Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah 2012

SIDANG MEDIA

PENYIASATAN PENDAPATAN ISI RUMAH (PPIR) 2012

oleh

YB TAN SRI NOR MOHAMED YACKOP

MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

Latar  Belakang

  1. Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (PPIR) dijalankan oleh Kerajaan untuk mendapatkan maklumat berhubung status pendapatan penduduk dan kemiskinan di Malaysia. PPIR dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia dua kali bagi setiap lima tahun. Data daripada PPIR digunakan sebagai input untuk tujuan pemantauan, perancangan dan penggubalan dasar dan program pembangunan, terutamanya dalam penyediaan Rancangan Lima Tahun. PPIR 2012 merupakan penyiasatan terkini yang telah disiapkan pada bulan Februari 2013 yang melibatkan kira-kira 44,000 isi rumah.

 

PENEMUAN PPIR 2012

  1. A.            Pendapatan Isi Rumah
  2. Pada keseluruhannya, penemuan PPIR 2012 mendapati pendapatan isi rumah bulanan purata rakyat Malaysia telah meningkat daripada RM4,025 pada 2009 kepada RM5,000 pada 2012. Ia merupakan peningkatan sebanyak 7.2% setahun (nominal). Peningkatan ketara ini dicapai hasil daripada usaha Kerajaan Persekutuan dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan stabil secara berterusan. Impaknya adalah ketara melalui peningkatan peluang ekonomi secara meluas yang berupaya bukan sahaja menjana peluang pekerjaan bahkan pembangunan perniagaan dan perindustrian dalam pelbagai sektor ekonomi. Ini membuktikan keberkesanan pelaksanaan inisiatif Kerajaan Persekutuan yang dilancarkan melalui program-program khusus di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Ianya juga terhasil daripada langkah Kerajaan melalui pengukuhan sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP).
  3. PPIR 2012 juga menunjukkan peningkatan pendapatan isi rumah bandar iaitu pada kadar 6.6% setahun daripada RM4,705 pada 2009 kepada RM5,742 pada 2012. Ini merupakan petanda kejayaan Kerajaan dalam usaha menggalakkan pembinaan landasan ekonomi yang kukuh melalui pelebaran pembangunan di kawasan bandar bagi memenuhi kepesatan urbanisasi yang menempatkan lebih 71% penduduk Malaysia. Pada masa yang sama, pendapatan isi rumah luar bandar pula bertambah pada kadar 6.4% setahun daripada RM2,545 kepada RM3,080. Peningkatan ini antara lain, disumbangkan melalui usaha Kerajaan Persekutuan dalam menyediakan pelbagai infrastruktur dan kemudahan asas kepada penduduk luar bandar. Kerajaan juga telah melaksana pelbagai program dan skim bagi mewujudkan peluang bagi masyarakat luar bandar menjana dan menambah pendapatan termasuk pelbagai insentif dan program pembiayaan perniagaan dan keusahawanan. Di samping itu, tumpuan ke arah pembangunan modal insan yang dilaksanakan melalui pelbagai program latihan kemahiran di pelbagai peringkat telah juga dapat meningkatkan produktiviti masyarakat luar bandar.
  4. Pelaksanaan dasar pembangunan sosioekonomi Kerajaan Persekutuan juga memberi impak yang besar kepada pembangunan wilayah serta negeri-negeri di seluruh negara. Semua negeri di seluruh negara mencatat peningkatan pendapatan isi rumah purata. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terus mencatat kadar pertumbuhan tertinggi iaitu sebanyak 14.9%, manakala kadar peningkatan pendapatan bagi negeri Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Sabah dan W.P. Labuan pula adalah melebihi kadar pertumbuhan purata di peringkat nasional iaitu 7.2%. Ini juga menunjukkan kesan yang amat positif semenjak Kerajaan melancarkan inisiatif pembangunan berasaskan koridor yang mewujudkan lima pembangunan koridor utama  iaitu Koridor Pembangunan Wilayah Utara (NCER), Koridor Pembangunan Wilayah Timur (ECER), Kawasan Pembangunan Iskandar (IRD), Koridor Pembangunan Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA).
  5. Bagi kategori etnik pula, pendapatan isi rumah bulanan purata dalam kalangan Bumiputera meningkat sebanyak 6.9% setahun kepada RM4,457 sebulan. Dalam kalangan etnik Cina dan India pula, pendapatan isi rumah telah meningkat masing-masing pada kadar 8% setahun dan 9% setahun kepada RM6,366 dan RM5,233. Ini menggambarkan semua rakyat tanpa mengira kumpulan etnik telah menikmati tahap pendapatan yang meningkat.
  6. Selain itu, tahap pendapatan bagi tiga kumpulan pendapatan iaitu 40% terendah (B40%), 40% pertengahan (M40%)  dan 20% tertinggi (T20%) juga bertambah baik. Pendapatan purata B40% meningkat daripada RM1,440 pada tahun 2009 kepada RM1,847 pada tahun 2012, iaitu meningkat pada kadar 8.3% setahun. Manakala pendapatan purata M40% dan T20% juga meningkat, masing-masing pada kadar 7.7% dan 6.6% kepada RM4,573 dan RM12,159 pada 2012.

 

  1. B.            Agihan Pendapatan
  2. Penemuan PPIR 2012 menunjukkan pengagihan pendapatan dalam kalangan isi rumah secara keseluruhan terus bertambah baik seperti yang ditunjukkan oleh pengurangan Pekali Gini daripada 0.441 pada 2009 kepada 0.431 pada 2012. PPIR 2012 juga menunjukkan pengurangan Pekali Gini bagi bandar dan luar bandar masing-masing daripada 0.423 kepada 0.417 dan 0.407 kepada 0.382.
  3. Bagi kategori etnik pula, Pekali Gini bagi Bumiputera terus bertambah baik daripada 0.440 (2009) kepada 0.421 (2012) dan Cina 0.425 (2009) kepada 0.422 (2012). Walau bagaimanapun, bagi India, Pekali Gini menunjukkan peningkatan daripada 0.424 (2009) kepada 0.443 (2012) mencerminkan peningkatan ketidakseimbangan dalam kalangan masyarakat India. Peningkatan Pekali Gini ini adalah disebabkan oleh kadar pertumbuhan pendapatan yang lebih pantas bagi kumpulan berpendapatan tinggi dan sederhana berbanding kumpulan berpendapatan rendah bagi kumpulan etnik ini (India). Ini adalah hasil daripada peningkatan tahap pendidikan dan kemahiran serta daya keusahawanan golongan tersebut yang membolehkan mereka mengambil peluang daripada pertumbuhan pesat ekonomi negara. Selaras dengan dasar pembangunan inklusif, perhatian akan terus diberikan kepada usaha-usaha untuk meningkatkan kapasiti dan kapabiliti bagi kumpulan B40% termasuk masyarakat India untuk meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup mereka.
  4. C.             Insiden Kemiskinan
  5. Dalam tempoh 2009-2012, peningkatan pendapatan bulanan isi rumah purata yang tinggi dengan kadar inflasi yang rendah telah menghasilkan kesan yang signifikan kepada pengurangan insiden kemiskinan dan peningkatan kualiti hidup rakyat. Kesan positif ini juga adalah hasil daripada pelaksanaan program yang dirancang semenjak pelancaran inisiatif pembangunan Kerajaan khususnya di bawah RMKe-10 termasuk program 1AZAM, program infrastruktur asas luar bandar dan sebagainya. Hasilnya pembangunan sosioekonomi negara adalah menyeluruh dan seterusnya pendapatan semua rakyat Malaysia telah meningkat.
  6. Insiden kemiskinan keseluruhan telah berkurangan dengan ketara daripada 3.8% pada 2009 kepada 1.7% pada 2012. Jumlah isi rumah miskin juga telah berkurang sebanyak 52.7%, iaitu daripada 228,400 kepada 108,000 dalam tempoh yang sama. Dengan pencapaian ini, sasaran RMKe-10 untuk mengurangkan kemiskinan keseluruhan kepada 2% pada 2015 telah pun tercapai tiga tahun lebih awal. Ini adalah hasil daripada pertumbuhan pesat ekonomi negara serta keberkesanan program-program pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan oleh Kerajaan.
  7. Pengurangan insiden kemiskinan adalah menyeluruh meliputi bandar dan luar bandar. Insiden kemiskinan di bandar telah berkurangan  daripada 1.7% pada 2009 kepada 1% pada 2012, sementara bagi kawasan luar bandar daripada 8.4% kepada 3.4%.
  8. Insiden kemiskinan Bumiputera telah menunjukkan penurunan daripada 5.3% pada 2009 kepada 2.2% pada 2012. Insiden kemiskinan etnik Cina pula berkurangan daripada 0.6% (2009) kepada 0.3% (2012). Bagi etnik India pula, insiden kemiskinan telah berkurang daripada 2.5% (2009) kepada 1.8% (2012).
  9. Insiden kemiskinan mengikut negeri juga menunjukkan pengurangan yang signifikan. Sabah mencatatkan pengurangan yang ketara daripada 19.7% kepada 8.1% diikuti Perlis daripada 6% kepada 1.9% dan Terengganu daripada 4% kepada 1.7% dalam tempoh yang sama. Wilayah Persekutuan Putrajaya telah mencapai status kemiskinan sifar pada 2012.
  10. Pada masa yang sama, insiden kemiskinan di Kelantan dan Kedah juga terus menunjukkan penurunan iaitu masing-masing daripada 4.8% kepada 2.7% dan 5.3 kepada 1.7%. Ini membuktikan bahawa hasil inisiatif Kerajaan  Persekutuan untuk membasmi kemiskinan telah Berjaya dan member manfaat kepada rakyat tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

 

Penutup

Penemuan PPIR 2012 menunjukkan negara berada pada landasan yang betul ke arah mencapai matlamat menjadi sebuah negara yang maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020. Pencapaian ini adalah hasil daripada keberkesanan usaha-usaha kerajaan dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang stabil dan berterusan serta pelaksanaan program dan inisiatif pembangunan sosioekonomi yang berterusan dalam memastikan hasil pembangunan dapat dinikmati oleh semua rakyat.

 

Jabatan Perangkaan Malaysia dan Unit Perancang Ekonomi,

Jabatan Perdana Menteri

PUTRAJAYA

27 Mac 2013

Slide01

Slide02 Slide03 Slide04 Slide05 Slide06 Slide07 Slide08 Slide09 Slide10 Slide11 Slide12

  1. Leave a comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: