Seloka Umno

BERHENTILAH MEMFITNAH DAN BERDENGKI;                                              BERSETIA DAN BERSATULAH HATI                                                                      BERSAMALAH UMNO PERJUANGAN NAN SUCI

I

Berdekad Melaka Gemilang

Melayu Cemerlang

Nusantara dalam genggaman

Venice dalam cengkaman.

 

Malang panas tak sampai ke petang

Kerana dengki, fitnah dan Kitol menyambar peluang

Melaka nan gagah akhirnya tumbang.

 

Berkurun lamanya kita dijajah

Berkurun jugalah kita berbalah bertelagah

Hingga nenek moyang nan kaya raya

Tergadai seluruh harta benda

Akibat sengketa sesamalah kita

Hangus terbakar cinta di dada.

 

II

 

Syukur alhamdullilah

Keinsafan datang menjenguk semula

Yang merantau sudah kembali

Yang hilang sudah dijumpai

Yang dikejar sudah didapati

Yang dicari sudah ditemui

Roh perpaduan 1946 memancar menyala

Bermandi cahaya UMNO tercinta.

 

UMNO umpama tali pengikat

Yang jauh ditarik dekat

Yang dekat bertambah rapat

Yang rapat semakin erat

Antara tidur dan jaga kita melihat

Tanpa sedar…jutaan hati anak bangsa telah terpikat!

 

Berkat perpaduan yang jitu

Sokongan nan padu

Maruah ditebus

Penjajah dihalau berambus!

 

Kita tak nak ke seberang

Kita hanya nak ke kota

Kita tak nak hak orang

Kita hanya nak hak kita.

UMNO berkhidmat dan gigih berbakti

Menabur jasa menanam budi

Seluruh pelusuk penjuru negeri

Membantu yang hidup serta yang mati

 

UMNO umpama pohon nan rendang

Lebat daunnya tempat berteduh

Kukuh dahannya tempat bergantung

Tegap batangnya tempat bersandar

Besar akarnya tempat bersila.

Hanyut kayu dari bukit,

Dari gunung berkati-kati,

Sumbangan jasa bukan sedikit,

Tidak tertanggung sampai ke mati.

 

Dari Rengit pergi ke Bentung

Membeli nyiur di pasar Tanjung

Bumi tersenget langit tergantung

Jasa UMNO tetap dijunjung!

 

Di gunung asam tak sepohon

Di laut mutiara tak sekalong

Tak sekuntum kembang teratai

Tak seekor kumbang mengintai

Tetapi UMNO tidak tumbuh di gunong

Tidak terdampar di pantai.

 

UMNO bertakhta di istana hati

Ditutup rapat dikunci mati

Anak kunci dibuang

Hilang tak dapat dicari

Bersemadilah UMNO di sanubari

Sepanjang hayat kekal abadi.

 

Sekaut selasih

Selesung pinang

Selaut kasih

Segunung sayang!

 

Punya satu parti

Mahu dakap sampai mati

Hilang semua gigi

Hanya tinggal dua gusi

Namun UMNO tetap dikasih, disayang dan dicintai

Hanya pemisah cangkul penggali.

 

Anak ayam terlari-lari

Anak itik terlompat-lompat

Banyak parti boleh dicari

Sebaik UMNO susah nak dapat.

Anak duri anak tenggiri

Dalam belanga bertemu jodoh

UMNO umpama payung negeri

Tempat rakyat tumpang berteduh.

 

Pohon nyiur di tepi laut

Dimakan kumbang pucuknya layu

Kepada UMNO Melayu berpaut

UMNO tumbang hilanglah Melayu.

 

III

 

Malang seribu kali malang

Hasad dan dengki kembali menyerang

Enam, tujuh, lapan berulang-ulang

Ribut taufan menggunung gelombang

Pohon nan tegap mula bergoyang

Tanpa disokong pastikan tumbang.

 

Orang Siam pulang ke Siam

Menyunting bunga kecubung

Diam-diam disangka diam

Rupanya gunting makan di hujung.

Harapkan sungai sering berubah

Harapkan pagar makan padi

Harapkan sokong membawa rebah

Harapkan untung membawa rugi.

Ada sanggup pula ikut gelagat Pak Pandir

Jadi baruah dan tali barut

Hanya untuk kepentingan perut:

 

Pandai Pak Pandir
Anak dipijak,dagang dijinjing
Kucing dibunuh, tikus dibela
Harta habis, badan tergadai
Mendengar gelagak dagang
Tak sedar bertelanjang
Mendengar guruh di langit
Air tempayan dicurahkan
Mulut kena suap pisang
Buntut kena cangkuk onak
Gunting makan di hujung
Pak Pandir juga yang menanggung
Apa didengar gelagat dagang
Gelagak rambutan jantan
Orang berbunga dia berbunga
Orang berbuah dia haram
Kilat memancar hujang tak jadi
Awak juga berkecundangan

 

Ada pula Melayu yang sedia membunuh UMNO yang telah banyak berjasa

Seperti Pak Kadok sedia membunuh isteri tanpa rasa berdosa

Tidak serik malang menimpa-nimpa:

Aduhai malang Pak Kaduk

Ayamnya menang kampung tergadai

Ada nasi dicurahkan

Awak pulang kebuluran

Mudik menongkah surut

Hilir menongkah pasang

Ada isteri dibunuh

Nyaris mati oleh tak makan

Masa belayar kematian angin

Sauh dilabuh bayu berpuput

Ada rumah bertandang duduk.

Ramai Kitol, Brutus dan Napoleon kecil

Menabur fitnah mengutip hasil

Sebelum UMNO bermandi darah

Segeralah dicegah sebelum parah.

Mereka ini perlu ditunjuk jari:

Janganlah padang orang hendak berlari

Padang sendiri hendak berjingkit

Kan mereka tahu satu hari nanti

Langit itu tinggi dan bumi ini berbukit-bukit.

 

Usah dimarah orang seberang

Yang matang dan bijak mencari peluang

Mereka bersatu walau berbeza

Air sama air, sampah ketepi jua.

 

Kitalah yang bodoh dan leka

Sesama sendiri bergaduh berperang sentiasa

Nasihat keramat ‘Bersatu Teguh, Bercerai Roboh’ dicampak buang

Rela kalah jadi abu, menang jadi arang

Tak sanggup berputih mata, bertekad berputih tulang

Sanggup pula membodohkan diri menjadi ayam sabungan orang:

 

Orang menang awak yang parah

Orang ketawa awak berdarah

Akibat bodohkan diri…

Akhirnya menjilat luka sendiri.

Lalu janganlah salahkan ibu mengandung, memang sial nasib sendiri:

Ambil galah jolok kedondong

Galah patah menimpa dahan

Jangan salahkan ibu mengandung

Sudah nasib sialnya badan.

 

 

Belayar ke Pulau Rupat

Bangka Belitung berjauhan

Yang dikejar tak dapat

Yang dikendong berciciran.

 

IV

 

Ingatlah anak bangsa yang pernah terbilang

Janganlah baju sendiri yang koyak kerana dek lenggang.

Pohon besar apabila tumbang

Kura-kura pun berani panjat

Itulah tanda bangsa yang bangsat!

 

Cukuplah sudah kita bersengketa dan berbalah

Retak janganlah sampai membawa belah

Luka janganlah sampai berdarah

Ular dipukul biarlah mati

Kayu di tangan janganlah patah

Yang condong kita tongkatkan

Yang rebah kita tegakkan

Cat ting telinga tikus

Biar genting jangan putus.

Jika tidak mahu hancur berderai:

“Berpegang teguhlah kamu kepada agama Allah secara kuat dan janganlah kamu bercerai berai.

 

Pohon bergoyang angin berhembus

Pokok semalu di celah rumput

Air dicincang tidak kan putus

Biduk lalu kiambang bertaut

 

Dengan kasih yang kembali bertaut

Bangkitlah semula roh perpaduan

Lupakanlah perbezaan,

Rapatkanlah barisan.

 

Ingatlah:

Kuat akar kerana tunjang, kuat tunjang kerana akar.

Bulat air kerana pembetung, bulat masyarakat kerana muafakat.

Bersatu teguh, bercerai roboh.

“Tak akan ada kemenangan jika tak ada kekuatan. Tak akan ada kekuatan tanpa perpaduan. Tak akan ujud perpaduan jika tak ada semangat silaturrahim sesama saudara.”

Dengan kasih yang suci

Kesetiaan yang kental

Sokongan yang padu

Kepimpinan yang mantap

UMNO akan bangkit semula dengan wajah, semangat dan iltizam baru.

Berbekalkan azimat ini

Kita akan mampu mendaki gunung,

Meredah hutan, mengharung lautan dan membelah awan.

Kita berani memberitahu kawan dan lawan:

Padang orang jangan berlari jika padang sendiri hendak berjingkit;

Nanti mereka kan tahu, langit itu tinggi dan bumi ini berbukit-bukit.

 

Ke gunung sama kita mendaki

Ke laut sama kita renang

Kalau kita bersatu hati

Kerja susah menjadi senang.

 

Orang darat membawa bakul

Berisi berangan menjual di Rinching

Yang berat sama dipikul

Yang ringan sama dijinjing.

Patah atap kerana buluh

Terbang melayang burung tempua

Patah sayap bertongkatkan paruh

Namun kan tetap terbang jua.

 

Demi agama dan negara

Juga untuk nusa bangsa

Bersulam ikrar sumpah setia

Syariat terpelihara

 

Bersatu teruslah bersatu

Berlandas iman yang jitu

Mendukung hasrat suci nan mulia

Untuk Malaysia tercinta

 

UMNO Melaka sedia berjuang

Sepenuh jiwa martabat dijulang

Pembela nasib bangsa yang terbilang

Melayu gemilang!

 

UMNO Melaka sentiasa berkhidmat

Mencurah bakti memerah keringat

Dahulu kini dan selamanya

UMNO kan terus mara.

 

Kita perlu pertahan dan perkasakan UMNO pula

Tempat kita berteduh dan banyak berjasa

 

Pergi ke huma pergi ke ladang,

Tanam nanas di rumpun buluh,

UMNO umpama pohon nan rendang,

Hujan dan panas tumpang berteduh.

Pohon nyiur di tepi laut

Burung gagak di pucuk kayu

Kepada UMNO kita berpaut

UMNO tegak, perkasalah Melayu.

 

Lantas kita teruslah berjuang

Biar tembus peluru dan pedang

Kita tetap meradang menerajang

 

Luka dan bisa sama kita bawa berlari

Berlari
Hingga hilang pedih peri

Kita tidak akan peduli

Kita mahu hidup

UMNO mahu hidup

Melayu mahu hidup

Malaysia mahu hidup

SERIBU TAHUN LAGI!!!

 

 

 

 

 

 

ILHAM DSIH

24 Mac 2015.

,

  1. Leave a comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: