Membahas Bajet 2016 Kementerian Kewangan

YB TS YDP,

Sekali lagi saya merakamkan ribuan terima kasih kepada YB TS YDP kerana memberi peluang kepada saya untuk turut membahaskan Bajet bagi Kementerian Kewangan in. Saya akan menumpukan kepada 8 perkara sahaja.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil peluang ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas kejayaan YAB PM melaksanakan strategi serampang 2 mata iaitu rasionalisasi subsidi dan GST di masa yang kritikal iaitu ketika kerajaan sangat memerlukan sumber pendapatan baru dan pendekatan inovatif untuk mengimbangi kemerosotan hasil akibat kejatuhan harga komoditi dan akitiviti ekonomi yang kurang rancak.

Perkara atau soalan pertama yang ingin saya ketengahkan ialah (1) berapa banyakkah penjimatan yang telah diperolehi dari program rasionalisasi subsidi itu dan (2) mengapakah peruntukan subsidi masih tinggi pada tahun 2015 & 2016 iaitu sekitar RM26 bilion?

Kedua ialah mengenai kemapanan kewangan atau financial sustainability kita.

Pada tahun 2016, hasil kerajaan diunjurkan sekitar RM225.7 bilion. 95% daripada hasil ini digunapakai untuk perbelanjaan mengurus atau OPEX. 34% daripada hasil tersebut adalah untuk bayaran emolumen dan pencen. Yang demikian, hanya sebahagian kecil sahaja yang tinggal untuk perbelanjaan pembangunan atau CAPEX. Kita terpaksa menjunjung hutang bagi tujuan CAPEX ini. Beginilah keadaan kita setiap tahun.

Soalan saya ialah adakah keadaan sedemikian itu sihat dan mapan atau healthy and sustainable? Dan apakah usaha jangka panjang yang akan dibuat untuk memperbaiki lagi prestasi kewangan kita ini kerana hutang Kerajaan Persekutuan terus meningkat dan kini telah melebihi RM620 bilion?

Ini membawa saya kepada perkara ketiga iaitu keupayaan membayar balik hutang.

Saiz hutang semata-mata tidak membimbangkan saya. Yang penting dari segi hutang ialah tujuan berhutang dan kemampuan membayar balik hutang. Kerajaan dianggap berhemah atau prudent dalam menguruskan kewangan rakyat jika pinjaman dibuat bagi tujuan, antara lain,  untuk memperkasa kapasiti pembanguan negara dan kerajaan pula mampu membayar balik pinjaman tersebut.

Lantaran itu, saya ingin mengucapkan setinggi tahniah di atas kejayaan YAB PM dalam menguruskan kewangan negara yang mana, antara lain, defisit fiskal telah dapat dikurangkan dari 7.0% daripada nilai GDP pada tahun 2009 kepada 3.1% pada tahun 2016 dan mampu mengekalkan tahap hutang di bawah paras 55% daripada nilai GDP.

Namun, pada hemat saya, ukuran yang lebih baik bagi tujuan mengukur ‘kesihatan’ kewangan kita ialah nisbah bayaran khidmat hutang.

Berbeza dengan defisit fiskal, nisbah ini bertambah buruk.
Pada tahun 2012,  setiap RM100 daripada hasil, sebanyak RM9.40 digunakan utk membayar hutang. Ianya meningkat kepada RM11 pada tahun ini dan diunjurkan menokok lagi kepada RM11.80 pada tahun hadapan; meningkat 25.5% dalam masa 4 tahun itu; lebih pantas dari kenaikan hasil sebanyak 8.6% dalam tempoh yang sama. Lanskap ini membimbangkan saya.

Saya setuju ianya masih dibawah threshold 15%. Namun apakah usaha untuk menyekat arah aliran menaik ini kerana ia (a) boleh memberi impak ke atas kemapanan kewangan kerajaan serta (b) akan terus mengurangkan baki hasil untuk perbelanjaan lain?

Seterusnya, perkara kelima ialah mengenai jurang kekayaan yang terus melebar. Yang amat membimbangkan saya ialah  jurang antara bandar dan luar bandar serta jurang antara kaum telah semakin melebar. Sebagai contoh, antara 2004 dan 2009, jurang pendapatan antara kaum Bumiputera dan kaum Cina telah mengecil dari RM1,700 kepada RM1,400. Tetapi antara 2009 hingga 2014, jurang tersebut telah melebar semula dari RM1,400 kepada RM2,100!

Dari segi jurang pemilikan aset pula, misalnya, pemilikan rumah kediaman Bumiputera menurun dari 27.2% kepada 26.1%, pemilikan terraced factories / warehouses merosot dari 45% kepada 35.1%, commercial buildings mengecil dari 5.8% kepada 5.4% dan industrial complexes menyusut dari 3.1% kepada 0.2%.

Jurang kekayaan yang melebar ini merupakan isu besar yang boleh mengancam keamanan dan kemakmuran negara kerana yang terpinggir itu adalah kumpulan majoriti iaitu kaum Bumiputera.

Lantaran itu apakah tindakan mitigasi segera yang akan diambil untuk mengecilkan jurang yang melebar itu?

YB TS YDP,

Saya setuju BR1M ada kebaikannya; ia tertumpu kepada kumpulan sasar yang hendak dibantu. Tujuannya juga baik. Ia menambah pendapatan golongan berkenaan dan sekali gus boleh juga merapatkan jurang pendapatan.

Tahun lepas kadarnya telah dinaikkan sebanyak RM300 seorang, dari RM600 ke RM900.  Ia merupakan tanda dan bukti kerajaan prihatin.

Golongan atasan pula dibantu dengan mengurangkan kadar cukai pendapatan sebanyak 1%. Tujuannya juga baik.

Malangnya, secara sedar atau tidak sedar atau kerana rich-biased policy driven, golongan atasan  berkenaan telah menikmati faedah yang jauh lebih besar iaitu penjimatan cukai sebanyak RM13,000 seorang.

Keputusan dan niat baik kerajaan itu telah melebarkan jurang pendapatan sebanyak RM12,700! Ia memberikan bermacam-macam gambaran pada kerajaan.

Pada tahun ini kerajaan melaksanakan pendekatan yang sama lagi. Sekali lagi kerajaan, tanpa sedar, telah melebarkan jurang antara RM250 – RM400 antara golongan berpendapatan bawah RM6,000 sebulan dengan RM6,000 sebulan.

Adakah kerajaan tidak bercadang untuk merapatkan jurang kekayaan?

Saya sedar bahawa kerajaan juga telah menaikkan kadar cukai pendapatan kepada golongan atasan daripada 25% kepada 26% – 28%. Yang demikian, kerajaan boleh mendapat tambahan hasil dan sekali gus boleh merapatkan pula jurang pendapatan.

Dalam pada itu, threshold pula telah dinaikkan dari RM400,000 kepada RM600,000. Justru apakah impak bersihnya (net effect) ke atas jurang pendapatan – adakah ianya tambah melebar atau ianya berjaya dikecilkan?

Keenam ialah mengenai pertumbuhan ekonomi negara kita.

Baru-baru ini Bank Negara telah mengumumkan prestasi ekonomi negara bagi suku tahun ketiga 2015. Pertumbuhannya sebanyak 4.7% adalah  lebih rendah dari suku kedua dan suku pertama 2015, masing-masing sebanyak 4.9% dan 5.6%.

Jelas kerancakan semula petumbuhan eksport tidak dapat membantu to offset kelembapan penggunaan swasta dan awam.

Diperhatikan juga pertumbuhan ini adalah terendah sejak suku kedua 2013.

Namun mengambil kira lanskap pertumbuhan ekonomi dunia bagi tempoh yang sama, kesederhanaan pertumbuahan ekonomi kita itu adalah selari dari segi tren menurun global iaitu sama dengan apa yang dialami oleh banyak negara lain, termasuklah Singapura dan USA.

Pertumbuhan ekonomi Singapura merosot dari 2.0% pada ST2 kepada 1.4% pada ST3. Begitu juga ekonomi USA; ia mejunam dari 2.9% kepada 1.4% dalam tempoh yang sama!

Senario pertumbuhan pada ST3 ini mengesahkan ramalan bahawa pertumbuhan ekonomi pada tahun 2015 adalah lebih rendah daripada apa yang telah diunjurkan lebih awal oleh IMF, Bank Dunia, OECD dan lain-lain lagi.

Berbanding pertumbuhan ekonomi negara-negara tersebut, Jepun dan Euro-Zone dan berlatar belakangkan pula lanskap ekonomi dunia yang muram dan suram serta geo-politik global yang ganas dan tidak menentu itu maka bolehlah dianggap bahawa pertumbuhan ekonomi kita  itu adalah membanggakan.

Namun apa yang membimbangkan saya ialah, bagi tempoh yang sama, Penggunaan Terakhir Swasta juga merosot  kepada 4.1% (ST3) dari  6.4%  (ST2) dan 8.8% (ST1). Kemerosotan ini adalah signifikan dan ianya membimbangkan.

Ianya membimbangkan kerana permintaan luar dijangka akan terus lemah dan tidak menentu pada tahun depan. Lalu YAB PM telah menegaskan bahawa pertumbuhan ekonomi kita pada tahun 2016 akan lebih didorong dan dirangsang oleh permintaan domestik.

Komponen utama permintaan domestik tersebut terdiri dari penggunaan swasta (private consumption) dan pembentukan modal swasta (private capital formation) atau pelaburan. Pembentukan modal dijangka berkurangan kerana pengimportan Barang Modal  (Capital Goods) dan Barang Pengantara (Intermediate Goods) telah menurun bagi tempoh 9 bulan pertama tahun ini masing-masing sebanyak -0.1% dan -2.5% berbanding tempoh yang sama 2014.

Justru apakah usaha kerajaan untuk mempastikan bahawa permintaan domestik akan sesungguhnya menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi kita pada tahun 2016 nanti?

Berkait rapat dengan hasil kerajaan dan pertumbuhan ekonomi tersebut, iaitu perkara yang ketujuh, ialah kejatuhan harga komoditi, jika ianya berlaku pada tahun 2016 kelak.

Sesungguhnya komoditi seperti minyak mentah, minyak kelapa sawit dan getah merupakan penyumbang yang signifikan kepada kedua-dua itu. Justru sudah tentu harga threshold telah diunjurkan dalam merangka bajet ini. Mohon YB Menteri maklumkan harga threshold yang telah digunapakai bagi komoditi-komoditi berkaitan.

Sekiranya harga komoditi tersebut merosot di bawah harga threshold berkenaan, apakah impaknya ke atas semua unjuran yang telah dibuat itu? Misalnya, apakah impak ke atas nilai pengeluaran, hasil kerajaan dan pertumbuhan GDP jika minyak mentah turun setiap dollar US setong?

YB TS YDP,

Akhir sekali, yang kelapan, saya ingin menumpukan kepada peruntukan kewangan bagi tahun 2016 pula.

Saya perhatikan banyak peruntukan pembangunan di bawah Kementerian ini sama ada langsung tidak dibelanjakan atau sangat kurang dibelanjakan. Maklumat ini tertera di m/s 198 – 199, Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2016.

Oleh kerana senarainya agak panjang maka saya hanya mengambil sebahagian contoh perbelanjaan sifar bagi tempoh 2011 – 2014:

Lembaga Pembangunan Langkawi

Pengkomputeran Jabatan Akauntan Negara

Penyelidikan dan Pembangunan

Perbadanan Johor

Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Kedah

Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan

Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Melaka

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu

Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sabah

Program Pembiayaan

Padang Bola Sepak Tiruan.

Saya yakin peruntukan tersebut mampu menjana pulangan dividen ekonomi dan politik yang besar sekali. Justeru ianya menarik perhatian saya. Maka saya ingin bertanya adakah sesungguhnya 7 buah Lembaga / Perbadanan tersebut tidak menerima sekupang pun peruntukan pembangunan selama 4 tahun itu ataupun peruntukan berkenaan telah diterima tetapi ianya tidak sempat dibelanjakan?

Begitu juga dengan perbelanjaan sifar bagi Projek R & D dan Program Pembiayaan.

Seperkara lagi yang menarik perhatian saya ialah peruntukan bagi Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin. Pada tahun 2015, sebanyak RM200 juta telah diperuntukkan untuk Kumpulan Wang ini. Mengapakah pada tahun 2016, peruntukannya hanya seciput – RM10 juta? Lebih kecil dari peruntukan untuk Padang Bola Sepak Tiruan yang berjumlah RM10.5 juta!

Adakah tindakan mengurangkan peruntukan yang kritikal untuk  golongan miskin ini selari dengan semangat Bajet  2016 yang menumpukan kepada Mensejahtera Kehidupan Rakyat?

Apakah cerita yang sebenarnya mengenai perbelanjaan sifar / yang kecil itu? Mohon penjelasan dari YB Menteri.

Namun apa yang saya faham daripada maklumat tersebut ialah, daripada RM3.9 bilion yang telah diperuntukkan bagi tempoh 4 tahun itu, hanya RM0.446 bilion atau 11.3% sahaja yang telah dibelanjakan atau hanya  RM111.4 juta setahun. Nampaknya macam tidak lojik.

Justeru mohon YB Menteri maklumkan kepada Dewan yang mulia ini kedudukan sebenar rekod tersebut atau sebab-sebab prestasi yang nampaknya amat rendah itu, jika rekod berkenaan adalah benar.

Apakah outcomenya terhadap RMK10?

Untuk tahun 2016, dipohon pula sebanyak RM851.3 juta, 7.6 kali ganda lebih banyak daripada rekod purata pencapaian tahunan lalu. Mampukah ianya dibelanjakan secara berhemah berteraskan value for money dalam tempoh setahun ini?

Sekian, terima kasih, YB TS YDP.

  1. #1 by SWK on December 13, 2015 - 10:49 pm

    posting yg menarik. Tetapi isu yg dikupas ibarat Kuman diseberang laut nampak, FLOM di depan mata tak nampak. Peruntukan 3 billion untuk Dana fasilitasi JPM kenapa tak komen? Or semestinya satu umno dah kena gam mulutnya?
    Asking only…Siapa yang sanggup menanggung beban mengkritik PM? Semua nak cari makan atau setidak-tidaknya tidak mahu dijadikan dimakankan..

    NANDRI dan VANAKKAM

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: