Ulasan Bajet 2016 – KDN

YB TS YDP,

Dalam membincangkan  Bajet 2016 bagi KDN, saya hanya ingin mengambil sedikit masa Dewan  yang mulia ini untuk membincangkan 3 perkara saja. Perkara dan isu lain bolehlah dibincangkan oleh rakan-rakan saya yang lain.

Pertama adalah isu pekerjaan dan buruh asing yang mana ianya turut melibatkan KDN.

Terlebih saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAB PM kerana mengujudkan Jawatankuasa Khas Universiti Dan Industri untuk menanganim isu pengangguran. Tahniah kepada YAB DS Idris Jusuh dan DS Wahid Omar kerana diberikan kepercayaan untuk memimpin JK tersebut.

Saya menjangkakan isu pekerjaan dan pengangguran yang kompleks ini akan ditangani secara holistik dan tuntas; tidak boleh secara piece meal.  Ia bukanlah sekadar (a) supply-demand mismatch issue; malah ianya merangkumi isu (b) labour market distortion / imperfection, (c) wrong output mix, (d) pendidikan dan latihan yang kurang relevan, (e) tahap gaji dan upah yang rendah, (f) persekitaran bekerja yang tidak kondusif, (g) diskriminasi kaum dan gender yang meluas, (h)  produktiviti buruh dan daya saing yang rendah, (i) teknologi yang kurang advance, (j) modal yang tidak mencukupi, (k) sikap tamak majikan, (l) sikap rakyat yang memilih kerja, (m) kebanjiran buruh asing dan sebagainya.

Sebahagian daripada isu yang saya senaraikan itu telahpun saya sentuh semasa membahaskan Bajet di bawah JPM. Saya tidak bercadang untuk menyentuh isu-isu tersebut. Saya akan lebih menumpukan kepada isu buruh asing.

Diakui bahawa buruh asing diperlukan untuk turut merancakkan aktiviti ekonomi negara.

Dalam pada itu, disedari bahawa tahap kebergantungan yang tinggi terhadap mereka tidaklah boleh berterusan kerana, dari segi jangka panjang, ianya boleh menggugat keamanan dan kemakmuran negara.

Justru awal-awal lagi saya mohon YB Menteri memaklumkan kepada Dewan yang  mulia ini statistiks berikut yang dapat membantu memberikan gambaran ngeri itu:

jumlah pekerja asing secara sah dan tidak sah atau PATI yang berkeliaran di negara kita pada masa ini.

nilai sumbangan mereka kepada ekonomi dalam tempoh 5 tahun yang lalu.

nilai remittance (melalui sistem kewangan / perbankan dan di luar sistem kewangan / perbankan) yang telah mereka hantar ke negara masing-masing sejak 5 tahun yang lalu

usaha untuk mengurangkan bilangan mereka yang dilaporkan telah menjangkau 30% dari jumlah pekerja tanpa menjejaskan kemapanan aktiviti ekonomi kita.

e) bilangan pelancong  yang telah masuk secara sah tetapi telah sengaja over stay serta usaha to flush them out dan tahap kejayaan usaha  tersebut.

f) kadar jenayah dan penyakit sosial yang telah mereka sumbangkan dalam tempoh 5 tahun yang lalu.

Selain  daripada 6 isu yang saya ketengahkan itu, terdapat beberapa isu besar yang lain yang berkisar kepada isu buruh asing ini, khasnya sasaran gaji dan ekonomi berpendapatan tinggi.

Untuk mencapai taraf ekonomi berpendapatan tinggi, kerajaan mensasarkan pampasan pekerja atau compensation of employees sebanyak 40% (CE40) daripada nilai GDP kita pada tahun 2020 nanti berbanding 34.9% pada tahun ini.

Untuk mencapai sasaran tersebut, sasaran gaji dan upah median disasarkan akan meningkat dari RM1,500 sebulan kepada RM2,500 sebulan. Malangnya sasaran ini menjadi lebih susah untuk dicapai kerana adanya pekerja asing yang semakin ramai itu.

Sebab utama kesukaran mencapainya ialah kerana majikan yang tamak lebih suka mengambil pekerja asing. Sebabnya ialah mereka bukan saja dibayar gaji yang lebih rendah bagi pekerjaan yang sama malah tenaga mereka juga boleh diperah seperti hamba abdi.

Jelas pekerja asing adalah antara penyebab kenaikan  gaji ditekan (suppressed). Yang demikian, sasasaran tahap gaji bulanan sebanyak RM2,500 akan sukar dicapai.

Sekiranya sasaran gaji tersebut tidak dicapai maka sasaran sumbangan CE40 juga sekali gus tidak akan tercapai. Lantas sasaran tahap ekonomi berpendapatan tinggi akan turut tergugat!

Gaji mereka yang lebih rendah dan dispariti yang melebar adalah bukti kukuh mengenai senario yang jelek ini. Sebagai contoh, pada tahun 2013, gaji median warganegara Malaysia dan pekerja asing adalah masing-masing RM1,700 dan RM980 sebulan.

Pada tahun 2014, gaji 2 golongan itu masing-masing meningkat kepada RM1,800 dan RM1,030 sebulan. Ini bermakna jurang gaji median bulanan antara warganegara dan pekerja asing telah melebar dari RM720 kepada RM770. Data ini mengesahkan andaian atau teori saya itu.

Dalam pada itu, perlulah diingat bahawa sumber utama pendapatan kumpulan B40 adalah gaji dan upah, terutama Bumiputera. 83% kaum Bumiputera bergantung pada gaji sebagai sumber pendapatan mereka manakala kaum Cina hanyalah 56% dan India pula 58%.

Ini bermakna usaha menambah pendapatan kumpulan B40 dan usaha menolak mereka ke kumpulan M40 tidak akan berjaya jika isu yang berkisar dengan gaji ini tidak ditangani segera dengan berkesan dan tuntas. Maaf, YB TS YDP, pada cerapan saya, usaha ini nampaknya kurang diberi perhatian.

Yang demikian, tidak hairanlah Pemandu mengunjurkan kira-kira 46% atau 7 juta pekerja kita akan kekal mendapat gaji bawah RM2,000 sebulan pada tahun 2020 nanti.

RM2,000 pada tahun 2020 mungkin bersamaan nilai RM1,700 pada tahun ini; lebih rendah dari gaji sebanyak RM1,800 sebulan pada tahun 2014! Justru golongan tersebut seolah-olah di condemned agar kekal miskin sekalipun negara telah  mencapai tahap ekonomi berpendapatan tinggi nanti.

Mereka ini juga akan kekal miskin kerana kerana jawatan yang  sedia ada dan jawatan baru akan disapu oleh pekerja asing. Nampaknya kita semacam suka menyusukan kera di hutan atau kita umpama kerbau yag penat membajak di sawah tetapi kucing yang kenyang makan nasi dirumah!

Lanskap ini jelas terbukti dari 1.8 juta jawatan baru yang diwujudkan oleh ETP. Dari 1.8 juta pekerja itu, hanya 620,000 sahaja yang mendaftar sebagai penyumbang kepada EPF. Majoriti mereka ini adalah rakyat Malaysia.

Apa jadi kepada baki 1.2 juta pekerja? Siapa mereka? Dijangkakan sebahagian besar mereka itu adalah pekerja asing yang telah sapu bersih pekerjaan ini. Mereka hapi dapat kerja walaupun gajinya rendah. Majikan juga hapi kerana boleh membayar gaji yang rendah dan  tidak perlu pula mencarum EPF dan SOCSO untuk mereka. Cheap labour!

Maka yang kekal menganggur adalah rakyat kita seramai 440,000 orang. Bilangan mereka akan meningkat dalam keadaan aktiviti ekonomi dan pasaran buruh yang tidak menentu ini.

Perlulah diingat bahawa mereka ini juga adalah pengundi. Adakah mereka akan mengundi parti kita nanti?

Apa yang boleh saya ringkaskan dari lakaran sebentar tadi ialah isu pekerja asing ini boleh memberikan impak negatif kepada (a) sasaran  CE40, (b) sasaran gaji median sebanyak RM2,500 sebulan, (c) kenaikan gaji, (d) mobiliti sosial, (e) pengangguran dan (f) dividen politik.

Lantaran ianya memberikan kredibiliti kepada saranan saya supaya isu pekerja asing ini ditangani segera dengan berkesan.

YB TS YDP,

Sekarang saya ingin menyentuh pula isu kedua iaitu keamanan.

Saya menjangkakan penduduk Afghanistan, Syria, Somalia, Libya, Yemen dan beberapa buah negara lain yang sentiasa dalam keadaan berperang dan kucar kacir tentunya dahagakan keamanan.

Kalau kita tanyakan ibubapa kita yang masih hidup, tentunya mereka tidak mahu kesengasaraan, keganasan dan kezaliman di zaman pemerintahan Jepun dan Bintang Tiga berulang lagi. Kita juga tidak mahu peristiwa pahit 13 Mei menjenguk kembali.

Malangnya iklim perpaduan kaum kita nampaknya selari dengan musin jerebu yang sedang kita alami sekarang. Ianya membimbangkan saya kerana, berdasarkan Global Peace Index, kedudukan kita telah merosot dari tangga ke 24 pada tahun 2012 kepada tangga ke 28 pada tahun 2014.

Kedudukan kita dari segi kebahgian (happiness) juga telah menurun; dari tangga ke 56 ke tangga ke 61, menurut World Happiness Index.

Oleh itu marilah kita sama-sama menjaga keamanan yang telah kita nikmati selama ini kerana ia juga merupakan pra syarat dan tiang seri kemakmuran negara. Jika keamanan bertukar kepada huru hara maka syurga bertukar menjadi neraka manakala kemakmuran pula bertukar kepada kebuluran dan kesengsaraan.

Justru semua pihak hendaklah ikhlas dalam membina dan memupuk keharmonian kaum; bukan telunjuk lurus kelengkeng berkait atau kokok berderai-derai tetapi ekor bergelumang dengan najis.

Pada masa yang sama, saya mohon YB Menteri, khasnya PDRM kita, terus meningkatkan usaha untuk mengurangkan kadar jenayah, selaras dengan tuntutan NKRAnya, dan memelihara keamanan yang amat berharga ini.

YB TS YDP,

Sekarang saya ingin meyentuh isu ketiga dan terakhir iaitu peruntukan di bawah KDN. Ringkas sahaja.

Saya perhatikan banyak peruntukan pembangunan di bawah KDN sama ada langsung tidak dibelanjakan atau sangat kurang dibelanjakan. Maklumat ini tertera di m/s 629 – 631, Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2016.

Oleh kerana senarai ini agak panjang maka izinkan saya mengambil  beberapa contoh perbelanjaan sifar sahaja bagi tempoh 2011 – 2014:

a. Ibupejabat KDN.

b. Pengkomputeraan KDN.

c. PGA

d. Senjata Api & Peluru.

e. Kapal terbang.

f. Alat Bantuan Teknik.

g. Sistem Teknoloji Maklumat.

h. Pengkomputeraan.

i. Pengkomputeraan dan Kad Pintar

j. Langkah- langkah Keselamatan.

k. Pembaikan dan Ubahsuai.

Adakah sesungguhnya projek-projek tersebut belum dilaksanakan lagi? Apakah cerita yang sebenarnya? Mohon penjelasan dari YB Menteri.

Namun apa yang saya faham daripada maklumat tersebut ialah, daripada RM3.9 bilion yang telah diperuntukkan bagi tempoh 4 tahun itu, hanya RM0.22 bilion atau 5.7% sahaja yang telah dibelanjakan atau kira-kira  RM55 juta setahun. Nampaknya macam tidak lojik.

Justru mohon YB Menteri maklumkan kepada Dewan yang mulia ini kedudukan sebenar rekod tersebut atau sebab-sebab prestasi yang nampaknya amat rendah itu, jika rekod tersebut adalah benar. Apakah outcomenya terhadap RMK10?

Untuk tahun 2016, dipohon pula sebanyak RM841 juta, lebih 15 kali ganda daripada rekod pencapaian purata tahunan lalu. Mampukah ianya dibelanjakan secara berhemah berteraskan value for money dalam tempoh setahun ini?

Sekian, terima kasih, YB TS YDP.

, ,

  1. Leave a comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: