YB BN Hendaklah Menjuarai Kebimbangan Rakyat

tweet

Saya menyokong penuh prinsip yang diungkapkan oleh YB Menteri MITI bahawa dalam sebarang perundingan:

pertama kita hendaklah menerima hakikat dan berpegang kepada prinsip bahawa “kita tidak boleh dapat semua dan kita tidak mahu hilang semua.”

Kedua, kita tidak boleh pula berpegang kepada pendirian “Hak kita, kita punya; hak orang boleh runding.”

Seterusnya, ketiga ialah menerima-pakai prinsip “majority rule” iaitu kalaulah kebaikan itu lebih banyak maka kita terima, kalaulah keburukan lebih banyak, kita tolak.

Inilah pendekatan yang digunapakai dalam merundingkan TPPA dan pendekatan inilah juga yang wajar diterima-pakai dalam menghalusi dan membahaskan dokumen TPPA berkenaan.

Saya akui TPPA mempunyai kelemahan tetapi dengan menyertai TPPA diunjurkan kita akan mendapat pula lebih banyak faedah dari keburukan; more benefits than costs. Sebaliknya, dijangka kita akan mengalami lebih banyak kerugian jika tidak menyertai TPPA.

Kerana masa yang terhad, saya tidak bercadang untuk menyenaraikan semula segala faedah dan kebaikan menyertai TPPA. Saya yakin semua YB telah tahu setelah meneliti dokumen asal TPPA, laporan ISIS dan laporan PwC serta buku  yang telah disediakan oleh MITI untuk menangani kebimbangan, salah faham dan tuduhan mengenai TPPA. Ia boleh difahami dengan mudah.

Pada masa yang sama, kita boleh juga membaca dan mendengar banyak keburukan jika kita menyertai TPPA.

Justeru saya ingin menggunakan masa yang terhad dan sangat berharga ini untuk membantu YB Menteri dengan menyenaraikan saoalan-soalan yang sering ditimbulkan oleh mereka yang masih bimbang dan takut serta keliru tentang keburukan TPPA.

Kebanyakan soalan berkenaan telahpun dijawab oleh YB Datuk Seri tetapi nampaknya mereka masih belum berpuas hati dan masih bimbang serta memerlukan jawapan tambahan. Kebimbangan mereka itu berasas dan usaha ingin tahu itu juga adalah ikhlas.

Saya yakin YB Menteri akan mengupas soalan-soalan saya dengan lebih lengkap dan telus lagi. Bukan saja memberikan jawapan, malah turut memberikan penyelesaian / solutions kepada masalah-masalah yang dibimbangi itu.

Lantaran  diyakini jawapan dan hujah yang bakal diberikan oleh YB Menteri itu akan mampu menghapus dan menghakis segala kebimbangan, ketakutan, kekeliruan serta salah faham tentang TPPA ini. Yang demikian, proses buy-in akan berlaku dan mereka itu akan menjadi the new converts, in syaa Allah.

Pertama ialah TPPA tidak boleh dilihat dalam konteks ekonomi semata-semata. Ia hendaklah juga dilihat dari sudut kedaulatan dan kesamarataan. Laporan ISIS menegaskan bahawa these “concerns … are not without basis”. Sesungguhnya dua aspek tersebut tidak ternilai; jika diberikan nilai, pada hemat saya, ianya melebihi semua combined values of all economic parameters. Justeru adakah benar kedaulan kita tidak terjejas dan TPPA ini bukannya alat penjajahan baru oleh Amerika Syarikat?

Kedua, TPPA lebih menekankan Capital Economy, seperti yang dihuraikan dalam laporan PwC. Manakala rakyat pula lebih berminat hendak tahu faedah-faedah di bawah People’s Economy yang dikatakan terlalu sedikit. Mohon YB Menteri jelaskan isu-isu berikut:

Difahamkan pekerjaan baru sebanyak 1 ke 2 juta akan di wujudkan dalam tempoh 10 tahun (2018 – 2017). Jika benar,:

adakah pekerjaan baru tersebut merupakan tambahan kepada pekerjaan baru yang diwujudkan tanpa menyertai TPPA iaitu 1 ke 2 juta + x?

jika itulah sahaja pekerjaan baru yang bakal diwujudkan, tidakkah bilangan tersebut lebih rendah dari 3.3 juta pekerjaan baru yang telah / akan diwujudkan di bawh RMK10 dan RMK 11 iaitu kita mampu mengwujudkan lebih banyak pekerjaan baru tanpa menyertai TPPA?

adakah majoriti rakyat Malaysia yang bakal mendapat faedah besar dari pekerjaan baru yang banyak itu? Wajar diingat, laporan tahunan 2014 (AR2014) untuk Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dikeluarkan oleh PEMANDU dan dipetik oleh RMK11 menunjukkan bahawa, daripada 1.8 juta pekerjaaan baru yang telah diwujudkan di bawah RMK10,  hanya 620 ribu merupakan pendaftar baru di KWSP. Apa jadi dengan baki 1.2 juta pekerja? Siapakah mereka? Pekerja asing?

Menurut AR2014 lagi, 1.5 juta dari 1.8 juta pekerjaan itu adalah dijana oleh NKEA. Bukankah objektif NKEA adalah untuk mengwujudkan kerja bernilai tinggi dan bergaji-tinggi? Siapakah yang sebenarnya menikmati sebahagian besar pekerjaan tersebut? Kera-kera di hutan?

Dengan lebih banyak syarikat asing beroperasi di negara kita tanpa boleh dikawal seperti sekarang, dengan kelonggaran yang diberikan oleh TPPA kepada pekerja untuk bekerja di negara-negara yang menjadi komuniti TPPA dan bukan sahaja kebenaran diberikan kepada pekerja asing untuk menjadi ahli kesatuan sekerja malah mereka juga diberikan kebenaran untuk  menerajui kesatuan sekerja maka tidakkah berkemungkinan besar pekerja Malaysia akan menjadi lebih terpinggir lagi? Tidakkah mereka akan senasib dengan ayam di kepuk mati kelaparan, itek di air mati kehausan?

Jika musibah tersebut berlaku, tidakkah kadar pengangguran di kalangan Bumiputera akan melonjak dan kadar kemiskinan akan meningkat serta jurang pandapatan antara Bumi dan bukan Bumi pula akan semakin melebar?

Bukankah ini bermakna TPPA memburukkan lagi kebajikan / welfare Bumiputera, khasnya dan rakyat Malaysia umumunya serta mencemarkan pula keadilan sosial / social justice?

Kelonggaran yang diberikan kepada pekerja asing itu menakutkan rakyat Malaysia. Berdasarkan  unjuran yang dibuat, benarkah berduyun-duyun pekerja asing akan membanjiri Malaysia? Benarkah bilangan mereka akan melompat kepada 28% dari jumlah penduduk dan 43% daripada jumlah gunatenaga menjelang 2027?

Jika benar, maka sudah pasti ketakutan itu adalah satu realiti yang ngeri. Seterusnya tidakah kerajaan memungkiri janji dan komitmenya  untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, sepertimana yang terpahat dalam RMK11?

RMK11 menegaskan 60% dari pekerjaan berpendapatan tinggi akan diperuntukkan kepada Bumiputera? Bolehkah dan bagaimanakah dasar ini hendak diteruskan, terutama sekali terhadap syarikat asing? Di ingatkan bahawa di bawah Perkara 9.9 (Performance Requirement), Bab Pelaburan, syarat-syarat sedemikian adalah diharamkan sama sekali.

berkait rapat dengan isu jawatan berpendapatan tinggi, bagaimanakah komposisi pekerja professional dan pengurusan mengikut kaum pula hendak diteruskan?

hampir tiga suku pekerja kita adalah makan gaji. Benarkah tambahan gaji mereka hanyalah antara RM25 – RM33 menjelang 2027? Setelah mengambil kira kenaikan kos sara hidup, berapakah nilai gaji sebenar (real wages)? Jika unjuran mereka salah, apakah pula unjuran pihak kerajaan?

GAJI NAIK RM25 SAHAJA

berkait  rapat dengan tambahan gaji yang rendah itu, benarkah unjuran yang mereka buat bahawa, berdasarkan andaian pemotongan tariff, purata pendapatan bulanan isi rumah bukannya meningkat malah ianya akan menurun sekitar RM120 menjelang 2027? Jika unjuran mereka salah, apakah pula unjuran pihak kerajaan?

Kita masih lagi menghadapi pelbagai masalah sosio-ekonomi yang bertambah buruk akibat pelaksanaan lebih banyak dasar liberalisasi dan kerana semakin kurangnya tindakan affirmative.  Masalah tersebut telah disedari oleh Kerajaan dan cuba di atasi di bawah RMK11.

Dengan terlaksananya TPPA, persaingan akan menjadi lebih ganas / brutal lagi. Di bawah keadaan padang yang tidak sama rata, prinsip persaingan yang sihat boleh bertukar menjadi ganas dan, outcomenya, yang lemah akan pasti mati, sepertimana yang berlaku di bawah undang-undang rimba / law of the jungle.

Justeru apakah impak ke atas:

sasaran pemilikan ekuiti 30% with effective control di bawah RMK11,

jurang ekonomi antara kaum,

kemiskinan bandar,

pendapatan isi rumah dan gaji B40 yang rendah,

kos sara hidup yang meningkat,

keupayaan Bumiputera untuk merapatkan jurang pendapatan dan kekayaan,

ketidak-mampuan memiliki rumah kerana harga rumah meningkat,

bilangan atau nisbah golongan professional, berkelayakan tinggi, pengurusan tinggi dari kalangan Bumiputera yang masih rendah,

masalah tahap pendidikan Bumiputera yang tak setara dengan kaum lain,

tahap employability Bumiputera yang lemah,

jurang dari segi modal, business network, supply chain, support system, access to capital, serta dasar, peraturan dan undang-undang yang tidak memihak kepada ‘underdogs’(factor endowments),

kedudukan ekonomi masyarakat keushawanan dan korporat bumiputera yang rendah,

tahap ‘social mobility’ masyarakat  bumiputera yang terhad,

Inclusive nation building and shared prosperity, dan

kerharmonian antara kaum dan perpaduan nasional?

Difahamkan TPPA akan menjana tambahan nilai GDP sebanyak USD107 bilion – USD 217 bilion sepanjang 20 tahun, dari 2018 -2027. Mohon ambil perhatian, dalam tempoh 5 tahun di bawah RMK11 iaitu tanpa bantuan TPPA, diunjurkan kita mampu menjana tambahan GDP yang jauh lebih besar bernilai RM750 bilion. Justeru adakah wajar kita menyertai TPPA?

Pada masa yang sama saya berkongsi kekhuatiran mereka mengenai Perkara 9.1 (Definasi) dan Perkara 9.9 (Performance Requirement), Bab Pelaburan di bawah TPPA. Perkara-perkara tersebut akan melarang kerajaan untuk meletak sebarang syarat pada bentuk dan jenis pelaburan. Ini bermakna kerajaan kita akan dilarang untuk menolak atau tidak menggalakkan pelaburan yang tidak bernilai-tinggi, yang intensif pekerja (labour-intensive), yang berteknologi rendah dan yang tidak mesra-alam.

Ini bermakna matlamat penhijrahan Model Baru Ekonomi (NEM) dari ‘pendekatan lama’ (pekerja kemahiran rendah, gaji rendah, hasil eksport nilai-tambah rendah) kepada ‘pendekatan baru’ (proses inovasi, teknologi terkini, penghasilan produk nilai tinggi, dan gaji tinggi) akan dilarang dan terbantut.

Impaknya ialah kita akan terus terperangkap dengan struktur dan paradigma ekonomi lama, berpendapatan sederhana  ke arah rendah dan dicengkam pula oleh kemiskinan. Bagaimanakah kerajaan hendak medepani kekhuatiran dan kebimbangan tersebut?

Ketiga, masyarakat Bumiputera, kaum terbesar di negara ini, bimbang hak keistimewaan mereka yang dilindungi oleh Perlembagaan  di bawah Perkara 153 akan terhapus, terjejas  atau terhakis.  Kita berterima kasih kepada kerajaan kerana hak-hak berikut telah dipertahan / dikekalkan:

Pengecualian mutlak bagi KWSP, KWAP, LTAT, MARA, TERAJU, EKUINAS, PNB dan  LTH. Di sini saya ingin bertanya mengapakah KHAZANAH dan PETRONAS tidak dimasukkan ke dalam senarai tersebut?

30% dikhaskan untuk kontraktor Bumiputera di sektor pembinaan di atas threshold. Soalan tambahan pertama saya ialah mengapa keistimewaan ini tidak turut dipanjangkan ke sektor-sektor lain seperti barangan dan perkhidmatan?

Soalan tambahan kedua saya ialah mengapa keistimewaan yang sudah sedikit itu diperkecilkan lagi apabila threshold yang ditetapkan pada tahap RM315 juta pada tahun 2018 akan diturunkan kepada RM70 juta pada tahun 2038? Ini bererti pada tahun 2038, kontraktor asing akan diberikan lebih banyak peluang untuk bersaing dengan kontraktor Bumiputera iaitu bermula dari projek bernilai lebih dari RM70 juta. Bukankah ianya memberikan gambaran bahawa kerajaan yang berteraskan UMNO ini lebih suka menyusukan kera di hutan sedangkan bukannya kera  tersebut yang meletakkan UMNO di persada kuasa?

Keutamaan sehingga 40% peruntukan pembelian tahunan SOEs diberikan kepada Bumiputera, termasuklah PKS. Soalan tambahan saya ialah benarkah keistimewaan ini tidak eksklusif bagi Bumiputera sahaja kerana mereka akan bersaing juga dengan PKS bukan Bumiputera dan syarikat-syarikat yang berlokasi di Sabah dan Sarawak yang boleh dimiliki oleh bukan Bumi dan bukan warganegara Malaysia? Jika benar, maka kerajaan yang ditunjanggi oleh UMNO akan sekali lagi terdedah kepada tuduhan sebagai tidak menghormati dan melindungi secukupnya Perkara 153.

Seterusnya sejauh manakah benarnya  pengecualian yang diberikan kepada Bumiputera itu adalah sesungguhnya terhad iaitu setakat mana ianya tidak menjejaskan kepentingan pelabur asing sapertimana yang disenaraikan dalam peraturan-peraturan di bawah Bab Pelaburan, khususnya provisi Minimum Standard of Treatment, Fair & Equitable Treatment dan Expropriation? Jikalah benar maka nampaknya keistimewaan untuk Bumiputera itu hanyalah tinggal  sekelumit saja.

Seterusnya, mohon YB Menteri memberikan pengakuan yang tegas, tepat dan jitu bahawa “enabling policies and initiatives” yang mengandungi dasar-dasar dan langkah-langkah yang tidak berkaitan dengan projek, kontrak atau lesen & permit, sepertimana yang terdapat dalam strategi Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (PEB) dan RMK-11 (Bab 3 – Memperkukuhkan Inklusiviti), akan sesungguhnya tetap dilaksanakan semasa pasca TPPA sekalipun dasar dan initiatif tersebut tidak termasuk dalam pengecualian yang dirundingkan.

Contohnya ialah dasar di bawah Strategi E4 (RMK-11) bertajuk “Mengurangkan industri bernilai tambah rendah” dan “Mempertingkatkan program bersepadu”:

Pembangunan Rantaian Bekalan “dari ladang ke meja makan” bagi usahawan Bumiputera.

Program Pembangunan Vendor dan Groom Big.

Dasar carve-out bagi kontrak yang bernilaimelebihi RM500 juta

Persoalan pokok: Adakah kerajaan / MITI telah mengkaji keperluan dan implementability PEB dan RMK-11 semasa memuktamadkan TPPA?

Keempat, saya perhatikan bahawa PwC, dalam usahanya membuat unjuran tentang impak liberalisasi, telah menggunakan dataset lapuk (obsolete) – GTAP 8 (2007) sedangkan kita telahpun mempunyai dataset terbaru GTAP 9 (2010). Seperti yang kita semua maklumi, di era pasca  NEM/ETP (2010), lebih banyak inisiatif liberalisasi telah dilaksanakan hinggakan kita mendahului Amerika Syarikat dan Kanada.

Soalan pertama saya di sini, tidakkah perbuatan PwC itu boleh menimbulkan sangkaan buruk terhadap kerajaan? Soalan kedua saya pula ialah apakah senario baru yang boleh kita cerapi jika dataset terbaru itu diguna-pakai? Adakah faedah liberalisasi untuk kita sebenarnya minimal?

Kelima, PwC terlalu kerap menggunakan perkataan “MAY” dalam analisa / laporannya. Mengikut perkiraan saya, ianya digunakan sebanyak 179 kali. Ia memberikan tanggapan bahawa pakar-pakar di PwC pun tidak pasti atau mereka itu sebenarnya adalah kurang pakar. Yang demikian, pandangan dan syor PwC itu bolehlah dilihat sebagi tricky. Justeru  ia lebih menyukarkan penggubal dan pelaksana dasar untuk membuat tafsiran yang tepat bagi tujuan decision making dan pelaksanaan.

Contohnya seperti berikut:

* Such procurement practice MAY be affected under the TPPA as preferential treatment by SOEs will be limited to a maximum of 40% of their annual purchases

* Some existing developmental policies undertaken by SOEs contradict with this commitment. For example, the practice of a “Buy Malaysia First” policy by some SOEs, which MAY not be consistent with commercial considerations such as price, quality and availability of the good or service to be purchased, MAY breach the commitments set out in the TPPA.

* The commitment on SOEs to act in accordance with commercial considerations that are similar to a privately owned enterprise in the relevant industry when purchasing goods or services MAY constrain the role of some SOEs in supporting local enterprises.

* Mechanisms for SOEs in supporting nation building agenda MAY change

* Stronger protection for foreign investors MAY impede the Government from setting public policy in the interest of the nation.

Akhir sekali saya ingin menyarakan kepada YB Menteri agar mengguna-pakai pendekatan perakaunan / accounting approach iaitu menyediakan balance sheet mengenai buruk baik menyertai TPPA dan buruk baik tidak menyertai TPPA. Balance sheet tersebut akan membantu rakyat memahami dengan lebih mudah kebaikan dan keburukan yang saya maksudkan itu. Yang demikian, buy-in akan lebih mudah diperolehi.

  1. Leave a comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: