Ucapan di Parlimen (Bahagian 2)

■1450pm

Puan Hajah Sharifah Azizah binti Dato’ Syed Zain: Saya mohon mencelah.

Datuk Akbar bin Ali: Dipersilakan.

Datuk Hajah Azizah binti Abd. Samad: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Bila tadi Yang Berhormat Datuk Akbar sebut, dia kata macam Dato’ Sharizat bagus. Maknanya kita minta pandangan Yang Berhormat, kalau hendak lantik Yang Berhormat Menteri, hendak diberi Senator biarlah bagi kepada wanita, kerana wanita ini memang bagus selalu… [Ketawa]

Datuk Akbar bin Ali: Saya ingat begini, perempuan iaitu wanita tidak dijadikan daripada kaki lelaki untuk dipijak-pijak. Tidak juga dijadikan daripada kepala lelaki untuk disanjung-sanjungi. Difahamkan wanita dijadikan daripada rusuk lelaki, tidak jauh dari jantung dekat dengan hati untuk dikasih, disayang dan dicintai, hanya pemisah cangkul penggali. Oleh kerana itu dan Yang Berhormat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pula baru-baru ini ada menganjurkan sensitive gender seminar sedangkan kita masih jauh dari sasaran millennium development goal (MDG) maka atas keluhan dan permintaan Yang Berhormat Sharifah Azizah tadi saya setujulah.

Akan tetapi saya tidak setuju gender equality, saya setuju gender sensitivity sebab dalam konsep Islam kita kena berhati-hati, apa dia itu equality. Kalau itu tidak diselesaikan dengan betul dari segi syariah maka kita akan rosak iman. Sebagai contohnya, orang akan selalu kata perempuan dibenarkan menuntut equality dalam faraid; tidak boleh satu untuk perempuan dan dua untuk lelaki. Itu kononnya nampak tidak equal. Ini perlu diselesaikan segera.

Namun begitu ada equality dari segi Islam supaya kita tidak disalah faham. Benar syurga di bawah tapak kaki suami. Dato’ Sri Sharizat, syurga di bawah tapak kaki suami Dato’ Sri Shahrizat, ya? Dia geleng itu. Akan tetapi benar juga syurga di bawah tapak kaki ibu. Maka Islam mengambil kira kedua-dua gender. Di situlah konsep equality in Islam.

Kembali kepada apa yang hendak saya cakap tadi iaitu tentang imbuhan dan sebagainya. Kita haraplah rakan-rakan kita yang jadi Senator, sebagai Yang Berhormat Timbalan Menteri dan apatah pula sebagai Yang Berhormat Menteri penuh. Suarakanlah keluhan, rintihan dan permintaan ini, ditimbangkan segera kerana sudah lama diperkatakan. Saya tahu Yang Berhormat Dato’ Hajah Samsiah telah bawa perkara ini dua tiga tahun lalu. Datuk Hajah Azizah binti Abd. Samad, saya juga difahamkan sudah lama bawa perkara ini. Cuma inilah masa kita mahu melihat sejauh mana kewibawaan, ketangkasan, keberkesanan, kecekapan, kelembutan lidah Yang Berhormat Dato’ Sri Sharizat dapat membantu Senator-senator di sini dan mungkin juga Ahli Dewan Rakyat di sana.

Ini adalah kerana kita berani bercakap lebih kuat sedikit daripada bulan Disember semasa membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama, dan pada bulan Mac dan April semasa membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua. Ini kerana daripada RM7 bilion Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama dan daripada RM60 bilion dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua, kita tidak minta satu sen pun untuk kita. Kita pertahankan, kita argue, dan kita bincang untuk kepentingan rakyat. Akan tetapi pada kali ini, benarkanlah kita bersuara untuk kepentingan rakyat melalui kita.

Seterusnya saya ingin berbalik kepada soal pokok tadi, impak rasuah yang saya kata nilainya RM540 bilion, sembilan kali ganda kutipan hasil dalam negeri dan 75% nilai GDP Malaysia. Saya sudah cakap tadi tentang sumbangan-sumbangan itu dan kalau kita dapat selamatkan RM540 bilion ini maka kita akan dapat mengurangkan defisit yang mana telah meningkat daripada 4.8% kepada sekitar 7% kerana sumbangan Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua.

Jadi di sini, dalam keadaan ekonomi yang dikatakan, kalau ikut The Chairman of Federal Reserve, USA, Ben S. Bernanke, sudah nampak tanda-tanda green shoots, sumbangan tersebut amatlah berguna sekali apatah lagi, mengikut the latest estimates oleh World Bank, unjuran pertumbuhan ekonomi dunia pada tahun ini bukannya semakin meningkat bahkan semakin meruncing. Daripada -1.7% menurun kepada -2.9%, jadi keadaan tidaklah bertambah baik.

Mengikut Economist Intelligence Unit (EIU), green shoot yang diperkatakan itu, besar kemungkinannya in quotation “the false dawn”. Ini kerana pertumbuhan ekonomi tidak dilihat sebagai the L-shape, jauh sekali V-shape dan mungkin tidak U-shape. Apa yang besar kemungkinan sekarang ialah pertumbuhan ekonomi kita mungkin berbentuk W-shaped. Itulah sebabnya kenaikan sekarang yang ada sedikit discovery itu, adalah kerana dua sebab, pakej rangsangan dan restocking oleh syarikat. Ia dilihat oleh IEU berkemungkinan W-shaped.

Namun begitu kita beruntung kerana wawasan dan ketegasan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama dan Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua, nampaknya ia telah memberi tanda-tanda awal berdasarkan leading indicator. The smooth six month graph menandakan bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia dari segi haluannya akan berubah, daripada defisit kepada something yang mungkin positif. Namun quickly saya ingin tegaskan, kita hanya bercakap kejatuhan (the dropping) itu yang akan mengecil. Kejatuhan itu mungkin berhenti secara perlahan tetapi belum lagi recover kepada tahap yang sustainable.

Kita kena bezakan antara dua ini bila kita membaca, terutamanya Index Purchasing Manager. Ia satu indicator yang sangat bagus dari segi leading indicator. Kita kena berhati-hati bahawa dia memang memberikan tanda-tanda positif tetapi kita bimbang ia menjadi satu false dawn. Apatah lagi mengikut suku pertama (first quarter), kadar pengangguran Malaysia telah meningkat daripada 3.3% kepada 4%, seperti yang dikeluarkan pada 30 Jun lalu.

Bilangan penganggur meningkat daripada 350,000 kepada 450,000. Nampaknya apa yang saya katakan pada 7 April lalu hampir-hampir akan menjadi kenyataan kerana pada masa itu saya katakan saya telah unjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia bukan -1% pada tahun 2009 tetapi sekitar -5%. Tengok balik Hansard saya ada berkata begitu dan telah pun disahkan oleh World Bank bahawa kadar pertumbuhan kita tahun ini dianggarkan sekitar 4%.

Kadar pengangguran kita akan meningkat lebih daripada 4.5% kerana keadaan-keadaan yang meruncing, terus meruncing di Amerika Syarikat yang mana kadar pengangguran sudah menjangkau 9.5%. Ini memberi kesan kepada external demand, khususnya ke atas eksport kita. Walau apa pun, usaha yang telah dibuat oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ini telah membantu mengekang kejatuhan ekonomi.

1500pm

Di sini sekarang kita perlu buat pilihan dan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah pun melahirkan kebimbangannya untuk terus melakukan pump priming, memperkenalkan stimulus package yang ketiga kerana beliau bimbang defisit akan menjadi lebih teruk lagi.

Jadi sekarang kita ada dua pilihan. Mengekang defisit supaya tidak menjadi lebih teruk dan inflasi pula tidak akan terus naik, kalau tidak pula akan reverse seperti Jepun berlaku deflasi; juga berbahaya.

Itu di satu pihak, di satu pihak lagi ialah membelanjakan lebih banyak wang kerajaan untuk stimulate, untuk merangsang ekonomi. Ini adalah dua pilihan dan, dalam pilihan ini, SIAP dapat membantu dengan meningkatkan integriti, dengan mengurangkan ketirisan yang bernilai RM540 bilion tadi.

Di sinilah letaknya relevancy SIAP ini. Di sini saya ingin mencadangkan, dalam keadaan sekarang Yang Amat Berhormat Perdana Menteri perlu memikirkan secara berhati-hati, terutama sebagai Menteri Kewangan yang pertama, antara dua pilihan tadi maka kita perlulah melihat pula pengurusan risikonya. Risiko ekonomi akan terus bertambah buruk kerana tidak dapat rangsangan yang ketiga ataupun menguruskan risiko yang ada kaitan dengan fiskal defisit.

Pada saya, seperti mana yang dikatakan oleh Paul Krugman, risiko yang berkaitan dengan defisit yang lebih besar adalah lebih rendah, ada ya, tetapi lebih rendah berbanding risiko kalau kita tidak membantu merangsang lagi ekonomi ini. Ini antara dua risiko. Kita revisit, melawat semula sejarah pada tahun 1930-an, the world great depression.

Apa yang dituliskan oleh Christina Romer, “The Lessons of 1937”, FDR – Roosevelt, dia telah menghadapi dua pilihan ini, dia telah disalah nasihat oleh The Hawkish on inflation and debt. Dia telah tersalah makan nasihat daripada kumpulan ini dan beliau meninggalkan opsyen untuk merangsang lagi ekonomi Amerika pada tahun 1937. Apa kesannya? Ekonomi Amerika terus teruk dan Franklin Roosevelt hilang masa depan politiknya. Itulah risiko yang berlaku pada tahun 1937, the lesson of 1937.

Jadi eloklah sebelum membuat keputusan, penasihat-penasihat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri melihat balik, “The Lesson of 1937” dan defisit ini, saya ulangi lagi, dapat dikurangkan dengan meningkatkan integriti kerana ketirisan / leakages dapat disekat; maka wang itu boleh kembali kepada kantor kerajaan.

Now, dari segi faedah lain, saya telah dikira dan mungkin Yang Berhormat Mulia Tengku boleh betulkan kalau saya salah. Dari segi CPI atau Corruption Perception Index, kalau satu mata dapat dinaikkan, maka FDI akan meningkat sebanyak 0.5%. Sebanyak 0.5% daripada GDP kita ialah sebanyak RM3.5 bilion dan RM3.5 bilion ini cukup banyak bagi negeri-negeri yang miskin, yang kurang revenue macam Perlis kawan saya ini, macam Melaka dan sebagainya.

Jadi ini boleh membantu kepada peningkatan GDP dan revenue kita; dengan hanya meningkatkan satu mata CPI. Dalam masa yang sama pula, kerana aktiviti ekonomi terangsang, peluang pekerjaan meningkat dan pendapatan bertambah dengan satu mata CPI ini; maka pendapatan isi rumah akan bertambah sebanyak 4%. Ini bermakna average household income Malaysia, kira-kira RM3,800, kita akan dapat kira-kira RM150 tambahan pendapatan isi rumah sebulan. Inilah antara faedah kalau rasuah dihapuskan, integriti ditingkatkan.

Now, kenapa kita perlukan SPRM dan kita perlukan juga SIAP? Mengikut kajian Business Ethics Institute of Malaysia, daripada 15 kelompok golongan yang dikaji, agak-agak siapa yang paling tidak dipercayai, ataupun siapa yang paling dipercayai? Kalau berdasarkan kajian ini, adakah imam dan polis paling dipercayai, adakah hakim yang paling dipercayai dan bagaimana kedudukan pegawai kerajaan, terutama di kalangan penguat kuasa ini?

Mungkin kerajaan juga terdorong ataupun melihat data ini dan membantu untuk merangka SIAP ini; cuma saya caution kajian ini. Saya rasa kajian ini tidaklah begitu tepat dari segi data integritinya dan hasilnya kerana ia ada satu kategori orang awam, orang awam ini by definition boleh meliputi orang yang berumur satu hari sampailah yang berumur paling tua dan bisu dan tidak boleh bercakap. Ini orang awam dan orang awam ini pula tidak diyakini oleh masyarakat, mengikut kajian tersebut kerana kajiannya adalah di tangga yang keduabelas.

Orang yang paling dipercayai ialah;

(i) doktor;
(ii) guru;
(iii) profesor;
(iv) imam dan polis;
(v) ahli sains;
(vi) hakim. So, kita perlu lihat keadaan-keadaan ini;
(vii) pembaca berita TV;
(viii) jurnalis;
(ix) Pegawai Kesatuan Sekerja; dan
(x) polis;

Kita haraplah dua orang tokoh yang saya sebutkan pagi tadi akan dapat diramaikan lagi melalui SIAP ini. Di mana kedudukan pegawai-pegawai kerajaan? Mengikut persepsi rakyat, berdasarkan kajian BEIM ini, tuan-tuan adalah di kategori kedudukan tangga yang ke-11.

Menteri, Datuk Shahrizat Jalil, nombor 13… [Ketawa] Lebih teruk lagi orang business, orang business ini kalau seperti guru dan doktor…, doktor kalau bercakap sepuluh perkataan, 12 perkataan boleh percaya. Guru agaknya dia bercakap sepuluh perkataan, 11 boleh percaya tetapi apabila melibatkan business leader ini nombor 14, dia bercakap sepuluh perkataan, 12 tidak boleh percaya… [Ketawa]

Politician paling akhir, dia cakap sepuluh perkataan, 15 tidak boleh percaya… [Ketawa] …Pasal dia nombor 15, dan saya dukacita dan kesianlah.

Tuan Haji Muhamad Yusof bin Husin: [Bangun]

Datuk Akbar bin Ali: Sekejap. Yang Berhormat Mulia sudah jadi politician by definisi menjadi Senator agaknya; jadi kedudukan Yang Berhormat Mulia mulai hari Isnin hari itu sudah jadi yang ke-15… [Ketawa] Dari orang yang bercakap pasal TI, hari ini beliau adalah kalangan sama-sama yang paling tidak dipercayai, nasiblah. Okey Yang Berhormat.

Tuan Haji Muhamad Yusof bin Husin: Saya sedikit sahaja hendak tanya termasuk Senator atau tidak itu?

Datuk Akbar bin Ali: Saya berasa…

Tuan Haji Muhamad Yusof bin Husin: …Yang ke-15.

Datuk Akbar bin Ali: …Kalau Senator kalau ditakrifkan sebagai politician, ‘pas’ atau tidak ‘pas’, lulus atau tidak lulus sama sahaja. Saya berasa kita perlu akuilah Senator ini pun adalah politician walaupun duduk di sana ada profesor dan sebagainya. Ini pakaian baru kitalah.

■ 1510pm

Now, kerana kajian ini yang cukup jelas menunjukkan persepsi rakyat terhadap kita semua, termasuk pegawai penguat kuasa, maka, sudah wajarlah kerajaan memperkenalkan SIAP ini untuk menangani, mengatasi masalah persepsi integriti ini. Kita boleh mengeluh, kita boleh marah, kita boleh caci, kita boleh kritik tetapi, yang penting, apa hendak dibuat untuk mengatasi masalah ini dan inilah usaha kerajaan…

Puan Hajah Sharifah Azizah binti Dato’ Syed Zain: Boleh saya mencelah?

Datuk Akbar bin Ali: …Memang suka mencelah. Okey, terima kasih.

Puan Hajah Sharifah Azizah binti Dato’ Syed Zain: [Ketawa]. Nakal dia. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya tadi, bila disebut nombor 15 itu macam tidak berpuas hatilah. Adakah kerana kita ini ditakrifkan 15 kerana kita selalu menjadi public figure, orang yang benar-benar disukai dan juga orang yang boleh membawa sesuatu kepada mereka, sebab itu kita kadang-kadang ini terpaksa menipu. Pertama, gaji tidak berapa cukup sekarang. Kedua, peruntukan tidak cukup. Ketiga, tempoh perkhidmatan ini daripada tiga tahun jadikan ke lima tahun. Terima kasih.

Datuk Akbar bin Ali: Ya. Saya rasa, oleh kerana ini adalah kajian persepsi ya, apa Yang Berhormat sebut itu walaupun tidak tepat 100%, memang ada unsur-unsur kebenarannya. Itu sebabnya saya katakan tadi, sebenarnya Puan Hajah Sharifah Azizah mengukuhkan lagi hujah saya, menjadi hujah kita, menjadi collective ownership. Syor-syor yang saya kemukakan tadi, tolonglah ditimbangkan secara positif oleh Kabinet yang diwakili oleh Yang Berhormat Dato Sri Shahrizat Abdul Jalil petang ini. Okey. Jadi, apa yang hendak saya katakan tadi…

Datuk Haji Roslan bin Awang Chik: Minta laluan ya?

Datuk Akbar bin Ali: Oh, okey Datuk Haji Roslan bin Awang Chik.

Datuk Haji Roslan bin Awang Chik: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Ayat ketiga baru bercakap sebab menghormati Datuk sebagai orang Terengganu, ulung-ulung kali boleh menjadi Tuan Yang di-Pertua Dewan Negara. Saya berasa bangga dan mengucapkan tahniah walaupun terlambat… [Tepuk]

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih.

Datuk Haji Roslan bin Awang Chik: Daripada hujah Yang Berhormat yang memperkatakan tadi bahawa ukuran integriti ini merupakan ‘wang’. Apabila wang itu ditambah maka, integriti itu bertambah. Pada persepsi yang saya dapat Yang Berhormat memberi hujah-hujah bahawa gaji dinaikkan maka, integriti pun naiklah. Adakah itu dimaksudkan begitu? Kalau itulah dimaksudkan, saya teringat satu pepatah Tun Sri Lanang, “Emas engkau bukan Tuhan, tetapi berlaku sehendak hati”, ataupun pepatah Arab berkata, “Kalau aku tidak beriman, nescaya aku sembah engkau dinar”. Jadi, apabila Yang Berhormat mengatakan bahawa integriti ini boleh menaikkan integriti seseorang itu melalui kenaikan gaji, melalui kenaikan elaun supaya mencukupi kehendak-kehendak naluri kehidupan mereka. Maka, sudah tentu merupakan bahawa ukuran kita dalam integriti ini hanya wang. Saya harap Yang Berhormat boleh memberi penjelasan dan agaknya salah tanggapan saya. Terima kasih.

Datuk Akbar bin Ali: Terima kasih Yang Berhormat Datuk Haji Roslan bin Awang Chik. Sebenarnya Yang Berhormat Datuk Haji Roslan memberi peluang pula kepada saya, kalau saya tersilap saya membetulkan, kalau saya kurang jelas, saya menjelaskan lagi. Sebenarnya, tadi saya sudah mengatakan dengan syor-syor saya kemukakan tadi, peningkatan elaun, banyak kemudahan seperti RO dan sebagainya membantu kita membeli, termasuklah broadband ini. Ia bukan semunya berunsur kewangan. Ia berunsurkan kewangan dan kemudahan yang boleh membantu meningkatkan kecekapan dan keberkesanan tugas kita iaitu merupakan sebahagian integriti kerana kalau kita berjanji, kita tidak mampu menunaikannya maka integriti kita tercemar.

Jadi, ia ada dua aspek iaitu satu aspek kewangan dan satu lagi bukan aspek kewangan, khususnya perkhidmatan. Apabila perkhidmatan yang kita janjikan kita tidak dapat tunaikan, itu boleh mencemar, merosak dan merobek integriti kita. Itu maksud saya Datuk Haji Roslan ya. Sebagai contoh, kalau saya ingin tekankan, kalaulah hendak menjadi first class Senator tadi, kita memerlukan pengetahuan yang luas, kita memerlukan maklumat yang banyak, dan kita boleh menyumbang kepada… Oh! Dato Sri Shahrizat terpaksa lari lagi, kerana nanti saya akan minta lagi. Jadi, dibenarkan, tidak boleh. Saya gembiralah, sekurang-kurangnya Dato Sri Shahrizat sudah janji tadikan, akan membawa ke Kabinet. Sahaja aku terima. Saya minta maaf Tuan Yang di-Pertua, jika itu mencemarkan sedikit Dewan.

Apa yang hendak saya tekankan Datuk Haji Roslan ialah kalau kita diberikan kemudahan-kemudahan yang boleh meningkatkan perkhidmatan kita maka ia membantu meningkatkan kecekapan dan sekali gus boleh membantu meningkatkan integriti kerana kita berjaya melaksanakan tugas kita. Melaksanakan amanah itu adalah sebahagian daripada integriti.

Tadi saya ada mengatakan bahawa dengan mengurangkan rasuah dan meningkatkan integriti, ia boleh menyumbang kepada FDI dan boleh menyumbang kepada GDP. Ini semua tidak semestinya kewangan kerana melalui perkhidmatan yang baik ia akan mempercepatkan pengeluaran lesen, misalnya. Maka ia akan mengurangkan beban hutang yang ditanggung syarikat kerana berhutang kepada bank. Adanya integriti permohonan boleh diluluskan dalam masa seminggu berbanding tanpa integriti ia memerlukan tiga bulan hingga enam bulan. Bayangkan kalau ia meminjam RM100 juta; kadar faedah bulanannya berapa banyak? Kalau ia dapat dilaksanakan dalam masa yang singkat, dua hari lesen diluluskan seperti di Australia, maka bayaran faedah kepada bank dapat dikurangkan.

Now, saya ingin tegaskan di sini bahawa kita boleh meningkatkan GDP, kita boleh menarik lebih banyak FDI melalui salah satu cara, bukan the only thing tetapi, salah satu cara dengan meningkatkan integriti. Jadi, di sini saya ingin tegaskan bahawa tidak semestinya dasar affirmative yang dilaksanakan sejak tahun 1970 mengekang pertumbuhan ekonomi, mengekang kemasukan FDI. Apatah lagi, sudah pernah saya katakan di Dewan ini bahawa dalam tempoh 1970 sehingga tahun 2008, bagi tempoh tiap-tiap sedekad, kadar pertumbuhan GDP kita adalah melebihi 5% dan ada masa kita mencecah 9% dan 10%.

Justeru, adalah tidak benar, saya rasakan berdasarkan fakta ini, apatah lagi ditambah dengan FDI yang meningkat; contohnya tahun lepas, sekali ganda daripada apa yang disasarkan oleh Industrial Master Plan. Jadi, tidak nampak dasar-dasar yang berunsur affirmative itu boleh mengekang pertumbuhan ekonomi dan boleh menyebabkan FDI tidak masuk ke negara ini.

Jadi, dalam usaha kita benar-benar hendak liberalisasikan ekonomi dan hendak mengamalkan meritokrasi yang mana seolah-olahnya sekarang sebagai satu religion, kalau mengikut Karl Marx, religion is the opium of the masses maka kita harap meritokrasi dan liberalisasi ini bukanlah satu religion. Jangan salah faham, bukan bermakna saya tidak menyokong meritokrasi dan liberalisasi; saya sokong kerana ini boleh meningkatkan daya saing dan boleh meningkatkan daya tahan dan daya maju.

Cuma, ia mestilah dilaksanakan dalam keadaan padang permainan yang sama rata, barulah pertandingan itu adil, barulah keadilan sosial dapat dicapai. Ini kerana, the ultimate ialah keadilan sosial bukan liberalisasi. Apatah lagi dalam keadaan sekarang di mana Amerika sudah peluk semula dasar perlindungan, Britain sudah peluk semula dasar perlindungan, British job for British workers.

Akan tetapi, kita sekarang hendak pergi terus ke liberalisasi dan diharap supaya kita berhati-hati supaya tidak ada orang yang terbunuh dalam proses ini. Ini kerana, kalau padang tidak sama rata, maka ia adalah merupakan imej lama ‘the law of the jungle’ yang dipakejkan semula di mana hanya the survival of the fittest yang boleh hidup.

Jadi, sebelum duduk, berlunjurlah dahulu. Sebelum terantuk, tengadahlah dahulu. Oleh itu, walupun dasar meritokrasi ini memang baik, liberalisasi juga boleh merangsangkan ekonomi tetapi yang hendak saya ingatkan, yang hendak kita capai ialah keadilan sosial; maka padang permainan itu hendaklah diratakan terlebih dulu supaya sama adil.

■1520pm

Dato’ Haji Abdul Rashid bin Ngah: Yang Berhormat, Tuan Yang di-Pertua, boleh saya mencelah?

Tuan Yang di-Pertua: Sila.

Dato’ Haji Abdul Rashid bin Ngah: Yang Berhormat menimbulkan langkah liberalisasi yang telah mula diambil oleh kerajaan semacam kebimbangan telah Yang Berhormat timbulkan. Adakah kebimbangan ini ada hubungannya dengan kedudukan bumiputera yang selama ini ramai orang memikirkan dengan langkah-langkah yang sedia ada cukup untuk melindungi mereka tetapi apabila diperkenalkan liberalisasi, maka terbuka, terdedahlah bumiputera ini kepada satu keadaan yang barangkali apa Yang Berhormat katakan tadi bermain di padang yang sama rata. Adakah maksudnya begitu? Terima kasih.

Datuk Akbar bin Ali: Terima kasih Yang Berhormat Dato’. Bagi saya, padang yang sama rata itu memang perlu dan dia perlu bukan sahaja untuk Bumiputera, ia diperlukan juga oleh semua disadvantage groups, semua kumpulan yang kurang bernasib baik perlu dibantu supaya dapat dinaikkan tahap mereka ke padang yang sama rata dan kalau ada di kalangan itu kaum Cina, misal kata, merupakan golongan yang juga tidak bernasib baik, India dan Bumiputera, maka semua ini patut dibantu. Sebenarnya, kebimbangan ini adalah kebimbangan ramai kerana, misal kata, berdasarkan biasiswa nasional yang telah diumumkan dahulu, 68% telah dapat diperolehi oleh satu kumpulan dan 32% hanya diberikan kepada satu kumpulan yang lain.

Kalaulah 68% ini merupakan kumpulan yang begitu beruntung dan 32% ini termasuk dalam kumpulan yang kurang beruntung, maka padang permainan itu tidak rata. Oleh itu, pertandingan tadi, competition tadi haruslah mengambil kira stratifikasi sosial. Kalau kita ambil biasiswa bidang pendidikan, maka kumpulan sekolah-sekolah di bandar yang lengkap dengan prasarana, dengan guru yang berkualiti merupakan satu kumpulan yang berbeza dengan stratifikasi sosial sekolah-sekolah di luar bandar yang tidak lengkap; dan ada satu stratifikasi sosial yang lain di mana ada sekolah berasrama penuh; ada guru yang di kawasan urban rural; ini semua perlu diambil kira supaya pertandingan itu benar-benar adil.

Meritokrasi bagus tapi meritokrasi itu tidak boleh dilaksanakan dalam vacuum. Dia mesti mengambil kira konteks keadilan sosial. Namun begitu, saya cukup lega apabila saya membaca surat khabar hari ini, Perdana Menteri telah menghuraikan lagi, telah memberikan gambaran yang lebih jelas bahawa apa yang saya bimbangkan ini akan diambil kira dalam usaha memajukan prinsip meritokrasi dan liberalisasi. Kita lihatlah, contohnya, bagaimana Ekuinas ini akan dilaksanakan kerana pelaksanaan Ekuinas itu pun kita masih samar-samar dan kita perlu beri perhatian macam kata Datuk Devamany tadi, perlu beri masa untuk dijelaskan dan dilaksanakan.

Tuan Yang di-Pertua, Stephen Covey kata, daripada tujuh habits itu, salah satunya ialah matlamat, mengutamakan matlamat. Jadi, apakah matlamat SIAP ini? Dengan memikirkan the end, matlamatnya, sudah tentu kita akan dapat outputnya ialah undang-undang ini. Outcome nya seperti mana yang dihuraikan dalam rang undang-undang ini ada tiga perkara.

(i) rasuah dapat dibasmi/dikurangkan;
(ii) integriti dapat ditingkatkan; dan
(iii) keyakinan dapat dimantapkan.

Ini outcome nya. Dalam pada itu, daripada tiga outcome ini kita akan dapat lihat nanti sepuluh outcome yang lain. Subsidiari kalau saya boleh katakan. Pertama sekali, sudah pasti, kalau semua orang laksanakan integriti ini dan diawasi serta dipantau pula, kecekapan dan keberkesanan akan meningkat. Ini bermakna, kalau kita lihat daripada The Eease of Doing Business, kedudukan Malaysia pada tahun 2007 adalah di kedudukan yang ke-25. Jauh dari Singapura yang mempunyai kedudukan pertama, New Zealand kedudukan kedua.

Kita perlu tingkatkan kedudukan 25 ini kepada sekurang-kurangnya the top ten. Alhamdulillah, pada tahun 2008, kita telah dapat memanjat lima tangga lebih tinggi ke tahap ke-20. Ini belum cukup bagi kita. Maka, SPRM dan SIAP ini adalah antara vehicle yang dijangka dapat membantu meningkatkan kecekapan kita. Dalam pada itu, kalau kita lihat, berdasarkan The Ease of Doing Business juga, nak dapatkan license, Dato’ Yip ya, cukup susah daripada PBT bukan? Disebabkan kita di tangga yang ke-105. Kita memerlukan 285 hari berbanding Korea 34 hari, berbanding pulau kecil di Pacific Island, Vanuatu, hanya 51 hari.

Jadi, kita memang banyak ruang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan kedudukan kita. Daripada segi starting a business, kita di tangga yang ke-74 kerana kita memerlukan masa 24 hari berbanding Australia yang saya katakan tadi hanya dua hari. Nak register a property, kita di tangga yang ke-67 kerana memakan masa 114 hari berbanding New Zealand, Thailand dan Sweden hanya dua hari.

Tuan Yang di-Pertua, kita tidaklah seburuk itu dalam semua bidang. Kita mempunyai kecekapan dalam getting a credit, dalam protecting investors. In getting credit, kita berada di kedudukan yang ketiga selepas Hong Kong dan UK dan kita berada di kedudukan yang keempat selepas New Zealand, Singapura dan Hong Kong dari segi protecting investors.

Oleh kerana dalam dua aspek ini kita boleh cekap dan berkesan, bermakna ada cahaya untuk kita meningkatkan kecekapan dalam bidang-bidang yang kita masih lemah itu. Kalaulah kita dapat tingkatkan kecekapan ini, maka barulah Kuala Lumpur boleh menjadi salah satu bandar raya yang top, mengikut The Quality of Living Index’s yang dibuat oleh Mercer Human Resource Consulting. Kita akan duduk sama tinggi, berdiri sama rendah dengan Zurich dan Geneva yang mempunyai kedudukan pertama dan kedua dan kita boleh seharum Denmark, Iceland dan Finland.

Dengan kecekapan ini, maka kita akan boleh bertahan di red ocean apabila kita bertanding dan kita boleh menumpukan pula in uncontested market space or the blue ocean, dengan izin.

Tuan Yang di-Pertua, sudah sampai masanya kita memperkenalkan SIAP ini kerana kedudukan kita masih berlegar dengan angka 5.1 berdasarkan CPI pada tahun 2007 dan 2008. Kedudukan angka ini adalah lebih buruk kalau kita banding pada tahun 2003 di mana pada masa itu skor kita ialah 5.2. Jadi kalau dulu kita boleh capai 5.2, maka tidak susah untuk kita pertingkatkan ke tahap yang lebih tinggi lagi.

Dalam pada itu yang agak membimbangkan juga, mengikut kajian Institut Integriti Malaysia (IIM), indeks persepsi tahap rasuah yang dibuat kajian oleh IIM itu, pada tahun 2006, skor kita adalah agak tinggi iaitu 7.04. Malangnya pada tahun lepas, dia menurun kepada 6.76. Justeru semakin mendesaklah bagi kerajaan untuk memperkenalkan SIAP ini bagi memperbaiki tahap integriti di kalangan pegawai kerajaan kita. Jadi tadi saya bercakap satu daripada outcome; yang lain ialah kecekapan dan keberkesanan meningkat.

1530pm

Kedua dia akan meningkatkan produktiviti, kerana lebih banyak masa digunakan untuk bekerja; bukan berada di bilik air menghisap rokok, bukan sebelum pukul 5.30 petang sudah pergi yang perempuan tepek, tepek pipi dengan gincu dan bedak. Ini semua sebahagian daripada amanah, kalau masa yang digunakan untuk kerja tidak digunakan untuk kerja.

Mengikut kajian yang dibuat, pegawai kerajaan ini, minta maaf, kalau salah kajian ini salahlah, daripada masa yang diperuntukkan daripada pukul 8 pagi sehingga pukul 5 petang atau 5.30 petang jika dari 8.30 pagi, masa sebenar bekerja hanyalah antara 60% ke 65%, setelah ditolak macam-macam masa seperti duduk di kantin, telefon dan sebagainya. Akan tetapi gaji dibayar untuk 100% masa yang ditetapkan itu.

Kalau dia cakap lama-lama tu, “ya yang, okey, abang sibuk tapi masih boleh bercakap”, itu girlfriend tetapi, kalau “abang sibuk ni, balik kang cakaplah”, itu dengan isteri… [Ketawa] Saya bercakap memang benda yang biasa, kalau benda yang pelik orang tak percaya, dan saya mewakili homo sapiens seperti inilah. Jadi kalau nak pengalaman lagi Yang Berhormat ya, macam juga daripada jauh kita tengok kereta; kalau ada lelaki tu bukakan pintu, itu ada dua kemungkinan, sama ada kereta tu baru takut yang perempuan ni hempaskan pintu atau itu girlfriend. Tapi kalau dia tak buka, itu gerenti isteri.

Yang ketiga, faedahnya dan kerajaan sedar faedah ini dan kita harus vocalized kebaikan ini. Kos pengeluaran akan berkurangan kerana inversely bila produktiviti meningkat, kos pengeluaran mesti menurun. Daya saing akan bertambah kukuh dan ini amat penting dalam era liberalisasi dan globalisasi. Para pelabur akan bertambah yakin dan ketujuh peluang pekerjaan akan menokok dan kelapan pendapatan sudah pasti akan meningkat, kesembilan kemiskinan akan menurun dan kesepuluh penyakit sosial akan berkurangan.

Inilah faedah yang boleh kita dapat sekiranya SIAP ini bukan sekadar diluluskan, tetapi dilaksanakan sepenuhnya oleh kakitangan kerajaan, khususnya penguat kuasa. Lalu impaknya ialah kemakmuran akan bertambah ruah, keamanan akan terjamin kerana tidak ada sosial problem, tak ada social ills ataupun amat sedikit penyakit-penyakit ini.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat, berapa lama lagi, panjang lagi ucapan Yang Berhormat?

Datuk Akbar bin Ali: Kalau nak dipendekkan, saya pendekkanlah.

Tuan Yang di-Pertua: Ya.

Datuk Akbar bin Ali: Oleh sebab saya kena bagi juga peluang kepada orang lain, Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Yang di-Pertua: Ya, selain daripada Dato’ Hajah Saripah Aminah, yang saya nampak tercatat yang hendak berbahas, ada lagi Ahli-ahli Yang Berhormat lain. Ramai lagi Yang Berhormat.

Datuk Akbar bin Ali: Baik,

Tuan Yang di-Pertua: Ya.

Datuk Akbar bin Ali: Oleh sebab banyak.

Tuan Yang di-Pertua: Hampir sepuluh orang Yang Berhormat.

Datuk Akbar bin Ali: Oh ya betul. Kalau begitu saya rasa eloklah bagi faedah kawan-kawan yang lain, saya pendekkan ini supaya sumbangan idea daripada kawan-kawan yang lain juga dapat didengar oleh Dewan yang mulia ini.

Cuma saya ingin menarik perhatian, berhubung dengan rang undang-undang ini. Di Jadual yang terdapat di muka surat 35, dia ada menyenaraikan 21 agensi yang diliputi oleh rang undang-undang ini. Saya lihat Jabatan Perhutanan yang ada juga Unit Penguat Kuasa, LHDN yang juga terdapat Unit Penguat Kuasa tidak diliputi. Kemudian PBT yang paling banyak menghadapi masalah juga tidak disenaraikan, tetapi saya tidak tahulah sama ada dia terangkum di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Kalau terangkum tidak mungkin kerana PBT adalah under the State List. Dan oleh sebab dia negeri, maka undang-undang ini tidak merangkum jentera kerajaan negeri, saya mohon penjelasan.

Selain daripada itu, ada di perkara 1 ceraian (5), secara jelas disebutkan SPRM tidak diliputi; mungkin ada kebijaksanaan dan ada penjelasan yang munasabah dari segi undang-undang, kenapa tidak diliputi, mungkin sudah tersebut di mana-mana, cuma saya tidak tahu, saya mohon diberikan penjelasan.

Dalam pada itu pula, kalaulah SIAP ini dengan anggota-anggotanya memantau 21 agensi ini, saya nak tanya, yang pegawai SIAP ini siapa pula nak pantau integriti dia? Kita tidak boleh terus assumed semua ini malaikat-malaikat belaka, jadi adakah pula mereka ini dicover oleh SPRM atau macam mana ya? Mohon penjelasan.

Walaupun ada yang lain yang hendak saya perkatakan, saya rasa cukuplah. Saya berhenti di sini, Tuan Yang di-Pertua.

Dengan itu saya menyokong Rang Undang-undang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009. Sekian terma kasih.

Appendix:

RANG UNDANG SIAP-1.

  1. #1 by Kenn on November 22, 2009 - 3:23 pm

    Dear Sir,

    ** Permission for an out-of-topic reporting*

    The following poll was conducted over a month ago (invitation was submitted to this blog earlier).

    SHOULD the British Overseas Citizen (BOC) BE OFFERED BACK Malaysian Citizenship?

    1. “Yes”
    2. “No”
    3. “Dont care”

    The result:-

    About 97% (427 votes) voted “NO”
    About 1 % (5 votes) voted “YES”
    Less than 1% (4 votes) said “don’t care”.

    Details can be read HERE.

    Do read THIS NEWS too.

    Thank you.
    Kenn

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: