Pantun Seloka Pertunangan Mohd Ridhwan dan Nur Azieha

PADA 28 SEPTEMBER 2012 @ 8.30 MALAM

1. Alu-aluan pihak perempuan

2. Alu-aluan saya

Bismillah…YAB DS Hj Mohd Ali Mohd Rustam dan keluarga, Tuan Rumah YBhg DS Abu Zahar sekeluarga, YBhg En Mohd Ali Ahmad dan keluarga, Raja Sehari yang kita raikan, YB DW Othman Mohamad dan DW, pegawai adat dan pegawai syarak, yang dihormati Dk Sdg Md Akil, wakil pihak tuan rumah, ahli rombongan YAB DS dan suadara mara pihak pengantin perempuan…assalamualaikum wbt…

Sesungguhnya saya amat menghargai penghormatan yang diberikan oleh keluarga YAB DS kepada saya sekali lagi sebagai wakil dan juru bicara di majlis yang penuh bermakna, meriah dan ceria ini.

Dari Bentung pergi ke Rengit
Membeli kuini di Pekan Tenang
Langit tergantung bumi tersenget
Penghormatan ini tetap dikenang.

3. Mengulangi janji:

Pada 3 September 2011, kira-kira 13 bulan yang lalu, di rumah yang bertuah ini juga kedua-dua belah pihak telah bermuafakat dan mencapai kata sepakat lalu tali pertunangan pun diikat erat. Pada malam ini kami kembali datang bertandang:

Kapal dagang dari seberang,
Sarat muatan kayu meranti,
Rombongan YAB DS kembali bertandang,
Untuk menepati segala janji.

Saya difahamkan selama 13 purnama yang lalu, kedua-dua pihak telah menghormati rukun pertunangan yang sama-sama membahu. Maka pada malam ini kedua-dua pihak berhasrat untuk menunaikan segala janji yang telah disimpul mati.

13 bulan yang lalu, kedua pihak telah bersetuju wang hantaran sebanyak RM22,222.00 serba dua iaitu 2 pasang baju, seutas rantai leher dan seutas tangan. Dan di Majlis Pertunangan pada malam itu, pihak lelaki telah menyerahkan separuh wang hantaran (RM11,111.00) dan 11 dulang pelbagai iringan. Separuh lagi wang hantaran dan 2 pasang baju, seutas rantai leher serta seutas rantai tangan akan disempurnakan pada masa pernikahan yang telah ditetapkan pada malam ini yang gemerlapan.

Maka pada malam ini, adalah niat suci DS berdua
Untuk menunaikan janji kata dikota
Kerana jika kerbau dipegang talinya
Maka manusia dipegang pula pada janjinya.

Justeru pada malam ini, pihak mempelai lelaki membawa separuh lagi wang hantaran (RM11,111.00) itu, sepasang baju, seutas rantai leher berserta loket, seutas rantai tangan dan 7 dulang pelbagai iringan.

Sampai di sini, dengan penuh takzim, bagi pihak rombongan mempelai lelaki, saya persembahkan separuh lagi wang hantaran, sepasang baju, seutas rantai leher berserta loket, seutas rantai tangan dan 7 dulang pelbagai iringan kepada wakil pihak mempelai perempuan seadanya sebagai melengkap dan menyempurnakan tali pertunangan ini antara Mohd Ridhwan DS Hj Mohd Ali dengan Dr Nur Azieha Mohd Ali.

4. Setelah diterima dan bertukar hantaran…bernikah

YAB DS, YBhg DS dan semua yang hadir:

Adat bersendikan syarak
Syarak bersendikan Kitabullah
Syarak mengata, adat memakai.
Hidup dikandung adat, mati dikandung tanah
Masjid sebuah, balairung seruang.

5. Kata nasihat dan perangsang

Kini urusan pertunangan telahpun sempurna; maka menjadi hasrat kedua ibu bapa, sanak saudara agar merpati dua sejoli ini diijabkabulkan dengan Mas kahwin berbentuk kijang emas (duit syiling) bernilai RM6, 000.00.

Kedua-dua mempelai ini tak ada pertalian keluarga. Maka jodoh mereka ini sesuai dengan sabda Rasullullah saw yang bermaksud “Pilihlah yang jauh, nescaya kamu tiada melemahkan”. Sama-samalah kita doakan agar mereka kekal bahagia dengan ramai anak dan kemanakan.

Kepada Ridhwan kita sama-sama ingatkan:
Punya satu isteri mahu dakap sampai mati,
Hilang semua gigi hanya tinggal dua gusi,
Namun Nur Aziehalah yang dikasih, disayang dan dicintai,
Hanya pemisah cangkul penggali.

Kepada Dr Nur Azieha pula, genggamlah erat-erat nasihat ini:

Buah seletup berongga-rongga
Kalau bertangkai, tangkai selidi
Bertuah hidup berumah tangga
Kalau berpisah, bercerai mati.

Tuah dan rahmat yang besar bagi suami ialah isteri yang solehah, selaras dengan maksud Hadis “Dunia itu adalah perhiasan hidup. Dan sebaik-baik perhiasan hidup di dunia ini ialah perempuan yang solehah”.

Untuk kekal bahagia, Ridhwan dan Azieha hendaklah ingat petua orang tua-tua berrumahtangga. Ia umpama sebuah kerajaan; suami menjadi raja yang berdaulat dan isteri pula adalah ratu yang mempunyai kuasa yang cukup dan hebat, selaras dengan maksud Hadis “Perempuan adalah pengembala di dalam rumah suaminya dan dia bertanggungjawab di atas pengembalaannya.”

Seterusnya Ridhwan hendaklah sentiasa ingat akan wasiat Rasullullah supaya sentiasa berlaku adil kepada Azieha. Dalam khutbah Baginda ketika naik haji yang penghabisan (Haji Widak), Baginda berwasiat kepada semua lelaki berkaitan dengan wanita “Aku wasiatkan kepadamu, wahai umatku, agar berlaku adil kepada wanita, kerana kamu mengambilnya sebagai amanah Allah”.

Dua hari sebelum Nabi saw wafat, Baginda berpesan dari atas mimbar agar dua perkara ini sentiasa kita ingat: “Pertama, sembahyang jangan ditinggalkan; kedua, peliharalah baik-baik wanitamu”. Ridhwan, ingatlah kedua-dua pesanan Junjungan Besar kita itu.

6. Penutup

Cukuplah sampai di sini kata nasihat dan perangsang; kalau diteruskan tentulah panjang:

Kalau disukat bergantang-gantang
Baik disukat tiga sukat
Kalau direntang tentulah panjang
Baik dipintal supaya singkat.

Apatah pula merisik meminang sudah, bertunang pun sudah; kini sampailah sudah masa untuk menikah. Bak kata orang tua-tua:

Suasa dibela, perak dipakai;
Masa dah tiba, waktu pun dah sampai.

Bagi pihak diri saya sendiri, saya ingin memohon maaf kepada YAB DS dan keluarga, kepada YBhg DS sekeluarga dan semua yang hadhir, jika ada terdapat sebarang kesilapan dan kelemahan; yang sempurna itu sesungguhnya dari Allah swt dan yang kurang sempurna itu pula dari saya:

Buah papaya dibuat juadah
Buah berangan dari Beluran
Tugas saya selesailah sudah
Mengangkat tangan tanda kesyukuran.

Hujan turun perahu berlabuh
Di malam gelap menangkap ikan
Saya menyusun jari sepuluh
Salah dan silap mohon maafkan.

Saya kembalikan Majlis ini kepada sahabat saya, Dk Sdg Mohd Akil, kepada tuan rumah sebagai wakil. Terima kasih.

Assalamu’alaikum wbt.

 

DATUK AKBAR ALI

28 SEPTEMBER 2012.

  1. Leave a comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: