Putrajaya ‘Bandar Firdaus’

Putrajaya ‘bandar firdaus’

(Rencana ini telah disiar di dalam Utusan Malaysia pada 30 Julai 1999)

Oleh: AKBAR ALI

[Nota: Saya menerbitkan semula artikel yang berusia hampir 25 tahun ini kerana didorong oleh berita pembinaan High Speed Rail (HSR) dari Sg Besi, Kuala Lumpur ke Singapura. Apakah impaknya nanti ke atas KLIA?

Adakah HSR akan membantu KLIA untuk mendapatkan status Hub seperti yang ditulis di bawah atau KLIA akan kehilangan peluang itu kerana dirampas oleh Singapura? Dalam lain-lain perkataan, adakah YTL dengan HSRnya itu akan memudahkan Changi menjadi Hub manakala KLIA hanyalah menjadi feeder airport kepada Changi, sepertimana Kota Baru menjadi feeder airport kepada KLIA sekarang ini?]

AKHIR-akhir ini banyak telah diperkatakan tentang Putrajaya. Ingin saya turut menyertai dalam perbincangan ini dengan berkongsi sedikit maklumat yang ada pada saya.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan bahawa sebahagian besar maklumat ini saya peroleh melalui perbualan (di samping sumber lain) dengan Prof. Datuk Dr. Zainuddin Muhammad, Ketua Pengarah, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Diakui bahawa maklumat ini pasti tidak lengkap tetapi intisarinya cukup informatif. Justeru, ia mendorong saya untuk berkongsi maklumat tersebut dengan para pembaca.

Pendekatan Penilaian:

Putrajaya, KLIA, Koridor Raya Multimedia (MSC), Cyberjaya dan projek-projek yang berdekatan dengannya (seperti Stadium Bukit Jalil, UPM, UKM, Uniten) boleh dilihat dan dibincangkan secara berasingan.

Pada hemat saya, mungkin lebih wajar melihat dan menilai projek-projek tersebut secara bersepadu, sejajar dengan falsafah dan matlamat projek tersebut dirancang dan dibangunkan. Lebih-lebih lagi projek-projek berkenaan dibina untuk mendapatkan faedah economy of scale serta mempunyai sinergi antara satu sama lain.

Dari segi geografi, kawasan yang harus diliputi dalam pembicaraan ini ialah kawasan Koridor Raya Multimedia (MSC) seluas 15 km x 50 km dari Kuala Lumpur ke selatan dan turut merangkumi Pelabuhan Klang.

Pelabuhan Klang:

Seperti yang kita semua maklum kerajaan telah lama berusaha untuk membesar dan memajukan Pelabuhan Klang. Ia kini merangkumi Pelabuhan Utara, Selatan dan Barat. Ia dibangunkan untuk mencapai sekurang-kurangnya dua objektif utama iaitu, pertama, sebagai pelabuhan utama, ia menjadi ‘pintu’ terbesar bagi urusan perdagangan negara dan sekali gus mengurangkan tahap pergantungan kepada negara jiran.

Kedua, Pelabuhan Klang turut dikehendaki menjadi hub iaitu sebagai pusat agihan/transhipment bagi kawasan sekitarnya, termasuk Sri Lanka, Myanmar, Thailand dan Nusantara. Nampaknya pelabuhan tersebut berada dalam arah tuju yang betul untuk mencapai matlamat pembinaannya apabila nilai perdagangan yang dikendalikannya telah meningkat sebanyak tiga kali ganda antara tahun 1990/1998 manakala peratus perdagangan melalui Singapura pula telah berkurangan 10% dalam tempoh yang sama.

KLIA, Sepang:

KLIA dibuka dengan rasminya pada 27 Jun 1998.

Sayugia diingat, seperti Pelabuhan Klang, KLIA Sepang juga dibina untuk keperluan nasional dan sebagai hub. Sesungguhnya telah diramalkan bahawa, pada tahun 2025, setelah pembangunan hypersonic speed transport engine berkembang maju, Asia hanya memerlukan tiga buah hub antarabangsa, menurut Dr. Kisho Kurokawa. Mana-mana negara yang berjaya menjadi hub tersebut maka sudah pasti ekonominya mempunyai edgeuntuk berkembang pesat.

Pada masa ini, menurut Dr. Kurokawa lagi, Malaysia, China, Jepun dan Korea Selatan sedang sengit bersaing untuk merebut salah satu daripada 3 tempat berkenaan. Berbekalkan semangat ‘Malaysia Boleh’ yang kental serta wawasan yang jelas dan sokongan yang padu daripada semua pihak, maka Malaysia mempunyai peluang yang cerah untuk merebut salah satu daripada 3 hub tersebut.

Pada masa yang sama, KLIA mempunyai potensi untuk menjadi pusat pelancaran/kajian angkasa lepas, seperti yang dilaporkan dalam sebuah seminar yang telah dianjurkan baru-baru ini. Di alaf baru nanti, cakerawala seperti marikh akan menjadi rebutan seperti mana Antartika menjadi rebutan masa kini. Seperti Antartika juga, cakerawala ini diramalkan mempunyai banyak sumber asli yang berharga. Malaysia tidak seharusnya ketinggalan sekali lagi dalam perlumbaan tersebut.

Untuk melengkapkan lagi perancangan ini, KLIA dibina berdasarkan konsep baru yang ‘visionary yang mana lapangan terbang bukan semata-mata sebagai tempat kapal terbang mendarat dan berlepas tetapi ia merangkumi peranan baru yang lebih luas.

Ia mengintegrasikan perkhidmatan dan industri lain agar ia menjadi destinasi tersendiri bagi pelbagai aktiviti – perniagaan, persidangan, pelancongan, sukan dan sebagainya. Atas konsep dan matlamat inilah maka, antara lain, kedai bebas cukai dikembangkan, zon komersial bebas diperkenalkan, litar lumba kereta Formula 1 dibina dan wetland dimajukan.

Harus ditekankan bahawa kemudahan jalan raya dan kereta api serta pelabuhan dan lapangan terbang, bersama-sama bekalan air dan tenaga yang mencukupi, merupakan nadi kepada pertumbuhan ekonomi negara. Prasarana tersebut yang lengkap dan sempurna berserta dengan sumber manusia yang berdisiplin dan terlatih merupakan ramuan terbaik untuk menjana ekonomi. Tetapi syarat ini tidak cukup jika tidak ada keamanan dan kestabilan kerana peniaga dan pelabur memerlukan persekitaran mesra yang rendah atau sifar risikonya.

Cyberjaya:

Ekonomi sesebuah negara dikatakan telah mencapai tahap kematangan apabila ia berada di peringkat/fasa ketiga (tertiary) di mana sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar kepada ekonomi negara berkenaan. Di alaf baru nanti, kepesatan perkembangan sektor perkhidmatan (ini bermakna perkembangan ekonomi negara pada keseluruhannya) dijangka bergantung kepada teknologi tinggi dalam elektronik, komputer, komunikasi, multimedia dan maklumat sebagai jentera pertumbuhan (engine of growth). Ia juga dijangka akan menyerap dalam semua aspek kehidupan manusia – pendidikan, ekonomi, sosial, agama, perubatan, pentabdiran awam, perniagaan dan sebagainya. Mana-mana negara yang tidak bersedia dalam bidang ini maka negara tersebut akan ketinggalan kerana ketiadaan daya siang.

Atas kesedaran ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad telah mencetuskan wawasan untuk membina Koridor Raya Multimedia (MSC) pada 1 November 1995. Ia dirangka dan dibina sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi agar Malaysia terus maju dan berdaya saing.

Ia dibina demi untuk memastikan kesinambungan kehidupan generasi anak Malaysia akan datang agar mereka akan terus dapat menikmati kemakmuran dunia. Sekali gus, ia memastikan ungkapan ‘Melayu tidakkan hilang di dunia’ akan tetap relevan.

Silicon Valley ini akan menjulang maruah dan martabat bangsa, agama dan negara kerana ia dibina dengan daya fikir dan keringat anak watan. Justeru, wawasan Perdana Menteri dalam membina MSC ini wajar sekali disokong.

Yang akan memainkan peranan sebagai nucleus kepada MSC ini ialah Cyberjaya. Ia merupakan pusat pembangunan IT dan multimedia negara yang akan menjadi bandar raya bestari untuk masa depan (the intelligent city of the future).

Ia juga akan menjadi model untuk membangunkan IT dan multimedia di kawasan lain di negara ini. Universiti Multimedia (MMU) yang baru dibuka akan menjadi pemangkin kepada pembangunan Cyberjaya ini. Antara penerima pertama hasil pembangunan MSC/Cyberjaya ini ialah dua buah sekolah luar bandar di Dengkil. Sekolah tersebut mendapat makmal bistari yang pertama di negara ini.

Putrajaya:

Amerika Syarikat (AS) mempunyai Washington sebagai pusat pentabdiran manakala New York pula sebagai pusat perniagaannya. Australia dengan Canberra dan Sydneynya sementara New Zealand pula dengan Wellington dan Aucklandnya. Tetapi ini bukanlah alasan pemutus mengapa Malaysia harus pula ada Putrajaya sebagai pusat pentadbiran dan Kuala Lumpur (KL) kekal sebagai pusat perniagaan.

KL, pada masa kini, adalah kecil (94 km persegi) dan sesak. Secara relatif, ia akan menjadi bertambah kecil dan semakin sesak dengan manusia dan lalu lintas dalam masa beberapa tahun lagi ekoran daripada pertumbuhan penduduk, pertambahan kenderaan serta perkembangan ekonomi yang pesat.

Terdapat dua pilihan utama untuk menangani masalah ini. Pertama, membangunkan semula KL seperti yang dilakukan oleh Singapura (pulau sekangkang kera itu tidak ada pilihan lain) atau, kedua, membuka pusat perbandaran baru. Pilihan kedua mempunyai merit yang kukuh daripada beberapa sudut – ekonomi, estetika dan maruah. (Sebenarnya ketiga-tiga aspek ini turut relevan kepada KLIA dan MSC/Cyberjaya).

Dari segi ekonomi, pilihan kedua ini yang dibuat oleh Jemaah Menteri pada 2 Jun 1993 mempunyai banyak ‘kekuatannya’. Secara ringkas, membuka pusat bandar yang baru ini adalah lebih murah. Pada masa yang sama, ia akan mengurangkan tekanan ke atas KL dan, dengan itu, warga KL akan dapat menikmati kehidupan yang lebih sihat dan selesa. Diramalkan bahawa kesesakan lalu lintas di KL akan berkurangan sebanyak 30% apabila semua pejabat kerajaan telah berpindah ke Putrajaya pada tahun 2005 nanti.

Penempatannya dalam satu kawasan geografi yang sama iaitu bersama-sama dengan KL, Pelabuhan Klang, KLIA dan Cyberjaya memberikannya economy of scale dan sinergi; berbeza jika ia berselerak di merata tempat. Pemilik dan pemegang saham estet yang tanahnya diambil oleh kerajaan telah mendapat pampasan yang berpatutan. Ini bermakna pemegang ASB/ASN turut merasa ‘dagingnya’ kerana PNB memiliki saham dalam estet tersebut.

Sesungguhnya, pembangunan kawasan seluas 4,500 hektar persegi ini telah menukar wajah daerah Sepang. Sebelum ini ia merupakan antara daerah yang termundur di Selangor. Bandar Nilai yang lesu telah rancak dan cergas membangun. Malah, kesan limpahannya turut menular ke Negeri Sembilan dan Melaka.

Justeru, walaupun ia dibina di Sepang, warga Negeri Sembilan dan Melaka turut merasai ‘kuah’nya. Difahamkan, niat untuk membantu sama Negeri Sembilan dan Melaka telah mendorong Tun Ghafar, ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk membisikkan hasratnya kepada Jemaah Menteri agar Putrajaya dibina di Sepang.

Harga tanah sekeliling yang dulunya bernilai antara 45 sen – 70 sen satu kaki persegi telah melompat kepada RM35 – RM100 satu kaki persegi manakala harga tanah di KLIA, menurut Perdana Menteri, kini bernilai antara RM1,000 hingga RM2,000 satu kaki persegi.

Harga ini akan terus melambung dan dijangka akan mencapai tahap harga tanah di KL seperti pada tahun 1997 dalam tempoh yang lebih pendek. Pemilik tanah di situ telah menikmati durian runtuh. Peluang pekerjaan akan bertambah dan pendapatan akan terus mengalir daripada nilai hartanah yang meningkat dan aktiviti ekonomi yang bertambah rancak, termasuk pelancongan dan berbagai jenis perkhidmatan lain. Sehingga tahun 2025, Putrajaya Holdings Bhd., dijangka akan mendapat hasil daripada jualan tanah bernilai RM400 bilion.

Dari segi estetika, Putrajaya boleh dibangunkan mengikut cita rasa bangsa sendiri yang berteraskan budaya Melayu dan bersendikan agama Islam. Dalam hal ini, saya telah difahamkan bahawa Perdana Menteri telah meminta Ketua Jabatan yang bertanggungjawab membangunkan pusat pentadbiran ini supaya membangunkannya sebagai sebuah bandar ‘firdaus’.

Maka ketua Jabatan berkenaan berserta anak buah beliau dan rakan-rakan telah bertungkus-lumus berusaha menterjemahkan konsep bandar firdaus itu secara fizikal. Penterjemahan ini bukanlah suatu yang mudah, lebih-lebih lagi untuk memahami konsep ‘firdaus’ itu sendiri – tersurat dan tersirat.

Secara ringkas, ‘firdaus’ itu diterjemahkan sebagai berunsur Islam dan merujuk kepada syurga. Di dalam syurga, kita sering dibayangkan, antara lain sebagai taman yang indah di mana terdapat air jernih yang mengalir. Justeru, di peringkat awal lagi pembangunan bandar Putrajaya ini, kita telah melihat unsur sebuah bandar taman yang dikelilingi air. Yang sungguh menakjubkan tentang air tasik ini ialah kejernihannya kerana sumbernya ialah air paya yang kotor.

Ketakjuban terletak di atas ingenuity daya fikir anak Malaysia menjernihkan air tersebut tanpa menggunakan teknologi tinggi. Biasanya kos mendapatkan teknologi tinggi amat besar sekali. Sebaliknya, apa yang digunakan ialah bio-technology asli yang percuma tetapi berkesan iaitu dengan menanam sejenis rumput/lalang air yang dipanggil menerong. Menerong ini bertindak sebagai penapis (filter) untuk menjernihkan air yang kotor itu. Sekali gus, usaha ini sepatutnya dibanggakan oleh semua warga Malaysia kerana ia memancarkan kebijaksanaan bangsa kia.

Bahawa seni binanya berunsurkan tamadun Islam . Namun ulasan oleh beberapa tokoh agama semasa Masjid Putra dibuka wajar diulangi. Mereka senada mengiktiraf bahawa pembukaan masjid berkenaan yang mendahului bangunan-bangunan lain adalah selaras dengan sunah Rasul s.a.w. Lantaran, mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan, setelah mengambil kira seluruh aspek pembangunan Putrajaya ini, bahawa penghayatan terhadap ajaran Islam oleh Dr. Mahathir amat mendalam sekali.

Justeru, sangat jelas seperti dalam hal-hal lain, kebijaksanaan dan kuasa yang ada pada beliau telah digunakan untuk memantapkan lagi syiar Islam.

Daripada apa yang dipaparkan di atas, kejayaan menyiapkan Putrajaya ini oleh anak watan sendiri sudah pasti mengharumkan nama serta memuliakan maruah bangsa. Jika sejarah telah mengajar kita bahawa Sir Francis Light yang membangunkan Pulau Pinang dan Yap Ah Loy pula yang membuka KL maka, di masa akan datang, sejarah akan mengajar anak cucu kita bahawa Dr. Mahathir yang bertanggungjawab mewujudkan Putrajaya.

Pada saya ini adalah maruah yang tidak ternilai. Saya akui bahawa, dari segi idea pun, saya tidak mampu mencetuskan bandar firdaus ini. Tetapi saya berupaya menghargainya.

Projek-projek yang dirangka oleh Perdana Menteri ini diakui menelan belanja berbilion ringgit. KLIA, misalnya dijangka menelan belanja RM9 bilion, Cyberjaya (RM2.2 bilion) dan Putrajaya (RM23 bilion).

Tetapi semua projek ini adalah diperlukan oleh negara untuk kesinambungan ‘hayat’ negara dan kemampanan pertumbuhan ekonomi jangka panjang kerana potensinya menjana pendapatan yang tinggi dan berterusan. Tanpa membuat cost and benefit analysis serta tanpa mengira net present valuenya, common sense dapat mengagak bahawa projek-projek tersebut adalah murah sekali. Lebih-lebih lagi, sebahagian besar daripada kosnya dibiayai oleh pihak swasta.

Diakui bahawa projek-projek tersebut belum lagi sempurna dari segi idea dan pelaksanaannya. Namun, diyakini bahawa pihak-pihak yang berkenaan bersedia untuk menimbangkan cadangan-cadangan yang bernas dan membina untuk sama-sama menambah baik lagi projek tersebut. Jika projek-projek ini hendak dikritik secara negatif, eloklah kita mengambil iktibar daripada kesilapan pengkritik Stadium Merdeka, Masjid Negara, Lapangan Terbang Subang, kereta nasional dan dasar ekonomi yang diperkenalkan pada 1 September 1998. Semua mereka, termasuk IMF dan Washington terpaksa menelan kritikan masing-masing.

Jika dikatakan penanam tauge perlu berfikir untuk tiga hari, penanam padi berfikir untuk tiga bulan, penanam kelapa sawit berfikir untuk tiga tahun dan penanam getah pula berfikir untuk enam tahun, maka ketua negara perlu berfikir untuk keperluan/faedah bangsa, agama dan negara beratus tahun. Inilah yang cuba dibuat oleh Dr. Mahathir Mohamad.

AKBAR ALI ialah Timbalan Ketua Perangkawan, Jabatan Perangkaan Malaysia.

 

, ,

  1. #1 by Anonymous on May 6, 2014 - 6:25 pm

    Jangan kita berbangga dengan kejayaan melalui aspek fizikal sahaja sehingga mengabaikan aspek spiritual. Idea dan niat ikhlas pemilik Blog berikut harus dicontohi dan diberi perhatian serius oleh semua pihak kerana berpotensi besar menjana ilmu, kekayaan dan kejayaan. Sila saksi dan pertimbangkan.

    KAJIAN AL-QURAN
    http://www.kajian-quran.blogspot.com

  2. #3 by Shook on May 11, 2014 - 2:42 am

    Cyberjaya perlu inovasi. MDEC tidak boleh terus menjadi outsourcing dan call centre untuk syarikat luar. Cyberjaya harus menjadi peneraju dalam ICT – mencipta dan menginovasi produk baru. Setelah 15 tahun, pencapaian adalah ketinggalan di belakang Korea, Jepun dan Singapura.

    Kerajaan perlu melihat dari perspektif lebih besar. Status perintis dan pelepasan cukai sudah ditawarkan negara lain. Apa yang kurang ialah budaya inovasi.

    Kerajaan perlu lakukan sesuatu sebelum terlambat.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: