Kalaulah saya bepeluang membahaskan Bajet 2016…

YB TS YDP,

Saya bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain turut merakamkan tahniah kepada YAB PM merangkap Menteri Kewangan I di atas kejayaan membentangkan Bajet 2016 yang berhemah dan pragmatik itu.

Sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab, BN telah menggalas tugas mentadbir dan menguruskan negara dengan cekap dan berkesan. Rekod pentadbiran selama 58 tahun adalah sebagai bukti dan pencapaian HDI di tangga 62 pada tahun 2014 sebagai alibi manakala kemenangan 13 kali dalam PRU merupakan referendum rakyat yang tidak boleh dipertikaikan lagi.

2K – Kemakmuran dan Keamanan

Banyak parameters yang perlu diberikan perhatian untuk mencapai tahap kejayaan yang lebih baik dan lebih tinggi lagi. Namun 2K ini – Kemakmuran dan Keamanan – adalah merupakan yang terpenting.

Diakui kerajaan BN tidaklah sempurna atau perfect tetapi, berdasarkan a basket of indicators ini, amatlah jelas bahawa 2K itu telah berjaya kerajaan BN sempurnakan dan rakyat telahpun menikmati hasil usaha tersebut:

4.1 Pertumbuhan GDP – Malaysia mencatatkan pertumbuhan 5.3% pada separuh pertama 2015 berbanding dengan negara-negara lain yang lebih rendah atau menguncup pertumbuhannya seperti USA, Jepun, Germany, Euro Zone dan Singapura. Petunjuk Ekonomi Pelopor (Leading Economic Indicators) kita menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia akan terus berkembang dalam tempoh terdekat ini; diakui pertumbuhan itu pada kadar yang lebih perlahan.

4.2 Kadar pengangguran – kita terus menikmati guna tenaga penuh bertahun-tahun (3.1% pada suku kedua 2015) manakala banyak negara bergelut dengan masalah pengangguran yang tinggi seperti Indonesia, Mesir, Israel, USA dan Euro Zone;

4.3 Kadar kemiskinan – ianya amatlah rendah atau hampir sifar iaitu hanyalah 0.6% sedangkan banyak negara terus dicengkam kemiskinan seperti USA (15%), China (36%), Indonesia (50%) dan India (75%);

44 Kadar inflasi – ianya di tahap sederhana (3.1%) berbanding dengan Negara-negara lain melebihi 5% seperti Mesir, Venezuela dan India;

4.5 Keamanan – berdasarakan Global Peace Indeks, Malaysia di kedudukan no.28;

4.6 Kebahgiaan – berdasarkan World Hapiness Index, kedudukan Malayasia no. 61 di Asia.

4.7 Kemakmuran – berdasarkan Legatum Prosperity Index, kedudukan Malayasia no. 45.

YB TS YDP,

Kemakmuran

Agar seimbang, pada hemat saya, bajet wajarlah dilihat dari segi (a) pendapatan kerajaan (sumbangan rakyat) berbanding perbelanjaan (kehendak rakyat), (b) suasana ekonomi global (permintaan luar) dan suasana ekonomi dalam negeri (permintaan domestik), (c) pertumbuhan serta agihan, (d) keseimbangan antara kepentingan individu dan kepentingan negara serta (e) pertumbuhan mapan yang turut mengambil kira tuntutan jangka pendek, sederhana dan panjang. Diharaplah cadangan dan kritikan mengambil kira tuntutan yang kadangkala berkonflik ini.

Ramai telah memuji YAB DS Mohd Najib selaku Menteri Kewangan I tentang kehebatan Bajet ini dan dijangka ramai lagi akan menyokong beliau. Tetapi bagi kawan-kawan kita di sebelah sana, mereka akan terus menggali mencari kelemahan dan memutarbelitkan fakta. Mereka akan terus bersikap negatif dan destruktif kerana mereka mungkin telah ditakdirkan dan dilahirkan sedemikian.

Dalam merangka Bajet 2016, Kerajaan BN menerima hakikat bahawa pertumbuhan ekonomi global akan terus berlegar dalam keadaan yang lemah, harga komoditi berada di paras yang rendah dan yang demikian akan memberi impak ke atas hasil kerajaan melalui punca-punca berkaitan.

Di bawah lanskap pendapatan kerajaan yang menurun dan pertumbuhan ekonomi global yang suram maka sudah pasti ianya memberi kesan ke atas suasana ekonomi dalam negeri, termasuklah perbelanjaan (consumption) oleh rakyat. Terbukti kedua-duanya telah menurun.

Pertumbuhan ekonomi pada suku kedua 2015 adalah lebih rendah iaitu 4.9% berbanding suku pertama sebanyak 5.6%. Bagi tempoh yang sama, Penggunaan Terakhir Swasta juga merosot kepada 6.4% dari 8.8%.

Dua Pilihan

Dalam keadaan ekonomi yang sedemikian, apakah pilihan yang ada pada kerajaan? Pada asasanya kerajaan mempunyai dua pilihan utama. Pertama, berbelanja mengikut kemampuan hasil yang ada atau mengukur baju di badan sendiri. Atau, kedua, berbelanja lebih dari hasil yang diperolehi tetapi ianya dibelanjakan secara produktif, berhemah dan pragmatik dengan tujuan untuk merangsang semula aktiviti ekonomi kita serta melonjak semula hasil kerajaan.

Pilihan pertama itu, biasanya, amat sesuai diamalkan oleh individu dan sesebuah keluarga tetapi, pada hemat saya, kurang sesuai bagi negara. Pada pendapat saya pilihan kedua lebih tepat untuk dilaksanakan oleh kerajaan yang bertanggungjawab yang mengutamakan kesejahtaeraan rakyat dan 2K itu.

Dalam lain-lain perkataan, kerajaan menggunapakai pendekatan jaguh ekonomi Lord Keynes untuk memulihkan semula kerancakan aktiviti ekonomi kita.

Adalah tepat masanya Kerajaan mengambil alih tugas memandu perjalanan ekonomi ini dari pihak swasta yang sudah pasti lebih berhati-hati dari segi pelaburan baru dan pengembangan (expansion) aktiviti ekonomi mereka.

Sekiranya kedua-duanya, kerajaan dan swasta, mengurangkan pelaburan / perbelanjaan masing-masing dalam tempoh yang suram ini maka sudah pasti ekonomi akan menguncup dan rakyatlah akan menanggung kesengsaraannya dari segi pengangguran yang meluas, pendapatan yang merosot, kemiskinan yang meningkat dan penyakit sosial yang merebak.

Lantas dialu-alukan peningkatan perbelajaan / pelaburan tersebut demi mengekalkan kemakmuran rakyat. Sesungguhnya kerajaan telahpun melaksanakan pendekatan ini pada tahun ini apabila mencerapi senario yang saya lakarkan tadi. Buktinya, Perbelanjaan Akhir Kerajaan pada suku tahun kedua 2015 telah melonjak kepada 6.8% berbanding 4.1% pada suku tahun sebelumnya.

Tanpa pemacuan tersebut maka sudah pasti kita tidak mampu mencapai pertumbuhan sebanyak 5.3% itu. Yang demikian, kita terus dapat menikmati kemakmuran dalam suasana ekonomi global yang muram, suram dan mencabar itu.

Pada masa yang sama, saya ingin menarik perhatian kerajaan kepada empat isu utama yang berkaitan dengan pertumbuahn ekonomi dan kemakmuran ini; empat sahaja iaitu (a) ekonomi berpendapatan tinggi, (b) perbelanjaan berhemah, (c) jurang kekayaan dan (d) kos sara hidup.

YB TS YDP,

Ekonomi berpendapatan Tinggi

Sesungguhnya sasaran untuk mencapai ekonomi berpendapatan tinggi adalah menjadi idaman YAB PM dan rakyat semua. Ekonomi berpendapatan tinggi adalah berpaksikan kepada dua elemem ekonomi terpenting iaitu (a) petumbuhan ekonomi dan (b) pertukaran nilai mata wang (Ringgit Malaysia).

Untuk mencapai ekonomi berpendapatan tinggi, RMK11 mensasarkan pertumbuhan ekonomi pada kadar harga semasa CAGR 9.7% setahun sedangkan kadar pertumbuhan pada harga semasa ST2 2015 hanyalah 5.4% setahun atau hanyalah 56% daripada sasaran yang diunjurkan itu.

Kalaulah kadar tersebut  berterusan dalam persekitaran pertumbuhan ekonomi dunia yang lembab ini maka  bagaimanakah kita boleh mencapai tahap ekonomi berpendapatan tinggi itu?

Nilai Ringgit pula masih DI ATAS paras benchmark yang digunapakai dalam merangka RMK11 sekalipun ianya telah kembali mengukuh.

Pada kadar USD1 = RM4.20, ini bermakna ukuran GNI Per Kapita sebanyak USD15,000 adalah bersamaan RM63,000.

GNI Per Kapita kita pada tahun ini dianggarkan RM35,572. Ini bermakna kita memerlukan lagi tambahan sebanyak RM27,428 seorang dalam masa 5 tahun akan datang atau tambahan purata sebanyak RM5,486 setahun untuk mencapai sasaran GNI Per Kapita RM63,000 pada tahun 2020. Apakah Plan B yang telah disediakan untuk mencapai sasaran tersebut? RMK11 saya istilahkan sebagai Plan A.

Yang lebih penting lagi ialah berapakah GNI Per Kapita Bumiputra berbanding bukan Bumiputra pada masa kini dan pada tahun 2020 nanti?

Pada masa yang sama, saya inginlah mendapatkan penjelasan yang lengkap di dewan yang mulia ini mengenai kedudukan nilai Ringgit kita ini dan impak bersihnya (net impact) ke atas ekonomi negara dan kehidupan rakyat kita.

Diakui bahawa banyak matawang yang turun nilainya berbanding USD; bukanlah Ringgit sahaja yang mengalami nasib buruk ini. Yen, Sing Dollar dan Australian Dollar turut merosot. Yang paling teruk merudum ialah Russian Rouble.

Malaysia dikatakan mempunyai asas ekonomi atau economic fundamentals yang lebih kukuh berbanding kebanyakan negara Asia tetapi mengapakah Ringgit kita mengalami kejatuhan yang paling teruk? Rakyat ingin tahu sebab musababnya.

Mengenai impak pula, memanglah benar bahawa dari segi teori ekonomi, ada buruk dan baiknya naik turun kadar faedah, nilai Ringgit dan sebagainya. Apa yang penting ialah yang mana lebih banyak – baiknya atau buruk / mudaratnya?

YB TS YDP,

Perbelanjaan Berhemah

Kini saya ingin menyentuh pula isu perbelanjaan berhemah. Perkara ini memanglah menjadi paksi pengurusan kewangan kerajaan. YAB PM, antara lain, sering menyarankan penambah-baikan sistem penyampaian perkhidmatan, peningkatkan produktiviti, mengurangkan pembaziran dan ketirisan, value for money dan less for more. Saranan dan amalan ini menjadi lebih kritikal lagi dalam keadaan kita mengalami kekurangan hasil dan aktiviti ekonomi yang kurang rancak.

Sehubungan itu, saya ingin membuat dua saranan utama. Pertama, mengawal kos dan, kedua, menyusun semula keutamaan.

Sesungguhnya pengurusan dan pengawalan kos / perbelanjaan yang berhemah hendaklah meresapi keseluruhan sistemm pentadbiran kerajaan. Dari pusat di Putrajaya hinggalah ke PBT di Kudat dan Baram. Dari pembelian yang kecil seperti pen dan pensil hinggalah ke berbilion Ringgit seperti MRT.

Mohon dimaklumkan pada dewan yang mulia ini berapakah kos asal yang diperuntukkan untuk membina LRT, MRT dan Sunway BRT dan berapakah pula kos sebenar yang ditanggung?

Sebagai contoh, difahamkan kos asal BRT Sunway sepanjang 5.5 km itu ialah RM300 juta. Namun kosnya telah melonjak 110% kepada RM634 juta dan purata kosnya seKM adalah sebanyak RM115 juta bagi 1,000 penumpang. Kos ini tentulah dilihat begitu exorbitant dan membuat kita melopong jika dibandingkan dengan kos membina seKm LRT yang lengkap di Jakarta dan boleh membawa 20,000 penumpang. Sudah tentu kos koc LRT lebih mahal dari bas tetapi kos LRT Jakarta hanyalah RM80 juta seKM!

Begitu juga dengan kos membina MRT yang nampaknya macam tidak terkawal itu. Mengikut laporan, kos pembinaan MRT kita adalah sebanyak RM460 juta per KM; 114% lebih tinggi dari kos membina MRT Jakarta iaitu hanyalah RM215 juta! Jika dibandingkan dengan Singapura pun kita lebih mahal – RM442 juta per KM!

Nampaknya kita perlu lebih serius lagi dengan saranan value for money dan less for more itu!

Di samping itu, dalam kedudukan kewangan kita yang terhad dan berkurangan ini, saya ingin menyarankan agar disusun semula keutamaan kita dengan memberi perhatian kepada konsep marginal utility dan low investment high return.

Sehubungan itu, pertama, kerajaan hendaklah mencari pilihan lain yang viable tetapi lebih murah dan cost effective. Mengambil contoh di atas, Kerajaan sewajarnyalah membina BRT dan bukannya MRT.

Kedua, kerajaan hendaklah menambah dan mengutamakan projek luar bandar dan B40. Masih banyak lagi isi rumah luar bandar di Kelantan, Pahang, Sabah dan Sarawak yang belum lagi mendapat bekalan asas seperti air dan letrik.

Mereka juga dahagakan kemudahan asas seperti sekolah, klinik kesihatan dan jalan raya yang lebih baik. Mereka tidak memerlukan sekolah berhawa dingin dan lebuh raya 4 lorong. Mereka sudah gembira jika mendapat sekolah yang tidak roboh dihembus bayu dan jalan selorong yang bertar.

Golongan B40 hanya memerlukan rumah yang mampu milik; bukan istana yang hanya mampu tenguk. Mereka memerlukan pekerjaan yang mampu memberikan pendapatan yang munasabah dalam keadaan kos sara hidup yang terus meningkat.

Dalam konteks pekerjaan dan gaji ini, kerajaan disarankan supaya mengambil tindakan drastik dan segera untuk menyelesaikan isu buruh asing ini. Sekurang-kurangnya terdapat dua sebab utama tindakan segera perlu diambil.

Pertama, sebahagian besar iaitu kira-kira 50% dari 1.8 juta pekerjaan baru yang diwujudkan di bawah ETP telah dirampas oleh pendatang asing ini. Kedua, oleh kerana majikan lebih berminat untuk mengambil pendatang ini kerana mereka bersedia menerima gaji yang lebih rendah maka mereka ini telah menekan gaji daripada berpeluang untuk meningkat. Justeru B40 terus kekal dalam kelompok yang sama.

Pada tahun 2020, PEMANDU telah mengunjurkan seramai 7 juta pekerja atau lebih 40% akan masih menerima gaji bawah RM2,000 sebulan. Keadaan ini amatlah membimbangkan kerana masih ramai yang berpendapatan rendah sedangkan kita dijangka telah mencapai taraf ekonomi berpendapatan tinggi pada masa itu.

YB TS YDP,

Jurang Kekayaan

Turut membimbangkan ialah jurang kekayaan kini sedang melebar dan dijangka akan terus melebar. Sebagai contoh, antara 2009 dan 2012, pemilikan rumah kediaman Bumiputera menurun dari 27.2% kepada 26.1%, pemilikan terraced factories / warehouses merosot dari 45% kepada 35.1%, commercial buildings mengecil dari 5.8% kepada 5.4% dan industrial complexes menyusut dari 3.1% kepada 0.2%.

Jurang kekayaan yang melebar ini merupakan isu besar yang boleh mengancam keamanan dan kemakmuran negara kerana yang terpinggir itu adalah kumpulan majoriti iaitu kaum Bumiputera.

Lantaran itu tindakan mitigasi hendaklah segera diambil dari segi menyemak semula segala dasar dan kaedah pelaksanaan yang telah menyumbang kepada jurang yang melebar itu. Antara yang perlu disegerakan ialah melaksanakan janji YAB PM yang telah beliau lafazkan pada 30 Mac 2010 semasa melancarkan Model Baru Ekonomi (MBE).

“A fair distribution must encompass the whole spectrum of measuring wealth such as equity ownership, other financial and non-financial assets, and access to wealth creating opportunities such as long term concessions and contracts. Even in measuring ownership, it should go beyond equity to include other properties, such as retail, landed properties, comercial buildings, intelectual property and other services as well as managerial positions”

Sementara kita masih mempunyai masa untuk mendepani PRU14 maka wajarlah kita menyegerakan tindakan mitigasi ini kerana sesunguhnya ingatan YAB PM pada 11 November 2013 boleh memercikkan peluh dingin:

“This is not simply a matter of economic justice; it is also of national stability. Poverty and inequality have a destabilising and corrosive effect on societies. Why should law and order mean anything to people who hardly benefit from them? Why should the marginalised support a political system if it only widens the gap between the rich and the poor?”

YB TS YDP,

Kos Sara Hidup

Tadi saya ada menyentuh tentang kos sara hidup. Dalam keadaan majoriti rakyat berpedapatan rendah iaitu bawah RM4,585 sebulan, real wages pula menurun manakala kos sara hidup meningkat maka kehidupan rakyat bertambahlah perit. Proksi peningkatan kos sara hidup ini boleh dilihat dari kenaikan kadar inflasi. Pada tahun 2012, misalnya, kadar inflasi kita hanyalah 1.6%. Pada bulan September 2015, kadar ini telah melompat hampir 2 kali ganda kepada 3.1%!

Yang demikian, adalah wajar sekali pendekatan serampang dua mata dilaksanakan segera iaitu (a) usaha menambah pendapatan dan (b) mengawal kenaikan kos sara hidup. Jawatankuasa Khas Ekonomi yang telah diwujudkan itu hendaklah meneliti dan menghalusi saranan saya ini.

Keamanan

Sekarang saya ingin menyentuh pula K yang kedua iaitu isu keamanan.

Saya menjangkakan penduduk Afghanistan, Syria, Somalia, Libya, Yemen dan beberapa negaraa lain yang sentiasa dalam keadaan berperang dan kucar kacir tentunya dahagakan keamanan.

Kalau kita tanyakan ibubapa kita yang masih hidup, tentunya mereka tidak mahu kesengasaraan, keganasan dan kezaliman di zaman pemerintahan Jepun dan Bintang Tiga berulang lagi. Kita juga tidak mahu peristiwa pahit 13 Mei menjenguk kembali.

Malangnya iklim perpaduan kaum kita nampaknya selari dengan musin jerebu yang sedang kita alami sekarang. Ianya membimbangkan saya kerana, berdasarkan Global Peace Index, kedudukan kita telah merosot dari tangga ke 24 pada tahun 2012 kepada tangga ke 28 pada tahun 2014.

Kedudukan kita dari segi kebahgian (happiness) juga telah menurun; dari tangga ke 56 ke tangga ke 61, menurut World Happiness Index.

Oleh itu marilah kita sama-sama menjaga keamanan yang telah kita nikmati selama ini kerana ia juga merupakan pra syarat dan tiang seri kemakmuran negara. Jika keamanan bertukar kepada huru hara maka syurga bertukar menjadi neraka manakala kemakmuran pula bertukar kepada kebuluran dan kesengsaraan.

Justeru semua pihak hendaklah ikhlas dalam membina dan memupuk keharmonian kaum; bukan telunjuk lurus kelengkeng berkait atau kokok berderai-derai tetapi ekor bergelumang dengan najis.

Saya rakamkan ribuan terima kasih kepada YB TS YDP kerana memberi saya peluang untuk turut membahaskan Bajet 2016 ini.

Bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain, saya turut menyokong Bajet 2016 yang telah dibentangkan oleh YAB Menteri Kewangan I itu.

  1. Leave a comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: