UCAPAN SAYA DI MALAM PERSANDINGAN ANAK LELAKI KAMI, SYAMSUL AZLY PADA 3 APRIL 2010.

(Atas permintaan para sahabat, saya abadikan ucapan ini dalam Darah Tuah)

Bismillah…salam…salam sejahtera

Alu-aluan

Yang berusaha En. Razali, pengacara majlis,
Yang dikasehi YB DW Othman Mohd, Speaker DUN Melaka dan YBhg. Datin Wira,
YB DW Hj. Ahmad Hamzah, Ahli Parlimen Jasin merangkap Ketua UMNO Bahagian Jasin & YBhg. Datin Wira,
YBhg. TS DW Ahmad Nordin Md Amin dan YBhg. Puan Sri,
Sahibus samaha Datuk Wira Hj. Rashid Redha Hj. Md Saleh, Mufti Negeri Melaka,
YB Ahli Majlis Kerajaan Negeri,
YB Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Rakyat, Ahli DUN Melaka,
Behsan kami, YBhg. Dato’ Abu Zubir Haji Mahfodz dan YBhg. Datin Zaharah Hj. Abdul Ghani,
YBhg Datuk-datuk, tuan-tuan dan puan-puan yang menjadi tetamu kehormat kami pada malam ini.

Awal Bismillah, marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah swt kerana dengan izinNya jua maka rancangan majlis ini menjadi kenyataan yang sah. Pada masa yang sama, marilah kita semua mengangkatkan salam ke atas Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad saw bagi mendapatkan shafaat Baginda siang dan malam.

Tuan-tuan & Puan-puan,

Sesunguhnya saat paling bahagia bagi ibu bapa semasa hidup ialah ketika berlangsungnya pernikahan anak mereka. Sanak saudara, kaum keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai diundang dan, jika berkesempatan, mereka akan turut memeriahkan dan sama-sama bergembira pada hari bahagia itu, seperti di majlis seperti pada malam yang bertuah ini.

Saya sedar ada beberapa majlis yang bertembung pada malan ini, seperti majlis YB DSU Dr Rais Yatim. Namun Tan Sri/DW/Datuk/Tuan-tuan & Puan-puan telah memilih untuk menghormati undangan kami. Lantaran itu, kehadiran semua tetamu undangan kami amatlah kami hargai.

Pada masa yang sama, saya menyanjung tinggi kunjungan YABhg Toh Puan ke rumah kami pada petang Khamis lalu. Pada mulanya TYT Tun dan Toh Puan telah bersetuju untuk hadhir di majlis ini tetapi atas urusan yang lebih penting maka kedua-duanya tak dapat hadhir. Lalu Toh Puan telah bersusah payah berjunjung lebih awal ke rumah kami.

Begitu juga dengan YAB Datuk Seri. Beliau tak dapat hadhir pada malam ini kerana undangan yang lebih penting. Namun, di saat-saat akhir, YABhg. Datin Seri dan kedua-dua anak beliau telah berusaha untuk hadhir di majlis kami.

Sahabat-sahabat yang lain ada juga yang telah mengambil daya usaha yang serupa seperti YBhg Datuk Wira Yusuf Hashim.

Dengan rendah diri, kami hargai semua penghormatan yang telah diberikan kepada kami itu.

Tuan-tuan & Puan-puan,

Saya mohon izin kepada TS/DW/Datuk dan sahabat semua untuk menyebut dua nama secara khusus sebagai tanda penghargaan khas tanpa sebarang niat bahawa kurangnya penghormatan dan penghargaan kami pada yang lain.

Seorang ini ialah sahabat baik saya sejak di UM 40 tahun yang lalu dan isteri beliau telah menjadi kakak angkat saya. Kakak angkat inilah yang membantu dan memandu kehidupan saya semasa saya bujang dan baru mula bekerja hinggalah saya berumahtangga.

Beliaulah yang mencarikan rumah untuk disewa, orang gaji untuk membersihkan rumah dan mencuci pakaian serta menjadi penjamin di kedai runcit tempat saya berhutang. Pertolongannya ikhlas, sentuhannya mesra dengan senyuman menghiasi muka.

Walaupun telah lama bersara dan mereka tinggal di KL dan kami pula di Melaka namun hubungan baik ini terus kekal dan penuh mesra. Justeru walaupun kurang sihat, namunmereka berdua sedia berpapah datang ke majlis ini. Lantaran kehadhiran ini serta budi dan jasa mereka berdua yang amat banyak itu tetap saya sanjung dan saya kenang:

Dari Bentung pergi Rengit
Tanjug Rusa airnya tenang
Langit tergantung bumi tersenget
Budi dan jasa tetap dikenang.

Pasangan suami isteri yang menjadi saudara angkat saya itu ialah En. Malik dan Kak Faridah; kebetulan mertua kepada En. Shamsudin, SUS Kepada TYT. (minta berdiri)

Dalam pada itu, TS, DW, Datuk dan para hadhirinlah yang sesungguhnya telah menjaya dan menyerikan lagi majlis kami. Penghargaan yang tinggi ini hanya mampu saya simpul dan zahirkan dalm dua buah pantun ini:

Seiring madah pantun bersambut
Halua telinga tanpa nan jemu
Mesra berdakap kasih terpaut
Semadi di kalbu bertandangnya tamu.

Merahnya delima manisnya nona
Buat santapan tuan puteri
Majlis meriah penuh bermakna,
Kehadhiran semua menambah seri.

Dalam kami memohon kasih pada yang datang, kami ingin pula memohon maaf pada semua sanak saudara dan sahabat handai yang tak upaya kami undang kerana kesuntukan ruang. InsyaAllah, pada bulan Disember mendatang kan kami undang.

Untuk makluman para hadhirin, dua mempelai ini telah pun diijabkabulkan pada bulan Julai tahun lepas, selaras dengan pendapat ahli-ahli agama bahawa perkahwinan itu wajib dan ianya satu amalan suci.

Hanya pada malam ini semua pihak yang berkaitan telah dapat mencapai kata sepakat untuk mempersanding dan memasyhorkan raja sehari ini.

Tuan-tuan & Puan-puan,

Imam Syafi’e telah menasihatkan kita bahawa “Bila anakmu telah dewasa, carikanlah jodohnya” tapi dunia sekarang, termasuklah kita-kita ni, belum sempat mak bapak nak carikan jodoh, dah pandai cari sendiri. Jodohnya anak Dato’ Zubir bernama Ardiana Zanaria, orang Johor; kami orang Melaka. Tak ada pertalian keluarga. Maka secara kebetulan, jodoh mereka sesuai dengan sabda Rasullullah saw yang bermaksud “Pilihlah yang jauh, nescaya kamu tiada melemahkan”

Menurut Prof Dr Ahmad Shalaby “Ilmu kedoktoran moden telah membuktikan bahawa perkahwinan antara kerabat yang dekat, jarang terdapat anak-anak yang terselamat daripada jenis-jenis penyakit yang ada pada keluarga itu, atau cacat yang diwarisinya turun temurun… Perkahwinan tanpa pertalian darah bukan sahaja mendatangkan hasil-hasil kesihatan yang baik, malah mendatangkan hasil-hasil social yang besar”. Didoakan begitulah hendaknya.

Mengenai perkahwinan ini, saya sendiri pun tak berapa tahu susur galur jalan cerita mereka bercinta; khabarnya mereka berkenalan di Johor, di tempat kerja. Maka saya pendekkanlah jalan cerita yang berjela-jela dalam rangkuman sebuah pantun orang tua-tua:

Rama-rama terbang ke dusun
Anak ketam bermain kaca
Bukan Syamsul termakan racun
Hati tertikam kerlingan mata.

Tentunya Syamsul telah berjumpa wanita idamannya seperti yang terdapat dalam satu dongeng purba India yang melukiskan sifat wanita seperti berikut; marilah sama-sama kita bayangkan wanita itu, seolah-olah kita sedang bercinta di zaman purba kala:

Al kisah…maka tersebutlah sebuah cerita…
Wanita adalah gambaran jelingan mata kijang
Keindahan cahaya matahari
Kejernihan air mata embun
Kecepatan perubahan angin
Kemanjaan arnab,
Kesombongan merak
Kelembutan leher burung layang-layang
Kepejalan berlian
Kemanisan madu
Keganasan singa
Kepanasan api
Kedinginan salji
Kicauan murai dan
Kokok burung ketitir.

Agaknya begitulah rupa perawan yang menjadi idaman semua lelaki…

Cuma, sebagai ibubapa, kami telah meningatkan bahawa:

Kalau pukat sudah direntang
Jangan dikira kering dan basah
Kalau kasih sudah dipasang
Janganlah suka berpaling tadah

Buah seletup berongga-rongga
Kalau bertangkai, tangkai selidi
Bertuah hidup berumah tangga
Kalau berpisah, bercerai mati.

Diingatkan juga bahawa mencari isteri bukan sahaja mengejar cinta tetapi adalah juga bertujuan untuk:

mencari permaisuri bagi rumah tangga,
mencari teman
mencari kekasih
mencari menantu kepada ibubapa
mencari cucu kepada datuk nenek
mencari abang / kakak kepada adik-adik yang muda
mencari adik kepada saudara-saudara yang tua
mencari keluarga bagi kaum keluarga, dan
untuk mencari ibu kepada anak-anak.

Setelah berkahwin, Syamsul, maka kenalah ingat kata-kata Francis Becon “Orang lelaki mendapati dirinya tujuh tahun lebih tua, sehari selepas dia berkahwin” .. bermakna kalau kahwin kali kedua x 7 tahun = 14 tahun..4 kali kahwin x 7 tahun = 28 tahun…sekarang Syamsul berumur 32 tahun..+ 28 tahun = 60 tahun…hampir seumur dengan ayah..tu diaaa…

Tapi jangan bimbang Syamsul..lelaki sekurang-kurangnya ada 3 umur — satu seperti dalam surat beranak, kedua, umur dari pusat ke atas…orang macam ayah, Tan Sri, DW Speaker, DW Ahmad Hamzah dan Datuk Hamzah dan mereka yang sewaktu dengan kami…10 tahun lebih muda…ketiga, umur dari pusat ke bawah..yang kami-kami ni dan sewaktu dengan kami.. 20 tahun lebih muda..tak percaya tanyalah Puan Sri…no..no..tanya Tan Sri..

Dalam pada itu, kenalah ingat pulak akan nasihat Benjamin Franklin “Sebelum berkahwin, bukalah matamu sebesar-besarnya, tetapi picingkan matamu sesudah kamu berkahwin”. Maka hadaplah isteri tu sampai kamu tua sebab menurut Francis Becon lagi, “Isteri adalah kekasih bagi suami muda, teman bagi suami yang setengah usia dan perawat bagi suami tua”.

Oleh itu hormatilah isterimu kerana dia adalah temannmu dalam menempuh hidupmu. Lalu ikutlah amalan Ibbnu Abbas “Bahawa sebagai suami aku suka berhias untuk isteriku, sebagaimana aku suka isteriku berhias untukku”. Bukan begitu DW Mufti?

Syamsul dan Diana hendaklah ingat bahawa rumahtangga umpama sebuah kerajaan, suami menjadi raja dan isteri adalah ratu yang mempunyai kuasa yang cukup di dalamnya, selaras dengan maksud Hadis “Perempuan adalah pengembala di dalam rumah suaminya dan dia bertanggungjawab atas pengembalaannya.”

Namun demi kerukunan rumah tangga yang mantap dan teguh, berpandukanlah nasihat Hamka iaitu “Dasar yang paling teguh dan asli daripada suami isteri ialah amanah; ertinya percaya-mempercayai di antara kedua pihak. Itulah tiangnya, itulah jiwanya, itulah pokok-pokok bekeberuntungan rumah tangga yang sejati, itulah pangkal kasih sayang, cinta dan rahmat”.
Rahmat yang besar bagi suami ialah isteri yang solehah, selaras dengan maksud Hadis “Dunia itu adalah perhiasan hidup. Dan sebaik-baik perhiasan hidup di dunia ini ialah perempuan yang solehah”.

Seterusnya Syamsul hendaklah sentiasa ingat akan wasiat Nabi saw supaya berlaku adil kepada Diana. Dalam khutbah Baginda ketika naik haji yang penghabisan (Haji Widak), Baginda berwasiat kepada semua lelaki yang berkaian dengan wanita “Aku wasiatkan kepadamu, wahai umatku, agar berlaku adil kepada wanita, kerana kamu mengambilnya sebagai amanah Allah, dan menjadi halal kehormatannya bagi kamu ialah melalui kalimah Allah”.

Dua hari sebelum Nabi saw wafat, Baginda berpesan dari atas mimbar agar memelihara dua perkara: “Pertama, sembahyang jangan ditinggalkan; kedua, An-Nisa..wanita. Peliharalah baik-baik wanitamu”. Syamsul, ingatlah kedua-dua pesanan Junjungan Besar kita ini.

Peliharalah Diana dan jangan memburuk-burukan namanya kerana, menurut Fuller, “Suami yang memburukkan isterinya bererti memburukkan dirinya sendiri”. Dan janganlah merendahkan mertabatnya dengan menyangka dia bodoh atau tidak tahu kerana, menurut peribahasa Cina, lelaki menyangka ia tahu tetapi sebenarnya wanita lebih tahu.

Apabila sudah dikurniakan cahaya mata nanti maka dari segi kasih sayang, berpandukanlah Sabda Nabi saw yang membawa maksud iaitu “samakan antara anak-anakmu pada pemberian. Kalau sekiranya aku sendiri hendak melebihkan, tentu anak perempuan yang ku lebihi.”

Untuk seimbang, Diana pula hendaklah mengelakkan diri, misalnya, dari menjadi wanita seperti yang digambarkan oleh peribahasa Russia bahawa rambut wanita itu panjang, lidahnya lagi panjang.

Ingatlah pula akan pendapat Sheelar bahawa “Tuah dan kedaulatan isteri akan hilang apabila ia tidak menjadikan suaminya rakan yang setia”.

Kesetiaan itu penting sepertimana yang ditegaskan oleh Hamka bahawa “Ramai yang mengakui bahawasanya kejayaan suami keluar rumah menempuh perjuangan hidup amat bergantung kepada kesetiaan isteri menjaga benteng rumah tangga”.

Dan ingatlah, perselihan itu sebahagian daripada asam garam hidup; bak kata Seniman Agong P. Ramlee “sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri.”

Hujan lebat jauh di hulu
Hujan menimpa pohon belimbing
Bila marah berundur dulu
Bila sejuk baru berunding.

Jangan menjaring di tengah laut
Banyak gelombang datang menerpa
Jangan berunding muka berkerut
Banyaklah datang silang sengketa

Syamsul,

Wahai anakanda kesayangan ayah
Banyak sudah ayah berceloteh dan bermadah
Mendengarkan nasihat jangan menyalah
Semak olehmu petua amanah
Supaya hidup mu beroleh berkah.

Wahai anakanda kekasih ibu
Mendengar nasihat janganlah jemu
Di dalamnya banyak terkandung ilmu
Untuk menjadi bekal hidupmu.

Berguna hidup kerana beradat
Adat lembaga jadi pedoman
Sempurna hidup kerana Syahadat
Syahadat dijaga mengukuhkan iman.

Tuan-tuan & puan-puan,

Saya dan Dato’ Zubir yang telah menjadi keluarga melalui perkahwinan di mana kedua-dua kami telah menyerahkan anak dan menerima menantu dan telah sepakat untuk mengadakan majlis ini secara sederhana mengikut tuntutan Sabda Nabi saw bahawa “Sebaik-baik perbuatan ialah yang sederhana”.

Menyedari hakikat bahawa bumi mana yang tak ditimpa hujan, laut mana yang tak bergelora maka, dalam majlis sesederhana ini, biasanya adalah pinggan yang retak, cawan yang pecah; ada yang termasin dan pula yang termanis; ada yang kurang dan ada pula yang terlebih. Lantaran:

Kapal api dari seberang
Sarat dengan barang-barangan
Jika ada terlebeh terkurang
Kami mohon….Diumpat jangan dicaci pun jangan.

Namun kami perlu memohon maaf atas segala kekurangan itu:

Kunang-kunang terbang ke lembah
Hinggap bersarang dipohon buluh
Pinang mengadap sirih menyembah
Kami menyusun jari sepuluh.

Akhirnya, tuan-tuan & puan-puan, kami mohon berkat doa YB DW Othman Mohamad, YB DW Hj. Ahmad Hamzah dan Sahibus Samaha DW Hj Rashid Redha, saudara mara dan para sahabat semua agar sama-samalah mendoakan kebahagian rumah tangga dua mempelai ini supaya berkekalan sehingga ke akhir hayat.

Sayang Cik Mamat menjual cermin
Cermin dijual di Kg. Hulu
Ucap selamat pengantin di pelamin
Selamat sampai ke anak cucu.

Punya satu isteri mahu dakap sampai mati
Hilang semua gigi hanya tinggal dua gusi
Namun mereka tetap kasih, sayang dan saling mencintai
Sepanjang hayat kekal abadi
Hanya pemisah cangkul penggali.

Itulah doa kami…Rabbana atinah…waqinnah ‘azabannar…wassabihi wasallam.

Sekian, Assalamu’alaikum wbt. Terima kasih.

  1. #1 by Syamsul Azly Akbar on April 13, 2010 - 12:04 pm

    Terima kasih bos…we both love you and mama..

  2. #2 by azmahmohdyasin on April 22, 2010 - 4:52 pm

    Tahniah kerana terima menantu kpd Dato’& Datin..
    Congratulations to Syamsul too.. Moga berkekalan hingga akhir hayat..

    Ucapan yg sgt hebat juga..
    Padat dengan nasihat dan pantun serta peribahasa yg amat bermakna..

    • #3 by darahtuah on April 22, 2010 - 9:46 pm

      azmahmohdyasin,

      Terima kasih di atas tahniah dan penghargaan itu.

      Bila pulak akan dapat menantu?

      Darahtuah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: