DRAF AKTA KEHARMONIAN NASIONAL YANG DITERIMA OLEH YB NANCY SHUKRI

Salam YBhg Datuk Akbar,

Saya Syeliza Basri, Setiausaha Akhbar kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Hajah Nancy Shukri.

Merujuk kepada isu Akta Keharmonian Nasional yang disalah anggap oleh ramai pihak, saya berpendapat perkara ini harus diberi perhatian.

Beberapa kenyataan media yang dikeluarkan oleh YB Hajah Nancy bagi membetulkan tanggapan salah orang ramai berhubung draf Akta Keharmonian Nasional yang diterima YB Nancy Shukri.

YB Menteri juga telah menjelaskan perkara ini dengan terperinci semasa di Dewan Rakyat, namun tidak diambil maklum oleh media utama dan juga media sosial.

Di sini saya ingin menjelaskan bahawa YB Menteri hanya menerima (received) draf cadangan Rang Undang-undang berkenaan oleh pihak yang menganggotai Jawatankuasa Kerja Perundangan NUCC. Ia kini sedang diteliti oleh Jabatan Peguam Negara. Bercanggah dengan anggapan orang ramai bahawa Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan telah sedia dan akan dibawa oleh YB Menteri ke Parlimen, ingin dimaklumkan bahawa cadangan RUU itu BUKANLAH yang diterima (accepted) dan dimuktamadkan oleh Kerajaan untuk dilaksanakan.

Saya ingin memetik ucapan YB Menteri di Dewan Rakyat, bahawa apa jua peruntukan yang akan dimasukkan ke dalam Akta Keharmonian Nasional, atau apa jua nama yang bersesuaian yang akan diberikan kelak, TIDAK AKAN SESEKALI membelakangkan perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuklah kedudukan Agama Islam dan Bumiputera.

Sekiranya di dalam draf cadangan yang diterima ada perkara yang baik dan sesuai serta boleh dilaksanakan, kita akan laksanakan. Sekiranya cadangan yang dikemukakan itu bercanggah dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, ia akan ditolak.

Tujuan Akta Keharmonian Nasional ini adalah untuk menjaga keharmonian dan keamanan negara. Sekiranya ada perkara yang menimbulkan golongan tertentu yang telah sedia ada diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, tentunya objektif “keharmonian” yang dituju tidak akan tercapai.

Untuk makluman, NUCC yang dipengerusikan oleh Tan Sri Samsudin Osman, mantan Ketua Setiausaha Negara sedang giat menjalankan sesi konsultasi dengan pelbagai pihak untuk mendapatkan input. NUCC diurusetiakan oleh Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan berada di bawah seliaan YB Tan Sri Joseph Kurup, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Setakat ini, belum ada cadangan input yang telah dimuktamadkan oleh NUCC selain daripada beberapa cadangan awal yang telah dikemukakan, seperti yang diperkatakan di atas.

Justeru itu, saya berharap penjelasan ini dapat memberi gambaran sebenar kepada semua pihak.

Kerajaan inginkan terbaik untuk rakyat, dan rakyat seharusnya mengetahui cerita sebenar mengenai apa yang diusahakan oleh Kerajaan. Pihak pembangkang memang terkenal dengan penipuan dan cerita yang direka-reka. Sekiranya kita juga terpedaya, amatlah malang kerana berita yang disebarkan kepada umum turut akan memperdayakan semua pihak.

Bersama-sama ini saya majukan Ucapan Penangguhan YB Menteri berhubung perkara ini.

Sekian, terima kasih.


SYELIZA BT HJ BASRI
 
Setiausaha Akhbar kepada
YB Hajah Nancy Haji Shukri
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
_________________________________________

UCAPAN PENANGGUHAN DI DEWAN RAKYAT

 

Oleh                    :     YB TUAN NGA KOR MING (TAIPING)

 

Tajuk Ucapan     :     Pemansuhan Akta Hasutan 1948

 

Tarikh Ucapan    :     16 JUN 2014 (ISNIN)

 

Ucapan:

 

“Bahawa YAB Perdana Menteri Dato Seri Najib bin Tun Razak pernah membuat pengumuman pada tahun 2011 bahawa Kerajaan akan memansuhkan Akta Hasutan 1948 yang digubal oleh bekas penjajah British dan digantikan oleh akta baru iaitu Akta Keharmonian Nasional.

 

Bahawa walaupun janji telah dibuat oleh pemimpin Kerajaan tetapi sehingga kini janji demikian masih tidak dikota malahan dimungkiri.

 

Oleh demikian Dewan Rakyat yang mulia ini harus meluluskan satu ketetapan untuk memastikan Kerajaan pegang kepada janji dan undang-undang berunsur oppresif serta demokrasi ini dimansuhkan dengan segera.”

 

JAWAPAN:        YB PUAN HAJAH NANCY SHUKRI,  MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

 

Tuan Yang di-Pertua,

 

  1. Pada 11 Julai 2012, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah menyatakan hasrat Kerajaan untuk memansuhkanAkta Hasutan 1948 [ atau Akta 15 ] dan menggantikannyadengan suatu Akta baru yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.

 

  1. Saya ingin menegaskan di sini bahawa dalam menggubal Akta Keharmonian Nasional yang akan dicadangkan ini, atau apa jua nama bersesuaian yang akan digunakan untuk akta itu kelak, Kerajaan tidak akan sama sekali menggadai atau membelakangkan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang selama ini menjadi tulang belakang asas penyatuan rakyat berbilang agama dan kaum yang telah diusahakan serta dijadikan asas kukuh oleh pemimpin-pemimpin kita yang terdahulu dalam mencapai kemerdekaan dan pembentukan Negara kita yang tercinta ini.

 

  1. Objektif Akta Keharmonian Nasional bukan sahaja untuk memperkasa undang-undang tetapi juga untuk mencari mekanisme yang dapat menentukan keseimbangan terbaik antara keperluan menjamin kebebasan bersuara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka yang menggunakan isu-isu sensitif untuk memecahbelahkan perpaduan nasional, termasuklah penghinaan terhadap institusi diraja atau raja.
  2. Bagi tujuan ini, Kerajaan kini sedang mendapatkan dan mengumpul pandangan serta maklum balas daripada semua pihak yang berkepentingan berhubung dengan peruntukan yang wajar dimasukkan ke dalam Akta Keharmonian Nasional tersebut.

 

  1. Pihak-pihak yang sedang merunding Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional turut memberi perhatian kepada aspek pencegahan perbuatan menghasut, membangkitkan kebencian, penghinaan yang serius, atau ejekan terlampau, yang melibatkan agama atau bangsa.

 

  1. Sehubungan dengan itu, tarikh sebenar pemansuhan Akta Hasutan 1948 dan untuk digantikan dengan Akta Kerhamonian Nasionalmasih belum dapat diputuskan pada masa ini memandangkan perkara tersebut masih sedang dalam kajian dan memerlukan penelitian daripada pelbagai aspek.

 

  1. Perlu diingatkan bahawa proses ini membabitkan penggubalan satu akta yang baru dan bukannya pindaan kecil kepada akta sedia ada. Proses menggubal sesuatu undang-undang bukanlah suatu perkara mudah yang hanya boleh diselesaikan dalam tempoh masa yang singkat. Ia memerlukan ketelitian, kajian, perbandingan dengan undang-undang yang sedia ada serta perbincangan yang mendalam. Ia juga perlu melihat dari sudut penguatkuasaannya kelak yang melibatkan masyarakat yang berbeza dari segi budaya, agama, bangsa, adat resam, pemikiran dan sebagainya.

 

 

Tuan Yang di-Pertua,

 

  1. Saya turut ingin mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan Dewan yang mulia ini, serta seluruh rakyat Malaysia di luar sana bahawa Kerajaan melalui Jawatankuasa Kerja Perundangan dan Mempromosi Keharmonian Nasional, Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) atau National Unity Consultative Council (NUCC) telahpun mengambil dan memulakan inisiatif untuk membincangkan cadangan penggubalan akta baru ini.

 

  1. Memang benar bahawa terdapat beberapa draf cadangan kerja (atau dengan izin, proposed working draft) akta berkenaan telahpun dimajukan kepada saya baru-baru ini. Namun, saya ingin menegaskan kepada dewan yang mulia ini serta seluruh rakyat Malaysia bahawa input daripada draf-draf cadangan kerja berkenaan masih lagi sedang diteliti. Sekiranya ia adalah baik dan sesuai serta boleh dilaksanakan di Negara kita, maka cadangan tersebut akan dipertimbangkan.

 

  1. Proses konsultasi juga masih giat dijalankan dan belum lagi dimuktamadkan, bercanggah dengan dakwaan oleh sesetengah pihak baru-baru ini. Draf undang-undang yang bakal digubal ini merupakan undang-undang yang datangnya dari rakyat untuk rakyat di mana input, pandangan dan cadangan dari rakyat akan diperolehi melalui beberapa siri dialog, perbincangan meja bulat (atau dengan izin, round table discussion) dan sebagainya.

 

  1. Penelitian dan kajian yang menyeluruh adalah penting bagi memastikan suatu undang-undang itu komprehensif dan dapat dilaksanakan dengan berkesan. Maka dengan itu, saya berpendirian adalah tidak wajar untuk kita menetapkan tarikh akhir, atau dengan izin, deadline untuk akta berkenaan disiapkan. Pada saat kita meletakkan deadline, kita secara langsung akan meletakkan tekanan yang tidak diperlukan (unnecessary pressure), iaitu sesuatu yang kita tidak mahu dan tidak wajar diletakkan dalam mencari dan mencapai kesempurnaan yang diharapkan.

 

  1. Saya juga ingin menegaskan, bahawa sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, Kerajaan yang selama ini secara terus menerus tanpa kenal erti jemu dan putus asa dalam terus memaju dan memartabatkan rakyatnya, Kerajaan yang senantiasa menepati janjinya, kami tidak sesekali akan lupa akan hasrat dan janji yang telah dinyatakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 ini. Sebaliknya, InsyaAllah, Akta tersebut akan dimansuhkan apabila Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional dibentangkan di Parlimen kelak.

 

 

Sekian, terima kasih.

  1. Leave a comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: