Membahas Bajet 2016 – Peruntukan JPM

YB TS YDP,

Saya ingin menumpukan kepada isu-isu makro terlebih dahulu sebelum saya menyentuh isu mikro di peringkat JPM.

Halatuju

Pertama saya ingin mendapatkan penjelasan mengenai halatuju atau wawasan kita. Penjelasan ini penting untuk merongkai sedikit perbezaan kefahaman tentang wawasan yang hendak dikejar itu. Adakah kita mengejar status negara maju, sepertimana yang digariskan di bawah Wawasan 2020 atau kita hanya inginkan taraf negara berpendapatan tinggi sahaja?

Menurut IMF / Bank Dunia, bagi tahun kewangan 2016, definisi negara berpendapatan tinggi ialah berasaskan GNI Per Capita bersamaan US $12,736 atau lebih. Contoh negara maju ialah Korea, Jepun dan USA yang juga berpendapatan tinggi. Contoh negara berpendapatan tinggi tetapi tidak dianggap maju adalah  Brunei, Kuwait dan Saudi Arabia.

Wawasan 2020 kita mahu mengangkat Malaysia ke tahap negara maju tetapi sasaran kita sekarang  nampaknya hanyalah untuk mencapai ekonomi berpendapatan tinggi pada tahun 2020 nanti yang mana tidak semestinya bertahap maju.

Mohon penjelasan antara dua sasaran ini untuk menghapuskan kekeliruan agar mudah rakyat menerima dan menyokong visi kerajaan ini.

Pada tahun 2016, GNI Per Kapita kita diunjurkan RM38,438. Kita boleh mencapai tahap negara berpendapatan tinggi kalaulah nilai US$1 bersamaan RM3.11.

Walau bagaimanapun, sekiranya nilai pertukaran kita terus kekal sekitar RM4.30 bagi USD1 seperti pada masa ini maka GNI Per Kapita kita adalah sekitar USD8,939 pada tahun 2016 nanti. Kita akan kekurangan sebanyak USD3,797 atau RM16,327!

Pada tahun 2020, berdasarkan prestasi sekarang, GNI Per Kapita kita mungkin sekitar RM45,000. Pada tahun 2020, telah diunjurkan GNI Per Kapita bagi ekonomi berpendapatan tinggi adalah sekitar USD15,000. Kita boleh mencapai sasaran ekonomi berpendapatan tinggi yang diunjurkan itu kalaulah nilai US$1 bersamaan RM3.00.

Sekiranya nilai Ringgit kekal sekitar USD1 = RM4.00, lebih kukuh dari RM4.30 sekarang, mampukah kita melonjakkan GNI Per Kapita kita kepada RM60,000 sedangkan, berdasarakan prestasi sekarang, dijangkakan GNI Per Kapita kita hanyalah kira-kira RM45,000 sahaja?

Yang lebih penting lagi,  YB Menteri, ialah berapakah GNI Per Kapita Bumiputra berbanding bukan Bumiputra pada masa kini dan pada tahun 2020 nanti?

Pada pendapat YB Menteri, mampukah kita mengukuhkan nilai matawang kita ke tahap tersebut dalam masa 4 tahun ini atau apakah Plan B yang ada untuk mencapai sasaran ekonomi berpendapatan tinggi itu?

Sebelum YB Menteri menjawab soalan saya itu, izinkan saya  menarik  perhatian YB kepada dua perkara berikut yang perlu diambil kira:

Pertama – saya merujuk kepada unjuran pertumbuhan ekonomi pada tahun 2020 seperti yang terpahat dalam RMK11. RMK11 mengunjurkan nilai GNI kita sebanyak RM1.76 trilion pada tahun 2020. Untuk mencapai nilai tersebut, kita memerlukan pertumbuhan CAGR pada harga semasa kita-kira 9.7% manakala anggaran kadar pertumbuhan pada tahun ini hanyalah 5.5% dan pada tahun 2016 pula diunjurkan sebanyak 6.9%; jauh lebih rendah (57% – 63%) dari apa yang diunjurkan di bawah RMK11 itu.

Pertumbuhan ekonomi USA telah menjunam dari 2.9%  pada sukutahun ke 2 kepada 1.4% pada sukutahun ke 3. Kejatuhan ini mengesahkan ramalan pertumbuhan ekonomi dunia pada tahun 2015 adalah lebih lemah (3.1%) dari tahun 2014 (3.4%) dan lebih rendah dari unjuran awal (3.3%).

Pada tahun 2016 pula, diunjurkan downwards risk adalah lebih besar dari upwards potential.

Kedua – saya merujuk pula kepada ramalan tentang potensi krisis kewangan yang terbesar dan terburuk sejak The Great Depression yang bakal berlaku pada tahun 2016 – 2018. Ia diramalkan oleh Scott Petullo dan Stephen Petullo, yang mendapat jolokan the Mystic Twins. Adakah sudah disediakan  Plan B yang akan mengambil kira ancaman ini manakala Plan A (RMK11), pada hemat saya, mungkin terlepas pandang akan ancaman tersebut.

Pelan B tersebut adalah untuk mempastikan kita masih lagi boleh mencapai tahap ekonomi berpendapatan tinggi di bawah lanskap ekonomi dan geo-politik yang lebih mencabar itu.

Unjuran GDP

Seterusnya saya ingin menyentuh mengenai unjuran pertumbuhan GDP kita pada tahun 2016.  Saya berasa bangga di atas kemampuan kita mengendali dan menguruskan ekonomi negara dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu ini. Sebagai contoh,  GNI kita akan menokok sebanyak 6.9% kpd RM1.21 trilion pada tahun 2016 berbanding 2015 pada harga semasa.

Saya perhatikan pemacu utama pertumbuhan tersebut ialah perbelanjaan pengguna swasta (8.9%) dan   pembentukan modal kasar swasta (6.6%).

Pertumbuhan ekonomi bagi tahun  2015, sepertimana yang telah saya lakarkan sebentar tadi, nampaknya lebih lemah dari unjuran awal; menurun dari 3.3% kepada 3.1%. Kemerosotan ekonomi USA dari 2.9% (ST2) kepada 1.4% (ST3) mengesahkan unjuran terkini ini.

Seterusnya IMF telah meramalkan bahawa downside risk bagi 2016 adalah lebih besar lagi.

Dalam keadaan yangg sedemikian, biasanya pihak pengguna dan swasta akan lebih berhati- hati lagi.

Jika, misalnya, data kelulusan FDI boleh digunakan sebagai proksi untuk mengukur sentimen ini,  maka sentimen pihak swasta yang lemah itu telah dapat dikesan. Petandanya ialah  hanya satu pertiga permohonan FDI atau RM13.1 bilion sahaja telah diluluskan bagi 6 bulan pertama tahun ini berbanding RM39.6 bilion yang telah diluluskan sepanjang tahun lepas.

Selaras dengan scenario tersebut, pertumbuhan pembentukan modal tetap kasar telah merudum dari 7.9% pada ST1 2015 kepada 0.5% pada ST2 2015.  Pada masa yang sama, pertumbuhan sentimen pengguna juga merosot dalam tempoh tersebut, sepertimana yang dapat dilihat melalui penggunaan akhir swasta. Ia telah merosot dari 8.8% kepada 6.4%.

Jualan runcit juga merupaka satu proksi yang sesuai untuk mengukur sentimen para pengguna. Dalam tempoh bekenaan, nilai jualan runcit turut merosot 2.2%!

Jika keadaan ini berterusan maka nampaknya kerajaan lah yg perlu mengambil alih the economic driver seat daripada pihak swasta,  selaras dgn teori ekonomi Lord Keynes.

Justru adakah kerajaan bercadang untuk menyemak semula unjuran-unjuran berkenaan yang mana, pada hemat saya,  agak optimistik dan kurang menepati sasarannya? Saya jangka EPU dan Jabatan Perangkaan akan dapat membantu dalam hal ini.

Gunatenaga

Sekali lagi saya mengucapkan setinggi-tinggi  tahniah kepada kerajaan BN. Kali ini adalah kerana kejayaan mengekalkan kadar guna tenaga penuh bertahun-tahun berturut-turut iaitu di mana kadar pengangguran kita berada di bawah 4%.

Namun di celah-celah rekod cemerlang itu,  terdapat pula beberapa isu pasaran buruh yang kurang menarik dan perlulah diperbaiki lagi.

Diakui isu gunatenaga ini menyentuh beberapa kementerian seperti JPM, KDN, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga. Mohon semua kementerian berkenaan memberikan perhatian.

Soalan saya yang pertama ialah apakah usaha kerajaan untuk menambah peluang mengujudkan pekerjaan baru bagi kira-kira 440 ribu penganggur, termasuklah lebih 80 ribu siswazah yang menganggur dalam suasana pasaran buruh yang lemah dan dibanjiri pula pekerja asing?

Kedua, apakah usaha untuk mengurangkan kebergantungan yang semakin tinggi terhadap buruh asing yang kini dianggarkan telah mencecah 30%? Mereka bukan sahaja (a) telah merampas  sebahgian besar dari 1.8 juta pekerjaan yang telah diwujudkan di bawah RMK10 malah (b) mereka jugalah yang telah menekan kenaikan real wages dan seterusnya (c) menyebabkan golongan B40 terus kekal berada dalam kelompok berkenaan serta (d) akan melambatkan pula pencapaian tahap ekonomi berpendapatan tinggi.

Dalam kegigihan kita mengejar tahap ekonomi berpendapatan tinggi itu, apakah usaha kerajaan dan majikan swasta untuk memperbetulkan pasaran buruh yang bobrok ini dengan  memperbaiki working conditions serta merombak gaji dan upah pekerja  yang masih berada ditahap yang rendah atau memperkenalkan wage reform? Misalnya, pada tahun 2013, gaji penengah atau median kita hanyalah RM1,500 sebulan.

Pada tahun 2020, diunjurkan 46% pekerja atau  seramai 2.3 juta pekerja akan masing-masing menerima gaji bawah RM1 ribu sebulan dan 4.7 ribu pekerja lagi akan menerima bawah RM2 ribu sebulan sedangkan sasaran gaji median pada tahun 2020 adalah RM2,500 sebulan? Sekali lagi saya tegaskan bahawa mereka ini akan kekal dalam golongan B40. Mobiliti sosial mereka amatlah terhad.

Dalam pada itu, apakah usaha kerajaan untuk memperbetulkan delima struktur ekonomi kita yang dilihat kurang efficient. Buktinya,   di bawah RMK10, gaji telah  meningkat lebih pantas iaitu 4.2% setahun yang mana ianya tidak seiring dengan kenaikan kadar produktiviti buruh yang lebih perlahan iaitu hanyalah  2.6%?

Seperti yang saya katakan tadi, kerajaan mensasarkan gaji median menjelang 2020 adalah sebanyak RM2,500 sebulan. Pada masa yang sama, kerajaan mensasarakan sumbangan pampasan pekerja atau compensation of employees kepada GDP pada tahun tersebut adalah sebanyak 40% berbanding 34.9% pada masa ini.

Di sini timbul dua isu utama.

Pertama, untuk mencapai sasaran 40% itu, gaji dan upah atau pampasan pekeja perlulah menigkat kepada RM3,500 sebulan; bukannya RM2,500 sebulan. Untuk mencapai tahap tersebut, ianya memerlukan kadar CAGR sebanyak 8%. Ironisnya, di bawah RMK11, sasaran kadar kenaikan produktiviti buruh hanyalah 3.7%; lebih rendah dari kenaikan gaji! Resipi ini sudah pasti mengurangkan daya saing dan outcome yang hampir pasti ialah syarikat terpaksa ditutup.

Kedua, mengikut rekod 2011 – 2013, kenaikan gaji adalah sebanyak RM50 setahun. Sekiranya kadar kenaikan tahunan ini terus kekal maka, bagi tempoh 7 tahun mendatang (2014 – 2020), jumlah kenaikan gaji bersamaan RM350. Kenaikan yang diperlukan ialah sebanyak RM1,000 (dari RM1,500 ke RM2,500) atau RM2,000 (dari RM1,500 ke RM3,500). Justru terdapat defisit antara RM650 – RM1,650.

Dalam keadaan sedemikian, apakah usaha drastik Kerajaan untuk mempastikan sasaran-sasaran tersebut mampu dicapai kelak?

Jurang melebar

Isu makro terakhir yang ingin saya ketengahkan adalah isu jurang kekayaan yang kian melebar.

Saya akui dan hargai usaha kerajaan membasmi kemiskinan. Kadar kemiskinan telah  dapat dikurang dari 49.3% pada tahun 1970 kepada hampir sifar (0.6%) pada tahun 2014. Kejayaan kita ini telah diiktiraf oleh badan dunia seperti Bank  Dunia, IMF dan PBB. Jurang intra kaum juga telah dapat dikecilkan sepertimana yang diukur melalui Gini Coefficient.

Walau bagaimanapun, yang amat membimbangkan saya ialah  jurang antara bandar dan luar bandar serta jurang antara kaum telah semakin melebar. Sebagai contoh, antara 2004 dan 2009, jurang pendapatan antara kaum Bumiputera dan kaum Cina telah mengecil dari RM1,700 kepada RM1,400. Tetapi antara 2009 hingga 2014, jurang tersebut telah melebar semula dari RM1,400 kepada RM2,100!

Dari segi pemilikan aset pula, antara 2009 dan 2012, ianya bukan sahaja kecil malah merosot pula. Lantas jurang kekayaan antara kaum lebih teruk lagi. Sebagai contoh, pemilikan rumah kediaman Bumiputera menurun dari 27.2% kepada 26.1%, pemilikan terraced factories / warehouses merosot dari 45% kepada 35.1%, commercial buildings mengecil dari 5.8% kepada 5.4% dan industrial complexes menyusut dari 3.1% kepada 0.2%.

Gambaran kedudukan Bumiputera yang saya lakarkan ini adalah piece meal serta terlau kecil dan sedikit. Justeru saya mengambil kesempatan di sini untuk memohon kepada YB Menteri agar memberikan maklumat yang lengkap dan terkini tentang kedudukan sosio-ekonomi semua kaum supaya kita semua berada di same page. Yang demikian, kita akan tahu kedudukan kita dan kita akan sama-sama tahu destinasi kita.

Dalam pada itu, saya perhatikan jurang antara gender juga turut melebar sekalipun pelbagai usaha spesifik untuk memperbaiki kedudukan kaum Hawa ini telah berterusan dilaksanakan. Sesungguhnya memang ada peningkatan seperti dari segi jawatan kanan yang dipegang oleh kaum wanita dan juga  sebagai ahli lembaga pengarah syarikat.

Namun dari segi gaji dan upah, adalah jelas gender wage gap telah melebar. Ianya melebar dari 4.5% pada tahun 2013 kepada 5.5% pada tahun 2014.

Jurang ini merupakan satu diskriminasi gender. Diskriminasi berdasarkan gender, warna kulit dan agama adalah tidak sesuai dengan acuan ekonomi berpendapatan tinggi, kecuali yang dibenarkan oleh Perlembagaan negara.

Semua orang tahu bahawa diskriminasi terhadap kaum dan jantina berleluasa di sektor swasta. Dari peringkat pengambilan, penetapan gaji permulaan, kenaikan gaji hinggalah ke kenaikan pangkat. Working conditions juga berbeza.

Tidaklah wajar kita mengambil jalan mudah dengan memberikan alasan bahawa ini semua ditentukan oleh pasaran. Jika isu Vape yang lebih kecil itu kini kita hebuh membicarakannya; ada desakan untuk di regulate dan ada pula desakan mahu ianya dihapuskan, mengapa isu kemanusian yang lebih besar ini kita berdiam diri?

Lantas saya ingin menyarankan di Dewan yang mulia ini supaya pihak berkuasa yang berkenaan, khasnya Kementerian Sumber Manusia, menangani segera dan tuntas isu diskriminasi gender dan kaum ini sebelumya ianya bertambah parah dan jurang semakin melebar.

Jurang kekayaan yang melebar ini merupakan isu besar yang boleh mengancam keamanan dan kemakmuran negara kerana yang terpinggir itu adalah kumpulan majoriti iaitu kaum Bumiputera.

Lantaran itu, saya menyarankan kepada YB Menteri agar segera mengambil tindakan mitigasi dari segi menyemak semula segala dasar dan kaedah pelaksanaan yang telah menyumbang kepada diskriminasi dan  jurang yang melebar itu. Antara yang perlu disegerakan ialah melaksanakan janji YAB PM yang telah beliau lafazkan pada 30 Mac 2010 semasa melancarkan Model Baru Ekonomi (MBE).

“A fair distribution must encompass the whole spectrum of measuring wealth such as equity ownership, other financial and non-financial assets, and access to wealth creating opportunities such as long term concessions and contracts. Even in measuring ownership, it should go beyond equity to include other properties, such as retail, landed properties, comercial buildings, intelectual property and other services as well as managerial positions” 

Sementara kita masih mempunyai masa untuk mendepani PRU14 maka wajarlah kita menyegerakan tindakan mitigasi ini kerana sesunguhnya  ingatan YAB PM pada 11 November 2013 boleh memercikkan peluh dingin:

“This is not simply a matter of economic justice; it is also of national stability. Poverty and inequality have a destabilising and corrosive effect on societies. Why should law and order mean anything to people who hardly benefit from them? Why should the marginalised support a political system if it only widens the gap between the rich and the poor?” 

Isu Mikro

YB TS YDP,

Kini saya ingin menumpukan kepada isu mikro pula.

Saya perhatikan banyak peruntukan pembangunan di bawah JPM sama ada langsung tidak dibelanjakan atau sangat kurang dibelanjakan. Maklumat ini tertera di m/s 131 – 134, Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2016.

Oleh kerana senarainya agak panjang maka saya hanya mengambil sebahagian contoh perbelanjaan sifar bagi tempoh 2011 – 2014:

a. Pembangunan Perkampungan Nelayan.

b. Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia.

c. Penyertaan Bumiputera P. Pinang.

d. Pembangunan ESSCOM.

e. Projek Jalan Felda.

f. Projek Sistem Bekalan Air Felda.

g. Projek Pembangunan Kg Baru.

h. Lebuhraya Pan Borneo.

i. Projek Mesra Rakyat.

j. Dana Fasilitasi.

Selain daripada ESSCOM dan Dana Fasilitasi, 8 lagi projek tersebut adalah secara langsung menyentuh penduduk luar bandar dan kumpulan B40 yang merupakan penyokong tegar BN. Pulangan dividen ekonomi dan politik tentulah besar sekali. Justeru ianya menarik perhatian. Adakah sesungguhnya projek-projek tersebut belum dilaksanakan lagi? Apakah cerita yang sebenarnya? Mohon penjelasan dari YB Menteri.

Namun apa yang saya faham daripada maklumat tersebut ialah, daripada RM98.8 bilion yang diperuntukkan bagi tempoh 4 tahun itu, hanya RM9.3 bilion atau 9.4% sahaja yang telah dibelanjakan atau kira-kira  RM2.3 bilion setahun. Nampaknya macam tidak lojik. Justeru mohon YB Menteri maklumkan kepada Dewan yang mulia ini kedudukan sebenar rekod ini atau sebab-sebab prestasi yang nampaknya amat rendah itu, jika rekod tersebut adalah benar. Apakah outcomenya terhadap RMK10?

Untuk tahun 2016, dipohon pula sebanyak RM14.3 bilion, lebih 6 kali ganda daripada rekod pencapaian tahunan lalu. Mampukah ianya dibelanjakan secara berhemah berteraskan value for money dalam tempoh setahun ini?

Sekian, terima kasih, YB TS YDP.

, ,

  1. Leave a comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: