TALKING POINTS ULASAN KSP RMK11

YB Dato’ Speaker,

Terima kasih kepada YB Dato’ Speaker kerana diberi peluang.

Tahniah kepada YAB PM kerana berjaya membentangkan KSP ini dengan jelas dan mudah difaham. Dokumen ini turut dihiasi dengan inforgrafik yang menarik. Malangnya tulisannya kurang mesra bagi mereka yang kurang tahap penglihatan. Jika mahu lebih ramai rakyat membacanya, sepatutnya hal ini pun patut diberi perhatian.

KEJAYAAN BN

Sebelum saya turut serta membahaskan KSP ini, izinkan saya merekodkan di Dewan yang mulia ini bahawa PH telah mengambil alih Malaysia dari BN sebuah negara yang megah dan mantap dalam banyak aspek.

Pertama, PH tidak mendapat sebuah negara yang huru hara seperti Afghanistan dan Somalia melainkan sebuah negara yang aman damai. Tahap keamanannya tinggi iaitu berada di kedudukan ke 29 di kalangan 163 buah negara, sepertimana yang diukur oleh Global Peace Index 2016.

Kedua, PH mendapat sebuah negara yang telah berjaya dimajukan oleh BN iaitu berada di tahap upper middle income level, sepertimana yang diukur oleh Bank Dunia. Nilai GDPnya sebanyak RM5 bilion pada tahun 1957 telah melonjak ke RM1.3 trilion pada tahun 2017 dan pendapatan per kapita pula sebanyak RM41,093.

Berdasarkan Human Development Index 2017, Malaysia berada di tangga ke 57 di kalangan 189 buah negara iaitu Top 30% dan digulongkan di bawah kategori Very High Human Development iaitu setara dengan negara-negara maju yang lain seperti USA, UK dan Jepun.

Ketiga, bukan sahaja negara bertambah maju malah rakyat turut bertambah makmur. Antara buktinya ialah pendapatan rakyat telah melompat dari RM264 sebulan pada tahun 1970 kepada RM6,958 sebulan pada tahun 2016 dan kadar kemiskinan telah berjaya dibasmi dari 49.3% pada tahun 1970 kepada hampir sifar (0.4%) pada tahun 2016 manakala kadar pengangguran dan inflasi pula kekal rendah iaitu masing-masing pada tahap 3.4% dan 2.9% pada tahun 2017.

Keempat, negara juga kukuh dari segi pengurusan kewangannya. Kutipan hasilnya terus meningkat dan pada tahun 2017 nialainya adalah sebanyak RM225.3 bilion dan nilai rizab sebanyak USD109 bilion pada 13 Mei 2018 manakala tahap hutang negara adalah 50.8% dan defisit fiskal pula sebanyak 3.0% yang mana masing-masing kekal berada di bawah threshold sebanyak 55% daripada nilai GDP dan 15% dari jumlah hasil kerajaan.

TONGGAK KSP

RMK11 berpaksikan 6 Teras Strategik dan 6 Pemacu Perubahan. Setelah dikaji semula, ianya telah diubahsuai lantas baki tempoh RMK11 ini (2018 – 2020) akan dipacu pula oleh 6 Tonggak.

Setelah diperhalusi, didapati 4 daripada 6 Teras Strategik lama itu masih dikekalkan dan diterima-pakai iaitu Teras Pertama (Memperkukuhkan inklusiviti), Teras Ketiga (Pembangunan Modal Insan), Teras Keempat (Pertumbuhan Hijau) dan Teras Keenam (Pertumbuhan Ekonomi).

Teras Kedua (Kesejahteraan Rakyat) dicantumkan dengan Tonggak II dan Teras Kelima (Memperkukuhkan Infrastruktur) dicantumkan dengan Tonggak VI dan diperkenalkan Tonggak I (Mereformasi Tadbir Urus) serta Tonggak III (Pembangunan Wilayah Yang Seimbaang).

Di samping 6 Tonggak tersebut, dirangka pula Bidang Keutamaan dan Strategi masing-masing untuk merealisasikan setiap Tonggak itu. Memanglah cantik di atas kertas. Dan tidak ada masalah untuk menyokongnya kerana sama sahaja maksud dan tujuannya dengan Teras Strategik dan Pemacu Perubahan yang asal. Saya anggap ini sebagai rebranding dan repackaging sahaja. Formnya berbeza; substancenya sama.

Sebelum saya pergi lebih jauh lagi, izinkanlah saya bertanya berapa ramaikah pegawai kanan dan ketua jabatan telah membaca RMK11 dan Model Baru Ekonomi? Janganlah terkejut bahawa ramai yang tak lihatpun kedua-dua buku tersebut.

Kalau ada pun buku berkenaan di pejabat, ramai yang tidak membacanya; termasuklah mereka yang berkhidmat di Putrajaya. Ada pegawai UPEN pun tak pernah membacanya.

Ini adalah hasil pengalaman saya sendiri. Yang mereka ingin tahu hanyalah peruntukan di bawah kementerian/jabatan masing-masing. Itu saja.

Justeru itu, apakah usaha pertama untuk mempastikan mereka membaca KSP ini, memahaminya dan melaksanakannya dengan betul dan penuh iltizam? Lebih-lebih lagi kita telah melalui 60 tahun berkerajaan yang mana kebanyakan kegagalan kita itu adalah disebabkan kesilapan pelaksanaan; bukannya kesilapan merancang.

Tonggak I (Mereformasi Tadbir Urus)

Sesungguhnya sasaran untuk memperbaiki tadbir urus serta meningkatkan lagi kecekapan sistem pencapaian sektor awam merupakan mantra tahunan sejak dahulu lagi. Antara lain, diperkenalkan Fail Meja, Manual Prosidur Kerja (MPK), Sasaran Kerja Tahunan (SKT), ISO, KPI, NBOS, Akta SPRM 2009 dan lain-lain lagi.

Tepat sekali kerajaan memberi keutamaan kepada sektor awam ini sebagai Tonggak Pertama kerana jentera kerajaan adalah penggerak dan pemudahcara dalam semua urusan di negara kita. They are there to serve and to facilitate, not to frustrate.

Diakui memanglah ada peningkatan seperti yang dapat kita sama-sama saksikan dari pembinaan infrastruktur, perkembangan pendidikan, peningkatan kualiti kesihatan dan pertumbuhan ekonomi. Semua kejayaan ini adalah hasil perkhidmatan penjawat awam, di samping sumbangan sektor swasta. Namun ianya masih jauh dari sasaran dan harapan. Malah dalam bidang tertentu, kedudukan kita bertambah buruk pula.

Sebagai contoh, berdasarkan Ease of Doing Business, kedudukan atau ranking kita bertambah buruk. Dari tangga ke 6 pada tahun 2014, kita telah menjunam ke tangga ke 18 pada tahun 2016 dan terus turun ke tangga ke 24 pada tahun 2018. Apa yang mengejutkan ialah ranking Malaysia berhubung Starting a Business, misalnya, berada di tangga ke 111 dari kalangan 190 buah ekonomi! Memalukan.

Urusan memulakan perniagaan ini sudah tentu berkait rapat dengan jabatan / agensi kerajaan seperti SSM, PBT, TNB, Bekalan Air dan sebagainya. Adakah mereka baca Ease of Doing Business ini? Adakah ketua jabatan berkenaan tahu kedudukan yang teruk ini? Kalau ada baca dan tahu, apakah tindakan remedi yang telah diambil?

Seterusnya mengenai rasuah yang hendak diperangi. Saya sokong usaha murni ini. Dari satu segi segi, kita bolehlah berbangga bahawa kita berada dalam lengkungan satu pertiga teratas/terbaik di kalangan 180 buah negara iaitu di tangga ke 62 mengikut Corruption Perception Index (CPI).

Dari satu sudut lain pula, kita patut berasa malu bahawa ranking kita terus menjunam sejak tahun 2003 iaitu dari tangga ke 37 ke tangga ke 62 pada tahun 2017. Bukan saja rangking merosot malah score juga menurun; dari 52 mata ke 47 mata dalam tempoh yang sama.

Berbanding dengan China, India dan Indonesia, kita adalah yang paling teruk kerana berada dalam arah aliran menurun yang berterusan sekalipun ranking kita kekal tertinggi.

Rasuah ini memanglah musuh negara kerana ia memberi impak negatif ke atas kecekapan jentera kerajaan, meningkatkan kos pengeluran / perkhidmatan, melebarkan jurang kekayaan serta merosakkan masyarakat dan sebagainya. Justeru ia patutlah diperangi.

Lantaran itu, kerajaan telah melaungkan supaya nilai-nilai murni yang terdapat dalam prinsip GITAR iaitu Governance, Integrity, Transparency, Accountability and Responsibility didakap dan dipeluk erat. Saya turut yakin akan resepi ini.

Lantas dengan berani kerajaan menetapkan tangga ke 30 dalam indeks CPI sebagai sasaran menjelang tahun 2020. Satu sasaran yang amat ambitious. Bahkan ianya tidak munasabah.

Saya tidak mencabar teori dan garis panduan yang dipahatkan di bawah Bidang Keutamaan dan Strategi tersebut. Persoalan yang menghantui saya ialah apakah yang hendak dilakukan oleh kerajaan PH hingga mampu mengubah mindset 1.6 juta warga sektor awam yang ditohmahkan korup, malas, tidak cekap dan sebagainya hinggakan boleh bertukar dan sedia menganuti dan melaksanakan GITAR itu?

Saya bertanya soalan ini kerana saya tidak mahu apa yang dibentangkan Jumaat lalu hanya tinggal retorik seperti di masa lalu manakala 1.6 juta pegawai kerajaan terus kekal dengan budaya kerja mereka yang sudah sebati itu.

Tonggak II (Memperkukuhkan Pembangunan Inklusif & Kesejahteraan Rakyat)

Tertarik dan teruja bila mendengar komitmen hendak mewujudkan masyarkat yang inklusif dan merapatkan jurang kekayaan / pendapatan.

Syukur kerajaan BN telah berjaya membasmi kemiskinan mutlak dengan melonjakkan pendapatan rakyat. Purata pendapatan kasar bulanan isi rumah telah melompat dari RM264 (1970) kepada RM3,249 (2004), RM4,025 (2009) dan RM6,958 (2016).

Kadar kemiskinan pula telah dapat dikurangkan dari 49.3% (1970) kepada 5.7% (2004), 3.8% (2009) dan hampir sifar 0.4% (2016).

Jurang intra kumpulan (intra group inequality) telah turut dapat dikecilkan dari 0.513 (1970) kepada 0.452 (2004), 0.440 (2009) dan 0.399 (2016), berdasarkan Pekala Gini (Gini Coefficient).

Tahniah kepada kerajaan BN di atas kejayaan cemerlang ini.

Dalam kita berbangga dengan kejayaan tersebut kita jangan pula abaikan kelemahan / kelompangan yang masih ada. Ia menuntut perhatian supaya di atasi segera.

Pertama, kemiskinan relatif (Relative Poverty) masih tinggi dan terus meningkat. Contoh, pada tahun 2014, kemiskinan relatif ialah pada kadar 15.6%; meningkat kepada 15.9% pada tahun 2016.

Kedua, jurang pendapatan antara kumpulan (inter group income inequalities) dari segi nilai mutlak (absolute values) pula telah melebar semula sejak 2009 dan terus melebar pada tahun 2016. Misalnya, jurang antara kaum, jurang antara bandar dan luar bandar serta jurang antara T20, M40 dan B40 semuanya melebar; bukannya menguncup. Contoh, jurang antara Cina / Bumiputera telah melebar 79%, dari RM1,387 (2009) kepada RM2,483 (2016). Jurang antara bandar / luar bandar pula melebar 53%, dari RM2,160 kepada RM3,312 dalam tempoh yang sama.

Ketiga, mengenai jurang pemilikan financial and non financial assets. Data terakhir yang saya perolehi adalah bagi tahun 2009 dan 2012.

Pemilikan ekuiti Bumiputera pada tahun 2012 adalah sebanyak 23.05%. Pemilikan Bumiputera equity with management control tidak diketahui.

Data non financial assets pula menunjukkan bahawa bukan saja pemilikan Bumiputera adalah kecil malah ianya merosot pula. Contoh, bagi tempoh 2 tahun tersebut, pemilikan detached factory oleh Bumiputera merosot dari 13.8% kepada 9.3%; commercial buildings mengecil dari 5.8% kepada 5.4% dan industrial complex pula menyusut dari 3.1% kepada 0.2%.

Berdasarkan data-data berkenaan, terbukti kerajaan telah gagal untuk mencapai objektif dan sasaran untuk merapatkan jurang.

Syabas kerajaan mengakui jurang melebar dan mahu merapatkan jurang tersebut; malangnya kerajaan masih mahu menggunakan kaedah yang sama untuk merapatkan jurang dan kaedah tersebut telah terbukti gagal. Ingatlah apa yang diperli oleh Albert Einstein – Doing the same thing over and over again and expecting different result is lunatic.

Contoh, pertama, kerajaan masih menekankan usaha menaikkan pendapatan B40 di bawah jargon baru berkongsi kekayaan atau sharing prosperity, bukan menumpukan secara khusus kepada usaha merapatkan jurang.

Kedua, memberi perhatian kepada kemiskinan mutlak, bukan kepada kemiskinan relatif. Ketiga, masih mengguna-pakai kaedah measurements yang sama seperti Gini Coefficient dan ratio method tanpa complementing dengan kaedah lain seperti simple line graphs.

Kedua-dua methods tersebut menunjukkan INTRA inequalities mengecil sedangkan hakikat sebenar yang lebih serius iaitu INTER group inequalities adalah melebar. Jelas tiada anjakan paradigma atau paradigm shift. Maka akan gagallah sekali lagi.

Saya juga kurang yakin tentang kejayaan yang hendak dikejar itu sebab apa yang sebenar hendak dilaksanakan itu adalah kurang jelas. Yang tertulis setakat motherhood statements. Apatah pula jika buku ini tidak akan dibaca oleh kebanyakan ahli politik dan para pegawai.

Seterusnya, saya ingin mendapat penjelasan:

Sebab-sebab mengapa kerajaan tidak memberi perhatian kepada kemiskinan relatif, jurang pendapatan antara kumpulan dan jurang pemilikan aset kewangan dan bukan kewangan antara kaum?

Sebab-sebab mengapa kerajaan tidak membentangkan data pemilikan ekuiti with management control mengikut kaum yang terkini? Tolong bentangkan di dewan yang mulia ini. Lebih-lebih lagi sasaran pertumbuhan pemilikan ekuiti Bumiputera menjelang 2020 telah ditetapkan sebanyak 11% setahun. 11% daripada berapa?

Sebab-sebab mengapa kerajaan tidak membentangkan data bilangan professional mengikut bidang dan kaum masing-masing? Mohon bentangkan data terkini di dewan yang mulia ini mengikut nisbah kaum masing-masing.

KSP turut mensasarkan sekurang-kurangnya 60% penyertaan Bumiputera dalam kategori pekerjaan mahir. Adakah kerajaan sedar bahawa kira-kira 75% pekerja Bumiputera adalah tidak berkemahiran?

Adakah kerajaan sedar bahawa kadar pertumbuhan pekerjaan mahir telah merosot dari 5.2% bagi tempoh 2006 – 2010 kepada 2.6% bagi tempoh 2011 – 2015 manakala syer pekerjaan mahir juga telah mengecil dari 45% kepada 37% dalam tempoh yang sama?

Justeru di bawah lanskap pasaran buruh sedemikian itu, bagaimanakah dalam masa 2 tahun ini kerajaan boleh mampu hendak mencapai sasaran 60% tersebut? Cuba cerita sikit.

TONGGAK IV (MEMPERKASA MODAL INSAN)

Dalam usaha untuk memperkasa modal insan maka isu-isu seperti permintaan dan penawaran pasaran buruh, kemahiran, pertumbuhan pekerjaan baru, produktiviti buruh dan gaji menuntut perhatian.

Berhubung pasaran buruh yang ada kaitan dengan perkembangan ekonomi sesebuah negara, kita semua tahu bahawa kita hendaklah segera berganjak ke arah digital economy / IR4.0. Menurut Malaysia Economic Monitor terkini yang dikeluarkan oleh World Bank,  “The level of digital adoption by people and government is high, but the country lags behind international peers in terms of digital adoption by businesses”. Lantas apakah langkah-langkah yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan untuk meningkatkan level of adoption tersebut?

Dalam pada itu, sudah berjalankah proses re-skilling and up-skilling yang berterusan di kalangan tenaga pengajar kita? Tanpa tenaga pengajar yang berkemahiran terkini maka sasaran yang hendak dicapai itu tidak akan dicapai. Sudah dibuat Manpower Audit dan Gap Analysis dan apakah hasil audit / analysis tersebut?

Adakah kerajaan sedar bahawa ekonomi kita selama ini lebih mengutamakan pekerja tidak mahir? Sebagai contoh, pertumbuah pekerjaan tak mahir lebih tinggi dan terus meningkat, dari 5.3% setahun (2006 – 2010) kepada 7.0% setahun (2011 – 2015) berbanding pekerjaan mahir yang terus menurun, dari 5.2% setahun kepada 2.6% setahun dalam tempoh yang sama.

Yang demikian, syer pekerjaan tak mahir juga terus berkembang, dari 8% (2002 – 2010) kepada 16% (2011 -2015) manakala syer pekerjaan mahir pula menguncup dari 45% ke pada 37% dalam tempoh yang sama.

Sesungguhnya kita boleh berbangga dengan banyaknya jawatan baru telah diwujudkan. Dalam pada itu, bolehkah kita berbangga jika hampir 90% jawatan baru tersebut adalah dalam kategeri pekerjaan asas yang bergaji rendah? Bolehkah kita senyum jika 82% pekerjaan baru berkenaan disambar oleh pekerja asing pada tahun 2016, sepertimana yang dilaporkan oleh BNM?

Diperhatikan juga bahawa pertumbuhan ekonomi kita telah menurun dari 5.3% setahun di bawah RMK10 (2011 – 2015) kepada 5.1% setahun dalam tempoh 2016 – 2017 manakala purata pertumbuhan produktiviti buruh pula telah meningkat dari 1.6% setahun kepada 3.7% setahun dalam tempoh yang sama. Adakah data ini memberi makna bahawa output buruh kita mempunyai nilai tambah yang lebih rendah? Jika benar, maka ia menuntut perhatian yang serius dan segera.

Seperti yang baru disebutkan sebentar tadi, purata pertumbuhan produktiviti buruh dalam tempoh 2016 – 2017 adalah sebanyak 3.7% setahun. KSP pula mengunjurkan 2.9% setahun bagi tempoh 2018 – 2020. Apakah faktor-faktor yang menyebabkan pertumbuhan tersebut menurun?

Pada tahun 2017, menurut MPC, pertumbuhan produktiviti buruh adalah 3.8% manakala gaji penengah, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, ialah RM2,160 sebulan dan sumbangan pampasan pekerja kepada GNI hanyalah 35.2%.

Walau bagaimanapun, kerajaan dengan berani mengunjurkan sumbangan pampasan pekerja kepada GNI akan meningkat kepada 38% pada tahun 2020 sedangkan pertumbuhan purata produktiviti buruh diunjurkan hanyalah 2.9% dan gaji penengah sebanyak RM2,400 sebulan pada tahun 2020.

Mohon maklumkan kepada Dewan yang mulia ini unjuran nilai GNI pada tahun 2020 mengikut 3 komponen yang terkandung di dalamnya. Terus terang saya katakana bahawa berdasarkan angkubah-angkubah yang saya sebutkan tadi, saya kurang yakin sasaran 38% tersebut boleh dicapai.

DAA
21 Oktober 2018.

  1. Leave a comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: