UCAPAN DI MAJLIS PERKAHWINAN ANAK LELAKI PADA 10 DISEMBER 2017

Alu-aluan 

Terima kasih sahabat saya, En Muslihin & isteri selaku Pengacara Majlis.

Bismillahirrahmanirrahim

Asslamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam Sejahtera…

Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama Dr Mohd Khalil Yaakob,

Yang Di-Pertua Negeri Melaka.

  1. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama Dr Mohd Khalil Yaakob, Yang Di-Pertua Negeri Melaka di atas kesudian untuk hadir di Majlis Perkahwinan anakanda lelaki kami, ENDIE SHAZLIE pada tengah hari ini. Ini adalah kehadiran Tun kali ke 4 di majlis perkahwinan anakanda kami.
  2. Sesungguhnya kehadiran Tuan Yang Terutama Tun sangatlah kami hargai dan sanjungi. Ianya amatlah bermakna kepada kami sekeluarga. Mohon izin TYT Tun kami rakamkan kegembiraan, penghargaan, sanjungan dan kasih kami itu di dalam 2 rangkap pantun ini: 

Pergi ke kebun memetik nona

Delima merah santapan  Puteri

Kehadiran Tun amatlah bermakna

Majlis meriah tambah berseri

 

Bunga tanjung bunga selaseh

Buah kepayang di dalam peti

Tun disanjung Tun dikaseh

Dakapan sayang di dalam hati

 

Tuan Yang Terutama Tun, izinkan saya untuk berucap pula kepada hadirin sekalian.

(Menyebut tetamu VIP dan sebagainya).

Behsan kami, YBhg. En Wan Mohd Nor  dan isteri yang dikasihi,

Tuan-tuan dan puan-puan yang menjadi tetamu kehormat kami.

  1. Awal Bismillah, marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah swt semoga dengan izinNya jua maka majlis tengah hari ini mendapat keredhaanNya. Pada masa yang sama, marilah kita semua mengangkatkan salam ke atas Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad saw untuk mendapatkan shafaat Baginda siang dan malam.
  2. Sesungguhnya kehadiran saudara mara dan sahabat handai membawa makna dan pengertian yang sangat besar kepada kami. Kami amatlah terharu di atas susah payah semua untuk hadhir sekalipun mempunyai acara dan urusan lain yang juga penting. Sesungguhnya kehadhiran yang ramai ini  telah menambah lagi  seri Majlis kami. Penghargaan yang tinggi itu hanya mampu kami simpul serta zahirkan dalam  pantun ini:

Seiring madah pantun bersambut

Halwa telinga tanpa nan jemu

Mesra berdakap kasih terpaut

Semadi di kalbu bertandangnya tamu.

 

  1. Kami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada saudara mara, jiran dan para sahabat yang telah menolong menjayakan majlis sejak beberapa hari yang lalu. Budi dan jasa mereka tetap kami sanjung dan kami kenang:

 

Tenang-tenang air di laut,

Sampan kotak mudek ke Tanjung,

Hati terkenang mulut menyebut,

Budi dan jasa rasa nak junjung.

 

  1. Dalam kami memohon kasih pada yang datang, kami ingin pula memohon maaf pada semua sanak saudara dan sahabat handai yang tak upaya kami undang kerana mungkin terlepas pandang.

Tuan-tuan & Puan-puan,

  1. Imam Syafi’e telah menasihatkan kita bahawa “Bila anakmu telah dewasa, carikanlah jodohnya” tapi dunia sekarang, termasuklah kita-kita ni, belum sempat mak bapak nak carikan jodoh, dah pandai cari sendiri. Jodoh Shazlie ialah Wan Nur Alia Anith Bte Wan Mohd Nor, orang Sg Petani, Kedah; kami orang Melaka. Tak ada pertalian keluarga.
  2. Maka secara kebetulan, jodoh mereka sesuai dengan sabda Rasullullah saw  yang bermaksud “Pilihlah yang jauh, nescaya kamu tiada melemahkan”. Sabda Rasullullah ini adalah tepat sekali dari segi perubatan, sepertimana yang disahkan oleh  Prof Dr Ahmad Shalaby. Didoakan begitulah hendaknya.
  3. Mengenai perkahwinan ini, saya sendiri pun tak berapa tahu susur galur jalan cerita mereka bercinta. Memang sahlah, kalau jodoh tidak ke mana. Maka teringatlah saya akan puisi ini:

 

Kini jejaka rindu seharian,

Gadis di bilik sendiri kesepian,

Menunggu menimang ingatan kasih,

Malam merayu ke bulan jernih,

Ah, semusim cuma yang dinanti,

Gunung dikejar ke mana kan lari.

 

  1. Cuma, sebagai ibubapa, kami telah meningatkan bahawa:

 

Kalau selasih melilit pisang,

Tanam melati di hujung laman,

Kalau kasih sudah dipasang,

Kuatkan hati teguhkan iman.

 

  1. Kini Shazlie dan Anith sudahpun menjadi suami isteri yang sah disisi Allah. Maka hendaklah ingat bahawa rumahtangga umpama sebuah kerajaan, suami menjadi raja dan isteri adalah ratu yang mempunyai kuasa yang cukup di dalamnya, selaras dengan maksud Hadis “Isteri adalah pengembala di dalam rumah suaminya dan dia bertanggungjawab atas pengembalaannya.”
  2. Namun demi kerukunan rumah tangga yang mantap dan teguh, berpandukanlah nasihat Hamka iaitu “Dasar yang paling teguh dan asli daripada suami isteri ialah amanah; ertinya percaya-mempercayai di antara kedua pihak. Itulah tiangnya, itulah jiwanya, itulah pokok-pokok bekeberuntungan rumah tangga yang sejati, itulah pangkal kasih sayang, cinta dan rahmat”.
  3. Rahmat yang besar bagi suami ialah isteri yang solehah, selaras dengan maksud Hadis “Dunia itu adalah perhiasan hidup. Dan sebaik-baik perhiasan hidup di dunia ini ialah perempuan yang solehah”.
  4. Sebagai timbal balik, Shazlie hendaklah pula sentiasa ingat akan wasiat Nabi saw supaya berlaku adillah kepada Anith kerana Baginda berpesan agar semua lelaki menjaga baik-baik dan berlaku adil kepada wanita, selain jangan tinggalkan solat.

 

Tuan-tuan & puan-puan,

 

  1. Kami mengadakan majlis ini secara sederhana mengikut tuntutan Sabda Nabi saw bahawa “Sebaik-baik perbuatan ialah yang sederhana”.
  2. Menyedari hakikat bahawa bumi mana yang tak ditimpa hujan, laut mana yang tak bergelora maka, dalam majlis sesederhana ini pun, biasanya adalah pinggan yang retak, cawan yang pecah; ada yang termasin dan ada pula yang termanis; ada yang kurang dan ada pula yang terlebih. Lantaran itu:

 

Kapal api dari seberang

Sarat muatan barang-barangan

Jika ada terlebeh terkurang

Kami mohon….Diumpat jangan dicaci pun jangan.

 

  1. Namun kami masih perlu memohon maaf atas segala kekurangan itu:

 

Turun hujan perahu berlabuh,

Di malam gelap menagkap ikan,

Kami menyusun jari sepuluh,

Salah dan silap mohon maafkan.

 

  1. Akhirnya, YB / YBhg Tan Sri / Puan Sri/Datuk/ Datin / tuan-tuan & puan-puan, kami mohon berkat doa saudara mara dan para sahabat semua agar sama-samalah mendoakan kebahagian rumah tangga dua mempelai ini supaya berkekalan sehingga ke akhir hayat.

 

Sayang Cik Mamat menjual cermin

Cermin  dijual di Kg. Hulu

Ucap selamat pengantin di pelamin

Selamat sampai ke anak cucu.

 

  1. Itulah doa kami…Rabbana atinah fitdunyah hasanah wafilaqirah hasanah…waqinnah ‘azabannar x3…wasallallah huala sayidinnah Muhammad wa’ala alihi wassabihi wasallam.

 

Tuan Yang Terutama Tun, sekianlah ucapan saya kepada para hadirin sekelian.

18. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama Dr Mohd Khalil Bin Yaakob, Yang di-Pertua Negeri Melaka di atas kesudian hadir dan menyempurnakan adat merenjis tadi.

19. Saya mendoakan    Tuan   Yang   Terutama  Tun  dan  YABhg Toh Puan serta seisi keluarga agar sentiasa dilimpahi rahmat dari Allah S.W.T. dan sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat untuk menerajui negeri ini.

Sekian sahaja ucapan saya kepada para hadirin.

Assalamu’alaikum wbt. Terima kasih.

10 Disember 2017

Advertisements
  1. #1 by Noor Liza on September 4, 2018 - 9:57 am

    Salam Tuan..
    Sedap sungguh teks ucapan ni… Izinkan sy jadikan ia sbg rujukan.. Tksh

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: