menipu berbilion-bilion ringgit dan, akhirnya, ranap sistem kewangan di Amerika Syarikat, kerana greedy, kerana rasuah dan kurangnya integriti. Ia diakui juga oleh Vice-Chair T.I yang mana beliau berkata, saya quote, ‘criticism by rich countries or corruption in poor one has little credibility, while their financial institution sits on wealth stolen from the world’s poorest people’. Dicuri daripada negara-negara yang miskin.

Begitulah, teruknya corruption di negara-negara maju, namun mereka pula masih boleh survive walaupun perit sekarang. Akan tetapi, rasuah di negara membangun yang miskin, sekiranya ia terus dilaksanakan, ia menjadi pilihan antara hidup dan mati.

▪1250pm

Kerana wang, contohnya, untuk air dan wang untuk membina hospital mungkin tersalah sasar; berlaku ketirisan yang menjadikan mereka yang sakit akan mati, yang tidak mempunyai air bersih akan juga mati, kerana mengikut perangkaan United Nations kira-kira 2/3 penduduk dunia tidak mendapat bekalan air yang bersih.

Tuan Yang di-Pertua, berapa kos dari segi ekonomi kerana perbuatan rasuah? Kerana tidak adanya integriti. Mengikut anggaran yang dibuat, ia bernilai USD150 bilion. Kira-kira RM540 bilion. Ia bersamaan sembilan kali ganda kutipan hasil LHDN Malaysia yang kita bercakap pada hari Isnin lalu. Iaitu kira 75% GDP Malaysia.

Kalau duit ini tidak hilang ia masuk ke dalam sistem kerajaan sebagai hasil, maka dia dapat membantu membasmi kemiskinan. Bukan 2010 tetapi mungkin tahun 2000 dahulu dan dalam masa yang sama kita, Ahli Dewan Negara ini, mungkin boleh dapat imbuhan yang lebih tinggi, kemudahan yang lebih baik setanding dengan kawan-kawan kita di Indonesia.

Pada masa ini, kemudahan kita, imbuhan kita jauh lebih rendah berbanding dengan negara yang lebih miskin daripada kita iaitu Indonesia.

Profesor Dato’ Dr. Firdaus bin Abdullah: Apabila Yang Berhormat menimbulkan soal imbuhan itu, apa benar agaknya yang terkilan di hati Yang Berhormat imbuhan yang tidak cukup itu. Apa lagi bila dibandingkan kita dengan Indonesia. Tentang kemudahan-kemudahan penyelidikankah? Tentang apa-apakah atau kemudahan perbahasan yang agak singkatkah? Kadang-kadang satu soalan itu dapat soalan tambahannya dihadkan kepada dua orang. Adakah ini termasuk kemudahan dalam perbahasan atau adakah ini relevan? Minta maaf.

Datuk Akbar bin Ali: Soalan ini cukup baik, dia memberi ruang lebih luas untuk saya menari. Akan tetapi supaya saya tidak membuang masa yang begitu banyak tentang ini, perkara ini telah disentuh dengan panjang lebar oleh mantan Senator yang baru bersara.

Saya baru tahu hari ini. Senator setelah bersara, dia macam anggota tentera juga. Boleh guna perkataan bersara. Senator (R) macam jeneral bersara, so Senator bersara. Saya baru tahu hari ini, jadi saya hendak kongsilah dengan Yang Berhormat, mana-mana yang hendak retire hujung-hujung tahun ini… [Dewan riuh]

Telah disentuh dengan panjang lebar oleh mantan Datuk Wira Syed Ali bin Tan Sri Syed Abbas Alhabshee dan juga telah disentuh oleh Yang Berhormat Puan Hajah Mumtaz binti Md. Nawi. Cuma saya hendak katakan dalam konteks integriti, sekurang-kurang dalam Dewan ini ada dua jenis Senator dari segi kedudukan ekonominya sebelum menjadi Senator. Satu, sebelum dia menjadi Senator, pendapatannya jauh lebih tinggi dan mungkin expenditure nya tidak begitu tinggi. Setelah menjadi Senator, pendapatannya menurun tetapi perbelanjaan pula meningkat. Satu kumpulan lagi ialah pendapatannya jauh lebih tinggi setelah menjadi Senator.

Sebelum menjadi Senator pendapatannya, katakanlah RM18,000. Setelah menjadi Senator, pendapatannya menurun kepada lebih kurang RM9,000. Akan tetapi perbelanjaannya meningkat kerana, kalau dahulu pendapatannya RM1,000, RM950 dia punya tetapi apabila menjadi Senator, walaupun pendapatannya menjadi RM2,000, tetapi RM3,000 orang punya… [Tepuk] Jadi kebajikan inilah yang perlu diambil kira supaya integriti dapat dipelihara.
Bagi kumpulan yang yang kedua tadi tidak mengapa. Dia boleh, dengan izin, maintain the same life style dan sebagainya dan tidak perlu melakukan apa-apa di luar bidang undang-undang.

Akan tetapi bagi kumpulan yang pertama dia ada beberapa pilihan untuk menampung pendapatan yang kurang dan perbelanjaan yang meningkat. Satu, dia akan dilabelkan sebagai Senator yang kedekut kerana dia tidak mampu melayan kehendak rakyat. Kalau sebelum menjadi Senator, orang kahwin boleh beri RM10 Yang Berhormat, sekarang kalau beri RM20 satu kampung akan dijajakan. Sekurang-kurangnya kena beri RM50; kalau tidak, dia simpan pemberian Senator ini dan dijajakan inilah RM20 yang Senator beri. Satu cawangan akan tahu, satu bahagian akan tahu.

Orang mati perlu beri. Kalau dahulu kita sedekah Al-Fatihah sahaja pun boleh. Sekarang tidak sedekah ‘rimau’ akan jadi story yang panjang. Anak hendak masuk universiti sekarang ini, datang ke rumah minta sumbangan. Sedangkan peruntukkan Senator hanyalah RM68,000 setahun berbanding RM1 juta bagi wakil rakyat dan bila kita tanya kenapa tidak boleh tambah? Oh, Senator tiada kawasan hendak jaga.

Tuan Haji Muhamad Yusof bin Husin: Sedikit Yang Berhormat, minta laluan.

Datuk Akbar bin Ali: Okey.

Tuan Haji Muhamad Yusof bin Husin: RM68,000 itu untuk Senator yang dari BN sahaja, kami tidak dapat… [Ketawa]

Datuk Akbar bin Ali: Saya rasa tidak susah itu hendak dapat. Masuklah BN… [Ketawa][Dewan riuh] There’s no free lunch ya. Okey, yang saya hendak katakan ini, betul Senator tidak ada kawasan, kawasan Adun, kawasan Parlimen tetapi kawasan kita satu negeri.

Beberapa Ahli: Satu Malaysia.

Datuk Akbar bin Ali: Dan satu Malaysia, ya. Ini yang berlaku. Dato’ Mukhriz bolehlah tolong bawakan cerita ini sedikit ya kepada Yang Amat Berhormat dan juga Yang Berhormat Datuk Liew ya, Yang Berhormat.

Dato’ Hajah Samsiah binti Samsudin: Yang Berhormat, maksudnya perlu tepat, perlu sebut betul-betul.

Datuk Akbar bin Ali: Seterusnya, tadi saya katakan pilihan pertama dilabelkan sebagai Senator kedekut. Pilihan kedua, mencari kerja-kerja lain, mencari projek supaya kita ada duit, lepas itu kita boleh beri pada rakyat dan ini akan kemungkinan berlaku conflict of interest dan ini akan mencemar integriti kita. Jadi pilihan kedua juga tidak cantik.

Pilihan yang ketiga ialah kita minta sedekah dan sebagai ahli Dewan yang mulia ini sanggupkah kita jadi peminta sedekah? Saya adalah dahulu seorang statistician. Saya kata diri saya dahulu I was a professional beggar kerana statistician seorang profesional, tetapi perlu minta sedekah supaya beri maklumat. Adakah setelah jadi Senator juga saya perlu jadi profesional beggar? Pilihan keempat saya rasa kurang menarik juga, ya Yang Berhormat Tan Sri.

Tan Sri Datuk (Dr.) Jins Shamsudin: Yang Berhormat, saya minta laluan. Tuan Yang di-Pertua, tadi saya tertarik tentang Yang Berhormat mengatakan kita tidak ada kawasan ya atau tidak? Sebenarnya kawasan kita bukan negeri tetapi seluruh Malaysia kawasan kita lebih luas sebenarnya. Di mana-mana pergi, saya selalu pergi banyak tempat dijemput untuk berceramah, sambil berceramah dia hulur surat, dia bilang minta derma dan setiap kali pergi saya sentiasa dapat.

Jadi ini kita beri kerana kita rasa kita ada peruntukan. Jadi, untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian dan Dewan yang mulia ini, semua peruntukan saya, saya berikan habis. Tahun lepas sudah habis, tidak ada satu sen pun, saya berikan kerana itu adalah sumbangan kita sebagai Ahli Dewan Negara, kita telah diberi peruntukan sebanyak RM200,000 tiap-tiap satu penggal. Satu penggal RM200,000. Jadi saya sudah beri RM400,000 habis semua sekali. Jadi maka itu juga bolehlah kita memberikan penghargaan juga kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang lain juga supaya nama mereka dihormati kerana kita juga menyumbang kepada rakyat. Apa pandangan Yang Berhormat mengenai peruntukkan ini rasanya tidak cukup sebab selalunya belum sampai hujung tahun peruntukan itu sudah habis? Jadi kalaulah boleh kita menyuarakan supaya peruntukkan itu ditambah bukan untuk kita tetapi untuk rakyat. Satu Malaysia, prinsip 1Malaysia itu, “Rakyat Didahulukan…”. Jadi, kita dahulukan rakyat. Duit kita pun kita beri kepada rakyat dan “…Pencapaian Diutamakan”. Jadi apa pandangan Yang Berhormat?

Dato’ Hajah Samsiah binti Samsudin: Yang Berhormat Datuk Akhbar bin Ali, oleh sebab masa, bolehkah kita tangguh sehingga pukul 2.30 petang.

Datuk Akbar bin Ali: Ahli yang menurut perintah.

Dato’ Hajah Samsiah binti Samsudin: Ahli-ahli yang Berhormat, perbahasan kita ditangguhkan sehingga jam 2.30 petang. Terima kasih.

Mesyuarat ditempohkan pada pukul 1.00 petang.

Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 petang.

[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]

Tuan Yang di-Pertua: Silakan Yang Berhormat Datuk Akbar bin Ali untuk menyambung ucapan.

2.32 ptg.

Datuk Akbar bin Ali: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Sebelum saya meneruskan ucapan saya dan menjawab apa Yang Berhormat Senator Tan Sri Datuk (Dr.) Jins timbulkan tadi, saya ingin meneruskan apa yang saya sengaja berhentikan kerana pada masa saya berucap tadi, Tuan Yang di-Pertua menyerahkan tugas kepada Dato’ Hajah Samsiah. Ini kerana pujian lebih molek dibuat di belakang. Kalau di depan, mungkin ditakrifkan sebagai ada unsur-unsur hipokrasi.

Apa yang hendak saya cakap ini bukan pujian dan kerana itu saya boleh bercakap lebih molek di depan. Kita semua Yang Berhormat Senator insaf dan sedar bahawa tanggungjawab Tuan Yang di-Pertua sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara, Dewan yang mulia ini amat besar, amat berat. Justeru itu, kita semua akan sama-sama membantu meringankan tugas Tuan Yang di-Pertua. Seperti mana yang dikatakan oleh Yang Berbahagia Tan Sri, kitalah yang membantu mencungkil dan membuka ruang yang luas dan menampilkan kecemerlangan beliau. Kita akan teruskan usaha seperti itu. Jadi kita akan terbang bersama-sama, Tuan Yang di-Pertua, kita akan sama-sama…

Ke gunung sama kami mendaki,
Ke laut sama kami renangi.

Patah atap kerana buluh,
Terbang melayang burung tempua,
Patah sayap bertongkatkan paruh,
Namun terbang bersama kita dengan Tuan Yang di-Pertua
Akan tetap terbang bersama… [Tepuk].

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih, Yang Berhormat.

Datuk Akbar bin Ali: Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Tan Sri Datuk (Dr.) Jins tadi ada menegaskan sebenarnya apa yang saya telah katakan awal bahawa ada misconception, dengan izin, salah faham bahawa kononnya kita tidak mempunyai kawasan seperti wakil rakyat. Sebenarnya kawasan kami, seperti mana yang ingin saya tegaskan sekali lagi, menekankan lagi apa yang Tan Sri telah perkatakan dan apa yang diutarakan awal oleh Dato’ Profesor, kawasan kita lebih luas daripada kawasan Dewan Undangan Negeri, lebih luas daripada kawasan Parlimen, lebih luas daripada sebuah negeri, malah kawasan kita, konstituensi kita adalah satu Malaysia. Ini benar-benar satu Malaysia, konsep 1Malaysia yang diketengahkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang mana memanglah rakyat perlu kita dahulukan.

Sehubungan apa yang saya perkatakan tadi, untuk meningkatkan integriti dan untuk meningkatkan prestasi kita selaras dengan rangkap kedua 1Malaysia, jadi saya ingin meneruskan pilihan selanjutnya apa yang saya katakan tadi.

Mula-mula saya sudah kata kita ada pilihan menjadi senator yang kedekut, kita ada pilihan untuk mencari kerja lain utnuk menampung perbelanjaan yang tidak cukup, dan kita boleh menjadi peminta sedekah dan option yang satu lagi, pilihan yang satu lagi ialah mencuri. Untuk hendak dapat sumber yang lebih bagi menampung perbelanjaan yang memang tinggi. Akan tetapi kita semua di sini sebagai Ahli Dewan yang mulia; kita tidak boleh pilih itu sebagai cara untuk mencari pendapatan yang halal. Maka kita pergi pula pada pilihan yang satu lagi, iaitu mendapat secara rasuah.

Ini bertentangan dengan rang undang-undang yang kita hendak bentangkan ini yang mana kita mahu meningkatkan integriti di kalangan pegawai-pegawai penguat kuasa tetapi kita pula hendak melaksanakan unsur-unsur yang bercanggah dengan integriti; sudah tentu tidak kena.

Sehubungan dengan itu, dengan sokongan bulat daripada kawan-kawan, sokongan yang jitu dan padu, saya ingin mengemukakan beberapa syor untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan senator dalam melaksanakan tanggungjawabnya yang mana secara langsung impak bersihnya boleh membantu meningkatkan lagi integriti kami, maka saya cadangkan, satu, gaji untuk Ahli Yang Berhormat Senator dinaikkan.

Pada masa ini, gaji dan elaun kita hanyalah setaraf dengan Gred 54 dalam sektor awam. Kita di sini adalah penggubal undang-undang tetapi tahap kita lebih rendah daripada JUSA C. Kalau kita equate, dengan izin, dengan sektor awam, dengan kemudahan yang lebih melalui gaji dan elaun yang ditingkatkan itu, saya yakin kami dapat melaksanakan tugas kami dengan lebih cekap lagi dan penuh integriti. Lebih-lebih lagi kalau kita banding dengan rakan-rakan kita di Singapura. Oh, Singapura tidak boleh kita bandingkan; ia sebuah negera yang kaya. Akan tetapi kalau kita bandingkan dengan Indonesia dan Thailand yang mana GDP per capita nya jauh lebih rendah daripada kita; malah kalau diukur dengan PPP, Purchasing Power Parity kita lebih tinggi daripada Rusia. Akan tetapi kemudahan yang kita dapat lebih rendah daripada Indonesia dan Thailand.

Selain daripada itu, kita juga memohon supaya ditambah sedikit lagi elaun driver. Yang kita dapat hanyalah RM1,200 sebulan dan itu hanya cukup-cukup untuk gaji kalau kita ambil driver yang tidak ada pengalaman.

■ 1440pm

Kalau ada pengalaman, minta maaf tidak boleh dapat. Selain daripada itu, kalau kita bawa driver kita ke mari kita kena bayar dia elaun makan. Kita kena tanggung elaun hotel. Daripada manalah nak dapat duit ini? Kata orang Melaka, daripada manalah nak cekau duit ini? Hujung tahun pula, Yang Berhormat Senator Dato Sri Shahrizat, ada elaun hari raya nak kena bagi, bonus seperti juga pegawai kerajaan dapat. Mana nak cari duit ini? Itulah sebabnya sebahagian Senator, saya rasa, tidak mampu membayar gaji sepenuh masa driver. RM1,200 tidak cukup. Jadi, seterusnya kita minta. Elaun…

Dato’ Haji Idris bin Haji Buang: Izinkan saya mencelah.

Datuk Akbar bin Ali: Sekejap..

Dato’ Haji Idris bin Haji Buang: Sekejap…. Ya, terima kasih Yang Berhormat. Saya tertarik dengan imbuhan-imbuhan itu semua mengenai Senator. Satu mungkin Yang Berhormat terlepas sedikit pandang iaitu insurance coverage, dengan izin, untuk para Senator ataupun para Ahli Dewan Rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri. Adakah pihak kerajaan atau pihak yang berwajib dapat melihat the ‘neat’ policy, dengan izin, kerana ada rakan Senator kita yang baru ini mengalami kecederaan kerana accident baru-baru ini. Saya rasa dia accident, retak sana, retak sini. Sakit menanggung dua ke tiga bulan.

Saya rasa kalau tidak ada perlindungan insurans yang ada pada para Senator, manalah dia hendak dapat lagi? Dia kena tanggung sendiri. Kalau bolehlah, pihak yang berwajib melihat kehendak ataupun keperluan para senator dan para wakil rakyat seluruh negara yang berkhidmat untuk negara dan mereka tidak khuatir, keluarga mereka tidak khuatir kalau mereka mengalami kecederaan di dalam apa jua peristiwa, accident kah. Apa jualah, ugutan, mereka tidak risau sangat sebab ada perlindungan yang sewajarnya. Apa pendapat Yang Berhormat?

Datuk Akbar bin Ali: Terima kasih Yang Berhormat. Saya rasa bukan sahaja saya seorang tetapi semua ahli di dalam Dewan ini bersetuju dengan cadangan Dato’ tadi. Saya fikir itulah salah satu cara yang paling ekonomik untuk melindungi para Senator, Ahli Dewan Negeri dan Ahli Dewan Rakyat dan boleh dimurahkan lagi tanggungan kewangannya kalau kita bayar melalui group insurance, insurans berkumpulan, berkelompok dia akan menjadi lebih murah Tuan Yang di-Pertua. Itu saya incoperate sebagai sebahagian daripada syor saya. Terima kasih.

Seterusnya, kita selalu dilaung-laungkan supaya kita menjadi first class citizen, first class pegawai kerajaan, first class menteri, malah kita dilaung-laungkan juga menjadi first class Senator. Laungan itu tidak cukup, tidak boleh terus menjadikan kita first class, world class Senator. Selain daripada usaha kita sendiri, kita perlukan bantuan untuk menjadikan kita betul-betul sebagai Senator yang first class, world class.

Apa yang saya maksudkan ialah dalam keadaan sekarang yang mana kita sudah pun melangkah daripada agro-based economy kepada industrialization-driven economy kepada productivity-driven economy dan kita sudah pergi kepada knowledge-based economy dan sekarang kita pergi kepada innovation-driven economy; daripada primary kepada secondary ke tertiary tahap ekonomi tetapi kemudahan yang diberikan kepada kita bertahap third class. Kita tidak ada kerani, kita tidak ada office boy, kita tidak ada research officer, bagaimana kita boleh melaksanakan tugas ini dengan sebaik-baiknya? Saya sendiri, saya kena jadi kerani, saya jadi office boy, saya jadi research officer sedangkan kita ada lapan, sembilan bil untuk dibentangkan dalam masa enam hari. Ini semua memerlukan research kalau kita hendak memberikan sumbangan yang berkesan dan membina kepada Dewan yang mulia ini. Indonesia ada ini. Apatah lagi Amerika Syarikat ada ini. Sedangkan kita semua ini Senator. Kita semua ini bertaraf Obama dahulu sebelum dia menjadi Presiden… [Ketawa] Akan tetapi kita tidak ada kemudahan seperti Obama.

Jadi, saya cadangkan supaya sekurang-kurangnya kita diberi seorang RO bukan berkelulusan SPM. Mesti tahap kelayakannya sekurang-kurangnya first degree, maka imbuhannya juga setaraf orang yang berijazah. Maka barulah dia dapat membantu kita, terutama dalam perkara-perkara yang bersifat penyelidikan dan kerja-kerja lain yang boleh membantu meningkatkan kecekapan dan keberkesanan kita.

Benar, kita ada 15 orang RO di bawah. Akan tetapi saya sudah lalui ini dan saya berterima kasihlah sumbangan yang telah dapat diberikan. Akan tetapi, keadaan sumbangan yang dapat diberikan itu tidak sama kalau kita mempunyai RO sendiri. Kenapa tidak sama? Ini kerana mereka kena serves, kena memberikan perkhidmatan bukan kepada seorang. Akan tetapi kepada semua Senator yang lain, kepada semua Ahli Dewan Rakyat yang lain. Maka sudah tentu dia tidak dapat memberikan perhatian yang penuh kepada kita seorang atau dua orang.

Dalam pada itu bila dia sudah bersetuju untuk membantu kita, dia pula minta cuti. Bila time kita telefon, dia masih bercuti. Jadi, kita tidak boleh marah dia hendak bercuti dan kita tidak menentukan dia patut cuti atau tidak patut cuti. Ini semua menyumbang ke arah ketidakberkesanannya, ketidakcekapan kita di dalam mengendalikan tugas kita.

Di sinilah pentingnya kita mesti ada RO sendiri untuk membantu kita. Kalau tidak boleh tiga, empat orang, kadang-kadang setengah orang pun cukup. Half loaf is better than nothing. Akan tetapi oleh sebab manusia itu tidak boleh setengah, kita mintalah seorang dahulu. Minta banyak-banyak, mungkin Dato Sri Shahrizat pun tidak boleh menyokong di dalam Mesyuarat Kabinet.

Seterusnya Tuan Yang di-Pertua, kita memohon agar peruntukan yang diberi kepada kita iaitu sebanyak RM200,000 bagi tempoh tiga tahun atau lebih kurang RM68,000 setahun, kita minta apalah salah kiranya kita diberikan sekurang-kurangnya RM200,000 setahun. Maka mudahlah kita melaksanakan konsep rakyat didahulukan… [Tepuk]

Satu lagi ialah kita ada elaun telefon ini. Inilah, ini juga kita kena bayar. Selepas itu kita kena bayar faks dekat rumah, kita kena bayar telefon rumah, semuanya satu. Kita disuruh efisien dan efektif dalam zaman IT. Akan tetapi kalau saya hendak beli ini, broadband ini duit sendiri ini… [Menunjukkan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat]

Kalau ada ini, kita akan jadi lebih efisien. Mana pun kita cucuk dekat laptop kita boleh dapat serves internet, boleh tengok e-mel dan sebagainya. Ini yang membantu kepada kecekapan, Dato Sri Shahrizat… [Ketawa] Jadi, kalau kita tidak ada ini, kita kena bayar streamix tiap-tiap bulan. Itu semua Dewan tidak boleh bayar, itu semua duit sendiri. Jadi, faks kena bayar, telefon rumah kena bayar, handphone kena bayar, streamix kena bayar, ini pun kena bayar. Harga dia RM400 lebih tetapi tiap-tiap bulan, fixed RM98.00. Nasib baik saya ambil fixed, saya guna berjam-jam pun tak apa. Akan tetapi ini semua duit. Tidak ada duit, tak boleh kuit.

Sehubungan dengan itu, saya mintalah; oleh sebab kebetulan Yang Berhormat Dato Sri Shahrizat ini kita sudah bantu dia dekat Kepong. Bukan hendak mengungkit-ungkit tetapi orang kata, “Ada ubi, ada batas”. Bukankah begitu? Ini kerana isteri saya dahulu rapat dengan Dato Sri Shahrizat semasa saya tinggal di Bukit Maluri, beliau… Bukit Kepong, dia…., bukan Bukit Kepong. Itu Tan Sri Jins di Bukit Kepong. Jadi kita mintalah.

Dah kawan-kawan yang lama yang dahulu khabarnya jadi Senator. Sekarang sudah jadi timbalan menteri, duduk di Dewan sana. Ada dahulu jadi menteri juga bertahap Senator, tetapi sudah lupakan kami. Kita tidak tahulah benar atau tidak ungkapan Dr. Mahathir, “Melayu mudah lupa”, tetapi saya cukup yakin kali ini, Melayu yang ini, Dato Sri Shahrizat tidak mudah lupa… [Ketawa]

Bersambung…

  1. #1 by ariffsani on November 18, 2009 - 8:45 pm

    YB Datuk Akbar,

    Kalau Datuk mahu, saya rela jadi RO Datuk. Tapi pelincirnya harus setimpal dengan sektor swasta. Kalau ikut Gred 54, saya tak rela. Ikut harga Professional. TQVM

  2. #2 by ariffsani on November 18, 2009 - 8:53 pm

    YB Datuk,

    Kalau permintaan tak dipertimbangkan juga, nampaknya Datuk terpaksalah duduk di Starbuck atau Coffee Beans yang ada Wifi. tapi akhirnya semua Senator akan diperlekehkan sebagai Senator kedai kopi. (sebab nak dapatkan WiFi free. Jangan mimpilah nak jadi Obama. Kasihan saya pada YB Senator yajg ada. (YB Syarizat tak termasuk sebab dia ada Kementerian). Kepada semua YB Senator Dewan Negara (BN dan Lain-LAin) saya ucapkan ‘Selamat Berbahas’ Semoga Termakbul permintaan YB Datuk Akbar. Saya faham sangat YB Datuk Akbar ni suka menjengok orang susah di Melaka. KAlau boleh ruamh dia pun dia gadai nak tolong orang susah tak kira bangsa…

    • #3 by darahtuah on November 26, 2009 - 5:58 pm

      Sdr ariffsani,

      Salam,

      Saya setuju ‘beri kacang dapat beruk’ (give peanuts, you get monkey); justeru perlulah diambil pemandu yang berwibawa. Tetapi kalau dah grade 54 pun tak main maka ‘mahal rantailah dari beruk’! Lalu ‘pemandu makan daging, tuan makan tulang’ le.

      Terima kasih kerana Sdr perihatin juga dengan masalah orang miskin ini. Melaka beruntung kerana Ketua Menteri, Tok Ali, sangat komited membantu mereka; lantas miskin tegar telah dapat dibasmi lebih awal lagi. Penang pun (Lim Guan Eng) tak boleh lawan; apatah pula Kedah, Kelantan dan Selangor – jauh tertinggal.

      Ada sesiapa menghargai jasa beliau?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: