MEMBAHAS TITAH YDP AGONG

(kalaulah saya ada peluang berucap)

Bismillahir rahmanir rahim……

Assalamualaikum …wbt.. salam sejahtera dan salam 1Malaysia..

 YB Tan Sri  Yang DiPertua,

Syukur

  1. Pertama kali, marilah kita mengucap syukur kehadrat Allah swt kerana telah diberikan kesihatan badan, kekuatan mental dan  kelapangan masa untuk kita menghadiri sidang Dewan yang mulia Kali Pertama Penggal Ke-5 bagi Parlimen ke-13. Kehadhiran kita adalah semata-mata untuk menyempurnakan amanah dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat melalui proses demokrasi yang sahih, sah dan sihat.
  1. Kedua, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada YB Tan Sri Yang DiPertua kerana memberi peluang keemasan ini kepada saya untuk turut sekali lagi membahaskan Titah ke Bawah Duli Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong. Semoga apa yang ingin saya perkatakan ini akan mendapat perhatian yang saksama dari pihak kerajaan.
  1. Dan ketiga, titah perasmian oleh ke Bawah Duli Baginda (DS tolong pastikan ketepatan sebutan ini) telah menyentuh pelbagai bidang dan isu semasa dan masa depan kita. Dari ekonomi modal, termasuklah isu pertumbuhan ekonomi dan daya saing, ke ekonomi rakyat, termasuklah isu pekerjaan, kos sara hidup, subsidi untuk kumpulan sasar dan perumahan hinggalah ke isu perpaduan serta alam sekitar, TN50 dan sebagainya.
  1. Pada hemat saya, setiap butir yang telah dititahkan itu menuntut perhatian serius dari kita semua. Justeru sewajarnyalah kita menghayati titah ucapan ke Bawah Duli Baginda itu dengan penuh keinsafan. Marilah sama-sama mengambil iktibar serta menjadikan ianya sebagai pedoman dalam usaha hendak meneruskan tugas dan amanah kita sebagai wakil rakyat dan juga sebagai penggubal undang-undang di Dewan yang mulia ini.

YB Tan Sri Yang DiPertua,

Penghargaan, Takziah dan Tahniah

  1. Sebelum saya meneruskan ucapan di Dewan yang mulia ini, izinkan saya merakamkan setinggi penghargaan di atas perkhidmatan dan sumbangan cemerlang Allahyarham Tan Sri Datuk Patinggi Adenan Satem melalui platform politik selama 40 tahun, termasuklah berkhidmat dengan Kerajaan Persekutuan sebagai menteri selama 2 tahun dan sebagai Ketua Menteri Sarawak hampir 3 tahun.
  1. Sumbangan dan perkhidmatan cemerlang beliau tidak mampu saya lakarkan untuk mencakupi kesemua sumbangan dan perkhidmatan yang telah dicurahkan itu. Saya hanya mampu mencoretkan dalam serangkap pantun ini:

Berlari-lari menurun bukit,

Hendak memetik si asam paya,

Jasa Tan Sri bukan sedikit,

Sebanyak daun di rimba raya.

  1. Namun izinkanlah saya menyebut secara khusus kejayaan terbesar beliau dalam mengemudi pilihan raya negeri (PRN) Sarawak pada tahun 2016 dengan kemenangan yang gemilang iaitu memenangi 72 daripada 82 kerusi atau 87.8%.
  1. Seterusnya marilah kita sama-sama menyampaikan salam takziah kepada YB Puan Sri Jamilah Anu seisi keluarga di atas kehilangan suami / ayah tersayang.
  1. Pada bulan Mac 2014, di Dewan yang mulia ini, saya telah mengucapkan tahniah kepada Allahyarham Tan Sri Adenan Satem di atas pelantikan beliau sebagai Ketua Menteri Sarawak yang ke 5. Saya juga telah menzahirkan keyakinan bahawa beliau akan mampu mengangkat Sarawak ke tahap yang lebih aman, harmonis, setabil dan makmur lagi. Sesungguhnya beliau telah berjaya mencapainya dalam tempoh masa yang sesingkat itu.
  1. Hari ini, di Dewan yang sama, saya ingin pula mengucapkan tahniah kepada YB Puan Sri Jamilah Anu di atas kemenangan besar beliau dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Datu dengan majoriti undi yang lebih besar (+551 undi) berbanding PRN 2016. Kedua-dua pencabar beliau telah hilang wang pertaruhan!
  1. Dalam pada itu, saya tidak lupa untuk mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Tuan Kamarol Zaki Abdul Malek yang telah meninggal dunia pada 17 Januari lalu. Beliau dikenali sebagai pemimpin akar umbi yang telah banyak menabur jasa, termasuklah melalui perkhidmatan perguruan. Beliau adalah seorang Guru Besar sebelum bertanding dalam PRU ke 13.

Dari Renget pergi ke Bentung,

Tanjung Tuan lautnya tenang,

Bumi tersenget langit tergantung,

Jasa Tuan  tetap dikenang.

  1. Sebagai tanda penghargaan serta hormat, kasih dan sayang kita terhadap kedua-dua Allahyarham ini, marilah kita hadiahkan Umul Kitab di samping mendoakan semoga roh mereka berdua ditempatkan bersama-sama dengan roh orang muslim dan muslimat yang soleh dan soleha… al Fateha.

YB Tan Sri Yang DiPertua,

Skop

  1. Sesungguhnya diakui banyak perkara dan isu yang ingin kita semua luahkan di Dewan yang mulia ini. Namun menyedari kesuntukan masa dan perlu pula masa yang terhad itu dikongsi antara kita yang ramai ini maka saya mengambil peluang keemasan yang diberikan ini dengan menumpukan skop perbahasan kepada 6 perkara utama sahaja:
  • Lakaran lanskap ekonomi dunia yang memberi impak ke atas Malaysia,
  • Isu ekonomi rakyat,
  • Struktur ekonomi kita yang menuntut tindakan serius dan segera,
  • Isu rasionalisasi dan bantuan untuk kumpulan sasar,
  • Isu hutang Kerajaan Persekutuan, dan
  • Isu pelaburan China, OBOR dan Chinafication.

YB Tan Sri Yang DiPertua,

Lanskap ekonomi dunia

  1. Saya ingin membuka tirai dengan menyentuh lanskap ekonomi dunia masa kini kerana sektor luar (external sector) merupakan faktor utama dalam mempengaruhi dan memberi impak ke atas hala tuju serta prestasi ekonomi kita pada keseluruhannya.
  1. Menurut IMF World Economic Outlook yang dikeluarkan pada bulan Januari lalu, pertumbuhan ekonomi dunia pada tahun ini diunjurkan lebih baik (3.4%) berbanding pada tahun lepas (3.1%). Pada tahun 2018, pertumbuhan diunjurkan lebih baik lagi iaitu pada kadar 3.6%.
  1. Optimisma ini, antara lain, disandarkan kepada (a) jangkaan dasar fiscal stimulus di USA. (b) policy-driven stimulus di China, dan (c) harga minyak mentah serta harga lain-lain komoditi yang dijangka akan bertambah mengukuh.
  2. Dalam pada itu, diakui bahawa pertumbuhan ekonomi ini tidaklah serata antara negara maju, emerging markets and developing economies (EMDE).
  1. Pada masa yang sama, terdapat beberapa caveats yang tidak boleh diabaikan. Antaranya ialah (a) a possible shift toward inward-looking policy platforms and protectionism, (b) a sharper than expected tightening in global financial conditions that could interact with balance sheet weaknesses in parts of the euro area and in some emerging market economies, (c) increased geopolitical tensions, and (d) a more severe slowdown in China, dengan izin.
  1. Walau bagaimanapun, terkini, nampaknya petunjuk-petunjuk positif semakin jelas bahawa pertumbuhan ekonomi USA, enjin ekonomi dunia, akan bertambah kukuh selepas sedekad mengalami tepid growth.
  1. Komitmen Trump di US Congress baru-baru ini untuk merangsang ekonomi USA with massive tax relief and USD1 Trillion for infrastructure development mengukuhkan lagi sentimen ini.
  1. Dijangka Federal Reserve akan menaikkan kadar faedah pada pertengahan bulan ini, lebih awal dari apa yang pernah diramalkan sebelumnya, tertakluk kepada pengumuman data-data ekonomi terkini seperti kadar pengangguran dan kadar inflasi.
  1. Keputusan menaikkan kadar faedah tersebut akan memberi petunjuk yang lebih kukuh bahawa pertumbuhan ekonomi USA is on the road to a strong recovery, as opposed to a fragile recovery in recent years.
  1. Perkembangan ekonomi USA boleh merangsang ekonomi dan perdagangan dunia, termasuklah membuka peluang yang lebih besar kepada eksport Malaysia.
  1. Namun dalam pada itu, kita perlulah pula memberikan perhatian yang lebih dekat lagi terhadap dasar protectionist Trump dan impaknya di peringkat global, termasuklah Malaysia.
  1. Yang jelas, apabila kadar faedah mereka naik, maka nilai USD pun akan turut naik. Ia sudah pun mula naik lagi berdasarkan good news Lalu nilai MYR pula akan turun secara relatif. Isu nilai mata wang kita telah turut disentuh oleh ke Bawah Duli Baginda.
  1. Pada masa yang sama, ekoran dari kenaikan kadar faedah di USA itu, kita perlulah menjangkakan bahawa lebih banyak out flow of fund/investment keluar dari Malaysia ke USA kerana jangkaan pulangan atau yield yang lebih menarik lagi.
  1. Diharapkan out flow ini akan dapat diseimbangkan atau will be compensated by kenaikan hasil yang disumbangkan oleh minyak mentah dan komoditi-komoditi lain melalui peningkatan harga; bukannya didorong oleh nilai Ringgit yang lemah.
  1. Yang demikian, sepertimana yang telah disarankan oleh ke Bawah Duli Baginda, sebahagian daripada hasil yang bertambah itu bolehlah diperuntukkan kepada kumpulan sasar tertentu. Ia akan membantu meringankan beban kos sara hidup yang dijangka akan semakin mencengkam kehidupan rakyat.
  1. Cengkaman tersebut semakin perit kerana pendapatan adalah rendah dan tidak pula meningkat sejajar dengan kenaikan kos sara hidup itu. Menurut laporan Penyiasatan Gaji dan Upah 2015 yang dikendalikan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, separuh daripada jumlah pekerja kita hanya bergaji bawah RM1,600 sebulan.
  1. Menurut pula Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah 2014 yang dilaksanakan oleh Jabatan yang sama, separuh daripada keseluruhan isi rumah kita hanya memiliki pendapatan kasar per kapita sebanyak RM1,146 sebulan. Separuh daripada isi rumah B40 hanya memiliki pendapatan kasar per kapita sebanyak RM657 sebulan.
  1. Cubalah kita bayangkan taraf kehidupan mereka dengan pendapatan sebanyak itu untuk menanggung anak isteri dan ibu bapa yang telah tua dan uzur.
  1. Sesungguhnya ekonomi kita yang terbuka ini tidak boleh terselindung dari serangan inflasi impot (imported inflation) yang turut dibebani oleh nilai Ringgit yang merosot dan menokok tambah pula inflasi domestik. Dijangka lanskap inflasi akan lebih mencabar lagi dalam tempoh 2 tahun ini. Pada bulan Januari 2017, kadar inflasi kita, sekitar 2% di masa lalu, kini sudahpun mencecah 3.2%.
  1. Dilema seperti ini akan sentiasa wujud. Ianya menjadikan tugas kerajaan bertambah seronok dan menarik; exciting and interesting.
  1. Justeru kita perlulah bersedia untuk mengambil pelbagai langkah/inisiatif berteraskan ekonomi, fiskal dan monoteri untuk mendepani pelbagai kemungkinan senario dan supaya ekonomi kita lebih resilient
  1. Diyakini MOF, BNM, EPU dan lain-lain agensi sedang memikirkan hal-hal ini.
  1. Pada masa yang sama, rakyat perlulah juga bersedia dari segi mental dan perasaan.
  1. Dalam pada itu, petunjuk-petunjuk ekonomi di Eurozone menunjukkan aktiviti ekonomi di zon tersebut juga akan kembali rancak, sepertimana yang dilaporkan oleh PMI Survey.
  1. Haraplah probable impact BREXIT semakin jelas dan tidak pula berlaku FREXIT atau ITEXIT.
  1. Pada masa yang sama, China, ekonomi kedua terbesar di dunia, turut menunjukkan tanda-tanda akan kembali berkembang. Official  and private factory activity surveys  reported better-than-expected results.
  1. The global multiplier impact of these 3 combined economies is indeed immensely huge, dengan izin. Sudah tentulah Malaysia akan turut mendapat faedahnya.
  1. Pemulihan ekonomi Jepun dan India akan turut menyumbang kepada kerancakan semula aktiviti ekonomi dunia.

YB Tan Sri Yang DiPertua,

Ekonomi Rakyat

  1. Beralih ke dalam negeri, ekonomi negara telah mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.2% pada tahun lalu. Ia merupakan satu pencapaian yang memberangsangkan di bawah persekitaran geo-politik global yang tidak menentu dan hostile serta lanskap ekonomi dunia yang muram, suram dan fragile.
  1. Dijangka Malaysia akan turut mendapat limpahan dari pemulihan ekonomi dunia itu, sepertimana yang saya lakarkan sebentar tadi. Outcomenya ialah diunjurkan kadar pertumbuhan ekonomi kita yang telah terus menurun dari 7.2% sejak 2012 kepada 4.2% pada tahun 2016 akan naik semula pada tahun ini sekitar 4.5% atau lebih.
  1. Pertumbuhan yang kembali berkembang itu akan merancakkan semula aktiviti ekonomi. Seterusnya ia akan membuka luas peluang perniagaan serta menjana lebih banyak lagi peluang pekerjaan. Yang demikian, masalah ekonomi rakyat, khasnya pengangguran, sepertimana yang dititahkan oleh ke Bawah Duli Baginda turut dapat didepani sama melalui lonjakan ekonomi modal.
  1. Menurut Menteri Sumber Manusia, pada masa ini, bilangan penganggur, secara purata, telah bertambah seramai 10,000 orang setiap bulan. Pada akhir Disember 2016, bilangan penganggur adalah seramai 512,000 orang berbanding 400,000 orang pada akhir 2014 atau meningkat sebanyak 28%.
  1. Jika bilangan 512,000 penganggur itu diterjemahkan impaknya ke atas bilangan pemilih maka ia boleh mencecah sehingga 5 juta orang, termasuk tanggungan masing-masing. Apakah kesannya nanti?
  1. Walaupun kita masih menikmati tahap guna tenaga penuh (full employmet) kerana kadar pengangguran masih di bawah 4% (Disember = 3.5%), namun isu pengangguran ini berpotensi menjadi amat serius. Saya ingatkan sedemikian kerana ia boleh berjangkit dan meletop menjadi isu sosial dan perkauman. Potensi letopan tersebut adalah kerana majoriti yang menganggur itu, seramai lebih 70%, datangnya dari satu kaum iaitu kaum Bumiputera.
  1. Di samping itu, agak ramai yang menganggur itu pula, iaitu lebih dari satu pertiga, adalah terdiri dari mereka yang cerdik pandai dan berkelulusan tertiari. Kini semakin ramai golongan professional seperti doktor, jurutera, ahli farmasi dan kalangan sarjana yang menganggur. Pada masa yang sama, mereka ini dikejar oleh surat tuntutan hutang oleh PTPTN dan sekatan imigrasi. Bayangkanlah kesulitan hidup mereka yang dihimpit kehinaan, stress and frustration.
  1. Isu pengangguran ini menjadi lebih besar lagi jika kita mengambil kira pula isu underemployment. Isu underemployment ini boleh dilihat dari 2 sudut:

Pertama, dari sudut masa bekerja iaitu kurang dari yang sepatutnya, dan

Kedua, dari sudut kelayakan dan jawatan yang disandang iaitu memegang jawatan yang lebih rendah berbanding dengan kelayakan/ kemahiran yang dimiliki dan menerima saran yang lebih rendah.

Contohnya, kerana tiada pekerjaan, difahankan ada doktor yang menjalankan perniagaan MLM dan jurutera berkelulusan sarjana menjadi tukang gunting.

Graduates berkelulusan sastera dan ekonomi menyandang jawatan bertaraf perkeranian adalah suatu yang lumrah sejak beberapa tahun lalu.

  1. Bilangan underemployed ini dianggarkan telah meningkat dari kira-kira setengah juta orang pada tahun 2010 kepada hampir 600,000 orang pada tahun 2015. Dalam tempoh yang sama, dianggarkan bilangan graduates yang underemployed telah melonjak dari 57,000 orang ke 80,000 orang.
  1. Sekali lagi jika diterjemahkan bilangan underemployed tersebut kepada pemilih maka ianya adalah kira-kira 1.8 juta orang, termasuklah tanggungan mereka. Apakah impaknya nanti?
  1. Bilangan penganggur dan underemployed yang tinggi dan meningkat ini adalah ekoran dari aktiviti ekonomi yang kurang rancak, termasuklah penutupan perniagaan, pengurangan tenaga kerja, pemendekan masa bekerja, kemasukan tenaga buruh baru ke pasaran buruh dan kebanjiran pekerja asing.

YB Tan Sri Yang DiPertua,

Isu Struktural

  1. Sesungguhnya isu pengangguran ini bukanlah boleh diselesaikan semata-mata dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan sahaja. Bila diteliti dan analisa secara detel dan mendalam, sebenarnya isu tersebut adalah isu struktural yang telah lama berakar umbi.
  1. Isu struktural ini merangkumi bidang ekonomi, pendidikan serta latihan modal insan yang mencakupi penawaran dan pemintaan di pasaran buruh atau supply and demand in the labour market.
  2. Antara isu struktural ekonomi yang serius ialah kita masih gagal untuk berhijrah dari low wage labour intensive industries ke high wage high tech industries. Isu inilah yang menyebabkan gaji para pekerja kita kekal di tahap yang rendah, sepertimana yang telah saya sebut awal tadi. Justeru sumbangan gaji dan upah kepada GDP kita hanyalah sekitar 35% berbanding dengan China, USA dan negara-negara OECD yang mana sumbangannya melebih 45%.
  1. Low wage labour intensive industries ini pula lebih banyak menjana pekerjaan asas bergaji rendah iaitu hampir 90% dari jumlah pekerjaan baru. Yang demikian berlakulah lebih banyak underemployment.
  1. Pengangguran dan underemployment yang tinggi di kalangan graduates adalah kerana:

Pertama, penawaran  / supply graduates yang berlebihan berbanding permintaan / demand iaitu peluang pekerjaan yang ada atas nisbah 3:1, dan

Kedua, kadar pertumbuhan pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi menurun 50%, dari 5.2% kepada 2.6%.

  1. Labour intensive industries ini menggalakkan majikan untuk mengambil lebih ramai pekerja asing kerana factor gaji yang rendah. Kebanjiran pekerja asing ini pula menimbulkan kesan sampingan utama seperti berikut:

Pertama, low wage economy akan terus kekal,

Kedua, penghijrahan ke high wage high tech economy akan terhalang / terbantut,

Ketiga, mereka menyekat / suppress kenaikan gaji, dan

Keempat, akan gagal sasaran kerajaan untuk mengurangkan pekerja asing sebanyak 30% semasa tempoh RMK11.

  1. Mengambil kira isu-isu yang saya lakarkan itu maka tidak hairanlah PEMANDU telah mengunjurkan seramai 7 juta pekerja kita akan masih lagi bergaji bawah RM2,000 sebulan pada tahun 2020 nanti atau kira-kira 46% dari jumlah pekerja. Gaji sebanyak RM2,000 sebulan itu mungkin sama nilainya dengan sebanyak RM1,500 sebulan pada tahun 2015.
  1. Isu struktural yang lebih serius lagi ialah kadar pertumbuhan produktiviti buruh telah menurun. Bagi tempoh 2003 – 2009, kadar pertumbuhan berkenaan adalah sebanyak 2.8% setahun. Ianya telah menurun kepada 1.2% setahun bagi tempoh 2009 – 2015.
  1. Kadar pertumbuhan yang menurun ini adalah serius kerana produktiviti adalah paksi yang memacu pertumbuhan ekonomi dan sendi pula kepada daya saing. Impaknya dapat kita saksikan:

Pertama, kadar pertumbuhan ekonomi kita terus menurun dari 7.2% setahun pada tahun 2012 ke 4.2% setahun pada tahun lalu, dan

Kedua, tahap daya saing kita turut tergugat; ia menurun dari tangga ke-18 pada tahun 2015 ke tangga ke-25 pada tahun lepas, menurut World Economic Forumn.

  1. Sehubungan itu, disyorkan pandangan-pandangan berikut untuk pertimbangan kerajaan:

Pertama, melantik mereka yang berkemampuan dan pakar untuk menterjemahkan visi kerajaan selaras dengan saranan agama kita supaya meletakkan orang yang ahli ditempatnya jika tidak mahu menempah kebinasaan.

Dalam konteks ini, 2 visi utama kerajaan ialah  berazam (a) untuk berhijarah ke digital economy, dan (b) untuk memperkaya kreativiti dan inovasi agar ianya menjadi nilai tambah / value-added yang utama dalam memacu ekonomi negara.

Kedua, mempastikan wujudnya vertical and horizontal integration dalam perancangan dan pelaksanaan dasar agar berlakunya koordinasi yang lebih rapat dan kukuh untuk mempastikan tidak berlaku lagi mismatch antara supply and demand.  Sebaliknya akan wujud a new optimal supply and demand equilibrium in the labour market.

Sehubungan itu, khusus mengenai isu ini, perbincangan dan koordinasi yang lebih rapat hendaklah diwujudkan antara Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Sumber Manusia, MITI, EPU dan agensi-agensi yang berkaitan dengannya.

Ketiga, gaji dan upah buruh patutlah dinaikkan sejajar dengan azam kerajaan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi serta selari pula dengan tren di negara-negara lain, termasuklah di China. Yang demikian, ia akan mampu menarik pekerja tempatan kerana terbukti mereka bersedia melakukan pekerjaan 3D sekiranya mendapat imbuhan yang bersesuaian. Sekali gus, bilangan penganggur  dan pekerja asing akan dapat dikurangkan.

Walau bagaimanapun, kenaikan gaji ini hendaklah disertai dengan peningkatan produktiviti untuk mempastikan syarikat terus survive.

Keempat, diakui bahawa penggunaan dan pelaburan / consumption and investment adalah the key economic drivers. Tetapi antara dua kunci tersebut, pelaburan adalah lebih kritikal lagi. Menggunakan hasil kerajaan untuk menyokong penggunaan yang berterusan adalah tidak mapan / unsustainable.

Justeru, selaras dengan titah ke Bawah Duli Baginda, maka disarankan agar kerajaan melaburkan hasil tambahan yang diperolehi itu ke arah memantapkan lagi modal insan kumpulan sasar melalui training, retraining, re-skilling and skill upgrading, dengan izin. Bukan sekadar memberikan cash hand-outs.

Melalui pelaburan ke atas capacity building ini, maka effectiveness, efficiency dan produktiviti serta daya saing akan mengukuh.

Pada masa yang sama, hendaklah diwujudkan lebih banyak lagi peluang perniagaan dan pekerjaan untuk menyerap mereka itu.

Kelima, mempastikan semua pelabur asing menggunakan input tempatan seperti bahan dan tenaga kerja serta membantu SME kita agar boleh berkembang maju. Jika tidak, rakyat tempatan hanya menjadi penonton yang mampu menonton atau tenguk sahaja.

YB Tan Sri Yang DiPertua,

Isu rasionalisasi dan bantuan untuk kumpulan sasar

  1. Sebentar tadi saya ada menyentuh mengenai membantu kumpulan sasar. Sesungguhnya kita amatlah bernasib baik kerana di atas kebijaksanaan dan wawasannya, YAB PM telah melaksanakan GTP, ETP dan rasionalisasi subsidi beserta dengan pakej membantu kumpulan sasar yang terjejas akibat pelaksanaan pelan rasionalisasi tersebut. Antara pakej berkaitan ialah BR1M, KR1M, 1AZAM dan banyak lagi.
  1. Lantaran pelaksanaan kombinasi pelan rasionalisasi dan pakej bantuan tersebut, maka negara kita telah berjaya mendepani krisis ekonomi global yang melanda negara sejak akhir 2015 tanpa menjejaskan dengan teruk kumpulan B40 dan M40. Kebajikan mereka terbela.
  1. Sekarang kita sudah boleh beranjak pula ke mode Fasa Ke-2. Di Fasa ke-2 ini, di samping melabur dalam capacity building, sepertimana yang saya sarankan tadi, izinkan saya mencadangkan supaya hasil kerajaan yang terhad ini digunakan dengan lebih efficient lagi inorder to maximize the best value for money.
  1. Saya mohon mencadangkan seperti berikut:

Pertama, pemberian semua bantuan subsidi atau insentif berbentuk mata benda seperti baja, minyak masak, diesel, buku teks dan sebagainya hendaklah dikira dan dibayar di peringkat penggunan / consumption level; bukan dikira dan dibayar di peringkat pengeluaran / production level yang menguntungkan taukeh besar seperti sekarang.

Kaedah ini sudah pasti lebih cost efficient kerana ianya akan dinikmati sepenuhnya  oleh kumpulan sasar sahaja. Ketirisan dan pembaziran boleh dikurangkan atau dibasmi. Lantas wang rakyat dapat dijimatkan.

Kini kaedah ini boleh dilaksanakan kerana kita sudahpun mempunyai database penerima BR1M yang lengkap dan terkini. Yang demikian, sebagai contoh, hanya penanam padi boleh mendapat subsidi  baja padi dan hanya nelayan boleh menerima subsidi minyak diesel. Pemberian subsidi tersebut boleh berdasarkan instrument seperti kupon.

Kedua, memberi bantuan yang bersifat / berbentuk social safety net seperti insuran kemalangan, insuran kesihatan, insuran tanaman dan seumpamanya, dan

Ketiga, semua bantuan untuk kumpulan sasar ini hendaklah diletakkan di bawah dan diuruskan oleh one stop agency untuk memudahkan lagi mereka berurus / access.

Di peringkat awal / start up, pemberian bantuan itu pula hendaklah lengkap iaitu mereka dibekalkan batang joran, tali joran, kail dan umpan serta diajar pula cara memancing. Bukan hanya diberi batang joran, sepertimana yang berlaku sekarang.

Itulah punca utama mengapa skim membantu orang miskin ini kurang berjaya. Falsafahnya murni tetapi kaedahnya perlulah diperbaiki dan dimantapkan lagi.

YB Tan Sri Yang DiPertua,

Isu hutang Kerajaan Persekutuan

  1. Kini saya ingin beralih pula kepada isu Hutang Kerajaan Persekutuan (HKP); ianya bukan hutang negara, sepertimana yang sering diconfusekan oleh pihak-pihak tertentu yang mungkin tidak faham perbezaan antara dua konsep hutang ini.
  1. Dalam membincangkan HKP ini, kita tidak boleh lari dari menyentuh 3 aspek utama ini iaitu:

Pertama, tujuan hutang iaitu bagi tujuan pembangunan sahaja;

Kedua, saiz hutang iaitu biasanya diukur berdasarkan (a) nisbah kepada nilai GDP dan (b) nisbah lebihan / defisit bajet kepada GDP sebagai proksinya; dan

Ketiga, kemampuan bayar balik hutang yang diukur berdasarkan nisbah bayaran khidmat hutang (BKH) kepada jumlah hasil. Ukuran ini lebih relevan berbanding dua yang lain itu.

  1. HKP, sepertimana yang dilaporkan dalam Laporan Ekonomi 2016/2017, kini berjumlah RM656 bilion. BKH pada tahun 2017 hampir RM29 bilion atau 13.4% daripada jumlah hasil kerajaan. Justeru kita perlulah lebih berhati-hati dan lebih berhemah lagi kerana ia sudah menghampiri threshold 15% yang ditetapkan sendiri oleh kerajaan.
  1. BKH terus meningkat setiap tahun. Sebagai contoh, pada tahun 2009, BKH berjumlah kurang sikit RM21 bilion atau hanyalah 9.8%.
  1. Mengambil kira hutang off budget, hutang 1MDB, LRT, MRT, ECRL, pembinaan pelabuhan Pulau Carey dan lain-lain lagi, HKP berpotensi untuk mencecah kira-kira RM1.34 trilion.
  1. Beban hutang sebanyak itu sudah pasti akan mencabar kemampuan kerajaan untuk service the loans. Kadar BKH sudah pasti akan menembusi had atau limit 15% Ianya amatlah mengerikan.
  1. Justeru diangkatkan syor-syor berikut untuk pertimbangan kerajaan:

Pertama, menukar pendekatan PINJAMAN kepada PENGSWASTAAN dalam usaha hendak membina projek-projek yang dirancang itu.

Kedua, kerajaan menyegerakan tindakan untuk membasmi ketirisan dan pembaziran. Ianya menjadi mendesak kerana hasil negara  bukan sahaja terhad malah menurun pula.

Yang demikian, rakyat akan benar-benar mendapat nikmat more value for money melalui higher cost effectiveness and  better cost efficiency. Komitmen ini telahpun diberikan oleh YAB PM / MKI melalui ucapan Bajet saban tahun.

Sebagai contoh, projek MRT yang dibina demi kepentingan dan kebajikan rakyat tetapi telah dijaja sebagai satu pembaziran kerana over pricing dan sebagainya apabila ianya dibandingkan dengan projek yang sama di Singapura, Turki, Korea Selatan dan Taiwan. Mohon YB Menteri memberikan pencerahan tenatng isu tersebut.

YB Tan Sri Yang DiPertua,

Isu pelaburan China, OBOR dan Chinafication.

    1. Akhir sekali saya ingin menyentuh isu pelaburan China, OBOR dan Chinafication. Isu ini adalah antara isu yang sedang hangat diperkatakan oleh rakyat masa kini. Kerana kehangatan dan kontroversi yang dikaitkan dengannya itu maka amat wajarlah sekali isu tersebut dijernih dan dicerahkan di Dewan yang mulia ini.
    2. Mohon pencerahan dari YB Menteri berhubung perkara-perkara berikut:

a) Berapakah jumlah dan nilai projek terkini yang ada kepentingan China – dari segi (i) pelaburan FDI dan (ii) pinjaman?

b) Apakah syarat-syarat FDI dan pinjaman yang mereka kenakan, termasuklah projek Bandar Malaysia, Pelabuhan Kuantan, ECRL, Melaka Gateway, Kilang Kaca di Jasin, Melaka dan Forest City, Johor Baru?

c) Apakah kaedah dan tahap kemampuan membayar balik hutang?

d) Apakah tahap viability projek yang hendak dibina itu seperti Pelabuhan Kuantan, ECRL, Melaka Deep Sea Port agar kita tidak senasib dengan projek Hambantota di Sri Lanka?

e) Apakah faedah kepada kerajaan dan rakyat Malaysia dari segi penggunaan bahan/supplies tempatan, pekerjaan, pemindahan kepakaran dan teknoloji, kutipan hasil dan sebagainya?

f) Apakah sumbangan atau cengkaman ke atas ekonomi kita, dan

g) Adakah kehadiran China secara besar-besaran dan terancang ini akan mengukuhkan lagi atau mengancam kedaulatan dan keselamatan kita?

YB Tan Sri Yang DiPertua,

  1. Itulah sahaja yang ingin saya kongsikan di Dewan yang mulia ini. Jika terdapat sebarang kelemahan dan ketelanjuran kata, al maklumlah lidah kita tidak bertulang, maka dengan rendah diri saya memohon maaf:

Turun hujan perahu berlabuh

Di malam gelap menagkap ikan

Saya menyusun jari sepuluh

Salah dan silap mohon maafkan.

  1. Saya bangun menyokong Titah Ke Bawah Duli Seri Paduka BagindaYang DiPertuan Agong yang kita sanjung dan kasihi.

4 Mac 2017.

Advertisements

, ,

  1. Leave a comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: