Membahas bajet 2016 – MITI

YB TS YDP,

Sekali lagi saya merakamkan ribuan terima kasih kepada YB TS YDP kerana memberi peluang kepada saya untuk turut membahaskan Bajet bagi MITI ini. Saya akan menumpukan kepada 6 perkara sahaja.

Pertama ialah mengenai peranan perdagangan luar negeri dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara kita.

Baru-baru ini Bank Negara telah mengumumkan prestasi ekonomi negara bagi suku tahun ketiga 2015. Pertumbuhannya sebanyak 4.7% adalah  lebih rendah dari suku kedua dan suku pertama 2015, masing-masing sebanyak 4.9% dan 5.6%.

Jelas kerancakan semula petumbuhan eksport tidak dapat membantu to offset kelembapan penggunaan swasta dan awam.

Diperhatikan juga pertumbuhan ini adalah terendah sejak suku kedua 2013.

Namun mengambil kira lanskap pertumbuhan ekonomi dunia bagi tempoh yang sama, kesederhanaan pertumbuahan ekonomi kita itu adalah selari dari segi tren menurun pertumbuhan ekonomi global iaitu sama dengan apa yang dialami oleh banyak negara lain, termasuklah Singapura dan USA.

Pertumbuhan ekonomi Singapura merosot dari 2.0% pada ST2 kepada 1.4% pada ST3. Begitu juga ekonomi USA; ia menjunam dari 2.9% kepada 1.4% dalam tempoh yang sama!

Senario pertumbuhan pada ST3 ini mengesahkan ramalan bahawa pertumbuhan ekonomi dunia pada tahun 2015 adalah lebih rendah daripada apa yang telah diunjurkan lebih awal oleh IMF, Bank Dunia, OECD dan lain-lain lagi.

Berbanding dengan pertumbuhan ekonomi dua negara tersebut, Jepun dan Euro-Zone serta berlatar-belakangkan pula lanskap ekonomi dunia yang muram dan suram serta geo-politik global yang ganas dan tidak menentu itu maka bolehlah dianggap bahawa pertumbuhan ekonomi kita  itu adalah membanggakan.

Namun apa yang membimbangkan saya ialah, bagi tempoh yang sama, Penggunaan Terakhir Swasta juga merosot  kepada 4.1% (ST3) dari  6.4%  (ST2) dan 8.8% (ST1). Kemerosotan ini adalah signifikan dan ianya membimbangkan.

Ianya membimbangkan kerana permintaan luar dijangka akan terus lemah dan tidak menentu pada tahun depan. Impak secara langsung ialah ke atas import, eksport dan FDI.

Impaknya dapat dilihat, sebagai contoh, dari unjuran peningkatan eksport yang lemah pada tahun 2016 iaitu hanyalah 1.6%.  Lalu YAB PM telah menegaskan bahawa pertumbuhan ekonomi kita pada tahun 2016 akan lebih didorong dan dirangsang oleh permintaan domestik.

Komponen utama permintaan domestik tersebut terdiri dari penggunaan swasta (private consumption) dan pembentukan modal swasta (private capital formation) atau pelaburan. Pembentukan modal swasta dijangka berkurangan kerana pengimportan Barang Modal  (Capital Goods) dan Barang Pengantara (Intermediate Goods) telah menurun bagi tempoh 9 bulan pertama tahun ini masing-masing sebanyak -0.1% dan -2.5% berbanding tempoh yang sama 2014.

Justru, soalan saya, apakah usaha kerajaan untuk meningkatkan semula pengimportan barang modal dan barang pengantara ke arah merangsang permintaan domestik agar sesungguhnya ianya akan menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi kita pada tahun 2016 nanti?

Kedua, saya mendengar banyak keluhan dari pengusaha SME, terutama SME Bumiputera mengenai ketidak-puasan hati mereka terhadap SMECorp. Saya berasa cenderung untuk mempercayai keluhan mereka bersandarkan maklumat di muka surat 337, Buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2016.

Saya perhatikan SMECorp perlu melaksanakan 6 buah program pembangunan dengan peruntukan lebih RM1 bilion. Ia termasuklah Program Pembangunan Pengeksport Bumiputera (RM200 juta) dan Dana Pembangunan dan Pembiayaan PKS (RM150 juta). Mohon YB Menteri  jelaskan mengapakah, bagi tempoh 2011 – 2014, perbelanjaan bagi kesemua 6 program tersebut adalah sifar? Saya macam tidak yakin tetapi itulah rekodnya.

Justru saya mohon YB Menteri menerangkan hasil atau outcome peranan dan peruntukan yang telah diberikan kepada SMECorp dalam memajukan SME. Mohon berikan maklumat berkenaan mengikut kaum dan negeri bagi tempoh 5 tahun yang lalu.

Ketiga, mohon YB Menteri menerangkan pula outcome usaha dan peruntukan yang telah diberikan kepada MATRADE dalam membantu syarikat-syarikat Malaysia agar berdaya saing dan mampu berkecimpung di persada antarabangsa, terutama SME milik Bumiputera berbanding dengan bukan Bumiputera sepanjang 5 tahun yang lalu.

Saya berasa bimbang akan keberkesanan MATRADE bersandarkan maklumat di muka surat 337, Buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2016.

Saya perhatikan MATRADE perlu melaksanakan 3 buah program pembangunan dengan peruntukan lebih RM730.6 juta. Ia termasuklah Tabung Promosi Eksport Perkhidmatan (RM613.8 juta). Mohon YB Menteri  jelaskan mengapakah, bagi tempoh 2011 – 2014, perbelanjaan bagi kesemua 3 program tersebut adalah sifar?

Seterusnya, yang keempat, ekoran dari arahan kerajaan pada tahun 2013 agar ditubuhkan semula Unit Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di setiap Kementerian, mohon YB Menteri menjelaskan outcome dari initiatif yang telah diusahakan itu, jika ianya telah ditubuhkan, serta apakah langkah kehadapan bagi tempoh 5 tahun akan datang.

Saya perhatikan tidak ada peruntukan pembangunan khas bagi tujuan pemerkasaan tersebut di bawah Aktiviti Pembangunan Keusahawanan.

Kelima, apakah pula outcome peranan HDC dalam membantu dan leveraging SME Bumiputera dalam industri berasaskan produk halal bagi tempoh 5 tahun yang lalu? Berapa banyakkah syarikat Bumiputera mendapat sijil halal berbanding syarikat bukan Bumi?

Berdasarkan maklumat di muka surat 338, Buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2016, saya perhatikan HDC perlu melaksanakan 6 buah projek pembangunan dengan peruntukan sebanyak RM84.5 juta. Mohon YB Menteri  jelaskan mengapakah, bagi tempoh 2011 – 2014, perbelanjaannya adalah sifar?

Akhir sekali, keenam, berdasarkan maklumat di muka surat 336 – 338, Buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2016, saya perhatikan terdapat 28 buah program pembanguan di bawah MITI dengan anggaran peruntukan lebih RM8 bilion. Hanya 3 program telah menggunakan sebahagian peruntukan yang telah disediakan manakala perbelanjaan bagi baki 25 program tersebut adalah sifar!

Jumlah peruntukan yang telah digunakan bagi tempoh 2011 – 2014 hanyalah kira-kira RM577 juta atau 7.2% sahaja dari keseluruhan peruntukan sebanyak RM8 bilion itu! Mohon YB Menteri  jelaskan situasi ini. Sekali lagi saya macam tidak yakin tetapi itulah rekodnya.

Sekian terima kasih, YB TS YDP.

,

  1. Leave a comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: