Ucapan di Parlimen : Perihal MITI dan MECD

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, saya ucapkan tahniah kepada MITI kerana sedikit sebanyak telah mencapai kejayaan yang boleh dibanggakan, terutama di bidang perdagangan. Sudah tentu melalui usaha utama MITI, kita telah mencecah angka keramat 1 trilion jumlah perdagangan Malaysia pada tahun 2007.

Di samping itu, saya juga gembira apa yang telah dilaporkan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri pada 7hb lalu berkenaan kejayaan SMIDEC khususnya, dalam membantu enterprise kecil dan sederhana di negara ini yang dianggarkan hampir 550,000 pada tahun 2007.

Saya juga terpanggil untuk bersama-sama dengan MITI dan Yang Berhormat Timbalan Menteri untuk memperjuangkan semua SME, tidak mengira kaum bumiputera dan bukan bumiputera.

Namun begitu, oleh sebab tugas baru yang diserahkan oleh kerajaan kepada MITI kerana MECD telah ditutup, di mana sebahagian daripada tugas MECD telah diserahkan kepada MITI, khususnya BCCI dan juga INSKEN, seperti mana yang telah pun diumumkan pada 14 April lalu oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, maka menjadi harapan rakyat bahawa MITI kini kena reoriented balik tugas dan pendekatannya dan juga world view nya, dengan izin, untuk turut memberi perhatian kepada BCCI atau MPPB yang mana sebelum ini tidak menjadi tugas MITI dan sebaliknya menjadi tugas MECD yang telah pun menjadi arwah.

Sehubungan dengan itu, mungkin pihak MITI dapat memberikan penjelasan bagi pihak kerajaan, untuk kefahaman semua rakyat, mengapa MECD itu dibubarkan. Kalaulah kita sering memperjuangkan tentang kepentingan mewujudkan one-stop-center seperti di MIDA untuk menarik dengan mudah, membantu dengan segera pihak pelabur; begitu juga di pihak PBT, diwujudkan one-stop-center sebelum segala permohonan berkenaan lesen, berkenaan tanah dan berkenaan dengan permit untuk membuka industri/ factory dapat diluluskan dengan segera maka MECD ini adalah equivalent sebagai one-stop-center untuk semua usahawan bumiputera dalam berurusan dengan kerajaan.

Akan tetapi, sekarang ia telah dipecah-pecahkan kepada lapan kementerian dan beberapa jabatan yang mana ini seolah-olah menongkah arus dari segi pendekatan one stop centre tersebut. Saya yakin Yang Amat Berhormat mempunyai alasan yang memang munasabah dan wajar mengapa beliau mengambil tindakan yang sedemikian drastik. Cuma, kita ingin berkongsi kefahaman itu.

Tuan Yang di-Pertua, berbalik kepada BCCI ataupun MPPB yang telah pun diserahkan kepada MITI, saya merayu kepada semua warga MITI agar dapat melaksanakan tugas ini jauh lebih baik daripada apa yang telah pernah dijayakan oleh MECD.

Pada persepsi saya pegawai-pegawai warga MITI adalah lebih bersifat antarabangsa. Itu memang kita faham kerana fungsinya ialah untuk menarik pelabur asing dan juga untuk mempromosikan perdagangan kita supaya lebih banyak eksport dapat dijana. Jadi, kita faham kenapa sikap warga MITI perlu bercorak antarabangsa.

Akan tetapi dengan kemasukan adik baru ini atau anak angkat ini, iaitu BCCI dan juga INSKEN, maka kita mempunyai harapan yang tinggi agar warga MITI dapat segera mengubah world view itu supaya dapat memberikan perhatian yang sama berat kepada yang beroperasi di peringkat domestik atau local ini. Justeru, benarlah apa yang pernah disarankan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bahawa kita perlu bersikap, berpendekatan glokal dan pegawai-pegawai MITI, memanglah dalam keadaan ini, dituntut mempunyai pendekatan, mempunyai world view glocal.

Dengan yang demikian, pegawai MITI termasuk SMIDEC akan dapat melaksanakan dua tugas penting ini iaitu untuk bukan sahaja membangunkan, memajukan SMIDEC tetapi dalam masa yang sama memperkasa, memperkukuh, memperbesarkan MPPB itu.

■2130pm

Dalam hal ini, saya ingin menarik perhatian bahawa, dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, semasa membuat kajian separuh penggal, pada tahun 2010 sasaran MPPB ialah 150,000 orang usahawan. Kita hanya tinggal kira-kira setahun enam bulan sahaja atau setahun lima bulan sahaja lagi. Jadi apakah tahap pencapaian pada masa ini dan kalau jurang itu masih jauh, adakah MITI mampu, dengan tugas baru ini, mencapai sasaran 150,000 itu? 150,000 itu kira-kira 5% penduduk Bumiputera.

Manakala sasaran pada tahun 2020 pula ialah 200,000 usahawan dalam kelompok MPPB dan peratusnya adalah 4% dari jumlah penduduk Bumiputera. Dari segi absolute value, dengan izin, angkanya memanglah meningkat dari 150,000 kepada 200,000 iaitu sebanyak 50,000 bertambah. Akan tetapi dari segi relatif pula, dari segi nisbahnya, ia menurun daripada 5% kepada 4%. Saya mintalah supaya pegawai SMIDEC atau pegawai MITI dan pegawai yang menjaga BCCI atau MPPB merujuk semula atau melihat semula, revisit sama ada sasaran ini munasabah atau tidak, kerana bukan semakin besar tetapi semakin kecil dari segi peratusnya.

Saya ucap tahniah kepada SMIDEC kerana mengikut laporan yang dibentangkan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri pada 7 hari bulan lalu, bagi geran dan pinjaman untuk Bumiputera, seramai 6,074 orang yang telah menerimanya manakala bukan Bumiputera pula adalah seramai 16,880 orang ataupun 180% lebih ramai dari usahawan atau SME bumiputera. Dalam konteks usahawan Bumiputera yang berjaya tadi, 6,074 orang, ia bersamaan secara purata, kerana ia adalah dari tahun 1995, bersamaan 868 orang setahun ataupun 72 orang sebulan ataupun dua orang sehari. Itulah yang telah dapat diusahakan oleh SMIDEC berhubung dengan SME Bumiputera – dua orang sehari.

Manakala bagi bukan bumiputera pula ialah tujuh orang sehari yang dapat dibantu. Soalan saya, adakah dua orang sehari dan tujuh orang sehari ini suatu kejayaan? Di mana tahapnya? Sederhana, cemerlang, gemilang, terbilang? Itu saya serahkanlah kepada Dewan ini untuk menilainya.

Dari segi program peningkatan EKS pula, hanya 233 orang yang telah dapat dibantu. Kalau 233 orang ini, semuanya dari industri perkilangan atau perusahaan perkilangan, maka ia hanyalah seramai 2% sahaja.

Saya insaf, bukan suatu yang mudah untuk membantu mereka ini. Sudah tentu pegawai SMIDEC bertungkus-lumus mencari, mengejar usahawan SME Bumiputera ini, supaya mereka boleh dibantu. Akan tetapi itulah yang dapat dibantu, berdasarkan angka yang diberikan kepada saya pada 31 Mac yang lalu, satu jawapan bertulis ya.

Ini bermakna kalau kita nak mengikut rentak tarian Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, yang hendak melonjakkan ekonomi negara ini kepada satu tahap yang lebih tinggi supaya kita menjadi ekonomi yang dapat meningkatkan pendapatan negara, maka SMIDEC mempunyai tugas yang cukup berat kerana 99% daripada syarikat yang berdaftar adalah bertaraf SME.

Lantaran itu, saya jangka SME perlu melaksanakan pendekatan lain, pendekatan yang sudah dilaksanakan itu, sudah terbukti berjaya. Tahap kejayaan seperti mana yang dimaklumkan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri sendiri, yang cuba saya ringkaskan. Ini bermakna SMIDEC mesti mencari pendekatan baru untuk membantu semua SME, terutama yang lemah tanpa mengira kaum. Daripada satu sudut yang lain ialah membantu BCCI, kerana yang menjadi landasan untuk memperbesarkan MPPB, untuk memperkasa MPPB, tidak ada landasan yang lebih baik selain daripada SME.

Maka apakah pendekatan baru yang konon dikatakan bersifat blue ocean, thinking outside the box, anjakan paradigma oleh Steven R Covey? Apa dia yang patut dibuat? Cakap, semua orang boleh cakap, Datuk Akbar Ali pun boleh cakap tetapi apa dia yang nak kami buat? Itu mungkin soalan yang berlegar di benak para pegawai warga MITI. Jadi di sini saya ingin mencadangkan, seperti mana yang dikatakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, di masa lalu kita akui, kita bantu kenalan kita, kroni kita, walaupun mereka ini tidak berdaya saing.

Maka banyaklah yang gagal selepas dibantu sama ada dia menjadi sleeping partner, menjadi ali baba dan sebagainya. Ini diakui oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Itu sebab beliau mahu merombak pendekatan yang ada sekarang. Jadi saya cadangkan untuk mencari betul-betul mereka yang berdaya saing supaya boleh dibantu, supaya boleh diangkat daripada yang bertahap mikro, daripada tahap kecil dan lepas itu ke tahap sederhana dan seterusnya mungkin ke tahap besar.

Profesor Dato’ Dr. Firdaus bin Abdullah: Boleh saya minta laluan?

Datuk Akbar bin Ali: Ya, terima kasih, boleh.

Profesor Dato’ Dr. Firdaus bin Abdullah: Saya amat tertarik dengan ketekunan Yang Berhormat Datuk Akbar Ali membuat homework untuk perbincangan ini. Dalam homework Yang Berhormat buat itu, adakah terdapat imbasan-imbasan atau gambaran-gambaran bahawa kalau Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia dihidupkan kembali, segala rintihan Yang Berhormat kemukakan itu mungkin akan lebih cepat penyelesaiannya? Terima kasih.

Datuk Akbar bin Ali: Terima kasih Yang Berhormat, rakan baik saya Profesor Dato’ Dr. Firdaus bin Abdullah. Soalan ini pun soalan one million dollar question atau one billion dollar question. Biar saya jawab apa yang sekurang-kurangnya saya dapat daripada akar umbi. Dari akar umbi dan juga dari blog dan juga dari…

Timbalan Yang di-Pertua: Yang Berhormat, panjang lagi kah ucapan Yang Berhormat?

Datuk Akbar bin Ali: Mungkin bagi saya setengah jam lagi… [Dewan riuh]

Timbalan Yang di-Pertua: Setengah jam? Kalau boleh tolong gulung ya, kerana ada beberapa Ahli-ahli Yang Berhormat lagi hendak mengambil bahagian.

Datuk Akbar bin Ali: Ya, sepatutnya kalau kita sambung sampai hari Isnin seperti asal pun, saya rasa lagi baik.

Timbalan Yang di-Pertua: Bagi sepuluh minit, Boleh?

Datuk Akbar bin Ali: Kalau itu, saya nak kena jawab soalan ini dah lima minit. Habis saya punya ada lagi 30 minit. Oleh sebab kita sudah tidak begitu…, orang kata ‘alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan’…

Timbalan Yang di-Pertua: Silakan.

Datuk Akbar bin Ali: Namun begitu yang mengawasi, yang memandu Dewan ini ialah Tuan Yang di-Pertua pada masa ini.

2140pm

Mengikut maklumat akar umbi dari blog dan surat khabar-surat khabar tertentu, memang ramai sekurang-kurangnya, kalau saya gunakan perkataan agak lembut, yang apprehensive berkenaan dengan pemansuhan MECD ini. Jadi penjelasan yang mantap harus diberikan, seperti mana yang dijanjikan, supaya kita semua faham the wisdom Yang Amat Berhormat Perdana Menteri memansuhkan MECD ini.

Apabila rakyat sudah faham kewajarannya, kemunasabahannya maka mudahlah apa yang dikatakan in management cliché ‘to buy in’ and we can own the decision. Maka berlakulah collective ownership. Selagi tidak berlaku buy in, selagi tidak berlaku collective ownership maka masalah apprehension ini akan berterusan dan ini tidak begitu sihat bagi kerajaan.

Sesungguhnya saya rasa rakyat masih menantikan janji berkenaan dengan penjelasan mengapa MECD itu dimansuhkan. Saya rasa kalaulah one stop agency itu sebagai bukti peningkatan efficiency dan effectiveness, maka one-stop agency seperti MECD itu seharusnya dapat memenuhi apa yang cuba dicapai oleh one-stop agency tadi.

Seterusnya Tuan Yang di-Pertua saya ingin menarik kepada seksyen 2(b)(ii) dan seksyen 4(7) iaitu berkenaan dengan wakil-wakil dalam majlis perbadanan ini. Saya ingin tahu, selain daripada yang disenaraikan itu, siapakah wakil penjaja dan peniaga kecil di dalam majlis ini atau mereka terkeluar daripada ruang lingkup kuasa perbadanan yang baru ini? Harus ingat ada setengah juta peniaga kecil dan penjaja di Malaysia. Kalau mereka tidak diliputi saya ingin tahu badan mana pula yang menjaga welfare kesejahteraan peniaga kecil dan penjaja tersebut? Kalau diwakili adakah dia terangkum di bawah Dewan Perniagaan?

Kalau terangkum di bawah Dewan Perniagaan maka dijangka ia tidak dapat mewakili kumpulan yang besar ini kerana ada kumpulan-kumpulan lain juga yang cuba diwakili oleh Dewan Perniagaan. Sudah tentu peniaga kecil dan penjaja ini tidak mendapat perhatian oleh Dewan Perniagaan kerana Dewan Perniagaan merupakan gergasi dalam komunitinya; maka gergasilah yang akan dapat perhatian. Kita bimbang penjaja dan peniaga kecil menjadi anak tiri.

Keduanya, di bawah seksyen yang sama, di kalangan lebih setengah juta SME ini 550,000 lebih kurang, sektor perkilangan hanya 7%, sektor pertanian hanya 6% dan selebihnya adalah sektor perkhidmatan.

Wajarkah sektor perkhidmatan yang 14 kali lebih besar dan lebih ramai mempunyai wakil yang sama dengan sektor pertanian dan perkilangan iaitu seorang juga? Kita haraplah ada apa yang dipanggil a sense of proportion atau sekurang-kurangnya ada proportionate representation, dengan izin, dalam majlis ini.

  1. CEO TERAJU – BERSILAT / BERTAICI? « Hidup Tuah!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: