Archive for category Politik

SERIUSKAH UMNO NAK MENANG PRU14…???

1. Ramai antara kita, termasuklah saya, bernostalgia… terkenang2 masa UMNO hebat dulu…sama spt lagu R. Azmi ini:

dan sama spt maksud pantun Melayu berikut:

Pulau Pinang bandar baru
Kpt Light menjadi raja
Bila terkenang masa nan lalu
Berlenang2 si air mata.

2. Tetapi kita perlulah segera sedar dan bangkit dari mengelamun. Kita perlulah sedar bahawa ramai pengundi skrng sudah lupa / tak kesah pun akan Mei 13 & DEB serta FELDA yg banyak masalah sebab mereka bkn produk era berkenaan, di samping ianya sudah pudar dari ingatan, seperti mana generasi saya yang tak kesah dan tak blh relate
dgn kekejaman pemerintahan Jepun kerana tidak dilahirkan di zaman tersebut.

3. Ramai pengundi yg berumur bawah 40 thn (kira2 40% drp jum pengundi) adalah bkn produk DEB atau FELDA. Mereka adalah produk PTPTN/PINJAMAN MARA.

4. Maka yg berjaya tak terasa terhutang budi dgn kerajaan/UMNO sbb mereka yg perlu bayar hutang lbh RM30 ribu seorang.

5. Mereka marah dan kecewa kerana tidak menikmati Hak 153.

6. Yg berjaya tetapi x dpt kerja lg marah sbb dihambat pula oleh PTPTN & disekat oleh imigresen (500 ribu orang).

7. Terdapat lbh setengah juta penganggur pada tahun ini; tiga suku berumur bawah 30 thn & 30% berkelulusan tertiari. Mampukah mereka senyum riang?

8. Di kalangan 10 juta pekerja bergaji, 50% drp mereka bergaji bawah RM1700 sebulan. (Lihat Laporan Gaji & Upah 2016). Bolehkah mereka senyum tawa? (lihat di bawah cerita hasil kajian students UUM tentang dapor mereka yg berpendapatan bawah RM2000 sebulan!)

9. Kos sara hidup pula terus meningkat. (Melaka antara yg tertinggi berdasarkan CPI. Sila lihat Carta). Adakah mereka tak mengeluh?

10. Perlu juga diambil perhatian bahawa rakyat semakin literate (>95%), semakin bermaklumat (>100% broadband penetration) & majoriti berjiwa bandar (Msia >75%; Melaka 93%).

11. Lanskap baru ini (para 2 – 10) mengubah DNA para pengundi serta memberi impak ke atas voting behaviour dan seterusnya akan memberi kesan kepada UMNO.

12. Lantaran itu, strategi, perancangan dan pelan tindakan serta sikap, fokus dan content ucapan pemimpin UMNO hendaklah berubah. Keluarlah segera dari kepompong pemikiran lama yang sudah lapuk dan jumud itu.

13. Lagu dan modal lama sudah basi dan tak berbisa lagi. Contohnya Isu 13 Mei dan orang Cina sbgai Fear Factor sudah tak lut ke atas orang Melayu. Malah mereka salahkan pula pemimpin UMNO kerana tidak memahatkan dalam Perlembagaan Msia bahawa hanya orang Melayu Islam SAHAJA boleh jadi PM, seperti jawatan MB Perak dan Selangor.

14. Carilah Fear Factor yg lain, jika perlu.

15. Untuk menarik sokongan mereka, UMNO hendaklah dilihat ikhlas dan sungguh2 menjuari isu2 yg dekat dgn hati nulari para pengundi – Melayu dan bukan Melayu. Antaranya:

a) mewujudkan lbh banyak peluang pekerjaan yg berpendapatan tinggi (malangnya 90% jawatan baru berpendapatan rendah. Sila lihat Penyiasatan Tenaga Buruh, 2010 – 2015)

b) mewujudkan peluang menjana pendapatan yg berpatutan (pinjaman AIM dikenakan faedah 10% flat rate; lbh tinggi dari 15% sliding scale. Adakah ini hak istimewa utk orang Melayu miskin bawah 153?)

c) menurunkan kos sara hidup

d) bantu atasi masalah hutang PTPTN

e) rapatkan jurang kekayaan antara kumpulan (inter group inequalities) yg melebar (HIS 2016).

f) perjuangkan 152 & 153 dgn penuh kesungguhan (dukacita pemimpin UMNO sendiri dilihat mencabuli kedua2nya)

g) mempelopori GITAR (Good Governance, Integrity, Transparency, Accountability & Responsibility).

16. Jika dapat dilakukan segera 7 saranan di atas maka diyakini peluang UMNO untuk menang PRU14 adalah lebih cerah lagi. In syaa Allah.

17. Adakah UMNO serius? Jika ya, sama2lah kita halusi coretan ini.

Wallahu’alam.

DAA
2 Dis 2017.

Advertisements

, ,

Leave a comment

DNA AHLI/PENYOKONG UMNO

1. Wajarlah diakui bahawa UMNO adalah sebuah parti politik terbesar di Malaysia dari segi jumlah ahli (3 juta orang), Bahagian (191) dan Cawangan (lbh 20 ribu).

2. Ia juga merupakan parti yg paling lengkap dari segi struktur dan sistem; dari Pusat turun ke Negeri, Bahagian & Cawangan.

3. Namun kukuh dan gagahkah UMNO?

4. Justeru untuk mengetahuinya, eloklah kita kenal dulu DNA orang kita (know yourselves – Sun Tzu).

5. 3 juta ahli itu hanyalah kira-kira 20% saja daripada jumlah pemilih. Kuat?

6. Secara kasar terdapat  4 + 3 golongan DNA UMNO:

6.1 Tegar – salah pun kata betul & tetap sokong:

(a) Jujur spt ibu2 berusia >70an

(b) sokong kerana jawatan

(c) sokong sebab dedak

6.2. Setia – yang betul tu betul; yang salah tu salah tetapi tetap sokong parti.

6.3. Idealis – kalau lbh banyak buruk/salah atau berlawanan dengan prinsip mereka  maka mereka tak sokong parti.

6.4. Lalang – pendirian yang  mudah bergoncang.

7. Agak-agak golongan yang  mana satukah kini lbh ramai dlm UMNO?

8. Dari segi demografi dan yang demikian golongan 6.1(a) sudah tentulah tidak ramai.

9. Sebahgian golongan 6.1 (b) & (c) sudah dan akan melompat bila hilang jawatan atau dapat tawaran dedak yang lebih besar dari pihak lain. Agak mahal dan rumit menjaga golongan ini.

10.  Kerana Sindrom Hang Nadim maka golongan 6.2 juga tak ramai / tak kuat kerana dicurigai, dipinggirkan atau dikeluarkan.

11. Golongan 6.3 turut tidak ramai sebab sebahgian besar sudahpun keluar parti.

11. Sebahgian golongan 6.4 sudahpun lari dan yang tinggal itu, jika tidak pandai dijaga dan dibelai,  akan turut belah.l

12.  Lantaran itu bolehkah dicongak golongan DNA mana satukah yang kini paling besar terdapat dalam UMNO?

13. Justeru bolehkah kini dianggarkan sejauh manakah kekuatan UMNO?

14. Jika anda adalah seorang ahli/penyokong UMNO, apakah DNA anda?

15. Mungkin anda ingin tahu pula DNA saya. Mudah dan ikhlas: DNA SAYA = 6.2!!!

DAA
20 Jun 2017.

,

Leave a comment

POLITICS: NO PERMANENT FRIEND, NEITHER PERMANENT ENEMY!!!

Tun M is UMNO/BN’s political enemy/rival, yes.

Enemy of the state is DEFINITELY no. Otherwise, he is already behind bars.

Sejarah telah mengajar saya.

1. Samy Vellu dan Govindaraju adalah rakan karib. Bergaduh, akhirnya baik.

2. Samy Vellu dan Pandithan juga rakan karib. Bergaduh…tubuh IPF…akhirnya baik semula.

3. Tun M & Tun Musa adalah rakan baik; bantu Musa lawan TR pd tahun 1982 & 1984. Blh bergaduh tapi akhirnya baik (masam2 manis?)

4. Tun Musa & TR bermusuh tapi blh beregu  lawan Tun M. Siapa sangka?

5. Tun M & TR berperang tapi akhirnya berpelukan. Siapa sangka?

6. DSAI adalah poltical son of Tun M. Sape sangka blh menjadi musuh ketat? Sape tak separuh gila bila mereka blh berjabat tangan?

7. DSN juga Tun M’s political son. Apa sudah jadi sekarang? Esok lusa?

8. DSN & TSMY adalah rakan seperjuangan dalam Team Wawasan. Sekarang? Esok lusa?

So what’s the moral of the story bagi kita di bawah?

Note: There’s no mistake in life; only lesson. If one doesn’t learn from the lesson, then it’s a mistake.

, ,

Leave a comment

RCI on FOREX

Must look into these 4 areas first:

1. Relevant Rules & regulations enforced during that material period.

2. Governance during that material period.

3. Who was/were vested with the authorities to conduct the trading?

4. National interest or pecuniary advantage?

Based on the above, the possibilities are as under:

1. Recommend criminal investigation

2. Recommend tighter housekeeping & internal surveillance.

3. NFA

It looks like it would be no. 2 + NFA or its equivalence.

Wallahu’alam

DAA
28 June 2017.

, , , ,

Leave a comment

ETIKA MENTERI

http://www.thesundaily.my/news/2017/09/25/not-jakim-decide-if-non-muslims-consume-alcoholic-drinks-liow

Terdapat 2 isu besar dari kenyataan DS LTL ini:

1. DS LTL  adalah seorang menteri kabinet. Kabinet adalah bertanggungjawab secara kolektif. Maka:

(a) mengapakah tidak timbulkan isu ini dalam kabinet? Mengapakah mesti cuci dirty linen dalam media? Bukankah ini menepuk air di dulang?

(b) apa sudah  jadi dengan etika menteri? Tidakkah ini memalukan DS Jamil Khir?

2. Kalaulah JAKIM tidak boleh menyentuh isu orang bukan Islam, mengapakah MCA membantah RUU355 yang khusus untuk orang Islam dan tidak ada kena mengena dengan bukan orang Islam? Tidakkah ini double standard?

Bknkah ini dikatakan oleh orang tua2… padang orang hendak berlari, padang sendiri hendak berjingkit.

Adakah ini jenis kawan yang kita hendak sanjung dan pertahankan atau yg patut kita nasihatkan/tegur?

Siapakah pula hendak membela DS Jamil Khir?

Eloklah para menteri berhemah dan mematuhi etika.

Leave a comment

MEMBAHAS TITAH YDP AGONG

(kalaulah saya ada peluang berucap)

Bismillahir rahmanir rahim……

Assalamualaikum …wbt.. salam sejahtera dan salam 1Malaysia..

 YB Tan Sri  Yang DiPertua,

Syukur

  1. Pertama kali, marilah kita mengucap syukur kehadrat Allah swt kerana telah diberikan kesihatan badan, kekuatan mental dan  kelapangan masa untuk kita menghadiri sidang Dewan yang mulia Kali Pertama Penggal Ke-5 bagi Parlimen ke-13. Kehadhiran kita adalah semata-mata untuk menyempurnakan amanah dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat melalui proses demokrasi yang sahih, sah dan sihat.
  1. Kedua, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada YB Tan Sri Yang DiPertua kerana memberi peluang keemasan ini kepada saya untuk turut sekali lagi membahaskan Titah ke Bawah Duli Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong. Semoga apa yang ingin saya perkatakan ini akan mendapat perhatian yang saksama dari pihak kerajaan.
  1. Dan ketiga, titah perasmian oleh ke Bawah Duli Baginda (DS tolong pastikan ketepatan sebutan ini) telah menyentuh pelbagai bidang dan isu semasa dan masa depan kita. Dari ekonomi modal, termasuklah isu pertumbuhan ekonomi dan daya saing, ke ekonomi rakyat, termasuklah isu pekerjaan, kos sara hidup, subsidi untuk kumpulan sasar dan perumahan hinggalah ke isu perpaduan serta alam sekitar, TN50 dan sebagainya.
  1. Pada hemat saya, setiap butir yang telah dititahkan itu menuntut perhatian serius dari kita semua. Justeru sewajarnyalah kita menghayati titah ucapan ke Bawah Duli Baginda itu dengan penuh keinsafan. Marilah sama-sama mengambil iktibar serta menjadikan ianya sebagai pedoman dalam usaha hendak meneruskan tugas dan amanah kita sebagai wakil rakyat dan juga sebagai penggubal undang-undang di Dewan yang mulia ini.

YB Tan Sri Yang DiPertua,

Penghargaan, Takziah dan Tahniah

  1. Sebelum saya meneruskan ucapan di Dewan yang mulia ini, izinkan saya merakamkan setinggi penghargaan di atas perkhidmatan dan sumbangan cemerlang Allahyarham Tan Sri Datuk Patinggi Adenan Satem melalui platform politik selama 40 tahun, termasuklah berkhidmat dengan Kerajaan Persekutuan sebagai menteri selama 2 tahun dan sebagai Ketua Menteri Sarawak hampir 3 tahun.
  1. Sumbangan dan perkhidmatan cemerlang beliau tidak mampu saya lakarkan untuk mencakupi kesemua sumbangan dan perkhidmatan yang telah dicurahkan itu. Saya hanya mampu mencoretkan dalam serangkap pantun ini:

Berlari-lari menurun bukit,

Hendak memetik si asam paya,

Jasa Tan Sri bukan sedikit,

Sebanyak daun di rimba raya.

  1. Namun izinkanlah saya menyebut secara khusus kejayaan terbesar beliau dalam mengemudi pilihan raya negeri (PRN) Sarawak pada tahun 2016 dengan kemenangan yang gemilang iaitu memenangi 72 daripada 82 kerusi atau 87.8%.
  1. Seterusnya marilah kita sama-sama menyampaikan salam takziah kepada YB Puan Sri Jamilah Anu seisi keluarga di atas kehilangan suami / ayah tersayang.
  1. Pada bulan Mac 2014, di Dewan yang mulia ini, saya telah mengucapkan tahniah kepada Allahyarham Tan Sri Adenan Satem di atas pelantikan beliau sebagai Ketua Menteri Sarawak yang ke 5. Saya juga telah menzahirkan keyakinan bahawa beliau akan mampu mengangkat Sarawak ke tahap yang lebih aman, harmonis, setabil dan makmur lagi. Sesungguhnya beliau telah berjaya mencapainya dalam tempoh masa yang sesingkat itu.
  1. Hari ini, di Dewan yang sama, saya ingin pula mengucapkan tahniah kepada YB Puan Sri Jamilah Anu di atas kemenangan besar beliau dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Datu dengan majoriti undi yang lebih besar (+551 undi) berbanding PRN 2016. Kedua-dua pencabar beliau telah hilang wang pertaruhan!
  1. Dalam pada itu, saya tidak lupa untuk mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Tuan Kamarol Zaki Abdul Malek yang telah meninggal dunia pada 17 Januari lalu. Beliau dikenali sebagai pemimpin akar umbi yang telah banyak menabur jasa, termasuklah melalui perkhidmatan perguruan. Beliau adalah seorang Guru Besar sebelum bertanding dalam PRU ke 13.

Dari Renget pergi ke Bentung,

Tanjung Tuan lautnya tenang,

Bumi tersenget langit tergantung,

Jasa Tuan  tetap dikenang.

  1. Sebagai tanda penghargaan serta hormat, kasih dan sayang kita terhadap kedua-dua Allahyarham ini, marilah kita hadiahkan Umul Kitab di samping mendoakan semoga roh mereka berdua ditempatkan bersama-sama dengan roh orang muslim dan muslimat yang soleh dan soleha… al Fateha.

YB Tan Sri Yang DiPertua,

Skop

  1. Sesungguhnya diakui banyak perkara dan isu yang ingin kita semua luahkan di Dewan yang mulia ini. Namun menyedari kesuntukan masa dan perlu pula masa yang terhad itu dikongsi antara kita yang ramai ini maka saya mengambil peluang keemasan yang diberikan ini dengan menumpukan skop perbahasan kepada 6 perkara utama sahaja:
  • Lakaran lanskap ekonomi dunia yang memberi impak ke atas Malaysia,
  • Isu ekonomi rakyat,
  • Struktur ekonomi kita yang menuntut tindakan serius dan segera,
  • Isu rasionalisasi dan bantuan untuk kumpulan sasar,
  • Isu hutang Kerajaan Persekutuan, dan
  • Isu pelaburan China, OBOR dan Chinafication.

YB Tan Sri Yang DiPertua,

Lanskap ekonomi dunia

  1. Saya ingin membuka tirai dengan menyentuh lanskap ekonomi dunia masa kini kerana sektor luar (external sector) merupakan faktor utama dalam mempengaruhi dan memberi impak ke atas hala tuju serta prestasi ekonomi kita pada keseluruhannya.
  1. Menurut IMF World Economic Outlook yang dikeluarkan pada bulan Januari lalu, pertumbuhan ekonomi dunia pada tahun ini diunjurkan lebih baik (3.4%) berbanding pada tahun lepas (3.1%). Pada tahun 2018, pertumbuhan diunjurkan lebih baik lagi iaitu pada kadar 3.6%.
  1. Optimisma ini, antara lain, disandarkan kepada (a) jangkaan dasar fiscal stimulus di USA. (b) policy-driven stimulus di China, dan (c) harga minyak mentah serta harga lain-lain komoditi yang dijangka akan bertambah mengukuh.
  2. Dalam pada itu, diakui bahawa pertumbuhan ekonomi ini tidaklah serata antara negara maju, emerging markets and developing economies (EMDE).
  1. Pada masa yang sama, terdapat beberapa caveats yang tidak boleh diabaikan. Antaranya ialah (a) a possible shift toward inward-looking policy platforms and protectionism, (b) a sharper than expected tightening in global financial conditions that could interact with balance sheet weaknesses in parts of the euro area and in some emerging market economies, (c) increased geopolitical tensions, and (d) a more severe slowdown in China, dengan izin.
  1. Walau bagaimanapun, terkini, nampaknya petunjuk-petunjuk positif semakin jelas bahawa pertumbuhan ekonomi USA, enjin ekonomi dunia, akan bertambah kukuh selepas sedekad mengalami tepid growth.
  1. Komitmen Trump di US Congress baru-baru ini untuk merangsang ekonomi USA with massive tax relief and USD1 Trillion for infrastructure development mengukuhkan lagi sentimen ini.
  1. Dijangka Federal Reserve akan menaikkan kadar faedah pada pertengahan bulan ini, lebih awal dari apa yang pernah diramalkan sebelumnya, tertakluk kepada pengumuman data-data ekonomi terkini seperti kadar pengangguran dan kadar inflasi.
  1. Keputusan menaikkan kadar faedah tersebut akan memberi petunjuk yang lebih kukuh bahawa pertumbuhan ekonomi USA is on the road to a strong recovery, as opposed to a fragile recovery in recent years.
  1. Perkembangan ekonomi USA boleh merangsang ekonomi dan perdagangan dunia, termasuklah membuka peluang yang lebih besar kepada eksport Malaysia.
  1. Namun dalam pada itu, kita perlulah pula memberikan perhatian yang lebih dekat lagi terhadap dasar protectionist Trump dan impaknya di peringkat global, termasuklah Malaysia.
  1. Yang jelas, apabila kadar faedah mereka naik, maka nilai USD pun akan turut naik. Ia sudah pun mula naik lagi berdasarkan good news Lalu nilai MYR pula akan turun secara relatif. Isu nilai mata wang kita telah turut disentuh oleh ke Bawah Duli Baginda.
  1. Pada masa yang sama, ekoran dari kenaikan kadar faedah di USA itu, kita perlulah menjangkakan bahawa lebih banyak out flow of fund/investment keluar dari Malaysia ke USA kerana jangkaan pulangan atau yield yang lebih menarik lagi.
  1. Diharapkan out flow ini akan dapat diseimbangkan atau will be compensated by kenaikan hasil yang disumbangkan oleh minyak mentah dan komoditi-komoditi lain melalui peningkatan harga; bukannya didorong oleh nilai Ringgit yang lemah.
  1. Yang demikian, sepertimana yang telah disarankan oleh ke Bawah Duli Baginda, sebahagian daripada hasil yang bertambah itu bolehlah diperuntukkan kepada kumpulan sasar tertentu. Ia akan membantu meringankan beban kos sara hidup yang dijangka akan semakin mencengkam kehidupan rakyat.
  1. Cengkaman tersebut semakin perit kerana pendapatan adalah rendah dan tidak pula meningkat sejajar dengan kenaikan kos sara hidup itu. Menurut laporan Penyiasatan Gaji dan Upah 2015 yang dikendalikan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, separuh daripada jumlah pekerja kita hanya bergaji bawah RM1,600 sebulan.
  1. Menurut pula Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah 2014 yang dilaksanakan oleh Jabatan yang sama, separuh daripada keseluruhan isi rumah kita hanya memiliki pendapatan kasar per kapita sebanyak RM1,146 sebulan. Separuh daripada isi rumah B40 hanya memiliki pendapatan kasar per kapita sebanyak RM657 sebulan.
  1. Cubalah kita bayangkan taraf kehidupan mereka dengan pendapatan sebanyak itu untuk menanggung anak isteri dan ibu bapa yang telah tua dan uzur.
  1. Sesungguhnya ekonomi kita yang terbuka ini tidak boleh terselindung dari serangan inflasi impot (imported inflation) yang turut dibebani oleh nilai Ringgit yang merosot dan menokok tambah pula inflasi domestik. Dijangka lanskap inflasi akan lebih mencabar lagi dalam tempoh 2 tahun ini. Pada bulan Januari 2017, kadar inflasi kita, sekitar 2% di masa lalu, kini sudahpun mencecah 3.2%.
  1. Dilema seperti ini akan sentiasa wujud. Ianya menjadikan tugas kerajaan bertambah seronok dan menarik; exciting and interesting.
  1. Justeru kita perlulah bersedia untuk mengambil pelbagai langkah/inisiatif berteraskan ekonomi, fiskal dan monoteri untuk mendepani pelbagai kemungkinan senario dan supaya ekonomi kita lebih resilient
  1. Diyakini MOF, BNM, EPU dan lain-lain agensi sedang memikirkan hal-hal ini.
  1. Pada masa yang sama, rakyat perlulah juga bersedia dari segi mental dan perasaan.
  1. Dalam pada itu, petunjuk-petunjuk ekonomi di Eurozone menunjukkan aktiviti ekonomi di zon tersebut juga akan kembali rancak, sepertimana yang dilaporkan oleh PMI Survey.
  1. Haraplah probable impact BREXIT semakin jelas dan tidak pula berlaku FREXIT atau ITEXIT.
  1. Pada masa yang sama, China, ekonomi kedua terbesar di dunia, turut menunjukkan tanda-tanda akan kembali berkembang. Official  and private factory activity surveys  reported better-than-expected results.
  1. The global multiplier impact of these 3 combined economies is indeed immensely huge, dengan izin. Sudah tentulah Malaysia akan turut mendapat faedahnya.
  1. Pemulihan ekonomi Jepun dan India akan turut menyumbang kepada kerancakan semula aktiviti ekonomi dunia.

YB Tan Sri Yang DiPertua,

Ekonomi Rakyat

  1. Beralih ke dalam negeri, ekonomi negara telah mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.2% pada tahun lalu. Ia merupakan satu pencapaian yang memberangsangkan di bawah persekitaran geo-politik global yang tidak menentu dan hostile serta lanskap ekonomi dunia yang muram, suram dan fragile.
  1. Dijangka Malaysia akan turut mendapat limpahan dari pemulihan ekonomi dunia itu, sepertimana yang saya lakarkan sebentar tadi. Outcomenya ialah diunjurkan kadar pertumbuhan ekonomi kita yang telah terus menurun dari 7.2% sejak 2012 kepada 4.2% pada tahun 2016 akan naik semula pada tahun ini sekitar 4.5% atau lebih.
  1. Pertumbuhan yang kembali berkembang itu akan merancakkan semula aktiviti ekonomi. Seterusnya ia akan membuka luas peluang perniagaan serta menjana lebih banyak lagi peluang pekerjaan. Yang demikian, masalah ekonomi rakyat, khasnya pengangguran, sepertimana yang dititahkan oleh ke Bawah Duli Baginda turut dapat didepani sama melalui lonjakan ekonomi modal.
  1. Menurut Menteri Sumber Manusia, pada masa ini, bilangan penganggur, secara purata, telah bertambah seramai 10,000 orang setiap bulan. Pada akhir Disember 2016, bilangan penganggur adalah seramai 512,000 orang berbanding 400,000 orang pada akhir 2014 atau meningkat sebanyak 28%.
  1. Jika bilangan 512,000 penganggur itu diterjemahkan impaknya ke atas bilangan pemilih maka ia boleh mencecah sehingga 5 juta orang, termasuk tanggungan masing-masing. Apakah kesannya nanti?
  1. Walaupun kita masih menikmati tahap guna tenaga penuh (full employmet) kerana kadar pengangguran masih di bawah 4% (Disember = 3.5%), namun isu pengangguran ini berpotensi menjadi amat serius. Saya ingatkan sedemikian kerana ia boleh berjangkit dan meletop menjadi isu sosial dan perkauman. Potensi letopan tersebut adalah kerana majoriti yang menganggur itu, seramai lebih 70%, datangnya dari satu kaum iaitu kaum Bumiputera.
  1. Di samping itu, agak ramai yang menganggur itu pula, iaitu lebih dari satu pertiga, adalah terdiri dari mereka yang cerdik pandai dan berkelulusan tertiari. Kini semakin ramai golongan professional seperti doktor, jurutera, ahli farmasi dan kalangan sarjana yang menganggur. Pada masa yang sama, mereka ini dikejar oleh surat tuntutan hutang oleh PTPTN dan sekatan imigrasi. Bayangkanlah kesulitan hidup mereka yang dihimpit kehinaan, stress and frustration.
  1. Isu pengangguran ini menjadi lebih besar lagi jika kita mengambil kira pula isu underemployment. Isu underemployment ini boleh dilihat dari 2 sudut:

Pertama, dari sudut masa bekerja iaitu kurang dari yang sepatutnya, dan

Kedua, dari sudut kelayakan dan jawatan yang disandang iaitu memegang jawatan yang lebih rendah berbanding dengan kelayakan/ kemahiran yang dimiliki dan menerima saran yang lebih rendah.

Contohnya, kerana tiada pekerjaan, difahankan ada doktor yang menjalankan perniagaan MLM dan jurutera berkelulusan sarjana menjadi tukang gunting.

Graduates berkelulusan sastera dan ekonomi menyandang jawatan bertaraf perkeranian adalah suatu yang lumrah sejak beberapa tahun lalu.

  1. Bilangan underemployed ini dianggarkan telah meningkat dari kira-kira setengah juta orang pada tahun 2010 kepada hampir 600,000 orang pada tahun 2015. Dalam tempoh yang sama, dianggarkan bilangan graduates yang underemployed telah melonjak dari 57,000 orang ke 80,000 orang.
  1. Sekali lagi jika diterjemahkan bilangan underemployed tersebut kepada pemilih maka ianya adalah kira-kira 1.8 juta orang, termasuklah tanggungan mereka. Apakah impaknya nanti?
  1. Bilangan penganggur dan underemployed yang tinggi dan meningkat ini adalah ekoran dari aktiviti ekonomi yang kurang rancak, termasuklah penutupan perniagaan, pengurangan tenaga kerja, pemendekan masa bekerja, kemasukan tenaga buruh baru ke pasaran buruh dan kebanjiran pekerja asing.

YB Tan Sri Yang DiPertua,

Isu Struktural

  1. Sesungguhnya isu pengangguran ini bukanlah boleh diselesaikan semata-mata dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan sahaja. Bila diteliti dan analisa secara detel dan mendalam, sebenarnya isu tersebut adalah isu struktural yang telah lama berakar umbi.
  1. Isu struktural ini merangkumi bidang ekonomi, pendidikan serta latihan modal insan yang mencakupi penawaran dan pemintaan di pasaran buruh atau supply and demand in the labour market.
  2. Antara isu struktural ekonomi yang serius ialah kita masih gagal untuk berhijrah dari low wage labour intensive industries ke high wage high tech industries. Isu inilah yang menyebabkan gaji para pekerja kita kekal di tahap yang rendah, sepertimana yang telah saya sebut awal tadi. Justeru sumbangan gaji dan upah kepada GDP kita hanyalah sekitar 35% berbanding dengan China, USA dan negara-negara OECD yang mana sumbangannya melebih 45%.
  1. Low wage labour intensive industries ini pula lebih banyak menjana pekerjaan asas bergaji rendah iaitu hampir 90% dari jumlah pekerjaan baru. Yang demikian berlakulah lebih banyak underemployment.
  1. Pengangguran dan underemployment yang tinggi di kalangan graduates adalah kerana:

Pertama, penawaran  / supply graduates yang berlebihan berbanding permintaan / demand iaitu peluang pekerjaan yang ada atas nisbah 3:1, dan

Kedua, kadar pertumbuhan pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi menurun 50%, dari 5.2% kepada 2.6%.

  1. Labour intensive industries ini menggalakkan majikan untuk mengambil lebih ramai pekerja asing kerana factor gaji yang rendah. Kebanjiran pekerja asing ini pula menimbulkan kesan sampingan utama seperti berikut:

Pertama, low wage economy akan terus kekal,

Kedua, penghijrahan ke high wage high tech economy akan terhalang / terbantut,

Ketiga, mereka menyekat / suppress kenaikan gaji, dan

Keempat, akan gagal sasaran kerajaan untuk mengurangkan pekerja asing sebanyak 30% semasa tempoh RMK11.

  1. Mengambil kira isu-isu yang saya lakarkan itu maka tidak hairanlah PEMANDU telah mengunjurkan seramai 7 juta pekerja kita akan masih lagi bergaji bawah RM2,000 sebulan pada tahun 2020 nanti atau kira-kira 46% dari jumlah pekerja. Gaji sebanyak RM2,000 sebulan itu mungkin sama nilainya dengan sebanyak RM1,500 sebulan pada tahun 2015.
  1. Isu struktural yang lebih serius lagi ialah kadar pertumbuhan produktiviti buruh telah menurun. Bagi tempoh 2003 – 2009, kadar pertumbuhan berkenaan adalah sebanyak 2.8% setahun. Ianya telah menurun kepada 1.2% setahun bagi tempoh 2009 – 2015.
  1. Kadar pertumbuhan yang menurun ini adalah serius kerana produktiviti adalah paksi yang memacu pertumbuhan ekonomi dan sendi pula kepada daya saing. Impaknya dapat kita saksikan:

Pertama, kadar pertumbuhan ekonomi kita terus menurun dari 7.2% setahun pada tahun 2012 ke 4.2% setahun pada tahun lalu, dan

Kedua, tahap daya saing kita turut tergugat; ia menurun dari tangga ke-18 pada tahun 2015 ke tangga ke-25 pada tahun lepas, menurut World Economic Forumn.

  1. Sehubungan itu, disyorkan pandangan-pandangan berikut untuk pertimbangan kerajaan:

Pertama, melantik mereka yang berkemampuan dan pakar untuk menterjemahkan visi kerajaan selaras dengan saranan agama kita supaya meletakkan orang yang ahli ditempatnya jika tidak mahu menempah kebinasaan.

Dalam konteks ini, 2 visi utama kerajaan ialah  berazam (a) untuk berhijarah ke digital economy, dan (b) untuk memperkaya kreativiti dan inovasi agar ianya menjadi nilai tambah / value-added yang utama dalam memacu ekonomi negara.

Kedua, mempastikan wujudnya vertical and horizontal integration dalam perancangan dan pelaksanaan dasar agar berlakunya koordinasi yang lebih rapat dan kukuh untuk mempastikan tidak berlaku lagi mismatch antara supply and demand.  Sebaliknya akan wujud a new optimal supply and demand equilibrium in the labour market.

Sehubungan itu, khusus mengenai isu ini, perbincangan dan koordinasi yang lebih rapat hendaklah diwujudkan antara Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Sumber Manusia, MITI, EPU dan agensi-agensi yang berkaitan dengannya.

Ketiga, gaji dan upah buruh patutlah dinaikkan sejajar dengan azam kerajaan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi serta selari pula dengan tren di negara-negara lain, termasuklah di China. Yang demikian, ia akan mampu menarik pekerja tempatan kerana terbukti mereka bersedia melakukan pekerjaan 3D sekiranya mendapat imbuhan yang bersesuaian. Sekali gus, bilangan penganggur  dan pekerja asing akan dapat dikurangkan.

Walau bagaimanapun, kenaikan gaji ini hendaklah disertai dengan peningkatan produktiviti untuk mempastikan syarikat terus survive.

Keempat, diakui bahawa penggunaan dan pelaburan / consumption and investment adalah the key economic drivers. Tetapi antara dua kunci tersebut, pelaburan adalah lebih kritikal lagi. Menggunakan hasil kerajaan untuk menyokong penggunaan yang berterusan adalah tidak mapan / unsustainable.

Justeru, selaras dengan titah ke Bawah Duli Baginda, maka disarankan agar kerajaan melaburkan hasil tambahan yang diperolehi itu ke arah memantapkan lagi modal insan kumpulan sasar melalui training, retraining, re-skilling and skill upgrading, dengan izin. Bukan sekadar memberikan cash hand-outs.

Melalui pelaburan ke atas capacity building ini, maka effectiveness, efficiency dan produktiviti serta daya saing akan mengukuh.

Pada masa yang sama, hendaklah diwujudkan lebih banyak lagi peluang perniagaan dan pekerjaan untuk menyerap mereka itu.

Kelima, mempastikan semua pelabur asing menggunakan input tempatan seperti bahan dan tenaga kerja serta membantu SME kita agar boleh berkembang maju. Jika tidak, rakyat tempatan hanya menjadi penonton yang mampu menonton atau tenguk sahaja.

YB Tan Sri Yang DiPertua,

Isu rasionalisasi dan bantuan untuk kumpulan sasar

  1. Sebentar tadi saya ada menyentuh mengenai membantu kumpulan sasar. Sesungguhnya kita amatlah bernasib baik kerana di atas kebijaksanaan dan wawasannya, YAB PM telah melaksanakan GTP, ETP dan rasionalisasi subsidi beserta dengan pakej membantu kumpulan sasar yang terjejas akibat pelaksanaan pelan rasionalisasi tersebut. Antara pakej berkaitan ialah BR1M, KR1M, 1AZAM dan banyak lagi.
  1. Lantaran pelaksanaan kombinasi pelan rasionalisasi dan pakej bantuan tersebut, maka negara kita telah berjaya mendepani krisis ekonomi global yang melanda negara sejak akhir 2015 tanpa menjejaskan dengan teruk kumpulan B40 dan M40. Kebajikan mereka terbela.
  1. Sekarang kita sudah boleh beranjak pula ke mode Fasa Ke-2. Di Fasa ke-2 ini, di samping melabur dalam capacity building, sepertimana yang saya sarankan tadi, izinkan saya mencadangkan supaya hasil kerajaan yang terhad ini digunakan dengan lebih efficient lagi inorder to maximize the best value for money.
  1. Saya mohon mencadangkan seperti berikut:

Pertama, pemberian semua bantuan subsidi atau insentif berbentuk mata benda seperti baja, minyak masak, diesel, buku teks dan sebagainya hendaklah dikira dan dibayar di peringkat penggunan / consumption level; bukan dikira dan dibayar di peringkat pengeluaran / production level yang menguntungkan taukeh besar seperti sekarang.

Kaedah ini sudah pasti lebih cost efficient kerana ianya akan dinikmati sepenuhnya  oleh kumpulan sasar sahaja. Ketirisan dan pembaziran boleh dikurangkan atau dibasmi. Lantas wang rakyat dapat dijimatkan.

Kini kaedah ini boleh dilaksanakan kerana kita sudahpun mempunyai database penerima BR1M yang lengkap dan terkini. Yang demikian, sebagai contoh, hanya penanam padi boleh mendapat subsidi  baja padi dan hanya nelayan boleh menerima subsidi minyak diesel. Pemberian subsidi tersebut boleh berdasarkan instrument seperti kupon.

Kedua, memberi bantuan yang bersifat / berbentuk social safety net seperti insuran kemalangan, insuran kesihatan, insuran tanaman dan seumpamanya, dan

Ketiga, semua bantuan untuk kumpulan sasar ini hendaklah diletakkan di bawah dan diuruskan oleh one stop agency untuk memudahkan lagi mereka berurus / access.

Di peringkat awal / start up, pemberian bantuan itu pula hendaklah lengkap iaitu mereka dibekalkan batang joran, tali joran, kail dan umpan serta diajar pula cara memancing. Bukan hanya diberi batang joran, sepertimana yang berlaku sekarang.

Itulah punca utama mengapa skim membantu orang miskin ini kurang berjaya. Falsafahnya murni tetapi kaedahnya perlulah diperbaiki dan dimantapkan lagi.

YB Tan Sri Yang DiPertua,

Isu hutang Kerajaan Persekutuan

  1. Kini saya ingin beralih pula kepada isu Hutang Kerajaan Persekutuan (HKP); ianya bukan hutang negara, sepertimana yang sering diconfusekan oleh pihak-pihak tertentu yang mungkin tidak faham perbezaan antara dua konsep hutang ini.
  1. Dalam membincangkan HKP ini, kita tidak boleh lari dari menyentuh 3 aspek utama ini iaitu:

Pertama, tujuan hutang iaitu bagi tujuan pembangunan sahaja;

Kedua, saiz hutang iaitu biasanya diukur berdasarkan (a) nisbah kepada nilai GDP dan (b) nisbah lebihan / defisit bajet kepada GDP sebagai proksinya; dan

Ketiga, kemampuan bayar balik hutang yang diukur berdasarkan nisbah bayaran khidmat hutang (BKH) kepada jumlah hasil. Ukuran ini lebih relevan berbanding dua yang lain itu.

  1. HKP, sepertimana yang dilaporkan dalam Laporan Ekonomi 2016/2017, kini berjumlah RM656 bilion. BKH pada tahun 2017 hampir RM29 bilion atau 13.4% daripada jumlah hasil kerajaan. Justeru kita perlulah lebih berhati-hati dan lebih berhemah lagi kerana ia sudah menghampiri threshold 15% yang ditetapkan sendiri oleh kerajaan.
  1. BKH terus meningkat setiap tahun. Sebagai contoh, pada tahun 2009, BKH berjumlah kurang sikit RM21 bilion atau hanyalah 9.8%.
  1. Mengambil kira hutang off budget, hutang 1MDB, LRT, MRT, ECRL, pembinaan pelabuhan Pulau Carey dan lain-lain lagi, HKP berpotensi untuk mencecah kira-kira RM1.34 trilion.
  1. Beban hutang sebanyak itu sudah pasti akan mencabar kemampuan kerajaan untuk service the loans. Kadar BKH sudah pasti akan menembusi had atau limit 15% Ianya amatlah mengerikan.
  1. Justeru diangkatkan syor-syor berikut untuk pertimbangan kerajaan:

Pertama, menukar pendekatan PINJAMAN kepada PENGSWASTAAN dalam usaha hendak membina projek-projek yang dirancang itu.

Kedua, kerajaan menyegerakan tindakan untuk membasmi ketirisan dan pembaziran. Ianya menjadi mendesak kerana hasil negara  bukan sahaja terhad malah menurun pula.

Yang demikian, rakyat akan benar-benar mendapat nikmat more value for money melalui higher cost effectiveness and  better cost efficiency. Komitmen ini telahpun diberikan oleh YAB PM / MKI melalui ucapan Bajet saban tahun.

Sebagai contoh, projek MRT yang dibina demi kepentingan dan kebajikan rakyat tetapi telah dijaja sebagai satu pembaziran kerana over pricing dan sebagainya apabila ianya dibandingkan dengan projek yang sama di Singapura, Turki, Korea Selatan dan Taiwan. Mohon YB Menteri memberikan pencerahan tenatng isu tersebut.

YB Tan Sri Yang DiPertua,

Isu pelaburan China, OBOR dan Chinafication.

    1. Akhir sekali saya ingin menyentuh isu pelaburan China, OBOR dan Chinafication. Isu ini adalah antara isu yang sedang hangat diperkatakan oleh rakyat masa kini. Kerana kehangatan dan kontroversi yang dikaitkan dengannya itu maka amat wajarlah sekali isu tersebut dijernih dan dicerahkan di Dewan yang mulia ini.
    2. Mohon pencerahan dari YB Menteri berhubung perkara-perkara berikut:

a) Berapakah jumlah dan nilai projek terkini yang ada kepentingan China – dari segi (i) pelaburan FDI dan (ii) pinjaman?

b) Apakah syarat-syarat FDI dan pinjaman yang mereka kenakan, termasuklah projek Bandar Malaysia, Pelabuhan Kuantan, ECRL, Melaka Gateway, Kilang Kaca di Jasin, Melaka dan Forest City, Johor Baru?

c) Apakah kaedah dan tahap kemampuan membayar balik hutang?

d) Apakah tahap viability projek yang hendak dibina itu seperti Pelabuhan Kuantan, ECRL, Melaka Deep Sea Port agar kita tidak senasib dengan projek Hambantota di Sri Lanka?

e) Apakah faedah kepada kerajaan dan rakyat Malaysia dari segi penggunaan bahan/supplies tempatan, pekerjaan, pemindahan kepakaran dan teknoloji, kutipan hasil dan sebagainya?

f) Apakah sumbangan atau cengkaman ke atas ekonomi kita, dan

g) Adakah kehadiran China secara besar-besaran dan terancang ini akan mengukuhkan lagi atau mengancam kedaulatan dan keselamatan kita?

YB Tan Sri Yang DiPertua,

  1. Itulah sahaja yang ingin saya kongsikan di Dewan yang mulia ini. Jika terdapat sebarang kelemahan dan ketelanjuran kata, al maklumlah lidah kita tidak bertulang, maka dengan rendah diri saya memohon maaf:

Turun hujan perahu berlabuh

Di malam gelap menagkap ikan

Saya menyusun jari sepuluh

Salah dan silap mohon maafkan.

  1. Saya bangun menyokong Titah Ke Bawah Duli Seri Paduka BagindaYang DiPertuan Agong yang kita sanjung dan kasihi.

4 Mac 2017.

, ,

Leave a comment

Prestasi Datuk Seri Idris Haron

MENYUSURI PENCAPAIAN DATUK SERI IR HJ IDRIS HJ HARON, KETUA MENTERI MELAKA, 2013 – 2015: KEJAYAAN SUDAH MENYERLAH

Senario tanaman

Jika kita menanam taugeh, kita perlu menunggu antara 68 jam – 72 jam untuk mendapat hasilnya; bukannya boleh dapat pada hari yang sama.

Jika kita menanam hibrid padi, kita perlulah menunggu kira-kira 110 hari sebelum ianya boleh dituai.

Jika kita menanam pisang, kita perlulah menanti 8 – 12 bulan masa berlalu sebelum buahnya boleh dipetik.

Jika kita menanam kelapa sawit, buahnya hanya boleh dipetik dalam tempoh dua tahun setengah hingga ke tiga tahun selepas ianya ditanam.

Jika kita menanam durian pula, kita hendaklah sabar menunggu buahnya gugur antara empat hingga lima tahun selepas ianya ditanam.

Demikianlah secara rengkas senario penantian masa sebelum sesuatu hasil tanaman itu dapat dinikmati. Ianya berbeza-beza; bergantung kepada benih yang ditanam.

Begitulah juga senarionya jika kita mahu menilai prestasi atau pencapaian seseorang ketua kerajaan. Malah masa yang lebih panjang lagi diperlukan untuk melihat hasil dan impak sesuatu projek pembangunan, khususnya yang berasaskan tanah atau land-based development.

Biasanya ianya memerlukan perkhidmatan sekurang-kurangnya selama dua penggal.

Yang demikian, untuk berlaku adil, penilaian terhadap prestasi atau pencapaian kepimpinan YAB Datuk Seri Ir Hj Idris Haron sebagai Ketua Menteri Melaka, yang baru berusia tiga tahun, wajarlah dilihat dalam konteks senario yang saya lakarkan di atas itu.

Namun begitu, izinkan saya meninjau dan menyusuri prestasi beliau sejak mengambil alih tampuk pentadbiran dari sudut yang dekat dengan hati rakyat yang memerlukan pembelaan kerajaan (ekonomi rakyat) dan hati para pelabur yang menjana pertumbuhan ekonomi (ekonomi modal). Saya akan menumpukan kepada beberapa angkubah (variables) penting sahaja.

Agihan Pertumbuhan Ekonomi

Dari segi mengurus dan mengemudikan ekonomi negeri, wajarlah diingat bahawa, sejak tahun 2013 hinggalah sekarang, Datuk Seri terus menghadapi persekitaran geo-politik serta ekonomi serantau dan dunia yang amat sukar lagi mencabar. Namun begitu, alahamdulillah, dalam konteks tersebut, secara relatif, beliau telah berjaya mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang sungguh memberangsangkan.

Pada tahun 2014, ekonomi / KDNK (GDP) Melaka tumbuh pada kadar 7.6%; ianya lebih tinggi dari pertumbuhan di peringkat negara sebanyak 6% dan jauh pula meninggalkan pertumbuhan di peringkat dunia yang hanyalah mencatatkan 3.4%. KDNK bagi tahun 2015 sedang disediakan. Diunjurkan pertumbuhan KDNK Melaka bagi tahun lepas tetap lebih tinggi dari pertumbuhan KDNK Malaysia (5%); dijangka ianya melebih 6%.

Yang lebih penting dari pertumbuhan per se itu ialah pertumbuhan ekonomi ini hendaklah turut memberi manfaat besar kepada rakyat, bukan sekadar kepada ekonomi negeri semata-mata. Ianya adalah pertumbuhan yang diagihkan (distributive growth), bukannya pertumbuhan semata-mata (growth only).

Pendapatan Isi rumah yang meningkat

Sebagai contoh, ekoran dari pertumbuahn ekonomi ini, purata pendapatan kasar isi rumah Melaka telah turut meningkat. Ianya meningkat sebanyak 12%, dari RM4,759 sebulan pada tahun 2012 kepada RM6,046 sebulan pada tahun 2014. Pendapatan semua kaum juga sama-sama meningkat; tiada kaum yang tercicir atau tertinggal.

Misalnya, pendapatan kasar isi rumah Melayu telah melompat sebanyak 26% dalam tempoh yang sama, dari RM4,600 sebulan kepada RM5,800 sebulan.

Impaknya, antara lain, ialah kadar kemiskinan kini hampir sifar (0.1%) pada tahun 2012 dan 2014.

Selain daripada itu, kita juga dapat menyaksikan lonjakan bayaran zakat pendapatan dan zakat perniagaan dalam tempoh tersebut serta pertambahan pembayar zakat. Sekali gus ianya membuktikan bahawa ekonomi Melaka berkembang secara menyeluruh dan memanfaatkan rakyat, termasuklah orang Islam.

Zakat melonjak

Zakat pendapatan melonjak kira-kita 46%, dari hampir RM21 juta pada tahun 2012 kepada RM30 juta pada tahun 2014. Pada tahun 2015, bayaraan zakat ini telah menokok kepada RM35 juta (+16%). Kenaikan ini pula menggambarkan bahawa pendapatan isi rumah telah mengukuh pada tahun yang sama, khususnya pendapatan isi rumah Muslim, walaupun tiada Penyiasatan / Kajian rasmi dilaksanakan pada tahun tersebut.

Dalam tempoh 2012 – 2014 itu, pembayar zakat pendapatan telah bertambah hampir 20%, dari kira-kira 21,500 orang kepada 25,700 orang. Bilangan mereka bertambah lagi 14% pada tahun 2015 kepada 29,200 orang.

Dalam tempoh yang sama, bayaran zakat perniagaan telah melompat hampir 28%, dari kira-kira RM9 juta kepada RM11 juta. Pada tahun 2015, nilai zakat ini terus meningkat dan telah mencatatkan lebih RM12 juta (+12%). Pembayar zakat kategori ini pula telah bertambah dari 1,100 orang kepada 1,400 orang (+27%) dan terus meningkat kepada 1,500 orang pada tahun 2015 (+8%).

Kadar pengangguran hampir sifar

Aktiviti ekonomi yang rancak telah menjana peluang pekerjaan yang banyak. Yang demikian, Datuk Seri telah mampu mengekalkan kadar pengangguran sekitar 1%, atau hampir sifar, pada tahun 2015. Kadar ini bukan sahaja terendah di Malaysia (3.1%) bahkan ianya terendah di kalangan semua negara maju (6.7%) dan jauh di bawah paras kadar pengangguran dunia (5.8%). Beliau juga berjaya mengekalkan kadar gunatenaga penuh (full employment) sepanjang tiga tahun yang lalu di mana kadar pengangguran terus berada di bawah paras 4%!

Kos sara hidup yang sederhana

Selain dari isu pertumbuhan ekonomi, pendapatan dan pekerjaan, isu kos sara hidup juga dekat dengan hati nurani rakyat. Sama saperti ketiga-tiga angkubah berkenaan, Datuk Seri juga telah berjaya mengendalikan isu kos hidup ini dengan berkesan.

Di negara kita, kos sara hidup atau kadar inflasi diukur dengan menggunakan Indeks Harga Pengguna (CPI) sebagai proksi kayu pengukurnya.

Sebelum itu, wajarlah diingatkan bahawa inflasi adalah umpama kolestoral; ada yang baik (good) dan ada pula yang jahat (bad).

Ramai pengguna biasa berpendapat bahawa hanya kenaikan harga yang tinggi, hyper inflation dan stagflasi sahaja yang buruk. Sebenarnya inflasi sifar (zero inflation) atau inflasi rendah saperti di USA serta deflasi (deflation) atau kejatuhan harga saperti yang dialami oleh Jepun berdekad lamanya juga tidak sihat kepada ekonomi.

Melaka dan Malaysia pernah diserang stagflasi pada awal tahun 1970an, mengalami deflasi dari bulan Jun 2009 – November 2009 (-0.1% hingga -3.4%) dan bergelut dengan inflasi yang dianggap telah begitu tinggi pada bulan Mei 2008 – Januari 2009 (4.0% – 9.5%). Namun serangan inflasi kita itu tidaklah seteruk apa yang pernah dialami oleh Mesir, Venezuela dan Zimbabwi.

Kadar inflasi yang sihat untuk ekonomi ialah kadar inflasi yang sederhana.

Tidak dinafikan bahawa rakyat Melaka kini sedang berdepan dengan kos sara hidup yang kian meningkat. Namun ianya tidaklah seteruk tahun 2008. Kita amatlah bertuah kerana Datuk Seri mampu mengawal dan menguruskan kadar inflasi kita di tahap yang sederhana. Purata kadar inflasi kita sepanjang tiga tahun yang lalu hanyalah 2.4%! Sesungguhnya ianya adalah sihat dari sudut ekonomi.

Dengan kenaikan pendapatan (12%) yang jauh melebihi kenaikan kadar inflasi (7.2%) maka sesungguhnya penduduk Melaka telah menikmati kenaikan pendapatan sebenar. Justeru kehidupan kita jauh lebih baik, misalnya, dari kehidupan rakyat Brazil, Venezuela, Mesir, Indonesia, Greek, Sepanyol dan sebagainya yang dicengkam oleh kemiskinan, dibebani oleh pendapatan yang merosot, dihimpit oleh kadar pengangguran yang tinggi serta ditekan pula oleh kadar inflasi yang tidak sihat.

Pelaburan

Akhirnya saya ingin menyentuh angkubah pelaburan yang merupakan salah satu pemandu ekonomi (economic driver) yang kritikal dalam konteks ekonomi modal.

Dalam suasana ekonomi global yang suram dan muram maka permintaan luar (eksport) turut menjadi lemah. Yang demikian, ekonomi Melaka dan Malaysia perlulah lebih bergantung kepada rangsangan permintaan domestik yang efektif dan pelaburan yang besar untuk menyuntik pertumbuhan ekonominya.

Berdasarkan maklumat pendapatan isi rumah di atas, jelaslah kita bernasib baik kerana pendapatan isi rumah kita telah meningkat dengan ketara (12%). Justru ianya telah membantu memacu permintaan domestik dan, yang demikian, membantu pula merangsang pertumbuhan ekonomi.

Pada masa yang sama, dalam suasana para melabur mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’, Datuk Seri pula telah menjadi seorang marketing advisor / sales advisor yang berjaya menjual Melaka kepada para pelabur dalam negeri dan luar negeri. Manifestasi kejayaan tersebut dapat kita saksikan melalui kenaikan mendadak nilai pelaburan yang diluluskan setiap tahun, dari RM1.5 bilion pada tahun 2013 kepada hampir RM7 bilion pada tahun lepas. Ia merupkan lonjakan sebanyak 360% sedangkan, dalam tempoh yang sama, nilai pelaburan yang diluluskan di peringkat Malaysia telah merosot 5%, dari RM52.1 bilion kepada RM49.5 bilion.

Dalam tempoh 3 tahun itu, beliau telah berjaya membawa masuk pelaburan yang diluluskan oleh MIDA bernilai hampir RM13 bilion; 62% daripadanya ialah pelaburan domestik (DDI) manakala baki 38% lagi ialah pelaburan asing (FDI). Pelaburan ini bersama-sama dengan penggunaan domestik telah menjana sebahagian besar pertumbuhan ekonomi Melaka.

Apa yang dilakarkan ini hanyalah merupakan sebahagian sahaja dari Kad Laporan (Report Card) Datuk Seri bagi tempoh tiga tahun yang lalu. Banyak lagi yang perlu dinilai dan dilaporkan.

Pada masa yang sama, beliau masih lagi di peringkat awal tempoh pentadbiran. Namun kejayaan beliau sudah menyerlah dan kita telahpun menikmati faedahnya.

Terbukti beliau umpama pohon nan rendang yang boleh menjadi tempat kita tumpang berlindung dan berteduh.

Pergi ke huma pergi ke ladang
Tanam nenas di rumpun buluh
Datuk Seri umpama pohon nan rendang
Hujan dan panas tumpang berteduh.

Tahniah dan ribuan terima kasih, Datuk Seri.

Berkat Tepat Cepat

Diyakini banyak lagi yang ingin beliau usahakan di bawah Melaka Maju Fasa II ini dengan BERKAT TEPAT CEPAT. Contohnya, tentunya beliau mahu melihat pendapatan isi rumah rakyat Melaka melonjak dengan ketara menjelang tahun 2020. Untuk mencapai visi tersebut, gaji para pekerja, mislanya, perlulah dinaikkan ke tahap yang setara dengan gaji pekerja di negara berpendapatan tinggi.

Pada masa ini, separuh daripada keseluruhan pekerja di Melaka mempunyai gaji di bawah RM1,500 sebulan. Untuk mencapai objektif berkenaan, sudah tentulah beliau perlu berunding dengan para majikan dan warga pekerja secara berhemah. Banyak faktor perlu diambil-kira, termasuklah produktiviti, daya saing dan ketahanan syarikat.

Dalam pada itu, beliau tentunya mahu berhati-hati kerana tidak ingin melihat pisang berbuah dua kali. Tidak guna berhempas pulas memaju dan membangunkan negeri tetapi akhirnya parti beliau sendiri kehilangan pusat pentadbiran dan kuasa sepertimana hilangnya DUN Kota Laksamana & Parlimen Kota Melaka serta terlepasnya DUN Ayer Keroh, DUN Bukit Baru & Parlimen Bukit Katil.

Maka sudah tentulah beliau ingin merancang dengan lebih teliti dan TEPAT lagi.

Akhirnya, tentulah beliau mahu kesemua yang difikir, dirancang dan diusahakan itu mendapat keredhaan Allah SWT agar kita pula mendapat BERKATNya. Tidak guna Tepat dan Cepat jika tidak Berkat.

Resipi: Sokongan padu

Untuk membantu Datuk Seri berjaya dalam memaju dan memakmurkan Negeri Hang Tuah yang bertuah ini dan kita pula yang mendapat nikmat kejayaan itu maka seluruh rakyat negeri Melaka perlulah memberikan sokongan padu kepada beliau.

Beliau tidak boleh memandu seorang diri dan kita pula tidak boleh maju kehadapan tanpa kepimpinan yang tegas, berkesan dan berwawasan.

Justru pemimpin dan rakyat hendaklah sebahu dan sederap melangkah memajukan negeri dengan gigih dan iltizam yang jitu.

Patah atap kerana buluh
Terbang melayang burung tempua
Patah sayap bertongkatkan paruh
Namun tetap bersama terbang jua.

Inilah pra syarat dan resipi Melaka Maju Fasa II, Berkat Tepat Cepat.

Wallahu’alam.

Sumber: Pelbagai.

20160505_102105

20160505_113601-2

, , ,

1 Comment