MELAYU MEREMPAT?

Pada 9 Mei 2018 terpahatlah sejarah getir tumbangnya kerajaan BN yang telah memerintah Malaysia hampir 61 tahun. Bersamanya tumbanglah kuasa politik Melayu yang ditunjangi oleh parti UMNO.

Lalu  kita dengar tangisan dan sedu sedan yang diselang seli oleh jeritan kebangkitan Ketuanan Melayu. Kemudian kita dengar pula keinginan YB Dato’ Sri Najib hendak menceritakan tentang legasi ekonominya yang tidak kesampaian di Al Jazeera.

Legasi

Apakah legasi ekonomi yang telah beliau tinggalkan itu?

Beliau tentulah ingin mengenengahkan semua kejayaan yang telah diterokainya sepanjang tempoh 2009 – 2018 beliau menerajui pentadbiran negara. Sebagai contoh, pada tahun 2017, pertumbuhan ekonomi adalah tinggi iaitu 5.9% manakala kadar pengangguran dan kadar inflasi pula adalah rendah iaitu masing-masing 3.4% dan 3.7%.

Pendapatan rakyat telah dapat dijulang sebanyak 73%, dari purata RM4,028 sebulan pada tahun 2009 kepada RM6,958 sebulan pada tahun 2016. Kadar kemiskinan pula telah dapat dikurangkan dari 3.8% kepada hampir sifar (0.4%) dalam tempoh yang sama.

Dalam tempoh tersebut, secara makro, kedudukan orang Melayu nampaknya bertambah baik juga. Misalnya, purata pendapatan orang Melayu telah meningkat sebanyak 73%, dari RM3,624 sebulan kepada RM6,267 sebulan manakala kadar kemiskinan pula telah menurun dari 5.3% kepada 0.5% dalam tempoh yang sama.

Di peringkat mikro, terdapat kejayaan orang Melayu yang boleh dibanggakan. Ada yang jutawan dan ada beberapa orang lagi adalah billionaires.

Najib dan Idris Jala memang terkenal suka memperagakan angka yang cantik-cantik saja seolah-olah semuanya menarik belaka dan tiada satupun yang buruk.

Melayu Merempat

Oleh itu eloklah juga dikongsikan the other side of the coin, khususnya mengenai kedudukan orang Melayu yang jarang mendapat perhatian serius.

melayu merempat 1Sebahagian besar (kira-kira 70%) orang Melayu yang bekerja adalah bergantung hidup dengan makan gaji. Baki 30% adalah bekerja sendiri seperti menjadi petani dan nelayan serta bekerja dengan keluarga. Di kalangan bekerja sendiri itu pula, 70% adalah Melayu.

Di kalangan orang Melayu yang bekerja itu, hanya 3% sahaja yang menjadi majikan dan kira-kira 80% daripada mereka yang makan gaji pula adalah bukan dari kalangan pengurusan dan profesional.

Keadaan demikian tidaklah menghairankan kerana dua pertiga daripada pekerja Melayu tidak mempunyai kemahiran/separuh mahir. Justeru sebahagian besar dari kalangan pekerja am serta yang bergaji rendah dan tergolong dalam kumpulan B40 adalah orang Melayu.

Bagi orang Melayu yang berniaga, kira-kira 90% Perusahaan Kecil Melayu (PKS) mereka adalah bertaraf mikro.

Di kalangan penganggur pula, 70% adalah Melayu.

Yang demikian, tidak hairanlah bahawa 9 daripada 10 orang miskin dalam rekod e-Kasih adalah terdiri dari orang Melayu.

Lalu snapshots atau pandangan mata burung seperti yang dilakarkan di Carta 1 itu mengesahkan mimpi ngeri Allahyarham Aminuddin Baki yang kini menjadi realiti iaitu nasib orang Melayu seumpama “itik di air mati kehausan, ayam di kepuk mati kelaparan”. Sah majoriti orang Melayu kini melarat dan merempat di tanah airnya sendiri! Inilah legasi Melayu merempat yang telah ditinggalkan oleh Najib!

Syor

Justeru apakah strategi dan pelan tindakan atau roadmap yang perlu dirangka untuk mengangkat martabat dan maruah Melayu ini?

Disyorkan strategi serampang empat mata dilaksanakan segera untuk memulihkan kedudukan ekonomi orang Melayu. Diakui bahawa oleh kerana ruang di sini terhad maka keempat-empat strategi ini tidaklah dapat dihuraikan dengan mendalam di sini.

Pertama, terlebih dahulu hendaklah dibetul dan disusun semula keseluruhan struktur ekonomi kerana masalah ekonomi orang Melayu berkait rapat dengan masalah ekonomi negara. Kerajaan hendaklah segera mengubah struktur ekonomi dari labour intensive, low-wage economy kepada high tech-capital intensive, high-wage economy atau yang digelar IR4.0. Perubahan ini akan melonjakkan peluang pekerjaan bergaji tinggi untuk direbut oleh semua rakyat secara saksama

Sesungguhnya ekonomi kita berada dalam keadaan sakit tenat. Bukti pertama ialah kadar pertumbuhan pekerjaan tidak mahir terus meningkat manakala kadar pertumbuhan pekerjaan mahir terus menurun dalam tempoh yang sama.

melayu merempat 2

Pada tahun 2006 – 2010, seperti yang dapat dilihat di Carta 2, purata kadar pertumbuhan  pekerjaan tidak mahir ialah 5.3% setahun. Ia meningkat kepada 7.0% setahun bagi tempoh 2011 – 2015. Antara dua tempoh tersebut, kadar pertumbuhan pekerjaan mahir pula menurun 50%, dari 5.2% setahun kepada 2.6% setahun!

Berkaitan dengannya, bukti kedua ialah syer pekerjaan baru tidak mahir melonjak manakala syer pekerjaan baru mahir pula merosot dalam tempoh yang sama.

Pada tahun 2002 – 2010, syer pekerjaan baru tidak mahir ialah 8.0%. Ia meningkat kepada 16.0% bagi tempoh 2011 – 2015. Antara dua tempoh tersebut, syer pekerjaan baru mahir pula menurun dari 45.0% kepada 37.0%!

Yang demikian, tidak hairanlah apabila purata kadar pertumbuhan produktiviti buruh, menurut MPC, turut merosot dari 2.8% setahun bagi tempoh 2003 – 2009 kepada 2.3% bagi tempoh 2010 – 2015.

Dalam keadaan yang sedemikian, walaupun gaji tahunan meningkat tetapi ianya masih lagi di tahap yang rendah. Sebagai contoh, pada tahun 2017, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, separuh daripada pekerja di Malaysia mendapat gaji bawah RM2,160 sebulan manakala separuh daripada pekerja tidak mahir pula mendapat gaji bawah RM1,200 sebulan. Untuk seseorang hidup sedikit selesa di Kuala Lumpur, menurut Bank Negara, ia memerlukan living wage sebanyak RM2,700 sebulan.

Strategi kedua ialah membasmi rasuah. Rasuah di Malaysia sudah menjadi barah. Kedudukan (ranking) kita, berdasarkan Corruption Perception Index telah menjunam dari tangga ke 37 pada tahun 2003 ke tangga 62 pada tahun lalu. Skor pula menurun dari 52 mata pada tahun 2014 kepada 47 mata pada tahun 2017.

Seperti yang diakui oleh Transparency International dan IMF, terbukti rasuah boleh merosakkan ekonomi dan melebarkan jurang kekayaan. Yang demikian ianya melaratkan rakyat, khasnya golongan B40 dan orang miskin yang mana majoritinya ialah orang Melayu.

Strategi ketiga ialah membetul dan memperbaiki pasaran buruh kerana sebahagian besar orang Melayu adalah makan gaji. Pertama sekali yang perlu dibetulkan, seperti yang telah diterangkan di atas, ialah menukar paradigma iaitu mengeluarkan lebih banyak pekerjaan mahir berbanding tidak mahir. Yang demikian, produktiviti buruh boleh meningkat dan gaji pun turut melompat.

Kedua, membetulkan masalah penawaran dan permintaan yang tidak sepadan. Contohnya, bagi tempoh 2001 – 2014, pertumbuhan bilangan graduan adalah sebanyak 9.2% setahun manakala pertumbuhan pekerjaan yang setaraf dengan graduan pula hanyalah 3.4% setahun dalam tempoh yang sama. Situasi ini mestilah dibetulkan segera.

Ketiga, buruh asing yang menimbulkan pelbagai angkara hendaklah ditangani segera. Antaranya, menurut Bank Negara, setiap 10 pekerjaan baru yang diwujudkan, 8 daripadanya disambar oleh mereka pada tahun 2016. Apakah peluang yang tinggal untuk rakyat Malaysia?

Keempat, isu pelbagai jenis diskriminasi kaum yang berleluasa di sektor swasta juga menuntut tindakan segera. Banyak kajian telah dibuat mengenainya. Antara hasil kajian yang popular ialah Discrimination of high degrees: race and graduate hiring in Malaysia oleh Hwok Aun Lee & Muhammed Abdul Khalid. Kajian ini menunjukkan graduan Melayu mengalami diskriminasi yang sangat buruk dan teruk.

Diskriminasi tersebut nampaknya mendapat perhatian kerajaan sekarang. Amatlah dihargai bahawa kerajaan kini telah memberikan komitmen akan “melarang sama sekali amalan diskriminasi oleh pihak majikan”, seperti yang terpahat di Para 84, Ucapan Belanjawan 2019. Namun kita perlulah pastikan bahawa apa yang tersirat bukanlah untuk menyerang kerajaan sebagai majikan. Sesungguhnya, yang menuntut tidakan segera dan tegas ialah majikan di sektor swasta.

Strategi keempat ialah melonjakkan penyertaan orang Melayu dalam bidang perniagaan atau bekerja sendiri kerana peluang meraih kekayaan adalah lebih besar dan luas di sektor bukan makan gaji.

Pelaksanaan strategi ini menuntut satu raga pelan tindakan yang tersendiri dan holistik. Ia merangkumi, antara lain, keperluan mengkaji dan membetulkan mindset serta budaya orang Melayu, merangka campuran dasar (policy mix) yang betul, menjana pertumbuhan ekonomi yang saksama, berkongsi kemakmuran, membangunkan kapasiti (capacity building), menyediakan peluang akses kepada modal dan pasaran serta peluang menyertai rantaian penawaran (supply chain).

Jika dilaksanakan empat strategi di atas, inshaaAllah, Melayu yang kini melarat dan merempat akan terselamat.

IMG-20181224-WA0001

Datuk Akbar Ali

Pakar Runding Ekonomi

Majlis Perundingan Melayu

16 November 2018

  1. Leave a comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: