RAKYAT MALAYSIA: MISKIN BERTAMBAH MISKIN, KAYA SEMAKIN KAYA – BETULKAH?

MERRY X’MAS TO ALL MY CHRISTIAN READERS / FRIENDS AND A VERY HAPPY & PROSPEROUS NEW YEAR (2010) TO ALL MY READERS/ FRIENDS.

1. Pada 16 Disember 2009, YB Senator Dr Syed Husin Ali telah mengangkat sumpah sebagai seorang Senator di Dewan Negara yang mulia itu. Beliau dipilih oleh DUN Selangor dan mewakili PKR. Setinggi tahniah.

2. Dalam ucapan sulungnya itu, beliau telah menzahirkan pandangan serongnya terhadap Dewan tersebut. Namun, pada 22 Disember 2009, beliau, dengan jelas, telah menzahirkan pula pandangan yang berbeza dan positif. Beliau dapati bahawa ahli Dewan Negara, berdasarkan kesungguhan masing-masing berhujah, bukanlah mereka yang boleh dianggap sebagai ‘rubber stamp’.

3. Dalam tempoh seminggu, kami telah sama-sama saksikan bagaimana pandangan serong beliau selama ini terhadap parlimen telah berubah. Yang lebih penting lagi ialah kita hendak menyaksikan sumbangan membina yang mampu beliau usahakan kelak.

4. Sehubungan sumbangan membina ini, saya tertarik dengan ucapan sulung beliau pada 16 Disember itu. Sepertimana yang dijangkakan, peluang berucap itu (boleh rujuk hansad Dewan Negara) telah beliau gunakan sepenuhnya dengan menghentam kerajaan – Malaysia telah tertinggal di belakang Korea Selatan, Taiwan dan Singapura; rasuah berleluasa dan orang miskin bertambah miskin, yang kaya bertambah kaya.

5. Tidak ada apa yang baru. Syor yang membina dinantikan.

Park Chung Hee

6. Tidak dinafikan bahawa, pada tahun 1960an, Malaysia berada di hadapan 3 buah negara / ekonomi berkenaan. Korea Selatan sendiri, misalnya, belajar dari negara kita. Saemaul undong movementnya adalah berakarkan semangat gotong royong orang Melayu yang dipinjam oleh Presiden Park Chung-hee. Beliau terpikat dan merealisasikan maksdud Firman Allah swt bahawa nasib sesuatu kaum itu tidak akan diubah oleh Allah melainkan diubah oleh kaum itu sendiri.

Usaha Kerajaan

7. Kerajaan, khususnya DSN, mengakui hakikat ketertinggalan negara kita tanpa ingatan daripada Dr Syed Husin. Beliau telah mengakui melalui ucapan Bajet sulungnya (2010):

“Kini, negara berada di kedudukan kritikal sama ada untuk terus terperangkap dalam kelompok negara berpendapatan sederhana atau memilih untuk melonjak sebagai ekonomi berpendapatan tinggi.”

8. Seterusnya beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia supaya sama-sama “beranjak kepada satu bentuk model ekonomi baru berasaskan inovasi, kreativiti dan nilai tambah tinggi.” Model baru ini sedang dirangka. Alangkah baiknya jika Dr Syed Husin turut mengemukakan input yang membina dan praktikal untuk merealisasikan model tersebut.

Memerangi Rasuah

9. Mengenai rasuah pula, saya turut telah menyuarakan kebimbangan yang sama semasa saya membahaskan Bajet 2010 pada 15 Disember. Menurut Corruption Perception Index (CPI), persepsi terhadap negara kita telah bertambah buruk; skor telah menurun dari 5.1 mata (2008) kepada 4.5 mata (2009) dan kedudukan pula telah merosot dari tangga 47 ke tangga 56 pada tempoh yang sama.

10. Kes PKZ dan kecurian enjin jet kapal terbang TUDM memburukkan lagi persepsi yang sedia ada.

11. Sudah tentulah bukan sahaja persepsi negatif ini perlu dibetulkan bahkan hakikat sebenar mestilah dibersihkan. Usaha ini hendaklah dipergiatkan lagi dan ianya mestilah berterusan.

12. Di era Tun Dr Mahathir, misalnya, beliau telah memperkenalkan ‘Bersih, Cekap, Amanah’, ‘Penerapan Nilai-nilai Islam’ dan menukar Biro Siasatan Negara (BSN) kepada badan Pencegah Rasuah (BPR).

13. Di era Pak Lah pula , misalya, usaha untuk membersih dan memantapkan imej institusi tertentu yang berkait rapat dengan integriti telahpun dilaksanakan. Contohnya, BPR telah dirombak menjadi SPRM; Suruhanjaya Intigriti Agensi Pelaksana (SIAP) telah ditubuhkan dan Institut Intigriti Negara (IIM) telah lebih dulu diwujudkan.

14. DSN meneruskan usaha tersebut; malah lebih gigih lagi. Memerangi rasuah dipilih sebagai salah satu daripada enam NKRA yang utama.

15. Melalui Bajet 2010, beliau mengemukakan tiga inisiatif untuk membasmi rasuah – (a) menggubal Whistle Blower Act, (b) menubuhkan 14 buah lagi Mahkamah Syesen Khas Rasuah dan empat buah Mahkamah Tinggi Khas Rayuan Kes Rasuah, dan (c) meningkatkan usaha memperbaiki imej SPRM.

16. Satu usaha DSN yang tidak harus terlepas pandang ialah memilih dan menempatkan para menteri beliau yang dilihat berintigriti dan berkelayakan di kementerian yang sesuai. Contohnya, YB DS Ahmad Husni ditempatkan di Kementerian Kewangan, Tok Pa di MITI dan DS Dr Rais Yatim di KPKK. Usaha ini merupakan pra syarat untuk mengembalikan keyakinan rakyat dan para pelabur terhadap kerajaan.

17. Usaha DSN seterusnya, dalam konteks ini, ialah membentangkan Rang Undang-undang Jawatankuasa Etika Hakim 2008 yang telah diluluskan oleh Parliamen pada persidangan berakhir pada 22 Disember 2009 lalu.

18. Diyakini persepsi akan bertambah baik setelah selesainya kontroversi PKFZ dan kecurian enjin jet itu, jika tidak timbul pula isu-isu baru yang mengejutkan.

Bertambah Miskin?

19. Mengenai tuduhan rakyat ‘miskin bertambah miskin, kaya bertambah kaya’ pula, Dr Syed Husin amat yakin tuduhnnya itu adalah betul walaupun, pada masa itu, beliau akui yang dia tidak dapat menyokongnya dengan data dan fakta seperti Gini Coefficient kerana tidak cukup bersedia. Beliau turut menuduh bahawa ukuran kemiskinan (Pendapatan Garis Kemiskinan – PGK) tidak pernah berubah sejak 10 tahun yang lalu.

20. Oleh kerana saya memiliki maklumat yang berkaitan maka saya telah memaklumkan kepada Dewan untuk menyatakan fakta yang sebenar (kadar kemiskinan, Gini Coefficient, PGK dan nisbah pendapatan) dan membetulkan kesilapan beliau itu. Malangnya, beliau menolak pula fakta-fakta itu tanpa alasan yang konkrit sedangkan, pada awalnya, beliau sendiri mengiktiraf tool ‘Gini Coefficient’ untuk mengukur jurang pendapatan.

21. Oleh kerana kedudukan saya pada masa itu adalah sebagai ‘mencelah’ maka, mengikut ‘adab’ Dewan Negara, kuranglah sesuai bagi saya terus membantah dan mengganggu ucapan Dr Syed Husin. After all, I’ve made my point. Lagipun, saya menjangkakan, semasa penggulungan nanti, pihak kerajaan akan menggunakan ‘bola tanggung’ ini untuk melibasnya..

22. Sesungguhnya saya terkilan kerana Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Devamany, memberikan hujah yang kurang memberangsangkan; tidak cukup untuk membuktikan kejayaan cemerlang kerajaan dan menginsafkan pula Dr Syed Husin.

23. Saya teruja untuk membantu beliau tetapi niat baik itu tidak saya teruskan kerana saya bimbang akan disalah anggap / di misconstrue seolah-olah ‘lebih sudu dari kuah’ dan mempamerkan pula kelemahannya.

24. Untuk berlaku adil kepada kerajaan dan untuk membetulkan pandangan jumud tersebut serta menginsafkan Dr Syed Husin maka eloklah dihuraikan kejayaan usaha kerajaan memerangi kemiskinan dan merapatkan jurang pendapatan.

25. Vehicle utama kerajaan ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB). Serampang dua matanya ialah (a) membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan (b) menyusun semula masyarakat.

26. DEB telah memberi munafaat kepada SEMUA kaum; bukan kepada Bumi sahaja. Kadar kemiskinan semua kaum dan penduduk Bandar / Luar Bandar telah dapat dikurangkan ekoran daripada kejayaan meningkatkan pendapatan mereka seperti yang dapat disaksikan melalui data berikut:

Kadar Kemiskinan, 1970 / 2007 (%).

No.     Kaum/Strata                    1970                     2007

1.         Jumlah/Negara                   49.3                       3.6
2.         Bumiputera                          12.2*                      5.1
3.         Cina                                          2.1*                        0.6
4.         India                                        2.6*                        2.5
5.         Bandar                                    21.3                        2.0
6.         Luar Bandar                         58.7                        7.1

* – 1995

Purata Pendapatan Isi Rumah Bulanan, 1970 / 2007 (RM).

No.   Kaum/Strata              1970              2007           % Kenaikan

1.       Jumlah/Negara             264                   3,686              1,296
2.      Bumiputera                      1,604*             3,156               97
3.      Cina                                     2,890*             4,853               68
4.      India                                   2,140*              3,799               76
5.      Bandar                               2,589                4,356               68
6.      Luar Bandar                    1,326                 2,283               72

* – 1995

27. Ukuran kemiskinan tersebut bersandarkan kepada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang berubah-ubah; bukan statik seperti yang disangkakan oleh Dr Syed Husin. Sebagai contoh, PGK bagi Semenanjung pada tahun 2004, 2007 dan 2008 adalah masing-masing sebanyak RM660, RM720 dan RM750. Sabah dan Sarawak mempunyai PGK masing-masing.

28. Kejayaan Malaysia membasmi kemiskinan ini telah diakui oleh badan-badan dunia yang berwibawa seperti Bank Dunia. Malah kita lebih berjaya dari beberapa negara maju yang mencatatkan kadar kemiskinan yang lebih tinggi; misalnya Jerman (11%), Amerika Syarikat (12%), England (14%) dan Korea Selatan (15%).

Jurang Melebar?

29. Berhubung dengan jurang pendapatan pula, adalah diakui bahawa ada segelintir penduduk yang bertambah kaya dan ada yang bertambah miskin. Namun, pada umumnya, kerajaan juga telah berjaya merapatkannya dari kedua-dua aspek – (a) intra kaum / strata dan (b) antara (inter) kaum / strata.

30. Untuk mengukur jurang intra kaum / strata, Gini Coefficient sesuai digunakan. Ukurannya ialah dari ‘0’ (perfect equality) hingga ‘1’ (perfect inequality). Data berikut membuktikan bahawa jurang pendapatan telah semakin rapat / mengecil, kecuali bagi kaum Cina dan India:

Ukuran Gini Coefficient, 1970 / 2007.

No.         Kaum/Strata               1970                    2007

1.             Jumlah/Negara              0.513                    0.441
2.            Bumiputera                       0.441*                 0.430
3.            Cina                                      0.428*                 0.432
4.            India                                    0.404*                 0.414
5.            Bandar                                0.504                    0.427
6.           Luar Bandar                      0.469                     0.388

* – 1995

31. Untuk mengukur antara kaum / strata pula, data nisbah pendapatan sesuai digunakan. Data-data berkaitan membuktikan jurang pendapatan juga telah mengecil. Contohnya, pada tahun 1995, setiap RM1 milik Bumi, orang Cina memiliki RM1.80; tetapi pada tahun 2007, setiap RM1 yang dimiliki oleh Bumi, orang Cina hanya memiliki RM1.54; berkurangan sebanyak 26 sen atau 14.4%..

Nisbah Pendapatan, 1995 / 2007 (RM).

No.       Kaum/Strata                1995                  2007

1.           Bumiputera:Cina              1:1.80              1:1.54
2.          Bumi:India                          1:1.33               1:1.20
3.          Luar Bandar:Bandar        1:1.95               1:1.91

32. Jika dilihat dari sudut syer pendapatan pula, ia juga menunjukkan hakikat yang sama – jurang pendapatan semakin rapat iaitu dengan mengurangkan syer penduduk kaya (20% di atas) dan menambahkan syer kumpulan menengah (40% pertengahan) dan. golongan miskin (40% di bawah).

Syer Pendapatan (%), 1995 / 2007.

No.       Kelas Pendapatan          1995          2007

1.          20% di atas                             51.3            49.8
2.          40% pertengahan                35.0            35.6
3.          40% di bawah                       13.7             14.6

33. Bagaimana ianya boleh berlaku? Secara matematik, ia bolehlah dijelaskan dengan melihat peratus kenaikan purata pendapatan bulanan isi rumah. Peratus kenaikan pendapatan kaum paling miskin (Bumi) melonjak paling tinggi (97%) berbanding kaum-kaum lain manakala pendapatan kaum India pula melompat lebih tinggi (76%) dari kaum Cina (68%) – kaum yang terkaya! Begitu juga pendapatan isi rumah luar bandar meningkat lebih pantas (72%) dari isi rumah bandar (68%). Justeru, semua maklumat berkenaan bolehlah dilegitimasikan.

34. Kejayaan cemerlang Kerajaan BN dalam menangani penyakit sosial ini (kemiskinan dan jurang pendapatan) hendaklah dilihat dalam konteks kecekapan pengurusan ekonomi negara yang lebih luas iaitu dengan merujuk kepada empat lagi angkubah ekonomi utama. Empat angkubah itu ialah (a) pertumbuhan ekonomi yang baik (b) purata pendapatan isi rumah yang bertambah, (c) kadar pengangguran yang rendah, dan (d) kadar inflasi yang terkawal.

35. Kenaikan purata pendapatan bulanan isi rumah yang lebih pantas dari kenaikan kadar inflasi membolehkan rakyat menikmati pertambahan sebenar pendapatan yang boleh digunapakai (real increase in disposable income). Sebagai contoh, kenaikan pendapatan antara 2004 / 2007 adalah sebanyak 13.5% sedangkan kenaikan inflasi hanyalah 10% bagi tempoh yang sama..

Berhak Mencabar

36. Dr Syed Husin berhak mencabar data-data di atas dengan mengemukakan tools dan faktanya pula. Bolehlah kita sama-sama menelitinya. Sebagai seorang ahli akademik yang berwibawa, saya cukup yakin beliau akan menerima data, fakta dan penjelasan di atas jika ianya tidak dapat dicabar.

37. Namun yang lebih utama sekarang ialah apakah sumbangan yang boleh kita semua, termasuk Dr Syed Husin, berikan kepada DSN dalam mengisi komitmen beliau untuk menghapuskan kemiskinan ini walaupun, secara relatif, telahpun rendah? Komitmen tersebut merupakan salah satu daripada enam NKRA yang telahpun beliau umumkan.

38. Seterusnya apakah input yang boleh kita sama-sama berikan untuk mengisi model ekonomi baru yang sedang dirangka itu? Impak model ekonomi berkenaan hendaklah berupaya melonjakkan negara kita ke dalam kelompok negara berpendapatan tinggi manakala semua rakyat hendaklah pula dapat menikamati kemakmuran yang bakal dijana itu secara adil dan saksama.

  1. #1 by mahdee on December 30, 2009 - 4:53 pm

    Posting DarahTuah bertarikh 26hb. Dec 2009 amat berguna bagi menjelaskan kedudukan sebenarnya perubahan struktur ekonomi negara ini. Terutama perbandingan antara kaum-kaum utama. Sekurang-kurangnya bagi membantu kaum-kaum berkenaan dinegara ini mengetahui kedudukan mereka dalam negara yang makmur ini. Kita dapat melihat bagaimana kemewahan dinikmati oleh bukan Melayu disebuah negara yang majoritinya Melayu dan Bumiputera. Bagaimana DEB sebenarnya telah memberi peluang yang luas untuk kaum lain tanpa ada rasa cemburu dikalangan pemimpin, Melayu pegawai Melayu dan orang Melayu sendiri.

    Namun kita jangan lupa bahawa jika perbandingan antara kaum menjadi asasnya pencapai yang amat membangakan itu hanyalah sehingga tahun 1998. Selepas itu jurang antara Melayu dengan bukan Melayu telah semakin melebar. Sebagai contohnya tahun 2000 memaparkan share Bumiputera dalam economic cake negara telah menurun kepada 19.5% berbanding dengan 22% dalam tahun 1998. Matlamat DEB sebenarnya ialah 30%.

    Soalnya apakah kita akan mampu mengembalikan tindakan kita kelandasan DEB yang sebenar iaitu menuju kepada matlamat 30%. Jawapannya… Masih kabur nampaknya. Apatah lagi DEB bukan lagi menjadi agenda utama kerajaan masa kini. Ia kini hanya menjadi agenda sampingan. Sebaliknya kita lebih menumpukan kepada pembangunan kebendaan mutlak tanpa unsur mpenyusunan.

    Apa tindakan kita?. Tidak ada siapa yang lebih mampu mengusahakannya melainkan kerajaan. Saya berharap pemimpin-pemimpin kita yang telah diberikan amanah dan kepercayaan dapat megolah semula program-program pembangunan dan ekonomi negara ala DEB. Kita khususnya orang Melayu tidak mampu berhadapan dalam sistem ekonomi bebas. Saingan sebenarnya akan membunuh Melayu walau sebanyak mana subsidi dan insentif diberi. Dalam masa yang sama selain dari kaum lain terdapat segelintir orang Melayu yang berkuasa tidak selesa melihat Melayu maju.

    Sebabnya?…..Fikir-fikirkanlah.

    Selamat menyambut tahun baru 2010. Semoga terus maju.
    Kalau kita selalu

    • #2 by darahtuah on January 6, 2010 - 10:10 am

      Sdr Mahdee,

      Salam & STB 2010

      Kebimbangan org Melayu tak mencapai sasaran pemilikan ekuiti sebanyak 30% memanglah real. Saya juga telah menyuarakan dalam beberapa rencana seperti yang berkaitan dengan PNB; syarat2 dibawah FIC telah dimansuhkan serta merta sedangkan Ekuinas belum lagi berfungsi.

      Berkenaan MEB, sasaran impaknya telah saya tegaskan di para terakhir (38).

      Terima kasih.

  2. #3 by Aa on January 1, 2010 - 9:48 am

    Purata Pendapatan Isi Rumah Bulanan, 1970 / 2007 (RM).

    No. Kaum/Strata 1970 2007 % Kenaikan

    1. Jumlah/Negara 264 3,686 1,296
    2. Bumiputera 1,604* 3,156 97
    3. Cina 2,890* 4,853 68
    4. India 2,140* 3,799 76
    5. Bandar 2,589 4,356 68
    6. Luar Bandar 1,326 2,283 72

    * – 1995
    Kenaikan bumiputera ke 97% bukan melambangkan kenaikan seluruh bumiputera. Akan tetapi kenikan itu juga adalah kerana jurang bumiputera yang amay kaya dan amat miskin adalah tinngi.

    • #4 by darahtuah on January 6, 2010 - 10:11 am

      Aa,

      Salam & STB 2010,

      Sila ambil perhatian bahawa jurang pendapatan Bumi semakin rapat, sepertimana yang diukur melalui Gini Coefficient (lihat jadual di para 30).

      Terima kasih.

  3. #5 by lok lok on August 10, 2010 - 5:49 pm

    Masalah orang Melayu ialah mereka enggan berubah cara hidup. Yang mana orang Cina sanggup merentas lautan untuk mencari kehidupan yang lebih baik, orang Melayu masih tinggal dalam kampung.

    Kat negara mana pun, penduduk bandar secara lazim memang lebih kaya daripada penduduk luar bandar. Terdapat lebih banyak kerja di bandar dan gaji juga lebih tinggi. Kanak kanak yang tinggal di bandar pun celik IT, kalau rumahnya takde komputer, rumah kawan pun ada.

    Kalau orang Melayu ingin menaik taraf kehidupannya, kena la behijrah ke bandar untuk mencari makan.

  1. KEC – ORANG CINA KINI MAHU PULAK CELAH PEHA MELAYU! « Hidup Tuah!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: