AGIHAN RM500 – SATU BOM JANGKA???

Meringankan Kos Sara Hidup

1. Melalui ucapan Bajet 2012, YAB DSN / MK1 telah mengumumkan, apa yang kini disebut dengan popular, 100 touch points. Antara touch points yang banyak itu ialah pemberian RM500 sekali sahaja atau secara one-off kepada semua ISI RUMAH yang berpendapatan RM3,000 dan ke bawah sebulan – untuk warganegara yang berpendapatan sederhana dan rendah.

2. Bersama dengan prakarsa yang lain seperti pemberian RM100 kepada setiap pelajar sekolah rendah dan menengah Tahun 1 hingga Tahun 5 dan baucer buku bernilai RM200 kepada semua pelajar matrikulasi, Tingkatan 6 dan pelajar IPT, tujuan utama pemberian ini ialah untuk meringankan kos sara hidup. Tujuan tersebut adalah murni dan sudah tentu ianya mendapat sokongan ramai.

3. Pemberian RM500 itu akan memberi manfaat kepada 3.4 juta isi rumah atau 53% daripada keseluruhan isi rumah di Malaysia. Ia memerlukan peruntukan sebanyak RM1.8 bilion.

4. Pemberian RM100 dan RM200 itu pula masing-masing akan melibatkan peruntukan sebanyak RM530 juta bagi seramai 5.3 juta pelajar dan RM260 juta bagi 1.3 juta penuntut. Pemberian ini agak mudah dilaksanakan manakala pemberian RM500 itu pula akan berhadapan dengan pelbagai cabaran yang agak rumit / kompleks dan boleh ‘meletup’!

Cabaran

5. Cabaran pertama ialah isu infra LHDN. Ia hanya mempunyai kira-kira 40 buah cawangan di seluruh negara berbanding beribu sekolah dan beribu balai polis di merata kampong / pekan kecil. Dalam rekodnya pula hanyalah kira-kira 1.5 juta pembayar cukai berbanding 3.4 juta isi rumah (127%) yang hendak diberi sumbangan. Daripada mana LHDN hendak mendapatkan baki rekod lebih 2.0 juta isi rumah itu?

6. Mungkin LHDN menunggu mereka itu datang untuk membuat tuntutan di cawangan-cawangannya setelah dihebahkan melalui pelbagai saluran. Mungkin ramai yang membaca / mendengar / menonton tetapi dijangka ramai juga di kalangan orang miskin dan paling memerlukan RM500 itu tidak akan tahu berita baik ini.

7. Jika tahu pun berita tersebut, mereka tidak tahu di mana letaknya cawangan LHDN ini. Misalnya, ramai tidak tahu di mana letaknya pejabat LHDN Cawangan Melaka.

8. Jika tahupun di mana cawangan LHDN, mereka menghadapi kesulitan untuk ke sana seperti mereka yang tinggal di pendalaman Kg Bantal (Pahang), di Long Pasia (Sabah) dan di Belaga, Sarawak. Inilah cabaran kedua!  Rasa kesian saya kepada mereka ini dan simpati saya kepada LHDN.

9. Cabaran ketiga pula ialah definisi / kefahaman tentang konsep “isi rumah” itu sendiri. Ramai juga yang beranggapan isi rumah dan keluarga itu sama maksudnya. Isi rumah adalah terma teknikal yang boleh meliputi ahli keluarga dan bukan ahli keluarga. Takrifnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOS), seperti berikut:

Isi rumah ialah “sesaorang atau beberapa orang yang membuat peraturan secara individu atau kumpulan bagi persedian untuk makan atau keperluan lain untuk hidup”.

Sebuah isirumah boleh dikelaskan kepada dua jenis yang asas: iaitu isi rumah persaorangan atau isi rumah beramai-ramai.

Isi rumah perseorangan didefinasikan sebagai “seorang yang tinggal bersendirian” di dalam sebahagian atau keseluruhan tempat kediaman.

Isirumah beramai-ramai didefinasikan sebagai “adalah sekumpulan dua atau lebih yang berkongsi mendiami sebahagian atau keseluruhan tempat kediaman dan secara bersama menyediakan makanan dan keperluan lain untuk hidup”.

Sebagai tambahan, apa pula maksud tempat kediaman (TK)?

TK, menurut DOS, ialah struktur yang terasing dan bebas serta dibina untuk tujuan kediaman tetap atau sementara. Ciri-ciri penting tempat kediaman ialah bebas dan terasing. Secara umumnya, tempat-tempat kediaman boleh berbentuk rumah sesebuah, rumah berkembar, apartmen, atau unit rumah pangsa, rumah teres, bangsal berbumbung atap atau zink, unit rumah buruh papan atau konkrit (seperti di estet-estet), gua, rumah bot.

10. Definis isi rumah di atas memberikan 3 senario utama:

10.1 seorang / sebuah isi rumah dalam sebuah TK (biasanya warga emas);

10.2 lebih seorang dalam sebuah isi rumah (contohnya keluarga asas / keluarga luas / keluarga komposit); dan

10.3 banyak isi rumah dalam sebuah TK (biasanya pelajar IPT dan pekerja kilang).

11. Diberikan contoh layak mendapat RM500 ini. Katakan dalam sebuah isi rumah itu terdapat 5 orang; 3 daripadanya bekerja dan mempunyai jumlah (combined) pendapatan RM2,900 sebulan. Maka isi rumah tersebut layak mendapat RM500 tersebut.

12. Dalam pada itu, berdasarkan definisi isi rumah yang sama, jika seorang anak hartawan atau anak menteri atau anak raja yang kaya sedang belajar di sebuah IPT dan duduk menyewa rumah dengan kawan-kawan di bawah konsep 10.3 di atas dan ia menerima wang saku bulanan daripada ayahnya sebanyak RM3,000 maka anak tersebut layak menerima pemberian RM500 itu. Agaknya apakah reaksi masyarakat? Suka? Marah?

13. Cabaran keempat ialah definisi pendapatan isi rumah. Ini juga terma teknikal. Kefahaman biasa ialah pendapatan daripada gaji atau perniagaan. Sebenarnya ia merangkumi lebih dari itu.

14. Pendapatan isi rumah ialah jumlah pendapatan dalam bentuk wang tunai dan/atau mata benda yang berlaku berulang kali dan terakru kepada ahli isi rumah dalam jangka masa setahun atau lebih kerap daripada setahun.

15. Maklumat pendapatan diperoleh daripada ahli isi rumah yang menerima pendapatan. Punca utama pendapatan merangkumi:-

15.1 penerimaan daripada pekerjaan bergaji (termasuk upah dan gaji, elaun tunai, bonus, komisen, bayaran kerja lebih masa, makanan percuma, tempat menginap percuma atau konsesi, barang pengguna percuma atau konsesi, bayaran berupa mata benda dan pencaruman majikan kepada KWSP/PERKESO);

15.2 pendapatan daripada bekerja sendiri (termasuk nilai barang yang dikeluarkan di rumah untuk kegunaan sendiri);

15.3 pendapatan daripada harta benda (termasuk royalti, sewaan, faedah dan dividen);

15.4 penerimaan pindahan semasa (termasuk penerimaan wang daripada isi rumah lain, bayaran nafkah, biasiswa, felowsip, pencen, pembayaran berkala daripada harta pusaka atau tabung amanah dan hadiah berupa wang tunai atau mata benda yang diterima); dan

15.5 lain-lain pendapatan (termasuk sewa dinilai bagi rumah diduduki oleh pemilik).

16. Kefahaman tentang definisi pendapatan isi rumah ini boleh menjadi punca cabaran / masalah yang tersendiri. Saya yakin ramai tidak mempunyai kefahaman seperti ini, termasuklah pegawai LHDN yang akan ditugaskan untuk membuat penilaian sebelum keputusan boleh dibuat bagi menentukan sesebuah isi rumah itu layak atau tidak menerima pemberian RM500 tersebut.

17. Masalah utama yang akan berlaku ialah underestimating pendapatan sendiri kerana secara jujur mereka tidak faham konsep pendapatan di atas secara tepat dan lengkap, selain terdapat juga usaha sengaja hendak ‘menyorokkan’ pendapatan masing-masing.

18. Ambil contoh seorang pegawai di sektor swasta yang mendapat gaji sebanyak RM2,500 sebulan. Dia tentu sudah berangan-angan akan mendapat RM500 itu sebab dia ‘terlupa’ bahawa majikannya ada membayar KWSP untuknya sebayak RM300 sebulan (15.1). Dia pula tinggal di rumah sendiri dan katakanlah ‘imputed rent’nya sebanyak RM300 sebulan (15.5).

19. Ini bermakna pendapatan bulanan isi rumahnya (jika dia bekerja seorang saja) ialah sebanyak RM3,100 (RM2,500 + RM300 + RM300). Jumlah ini belum lagi mengambil kira jika ia makan sayur hasil tanaman sendiri (15.2) dan menerima sumbangan bulanan daripada anak-anak yang telah bekerja dan tinggal di rumah lain (15.4).

20. Maka ia didapati TIDAK layak tetapi dia telah menaruk harapan yang tinggi serta berangan-angan apa hendak dibuat dengan durian runtuh sebanyak RM500 itu. Bayangkanlah kehampaannya dan kesedihan anak isterinya!

21. Cabaran / masalah kefahaman berbeza tentang konsep isi rumah dan pendapatan isi rumah ini akan menjadikan pemberian tersebut menerima nasib yang sama seperti skim SUBUR yang sudah menjadi tidak subur; malah begitu senyap dan sepi sekali sedangkan golongan miskin terus menuggu seolah-olah menunggu buah yang tak akan jatuh!

22. Tetapi isu pemberian RM500 ini akan menjadi lebih hangat lagi. Ia kini menjadi bom jangka yang boleh meletup jika tidak diselesaikan segera dengan saksama. Ia pasti akan menjadi bahan kempen parti pembangkang menjelang PRU ke-13 nanti.

Syor

23. Untuk mendepani cabaran-cabaran yang dijangkakan di atas, maka disyorkan tindakan berikut:

23.1 Lebih sesuai tugas yang diberikan kepada LHDN itu diserahkan kepada DOS kerana:

(a) ia memahami konsep isi rumah dan pendapatan isi rumah yang merupakan bread and butternya;

(b) DOS mempunyai staf yang terlatih untuk memungut data berkenaan melalui pelbagai surveys seperti Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah, Penyaiasatan Perbelanjaan Isi Rumah, Penyiasatan Tenaga Buruh dan Banci Penduduk; dan

(c) DOS mempunyai rekod mengenai senarai isi rumah dan peta blok penghitungan yang menunjukkan taburan TK dan isi rumah.

Dalam pada itu, isu kos pemungutan maklumat oleh DOS perlulah dihalusi kerana ianya agak tinggi.

23.2 JANGAN melakukan kesilapan yang sama iaitu menyerahkan urusan memungut data isi rumah dan pendapatan isi rumah kepada Pejabat Daerah, pengululu dan JKKK. Jika diserahkan juga maka kesilapan / kelemahan / masalah E-Kasih dan Skim SUBUR akan berulang.

23.3 Kerana masalah lojistik dan teknikal serta undang-undang (antaranya, DOS tidak boleh memberikan maklumat individu kerana tertakluk kepada Akta Perangkaan 1965) yang menimbulkan pula pelbagai masalah lain maka lebih mudah pemberian itu diberikan secara per kapita, misalnya, kepada setiap rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun dan ke atas pada 1 Januari 2012.

Kadar yang ditetapkan lebih rendah sedikit, misalnya, RM100 seorang.

Terdapat kira-kira 15.4 juta warganegara dalam kohort tersebut; maka peruntukan yang diperlukan lebih kurang RM1.5 bilion.

Pemberian secara per kapita ini dan tanpa mengambil kira pendapatan masing-masing adalah lebih mudah sebab ianya tidak melibatkan definisi yang sukar diterjemahkan dan tidak melibatkan kos untuk memungut maklumatnya.

Ia juga lebih adil berbanding penggunaan konsep isi rumah sebab seorang dalam isi rumah (one-person household) mendapat RM500 iaitu sama banyak dengan, misalnya, 5 orang dalam sebuah isi rumah (5-person household) yang juga mendapat RM500 atau hanyalah RM100 seorang.

Dengan mengemukakan kad pengenalan, masing-masing boleh membuat tuntutan di BSN dan Pejabat Pos yang dibantu pula oleh JPN. Amatlah mudah.

Bagi masyarakat pendalaman, Pejabat Pos Bergerak boleh digerakkan.

Bagi yang sakit terlantar / OKU dan sebagainya, tuntutan boleh dibuat oleh ahli keluarga dengan pengesahan Ketua Kampong.

24. Dikemukakan kepada kerajaan untuk menimbangkannya.

  1. #1 by shark on November 17, 2011 - 11:34 pm

    cm ipt plak cm mne nk dpt?

  2. #3 by zulkarnain on November 25, 2011 - 4:27 pm

    Buat pengetahuan tuan,kami kakitangan LHDN telah bersedia dari semua aspek untuk melaksanakan program ini.
    dan untuk pengetahuan tuan kami kakitangan LHDN tak ada masalah untuk menentukan kelayakan penerima bantuan tersebut kerana semua pegawai pelulus berpengalaman menentukan pendapatan seseorang itu.
    Adakah DOS mempunyai kemahiran menentukan pendapatan seseorang?? DOS hanya memungut maklumat berdasarkan bancian.Kami mengesahkan maklumat berdasarkan fakta dan telah mempunyai pengalaman yang telah terbukti. Walaupun mempunyai kekangan kakitangan tetapi kami terbukti mampu membuat kerja dgn sistematik dan bijak,ini terbukti tahun ke setahun kami mampu memmenuhi sasaran kerajaan dalam kutipan cukai.
    Harap tuan tidak meragui kemampuan kami dan juga kami berharap tuan bersama rakan-rakan dapat membantu mempromosikan kaunter-kaunter yang akan kami sediakan diseluruh kawasan untuk sama-sama memudahkan pemberian ini,selain daripada itu dengan adanya pemberian ini maka kerajaan akan mendapat maklumat yg lebih tepat daripada DOS.

  3. #4 by Darah Tuah on December 6, 2011 - 4:02 pm

    zulkarnain,

    Setahu saya semua Household Income Survey dijalankan oleh DOS, bukan LHDN. Household income berdasarkan survey ini. Maka konsep dan anggaran bilangan household serta pendapatan (misalnya RM3,000 sebulan dan bilangan HH kira2 6 juta lebih) adalah berdasarakan apa yg digunapakai dan dikutip oleh DOS, bukan LHDN. Semua Pelan Pembangunan Lima Tahun Kerajaan dan Laporan Ekonomi Kerajaan, termasuk EPU, gunakan data DOS. Bacalah, misalnya, buku RMK10 dan Laporan Ekonomi 2011/2012.

    Diakui LHDN mempunyai konsep ‘pendapatan’ tetapi, setahu saya, ianya tak sama dengan konsep DOS. Adakah LHDN mempunyai konsep HH? jika ada, apa definisinya?

    Utk makluman tuan, saya sudah bertanya beberapa pegawai LHDN; sorang pun tak faham konsep HH dan konsep pendapatan yang digunapakai oleh DOS. Mereka tidak salah kerana tidak tahu sbb bukan bidang mereka.

    Tuan haruslah faham bahawa tak semua orang ada rekod pendapatan yang tersusun. Berapa ramai pembayar cukai (individu / syarikat) yg LHDN handle? Berapa ramai pula DOS handle? Dalam pada itu, masih ramai lagi yg berjaya evade and under declare, bukan?

    LHDN bernasib baik kerana, berdasarkan undang2 yg ada, mereka yg perlu datang ke LHDN tetapi bagi DOS, pegawainya yg perlu ‘meminta sedekah’ di rumah2 / di syarikat2! Justeru siapa lebih hebat dan mencabar dalam melunaskan tanggungjawab masing2?

    Tahniah LHDN berjaya mengutip cukai yg meningkat setiap tahun maka saya pun turut mendapat faedah tapi eloklah juga akui bahawa LHDN juga ada kelemahan sendiri. Apabila kita mengaku kita ada kelemahan dan tak sombong maka barulah orang lain sedia membantu.

    LHDN sudah pasti TIDAK mampu menjalankan tugas ini dengan 100% kejayaan tanpa dibantu oleh banyak pihak, termasuk saya sendiri. Sekarang pun saya sedang membantu kerana kesian kepada LHDN (para 8 di atas). Apa yg saya tulis itu, jika tuan amat-amati dengan cermat dan secara positif, juga bersifat membantu kerajaan, termasuk LHDN.

  4. #5 by fadir amdan on January 26, 2012 - 2:31 pm

    saya belom menerima bantuan br1m..kepada sesiapa yg berkenaan sila semak bantuan saya..ini ic sya 790511125091..saya memohon di lhdn air keroh..hang tuah mall…melaka…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: