KAJIAN SEPARUH PENGGAL RMK11 – BETULKAN KEUTAMAAN!

1. Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK11 telah dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat pada 18 Oktober lalu. Temanya “keutamaan dan penekanan baharu”. Betulkah demikian?

TONGGAK KSP

2. Asalnya RMK11 (2016 – 2020) berpaksikan 6 Teras Strategik dan 6 Pemacu Perubahan. Setelah dikaji semula, ianya telah diubahsuai lantas baki tempoh RMK11 ini (2018 – 2020) akan dipacu pula oleh 6 Tonggak.

3. Setelah diperhalusi 6 Tonggak tersebut, didapati 4 daripada 6 Teras Strategik lama itu masih dikekalkan dan diterima-pakai iaitu Teras Pertama (Memperkukuhkan inklusiviti), Teras Ketiga (Pembangunan Modal Insan), Teras Keempat (Pertumbuhan Hijau) dan Teras Keenam (Pertumbuhan Ekonomi).

4. Teras Kedua (Kesejahteraan Rakyat) dicantumkan dengan Tonggak II dan Teras Kelima (Memperkukuhkan Infrastruktur) dicantumkan dengan Tonggak VI dan diperkenalkan Tonggak I (Mereformasi Tadbir Urus) serta Tonggak III (Pembangunan Wilayah Yang Seimbaang).

5. Di samping 6 Tonggak berkenaan, dirangka pula Bidang Keutamaan dan Startegi masing-masing untuk merealisasikan setiap Tonggak itu. Diakui ianya memanglah cantik di atas kertas. Dan tidak ada masalah untuk menyokongnya kerana ianya sama sahaja maksud dan tujuannya dengan Teras Strategik dan Pemacu Perubahan yang asal. Saya anggap ini sebagai rebranding dan repackaging sahaja. Form and designnya berbeza tetapi substancenya sama.

SIAPA BACA?

6. Sebelum saya pergi lebih jauh lagi, izinkanlah saya bertanya berapa ramaikah pegawai kanan dan ketua jabatan telah membaca dokumen perancangan seperti RMK11 dan Model Baru Ekonomi? Janganlah terkejut jika saya tegaskan ramai yang tidak pernah lihatpun kedua-dua dokumen tersebut.

7. Kalau ada pun dokumen berkenaan di pejabat, ramai yang tidak membacanya; termasuklah mereka yang berkhidmat di Putrajaya. Terdapat pegawai Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) pun tidak pernah membacanya.

8. Ini adalah hasil pengalaman saya sendiri. Kebanyakan mereka hanya ingin tahu jumlah peruntukan di bawah kementerian/jabatan masing-masing. Itu saja.

9. Justeru itu, apakah usaha pertama untuk mempastikan mereka membaca KSP ini, memahaminya dan melaksanakannya dengan betul dan penuh iltizam? Lebih-lebih lagi kita telah melalui 60 tahun berkerajaan yang mana kebanyakan kegagalan kita itu adalah disebabkan kesilapan pelaksanaan; bukannya kesilapan merancang.

10. Kesilapan itu berpunca dari kegagalan membaca serta memahami dokumen penting seperti KSP ini. Justeru itu, mestilah ada outcome-bssed jadual tersusun untuk memberi penjelasan mengenai kandungan KSP berkenaan; bukan semata-mata seperti road show biasa.

TONGGAK II / JURANG

11. Artikle saya ini lebih menumpukan kepada Tonggak II (Pembangunan Inklusif), khususnya usaha menangani jurang kekayaan / pendapatan.

12. Saya amatlah tertarik dan teruja bila mendengar komitmen hendak mewujudkan masyarkat yang inklusif dan merapatkan jurang kekayaan / pendapatan. Ramai mendendangkan isu yang sama.

13. Sesungguhnya isu jurang kekayaan ini merupakan isu global; bukan terhad di Malaysia atau negara miskin dan mundur sahaja. Ia turut menyerang negara maju seperti USA dan Perancis. Ia sudah diperdebatkan di Davos, diingatkan oleh Bank Dunia dan IMF serta diberi amaran oleh Transparency International dan sebagainya.

14. Di kalangan banyak suara yang menjerit itu, adakah mereka melaungkan perkara yang sama dan menepati sasaran?

15. Untuk memudahkan kefahaman, marilah kita kupas dan decompose sedikit isu jurang ini.

16. Secara kasar, jurang kekayaan / pendapatan terbahagi kepada dua. Pertama, jurang dalam kumpulan (intra group inequality) dan, kedua, jurang antara kumpulan (inter group inequality).

17. Dalam membicarakan jurang ini, dua isu lain iaitu isu pendapatan serta isu kemiskinan sangatlah berkait rapat.
18. Apakah senario tentang ketiga-tiga dimensi ini – pendapatan, kemiskinan dan jurang?

KEJAYAAN LALU

19. Kerajaan BN telah berjaya membasmi kemiskinan mutlak dengan melonjakkan pendapatan rakyat. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (JPM), jumlah purata pendapatan kasar bulanan isi rumah telah melonjak dari RM264 (1970) kepada RM1,098 (1984), RM3,249 (2004), RM4,025 (2009) dan RM6,958 (2016).

20. Purata pendapatan kasar bulanan setiap kaum, bandar dan luar bandar telah turut melompat.

21. Kadar kemiskinan mutlak pula, menurut Jabatan yang sama, telah dapat dibasmi dari 49.3% (1970) kepada 20.7% (1984), 5.7% (2004), 3.8% (2009) dan hampir sifar 0.4% (2016). Begitu juga kadar kemiskinan setiap kaum, bandar dan luar bandar telah menurun.

22. Jurang pendapatan intra kumpulan (intra group inequality) iaitu jurang keseluruhan masyarakat Malaysia, menurut JPM lagi, telah turut dapat dikecilkan dari 0.513 (1970) kepada 0.483 (1984), 0.452 (2004), 0.440 (2009) dan 0.399 (2016), berdasarkan Pekala Gini (Gini Coefficient).

23. Demikian juga jurang intra pendapatan setiap kaum, bandar dan luar bandar telah menyusut.

24. Sayugia dimaklumkan, semakin kecil bacaan Pekala Gini itu maka semakin rapatlah jurang tersebut.

KEUTAMAAN KSP

25. Apakah keutamaan yang diberikan oleh kerajaan dalam menangani isu jurang ini? Dalam laporan KSP tersebut adalah jelas bahawa kerajaan masih memberikan keutamaan kepada merapatkan lagi jurang dalam kumpulan yang beransur mengecil.

26. Pendekatan yang diguna-pakai, antara lain, ialah membasmi kemiskinan mutlak yang sudahpun hampir sifar dengan menekankan usaha menaikkan pendapatan B40 di bawah jargon baru berkongsi kekayaan atau sharing prosperity.

27. Ya, kononnya berkongsi kekayaan melalui growth with equity ini adalah satu pendekatan baru untuk merapatkan jurang. Ia diperkenalkan oleh Bank Dunia pada tahun 2013. Namun pendekatan ini tidaklah menumpukan secara khusus kepada usaha merapatkan jurang antara (inter) kumpulan. Justeru manifestasi yang sama-sama dapat kita lihat ialah jurang inter kumpulan semakin melebar!

28. KSP mensasarkan pengecilan jurang intra kumpulan dari 0.399 kepada 0.385 manakala pendapatan purata bulanan B40 pula akan ditingkatkan dari RM2,848 kepada RM4,430 pada tahun 2020 nanti.

29. Apakah asas dan tujuan sasaran RM4,430 sebulan itu? Adakah kenaikan tersebut jauh leih pantas dari kenaikan pendapatan T20 dan M40 hinggakan mampu meraptakan jurang pedapatan antara 3 kumpulan berkenaan menjelng 2020 nanti?

30. Adakah tepat keutamaan tersebut? Adakah terdapat penekanan baharu dalam pendekatan itu?

31. Jawapannya ialah keutamaan PH adalah SAMA dengan keutamaan BN iaitu hanya mahu merapatkan jurang intra kumpulan yang beransur mengecil (reducing narrowing intra group gap). Tidak disebutpun pengecilan jurang inter kumpulan. Sasaran pendapatan bulanan T20 dan M40 tidakpun dinyatakan!

32. Pendekatan kerajaan PH juga adalah sama dengan kerajaan BN iaitu menambah pendapatan dan membasmi kemiskinan mutlak. Tidak disentuhpun kemiskinan relatif.

33. Mengapa boleh berlaku sedemikian?

34. Andaian saya ialah walaupun kerajaan telah bertukar iaitu ahli Jemaah Menteri sudah berubah tetapi majoriti pegawai kerajaan yang terlibat dalam penyediaan KSP ini mungkin pegawai yang sama semasa menyediakan RMK11 dulu dengan mindset yang belum berubah. Lalu benarlah pandangan Albert Einstein, “We cannot solve our problems with the same thinking (people) we used when we created them”.

35. Telah terbukti bahawa sebahagian besar daripada mereka tidak bersedia mendengar pandangan dan pendapat dari orang luar seperti saya sekalipun YAB Perdana Menteri masa itu telahpun dengan ikhlas mengakui bahawa era kerajaan tahu semua telah berakhir. Namun mereka tetap berpendirian bahawa seolah-olah mereka adalah serba tahu (omniscient)!

36. Pada bulan Jun 2015, saya telah menulis dan memberi penerangan kepada pegawai-pegawai kanan kerajaan di EPU, ICU, MARA dan lain-lain lagi. Turut hadir YBhg Tan Sri Wahid Omar (Menteri yang menjaga EPU masa itu) dan YBhg Tan Sri Annuar Musa (Pengerusi MARA ketika itu).

37. Dengan jelas dan tegas saya katakan kerajaan merancang RMK11 untuk GAGAL kerana, mengikut unjuran saya, beberapa sasaran utama dalam RMK11 itu tidak akan tercapai.

38. Sasaran berkenaan ialah pertumbuhan ekonomi (5% – 6%), sumbangan pampasan pekerja kepada GDP (40%) dan jurang akan mengecil. Bolehlah baca tulisan saya itu di sini RMK11 – MERANCANG UNTUK GAGAL.

39. Sesungguhnya 5 tahun sebelum itu lagi, iaitu pada 29 Mei 2010, dalam Kongres Ekonomi Bumiputera yang mana saya adalah salah seorang ahli panelnya, saya telah mengunjurkan bahawa kumpulan bawahan akan semakin terpinggir dan jurang pendapatan antara kumpulan akan semakin melebar di bawah Model Baru Ekonomi.

40. Namun tidak siapapun yang kesah. Kini mimpi ngeri itu menjadi realiti. Bolehlah baca unjuran saya itu di sini Model Baru Ekonomi – Alat Menjajah Bumiputera dan lihat 3 carta yang turut disertakan di bawah.

41. Kini KSP sendiri telah meminda purata pertubuhan ekonomi kepada 4.5% – 5.5% setahun dan sumbangan pampasan kepada GDP sebanyak 38%. KSP setuju jurang intra kumpulan akan mengecil (0.385).

42. Unjuran saya pula ialah purata pertumbuhan ekonomi bagi tempoh 2016 – 2020 adalah bawah 5% manakala sasaran 38% itu tidak akan tercapai. Jurang intra kumpulan akan mengecil manakala antara kumpulan akan terus melebar, kecuali ekonomi merudum.

43. Sekaramg eloklah kita tanya apakah sebenarnya keutamaan yang lebih tepat dan apakah pula penekanan baharu yang wajar diperkenalkan? Dari segi masa (timing), sekaranglah tempoh yang amat sesuai untuk menukar keutamaan dan memperkenalkan penekanan baharu sempena Malaysia Baru.

SYOR

44. Untuk melaksanakan Tonggak II, saya syorkan perubahan dari segi keutamaan dan penekanan seperti berikut.

45. Pertama sekali, kerajaan sendiri hendaklah sejujur-jujurnya mengakui bahawa ketidak-seimbangan / jurang kekayaan adalah isu terbesar di samping isu rasuah yang melanda negara ini.

46. Masalah kembar Siam inilah yang boleh merosakkan negara jika ianya terus dibiarkan kerana kedua-duanya tidak kondusif kepada pertumbuhan ekonomi mapan, sepertimana yang telah dibuktikan oleh kajian yang telah dilaksanakan oleh IMF.

47. Justeru kerajaan hendaklah gap-centric dari segi falasafah dan pendekatan serta very passionate dalam menangani dan mendepani isu ini; bukannya secara lip service, sepertimana di masa dahulu.

48. Kedua, kerajaan hendaklah melebihkan usaha merapatkan jurang inter kumpulan yang melebar semula sejak 2009, sepertiman yang dapat dilihat dari ketiga-tiga carta berkenaan, di samping meneruskan usaha merapatkan jurang intra kumpulan yang sudah beransur mengecil (berdasarkan ukuran Gini Coefficient) kepada bawah 0.300.

49. Ketiga, sehubungan dengan perubahan keutamaan tersebut, maka kerajaan hendaklah mengorientasikan semua dasar, program adan aktivitinya ke arah keutamaan merapatkan jurang berkenaan; bukan hanya fokus kepada usaha menambah pendapatan B40 dan setiap dua tahun sekali melaksanakan kajian / survey ke atas pendapatan isi rumah (HIS) semata-semata, misalnya.

50. Lantaran disarankan kerajaan hendaklah memberi tumpuan kepada (a) usaha mengukuhkan lagi institusi (institutional strengthening) agar jenetra kerajaan lebih berupaya, cekap dan berkesan untuk membantu golongan yang terpinggir ini serta (b) merangka program yang boleh membina kapasiti, daya saing dan daya tahan golongan yang sama itu.

51. Di samping itu, kerajaan hendaklah juga merangka dasar dan program untuk (a) memperluas serta meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan perlindungan sosial kepada golongan bawahan ini, (b) menambah / memperluaskan progressive taxation dan mengurangkan regressive taxation serta (c) melebar dan mengukuhkan lagi hak pekerja.
52. Dalam pada itu, kerajaan hendaklah mempastikan hasil yang bertambah itu diuruskan secara berhemah, mengurangkan ketirisan dan pembaziran serta mengagihkannya pula secara adil / equitable.

53. Syor-syor lain bolehlah dipetik dari buku The Color of Inequality dan artikel Mind The Gap hasil tulisan Dr Muhammad Khalid, Penasihat Ekonomi kepada YAB Perdana Menteri.

54. Keempat, sehubungan itu, kerajaan hendaklah mendapatkan gambaran yang lengkap tentang pemilikan keseluruhan kekayaan yang merangkumi pemilikan aset kewangan dan aset bukan kewangan.

55. Sudahkah kajian pemilikan kekayaan dilaksanakan di Malaysia, sepertimana yang diusahakan oleh Oxfam International (OI)? Kajian OI mendapati bahawa 82% daripada keseluruhan kekayaan dunia yang dihasilkan pada tahun lepas telah dibolot dan dirampas oleh 1% orang kaya yang teratas manakala 50% penduduk dunia yang terbawah tidak mendapat apa=apa pun! Bagaimanakah pula keadaannya di negara kita?

56. Data terakhir mengenai jurang pemilikan financial and non financial assets yang saya perolehi adalah bagi tahun 2009 dan 2012.

57. Pemilikan ekuiti Bumiputera pada tahun 2012, menurut EPU, adalah sebanyak 23.05%. Pemilikan Bumiputera equity with management control tidak diketahui.

58. Data non financial assets pula menunjukkan bahawa bukan saja pemilikan Bumiputera adalah kecil malah ianya merosot pula. Contoh, bagi tempoh 2 tahun tersebut, pemilikan detached factory oleh Bumiputera merosot dari 13.8% kepada 9.3%; commercial buildings mengecil dari 5.8% kepada 5.4% dan industrial complex pula menyusut dari 3.1% kepada 0.2%, menurut Dr Muhamad Khalid.

59. Atas prinsip ketelusan dan akauntabiliti, eloklah kerajaan menjelaskan sebab-sebab mengapa ia tidak membentangkan data terkini mengenai pemilikan ekuiti with management control mengikut kaum, sepertimana yang dirancang di bawah RMK11?

60. Anehnya, dalam KSP, sasaran pertumbuhan pemilikan ekuiti Bumiputera menjelang 2020 telah ditetapkan sebanyak 11% setahun. 11% daripada berapa berapa banyak?

61. Kerajaan juga hendaklah memaklumkan sebab-sebab mengapa ia tidak membentangkan data pemilikan aset kewangan dan aset bukan kewangan mengikut kaum serta bilangan professional mengikut bidang dan kaum masing-masing, seperti yang pernah diamalkan sebelum ini?

62. Kelima, kerajaan hendaklah melakukan anjakan paradigma dalam penggunan theoretical construct iaitu menerima-pakai theoretical construct yang baru atau tambahan kepada apa yang sedia diguna-pakai.

63. Sebagai contoh, sejajar dengan kedudukan kita yang kini berada di kalangan Very High Human Development Countries, menurut ukuran Human Development Index (HDI) dan selari pula dengan hasrat kita hendak menjadi sebuah negara maju, maka kerajaan hendaklah mengutamakan pembasmian kemiskinan relatif (Relative Poverty), bukannya kemiskinan mutlak (absolute poverty) yang sudahpun hampir sifar. Konsep kemiskinan mutlak ini lebih sesuai diguna-pakai oleh negara-negara kurang maju (LDCs).

64. Diperhatikan kemiskinan relatif masih tinggi dan terus pula meningkat. Buktinya, pada tahun 2014, kemiskinan relatif ialah pada kadar 15.6%; meningkat kepada 15.9% pada tahun 2016, menurut JPM.

65. Sehubungan penekanan kepada kemiskinan relatif itu maka contoh kedua theoretical construct yang perlu diimbangi ialah penekanan terhadap klas pendapatan seperti T20, M40 dan B40.

66. Diakui bahawa klassifikasi pendapatan seperti ini ada faedahnya, terutama dalam memantau syer pendapatan mengikut kelas pendapatan. Namun ia ada bahayanya iaitu kerajaan boleh terperangkap dengan klassifikasi tersebut sekalipun negara sudah sangat maju kerana klassifikasi berkenaan akan tetap kekal selagi ada matahari dan bulan!

67. Lantaran itu, berkait rapat antara contoh pertama dan kedua tersebut, maka sasaran keutamaan dan penekanan kerajaan dalam usaha membasmi kemiskinan hendaklah berganjak dari B40 kepada mereka yang tergolong sebagai miskin relatif.

68. Contoh ketiga pula ialah mengenai nilai garis kemiskinan pendapatan (PLI). Ianya dilihat sudah jumud dan hendaklah dinaikan sejajar dengan taraf hidup sekarang. Eloklah ianya selari dengan konsep living wage.

69. PLI bagi isi rumah (purata 4 orang) Semenanjung Malaysia adalah sebanyak RM960 sebulan, menurut JPM. Living wage bagi Kuala Lumpur adalah sebanyak RM6,500 sebulan bagi suami isteri yang ada 2 orang anak, menurut BNM; perbezaannya 7 kali ganda!

70. Contoh keempat ialah menambah penggunaan measurements untuk mengukur jurang. Misalnya mengguna-pakai simple line graphs dan nilai mutlak dalam mengukur jurang untuk compliment penggunaan Gini Coeffocient dan metod nisbah.

71. Disedari bahawa motif menggunakan kedua-dua ukuran tersebut adalah untuk menunjukkan bahawa jurang telah mengecil. Misalnya, penggunaan metod nisbah menunjukkan jurang antara luar bandar dan bandar telah mengecil dari 1:1.78 pada tahun 2014 kepada 1:1.76 pada tahun 2016, menurut JPM.

72. Namun carta di bawah, berdasarkan nilai mutlak, menunjukkan sebaliknya.

73. Mungkin JPM boleh membantu menghurai dan merongkai perbezaan tersebut.

74. Berdasarkan data-data yang saya paparkan di atas, terbukti bahawa kerajaan lepas telah gagal untuk mencapai objektif dan sasaran untuk merapatkan jurang inter kumpulan.

75. Syabas kerajaan sekarang komited untuk merapatkan jurang tersebut. Malangnya, seperti yang saya huraikan di atas, kerajaan masih mahu menggunakan pendekatan dan kaedah yang sama untuk merapatkan jurang inter kumpulan manakala kaedah tersebut telahpun terbukti gagal. Ingatlah apa yang diperli oleh Albert Einstein – Doing the same thing over and over again and expecting different result is lunatic.

76. Saya juga kurang yakin tentang kejayaan yang hendak dikejar itu sebab apa yang sebenar hendak dilaksanakan itu adalah kurang jelas. Yang tertulis setakat motherhood statements. Apatah pula jika buku ini tidak akan dibaca oleh kebanyakan ahli politik dan para pegawai, sepertiman yang saya tuliskan di awal tadi.

77. Walau apapun, kerajaan masih ada ruang dan peluang untuk meneroka kejayaan baru dengan melakukan perubahan dari segi keutamaan dan penekanan sebenar, sepertimana yang saya sarankan itu.

DAA
24 Oktober 2018.

Advertisements

  1. Leave a comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: