Prestasi Datuk Seri Idris Haron

MENYUSURI PENCAPAIAN DATUK SERI IR HJ IDRIS HJ HARON, KETUA MENTERI MELAKA, 2013 – 2015: KEJAYAAN SUDAH MENYERLAH

Senario tanaman

Jika kita menanam taugeh, kita perlu menunggu antara 68 jam – 72 jam untuk mendapat hasilnya; bukannya boleh dapat pada hari yang sama.

Jika kita menanam hibrid padi, kita perlulah menunggu kira-kira 110 hari sebelum ianya boleh dituai.

Jika kita menanam pisang, kita perlulah menanti 8 – 12 bulan masa berlalu sebelum buahnya boleh dipetik.

Jika kita menanam kelapa sawit, buahnya hanya boleh dipetik dalam tempoh dua tahun setengah hingga ke tiga tahun selepas ianya ditanam.

Jika kita menanam durian pula, kita hendaklah sabar menunggu buahnya gugur antara empat hingga lima tahun selepas ianya ditanam.

Demikianlah secara rengkas senario penantian masa sebelum sesuatu hasil tanaman itu dapat dinikmati. Ianya berbeza-beza; bergantung kepada benih yang ditanam.

Begitulah juga senarionya jika kita mahu menilai prestasi atau pencapaian seseorang ketua kerajaan. Malah masa yang lebih panjang lagi diperlukan untuk melihat hasil dan impak sesuatu projek pembangunan, khususnya yang berasaskan tanah atau land-based development.

Biasanya ianya memerlukan perkhidmatan sekurang-kurangnya selama dua penggal.

Yang demikian, untuk berlaku adil, penilaian terhadap prestasi atau pencapaian kepimpinan YAB Datuk Seri Ir Hj Idris Haron sebagai Ketua Menteri Melaka, yang baru berusia tiga tahun, wajarlah dilihat dalam konteks senario yang saya lakarkan di atas itu.

Namun begitu, izinkan saya meninjau dan menyusuri prestasi beliau sejak mengambil alih tampuk pentadbiran dari sudut yang dekat dengan hati rakyat yang memerlukan pembelaan kerajaan (ekonomi rakyat) dan hati para pelabur yang menjana pertumbuhan ekonomi (ekonomi modal). Saya akan menumpukan kepada beberapa angkubah (variables) penting sahaja.

Agihan Pertumbuhan Ekonomi

Dari segi mengurus dan mengemudikan ekonomi negeri, wajarlah diingat bahawa, sejak tahun 2013 hinggalah sekarang, Datuk Seri terus menghadapi persekitaran geo-politik serta ekonomi serantau dan dunia yang amat sukar lagi mencabar. Namun begitu, alahamdulillah, dalam konteks tersebut, secara relatif, beliau telah berjaya mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang sungguh memberangsangkan.

Pada tahun 2014, ekonomi / KDNK (GDP) Melaka tumbuh pada kadar 7.6%; ianya lebih tinggi dari pertumbuhan di peringkat negara sebanyak 6% dan jauh pula meninggalkan pertumbuhan di peringkat dunia yang hanyalah mencatatkan 3.4%. KDNK bagi tahun 2015 sedang disediakan. Diunjurkan pertumbuhan KDNK Melaka bagi tahun lepas tetap lebih tinggi dari pertumbuhan KDNK Malaysia (5%); dijangka ianya melebih 6%.

Yang lebih penting dari pertumbuhan per se itu ialah pertumbuhan ekonomi ini hendaklah turut memberi manfaat besar kepada rakyat, bukan sekadar kepada ekonomi negeri semata-mata. Ianya adalah pertumbuhan yang diagihkan (distributive growth), bukannya pertumbuhan semata-mata (growth only).

Pendapatan Isi rumah yang meningkat

Sebagai contoh, ekoran dari pertumbuahn ekonomi ini, purata pendapatan kasar isi rumah Melaka telah turut meningkat. Ianya meningkat sebanyak 12%, dari RM4,759 sebulan pada tahun 2012 kepada RM6,046 sebulan pada tahun 2014. Pendapatan semua kaum juga sama-sama meningkat; tiada kaum yang tercicir atau tertinggal.

Misalnya, pendapatan kasar isi rumah Melayu telah melompat sebanyak 26% dalam tempoh yang sama, dari RM4,600 sebulan kepada RM5,800 sebulan.

Impaknya, antara lain, ialah kadar kemiskinan kini hampir sifar (0.1%) pada tahun 2012 dan 2014.

Selain daripada itu, kita juga dapat menyaksikan lonjakan bayaran zakat pendapatan dan zakat perniagaan dalam tempoh tersebut serta pertambahan pembayar zakat. Sekali gus ianya membuktikan bahawa ekonomi Melaka berkembang secara menyeluruh dan memanfaatkan rakyat, termasuklah orang Islam.

Zakat melonjak

Zakat pendapatan melonjak kira-kita 46%, dari hampir RM21 juta pada tahun 2012 kepada RM30 juta pada tahun 2014. Pada tahun 2015, bayaraan zakat ini telah menokok kepada RM35 juta (+16%). Kenaikan ini pula menggambarkan bahawa pendapatan isi rumah telah mengukuh pada tahun yang sama, khususnya pendapatan isi rumah Muslim, walaupun tiada Penyiasatan / Kajian rasmi dilaksanakan pada tahun tersebut.

Dalam tempoh 2012 – 2014 itu, pembayar zakat pendapatan telah bertambah hampir 20%, dari kira-kira 21,500 orang kepada 25,700 orang. Bilangan mereka bertambah lagi 14% pada tahun 2015 kepada 29,200 orang.

Dalam tempoh yang sama, bayaran zakat perniagaan telah melompat hampir 28%, dari kira-kira RM9 juta kepada RM11 juta. Pada tahun 2015, nilai zakat ini terus meningkat dan telah mencatatkan lebih RM12 juta (+12%). Pembayar zakat kategori ini pula telah bertambah dari 1,100 orang kepada 1,400 orang (+27%) dan terus meningkat kepada 1,500 orang pada tahun 2015 (+8%).

Kadar pengangguran hampir sifar

Aktiviti ekonomi yang rancak telah menjana peluang pekerjaan yang banyak. Yang demikian, Datuk Seri telah mampu mengekalkan kadar pengangguran sekitar 1%, atau hampir sifar, pada tahun 2015. Kadar ini bukan sahaja terendah di Malaysia (3.1%) bahkan ianya terendah di kalangan semua negara maju (6.7%) dan jauh di bawah paras kadar pengangguran dunia (5.8%). Beliau juga berjaya mengekalkan kadar gunatenaga penuh (full employment) sepanjang tiga tahun yang lalu di mana kadar pengangguran terus berada di bawah paras 4%!

Kos sara hidup yang sederhana

Selain dari isu pertumbuhan ekonomi, pendapatan dan pekerjaan, isu kos sara hidup juga dekat dengan hati nurani rakyat. Sama saperti ketiga-tiga angkubah berkenaan, Datuk Seri juga telah berjaya mengendalikan isu kos hidup ini dengan berkesan.

Di negara kita, kos sara hidup atau kadar inflasi diukur dengan menggunakan Indeks Harga Pengguna (CPI) sebagai proksi kayu pengukurnya.

Sebelum itu, wajarlah diingatkan bahawa inflasi adalah umpama kolestoral; ada yang baik (good) dan ada pula yang jahat (bad).

Ramai pengguna biasa berpendapat bahawa hanya kenaikan harga yang tinggi, hyper inflation dan stagflasi sahaja yang buruk. Sebenarnya inflasi sifar (zero inflation) atau inflasi rendah saperti di USA serta deflasi (deflation) atau kejatuhan harga saperti yang dialami oleh Jepun berdekad lamanya juga tidak sihat kepada ekonomi.

Melaka dan Malaysia pernah diserang stagflasi pada awal tahun 1970an, mengalami deflasi dari bulan Jun 2009 – November 2009 (-0.1% hingga -3.4%) dan bergelut dengan inflasi yang dianggap telah begitu tinggi pada bulan Mei 2008 – Januari 2009 (4.0% – 9.5%). Namun serangan inflasi kita itu tidaklah seteruk apa yang pernah dialami oleh Mesir, Venezuela dan Zimbabwi.

Kadar inflasi yang sihat untuk ekonomi ialah kadar inflasi yang sederhana.

Tidak dinafikan bahawa rakyat Melaka kini sedang berdepan dengan kos sara hidup yang kian meningkat. Namun ianya tidaklah seteruk tahun 2008. Kita amatlah bertuah kerana Datuk Seri mampu mengawal dan menguruskan kadar inflasi kita di tahap yang sederhana. Purata kadar inflasi kita sepanjang tiga tahun yang lalu hanyalah 2.4%! Sesungguhnya ianya adalah sihat dari sudut ekonomi.

Dengan kenaikan pendapatan (12%) yang jauh melebihi kenaikan kadar inflasi (7.2%) maka sesungguhnya penduduk Melaka telah menikmati kenaikan pendapatan sebenar. Justeru kehidupan kita jauh lebih baik, misalnya, dari kehidupan rakyat Brazil, Venezuela, Mesir, Indonesia, Greek, Sepanyol dan sebagainya yang dicengkam oleh kemiskinan, dibebani oleh pendapatan yang merosot, dihimpit oleh kadar pengangguran yang tinggi serta ditekan pula oleh kadar inflasi yang tidak sihat.

Pelaburan

Akhirnya saya ingin menyentuh angkubah pelaburan yang merupakan salah satu pemandu ekonomi (economic driver) yang kritikal dalam konteks ekonomi modal.

Dalam suasana ekonomi global yang suram dan muram maka permintaan luar (eksport) turut menjadi lemah. Yang demikian, ekonomi Melaka dan Malaysia perlulah lebih bergantung kepada rangsangan permintaan domestik yang efektif dan pelaburan yang besar untuk menyuntik pertumbuhan ekonominya.

Berdasarkan maklumat pendapatan isi rumah di atas, jelaslah kita bernasib baik kerana pendapatan isi rumah kita telah meningkat dengan ketara (12%). Justru ianya telah membantu memacu permintaan domestik dan, yang demikian, membantu pula merangsang pertumbuhan ekonomi.

Pada masa yang sama, dalam suasana para melabur mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’, Datuk Seri pula telah menjadi seorang marketing advisor / sales advisor yang berjaya menjual Melaka kepada para pelabur dalam negeri dan luar negeri. Manifestasi kejayaan tersebut dapat kita saksikan melalui kenaikan mendadak nilai pelaburan yang diluluskan setiap tahun, dari RM1.5 bilion pada tahun 2013 kepada hampir RM7 bilion pada tahun lepas. Ia merupkan lonjakan sebanyak 360% sedangkan, dalam tempoh yang sama, nilai pelaburan yang diluluskan di peringkat Malaysia telah merosot 5%, dari RM52.1 bilion kepada RM49.5 bilion.

Dalam tempoh 3 tahun itu, beliau telah berjaya membawa masuk pelaburan yang diluluskan oleh MIDA bernilai hampir RM13 bilion; 62% daripadanya ialah pelaburan domestik (DDI) manakala baki 38% lagi ialah pelaburan asing (FDI). Pelaburan ini bersama-sama dengan penggunaan domestik telah menjana sebahagian besar pertumbuhan ekonomi Melaka.

Apa yang dilakarkan ini hanyalah merupakan sebahagian sahaja dari Kad Laporan (Report Card) Datuk Seri bagi tempoh tiga tahun yang lalu. Banyak lagi yang perlu dinilai dan dilaporkan.

Pada masa yang sama, beliau masih lagi di peringkat awal tempoh pentadbiran. Namun kejayaan beliau sudah menyerlah dan kita telahpun menikmati faedahnya.

Terbukti beliau umpama pohon nan rendang yang boleh menjadi tempat kita tumpang berlindung dan berteduh.

Pergi ke huma pergi ke ladang
Tanam nenas di rumpun buluh
Datuk Seri umpama pohon nan rendang
Hujan dan panas tumpang berteduh.

Tahniah dan ribuan terima kasih, Datuk Seri.

Berkat Tepat Cepat

Diyakini banyak lagi yang ingin beliau usahakan di bawah Melaka Maju Fasa II ini dengan BERKAT TEPAT CEPAT. Contohnya, tentunya beliau mahu melihat pendapatan isi rumah rakyat Melaka melonjak dengan ketara menjelang tahun 2020. Untuk mencapai visi tersebut, gaji para pekerja, mislanya, perlulah dinaikkan ke tahap yang setara dengan gaji pekerja di negara berpendapatan tinggi.

Pada masa ini, separuh daripada keseluruhan pekerja di Melaka mempunyai gaji di bawah RM1,500 sebulan. Untuk mencapai objektif berkenaan, sudah tentulah beliau perlu berunding dengan para majikan dan warga pekerja secara berhemah. Banyak faktor perlu diambil-kira, termasuklah produktiviti, daya saing dan ketahanan syarikat.

Dalam pada itu, beliau tentunya mahu berhati-hati kerana tidak ingin melihat pisang berbuah dua kali. Tidak guna berhempas pulas memaju dan membangunkan negeri tetapi akhirnya parti beliau sendiri kehilangan pusat pentadbiran dan kuasa sepertimana hilangnya DUN Kota Laksamana & Parlimen Kota Melaka serta terlepasnya DUN Ayer Keroh, DUN Bukit Baru & Parlimen Bukit Katil.

Maka sudah tentulah beliau ingin merancang dengan lebih teliti dan TEPAT lagi.

Akhirnya, tentulah beliau mahu kesemua yang difikir, dirancang dan diusahakan itu mendapat keredhaan Allah SWT agar kita pula mendapat BERKATNya. Tidak guna Tepat dan Cepat jika tidak Berkat.

Resipi: Sokongan padu

Untuk membantu Datuk Seri berjaya dalam memaju dan memakmurkan Negeri Hang Tuah yang bertuah ini dan kita pula yang mendapat nikmat kejayaan itu maka seluruh rakyat negeri Melaka perlulah memberikan sokongan padu kepada beliau.

Beliau tidak boleh memandu seorang diri dan kita pula tidak boleh maju kehadapan tanpa kepimpinan yang tegas, berkesan dan berwawasan.

Justru pemimpin dan rakyat hendaklah sebahu dan sederap melangkah memajukan negeri dengan gigih dan iltizam yang jitu.

Patah atap kerana buluh
Terbang melayang burung tempua
Patah sayap bertongkatkan paruh
Namun tetap bersama terbang jua.

Inilah pra syarat dan resipi Melaka Maju Fasa II, Berkat Tepat Cepat.

Wallahu’alam.

Sumber: Pelbagai.

20160505_102105

20160505_113601-2

, , ,

  1. #1 by MD Othman on June 1, 2016 - 4:56 pm

    Harap prestasi sebagus poster poster kecil dan raksasa penuh dengan potret beliau merata-rata di Melaka.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: