PERUTUSAN KHAS YAB DATUK SERI IR HJ IDRIS BIN HJ HARON,

PERUTUSAN KHAS YAB DATUK SERI IR HJ IDRIS BIN HJ HARON,

PENGERUSI BADAN PERHUBUNGAN UMNO NEGERI MELAKA

SEMPENA PERSIDANGAN TAHUNAN UMNO CAWANGAN, MELAKA 2015

 

      Tuan-tuan & puan-puan, ahli UMNO yang dirahmati Allah,

  1. Parti keramat kita, UMNO, telah ditubuhkan pada 11 Mei 1946 atas kesedaran dan keinsafan ibubapa dan datuk nenek kita untuk bersatu di bawah payung UMNO yang dipimpin oleh Allahyarham Dato’ Onn Jaafar. Mereka bersatu dalam kegigihan untuk membantah dan menolak Malayan Union demi memelihara serta mempertahankan maruah dan martabat bangsa Melayu, kedaulatan Raja Melayu dan kesucian agama Islam.

  1. Bantahan tersebut telah berjaya menguborkan Malayan Union dan menubuhkan pula Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Januari 1948.

  1. Didorong oleh kesatuan dan perpaduan jitu itu, UMNO telah mengorak langkah memperjuangkan pula kemerdekaan di bawah payung Parti Perikatan yang dipimpin oleh Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

  1. Berkat perjuangan tersebut yang suci, kita telah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 tanpa menumpahkan setitik darah pun berbanding, misalnya, Indonesia, India, Pakistan, Filipina, dan Vietnam yang telah mengorbankan ratusan ribu rakyat masing-masing. Kemudian kita membentuk Malaysia pada 16 September 1963.

Tuan-tuan & puan-puan yang saya hormati,

  1. Kini UMNO meneruskan perjuangan mengisi kemerdekaan dengan menumpukan kepada usaha memupuk perpaduan kaum, memelihara keamanan dan keselamatan rakyat serta memakmur dan mensejahterakan warga Malaysia, khasnya bangsa kita sendiri tanpa melupakan kaum-kaum lain.

  1. Alhamdulillah, dengan izin Allah swt, kegigihan usaha kita itu telah melonjakkan Malaysia ke tahap kemajuan yang membanggakan. Kini Malaysia berada di kalangan negera bertaraf Pembangunan Manusia Yang Tinggi . Pada tahun 2014, kita berada di tangga ke 62 di kalangan 187 buah negara atau satu pertiga teratas dan terbaik di dunia.

  1. Antara rekod kejayaan Malaysia yang diiktiraf oleh Bangsa-bangsa Bersatu dan Bank Dunia serta disegani oleh masyarakat dunia ialah kemampuan kita membasmi kemiskinan dan buta huruf dalam masa yang sengkat. Kini kita menuju ke tahap negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, sepertimana yang disasarkan oleh Presiden kita, YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak.

  1. Kejayaan Melaka lebih cemerlang lagi. Kita lebih dahulu mencapai tahap negeri maju pada tahun 2010. Hanya kita yang mencapai tahap tersebut, sepertimana yang diakui oleh pertubuhan negara-negara maju dan diisytiharkan oleh YAB Perdana Menteri kita.
  2. Di samping itu, kita bukan sahaja masih berjaya mengekalkan kadar kemiskinan dan pengangguran terendah di Malaysia malah terendah di kalangan negera-negara maju. Seratus peratus penduduk Melaka boleh mendapat bekalan air paip dan bekalan elektrik sedangkan tidak semua penduduk Amerika, kononnya negara terkaya dan termaju di dunia, mendapat nikmat seperti kita ini. Kini kita dalam Fasa ke-2 Melaka Maju.

  1. Itulah secara ringkas kejayaan parti kita, UMNO! Kejayaan besar dan sumbangan berharga UMNO itu tersimpul dalam pantun pusaka ini:

Anak duri anak tenggiri,

Dalam belanga bertemu jodoh,

UMNO umpama payung negeri,

Tempat rakyat tumpang berteduh.

Tuan-tuan & puan-puan yang saya kasihi,

  1. Kejayaan tersebut hendaklah kita kekalkan. Kejayaan baru perlu pula hendaklah kita terokai kerana masih banyak lagi yang perlu kita laksanakan. Sesungguhnya perjuangan kita belum selesai.

  1. Kita hanya mampu mengekalkan kejayaan lampau dan menerokai kejayaan baru jika kita berjaya mengekalkan kuasa yang ada pada kita. In syaa Allah, kuasa itu akan kekal jika perpaduan ahli mantap, jentera parti kukuh dan kita pula mampu menarik semua orang Melayu dan Bumiputera berlindung di bawah payung UMNO serta kaum-kaum lain turut menyokong kita.

  1. Rahsia letaknya kuasa itu adalah di CAWANGAN UMNO; di Cawangan tuan-tuan yang jitu berpadu dan di lebih 20 ribu cawangan yang lain di seluruh negara. Cawangan-cawangan ini umpama jari jemari. Sebatang jari kurang gunanya. Lima jari yang bersatu, kegunaannya beribu!

  1. Bersama jentera parti yang kukuh ini, marilah kita melaksanakan Pelan Tindakan 2015 selaras dengan wawasan untuk menang besar dalam PRU 14 nanti:

  • merampas semula Parlimen Bukit Katil, DUN Bukit Baru dan DUN Duyung;

  • menambah pemilih Melayu; sekurang-kurangnya 65% pemilih hendaklah Melayu di DUN masing-masing menjelang PRU 14; dan

  • mendaftarkan semua ahli UMNO yang layak menjadi pemilih.

Tuan-tuan & puan-puan, ahli UMNO yang disayangi Allah,

  1. Kita tidak boleh selesa dan sambil lewa dalam melaksanakan Pelan tersebut kerana Melaka kini dalam zon yang agak merbahaya. Difahamkan 8 buah DUN (Gadek, Machap, Durian Tunggal, Klebang, Paya Rumput, Teluk Mas, Bemban dan Rim) menjadi sasaran pembangkang. Jika kita kecundang, maka kita pula yang akan menjadi pembangkang. Bersediakah kita bertuankan bukan pemimpin UMNO sebagai Ketua Menteri Melaka?

  1. Kita hendaklah segera mengambil iktibar dari trajedi yang berlaku pada kubu kuat UMNO di Selangor, Negeri Sembilan dan Johor yang berhampiran dengan kita.
  2. Pada tahun 2004, pembangkang hanya menang 2 kerusi DUN di Selangor dan Negeri Sembilan dan hanya sebuah kerusi DUN di Johor. Pada tahun 2008 BN / UMNO tumbang di Selangor dan hampir tumbang di Negeri Sembilan. Pada tahun 2013, BN / UMNO kalah lebih teruk lagi di Selangor dan pembangkang dapat menambah 18 kerusi DUN di Johor, tempat lahirnya UMNO.

  1. Justeru kita hendaklah membaharui azam untuk sebahu dan sederap bersama pemimpin dalam usaha menuai kemenangan besar di PRU ke 14 nanti. Yang rebah kita sama-sama tegakkan; yang condong kita sama-sama tongkatkan. Ia selaras dengan maksud Firman Allah swt, Ayat 59, Sura al-Nisa’:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasullullah dan kepada ‘Uli al-Amri’ (orang-orang yang memimpin) dari kalangan kamu..”

  1. Azam kita ialah untuk menang di peringkat parlimen dan DUN. Ini bermakna kita perlulah menang di peringkat PDM. Rahsia kemenangan PDM pula terletak pada kekuatan perpaduan Cawangan! Sesungguhnya pemimpin parti mengakui Cawangan amatlah penting dalam susunan kuasa parti kita.

  1. In syaa Allah, berkat usaha bersama, kita akan berjaya mengekalkan rekod dunia bahawa, di bawah sistem demokrasi berparlimen, UMNOlah parti politik yang paling lama terus menerus berada di persada kuasa.

  1. Kita insaf bahawa hanya UMNOlah tempat kita berpaut. Hanya UMNOlah tempat kita berteduh. TIADA pertubuhan Melayu lain yang mampu mengambil alih peranan dan tanggungjawab yang terpikul di bahu UMNO ini.

Pohon nyiur di tepi laut,

Burung gagak di pucuk kayu,

Kepada UMNO kita berpaut,

UMNO tegak, perkasalah MELAYU!

 

Justeru marilah kita sama-sama menjaga dan memperkasakan parti keramat ini demi kepentingan Agama, Bangsa dan Tanah Air tercinta.

  1. Akhir kalam, saya mendoakan Tuan-tuan dan Puan-puan agar sentiasa dikurniakan kebahagian oleh Allah swt, dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan disihatkan tubuh badan untuk terus memperjuangkan agama Allah swt serta mengangkat martabat Bangsa Melayu dan memelihara maruah negara.

  1. Semoga perhimpunan kita pada hari ini dirahmati Allah swt dan perpisahan kita selepas ini dilindungiNya jua. Mudah-mudahan kita semua tergulung dalam kumpulan orang yang terpuji. Amin.

  1. Selamat bersidang dan didoakan semuanya berjalan lancar dan sempurna. Wabillahitaufikwalhidayah…Assalamu’alaikum wbt.

, , ,

  1. Leave a comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: