PERBAHASAN BAJET 2017 – KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA (KSM)

  1. Pekerjaan dan perniagaan adalah 2 sumber utama pendapatan rakyat. Antara maklumat yang paling penting bagi KSM ialah Supply & Demand pasaran buruh dan antara tugas utama KSM pula ialah membina upaya modal insan bersama-samaa dengan KPM & KPT, mengurus tenaga kerja dan menyelesaikan masalah perburuhan.
  1. Sehubungan itu, mohon YB Menteri memaklumkan:
  • berapa ramaikah new entrants masuk ke pasaran buruh mengikut (i) umur dan (ii) kelulusan masing-masing pada tahun 2015 dan 2020 (unjuran).
  • berapa banyakkah pula pekerjaan baru yang telah diwujudkan mengikut (i) keperluan kelulusan/kemahiran  & (ii) kumpulan pekerjaan seperti pengurus, profesional, pekeranian, pekerjaan jualan dan sebagainya pada tahun 2015 & 2020 (unjuran)?
  1. Misi kerajaan adalah untuk mewujudkan negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 dengan mewujudkan lebih banyak pekerjaan berpendapatan tinggi di bawah RMK10 & RMK11. Mohon jelaskan mengapa ianya tidak berlaku? Malah apa yang sebenarnya berlaku, mengikut Salaries & Wages Survey, Jabatan Perangkaan, adalah sebaliknya iaitu hampir 90% pekerjaan baru pada tahun 2015 adalah pekerjaan asas iaitu buruh kasar yang bergaji rendah.
  1. Pada masa yang sama, kita kehilangan lebih 30% pekerjaan berpendapatan tinggi seperti profesional bersekutu, pekerja perkhidmatan dan pekerja kemahiran.
  1. Pekerja yang berkelulusan ijazah telah meningkat dengan ketara dalam tempoh 1982 – 1997, iaitu dari 19% ke 26% dan hanya naik 2% ke 28% antara 1997 hingga 2009 tetapi kembali turun ke 26% pada tahun 2015 atau mendatar / stagnant sejak 1997. Mengapakah keadaan ini  berlaku sedangkan setiap tahun semakin ramai yang berkelulusan ijazah memasuki pasaran buruh sebab banyaknya IPTA & IPTS telah diwujudkan?
  1. Dalam konteks untuk  mewujudkan lebih banyak pekerjaan berpendapatan tinggi, bagaimanakah boleh berlaku prestasi pertumbuhan pekerjaan mahir menurun dari 2% pada tempoh 2006 – 2010 kepada 2.6% pada tempoh 2011 – 2015 manakala pekerjaan berkemahiran rendah pula melompat dari 5.3% kpd 7.0% dalam tempoh yang sama?
  1. Mengapakah kita menyediakan lebih banyak pekerjaan  separa kemahiran (5,648,000) berbanding mereka yang layak (5,313,000) manakala kita mengeluarkan lebih ramai pula yang layak (3,175,000) berbanding pekerjaan mahir yang sempat diwujudkan (2,859,000)? Bagaimanakah mismatch supply & demand ini boleh berlaku? Adakah kementerian-kementerian operate in silos seolah-olah di bawah kerajaan yang berlainan?
  1. Malaysia telah menikmati tahap guna tenaga penuh atau full employment sejak 20 tahun yang lalu. Kini kita masih menikmatinya iaitu pada kadar 5% pada bulan Julai 2016. Tahniah diucapkan.
  1. Walau bagaimanapun, bilangan penganggur telah melompat 26% , dari 411,000 orang pada tahun 2014 kepada 516,000 orang pada bulan Julai 2016  kerana kadar pengangguran telah menokok dari 9% kepada 3.5% dalam tempoh yang sama. Diramalkan keadaan ini akan bertambah buruk jika suasana ekonomi global dan serantau yang suram dan muram berterusan. Apakah usaha kerajaan dan KSM untuk mendepani potensi masalah yang besar ini agar kehidupan rakyat tidak semakin tersepit dan terhimpit?
  1. Dilaporkan dalam banyak kajian yang dibuat oleh UM & UKM bahawa diskriminasi di sektor swasta adalah berleluasa, dari peringkat iklan dan pengambilan hinggalah ke peringkat penetapan gaji serta kenaikan pangkat. Sebagai contoh, hanya satu pertiga pekerja baru Cina yang berijazah mendapat gaji permulaan / starting salary bawah RM1,500 tetapi lebih 50% Apakah tindakan KSM untuk mengatasi penyakit kronik diskriminasi ini? Terima kasih.

, , ,

Leave a comment

PERBAHASAN BAJET 2017

YB TS YDP,

1. Saya amatlah berterima kasih di atas peluang YB TS berikan kepada saya untuk membahaskan anggaran Bajet 2017 ini. Seterusnya bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain, saya turut merakamkan tahniah kepada YAB PM merangkap Menteri Kewangan I di atas kejayaan membentangkan Bajet 2017 yang berhemah dan pragmatik itu.

2. Sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab, BN telah menggalas tugas mentadbir dan menguruskan negara dengan cekap dan berkesan. Rekod pentadbiran selama 59 tahun adalah sebagai bukti dan pencapaian HDI di tangga 62 pada tahun 2015 sebagai alibi manakala kemenangan 13 kali dalam PRU merupakan referendum rakyat yang tidak boleh dipertikaikan lagi.

3. Saya juga ingin turut merakamkan tahniah kepada YB dari Titiwangsa di atas kepercayaan YAB PM melantik Datuk sebagai Menteri Kewangan II. Saya yakin Datuk mampu menggalas tugas dan tanggungjawab yang amat berat ini, terutama sekalai di bawah persekitaran geo-poloitik global yang ganas dan tidak menentu serta lanskap ekonomi dunia pula yang muram dan suram. Setakat ini, mengikut cerapan saya, indeed Datuk has handled your job very well.

4. Dalam pada itu, memahami masalah ekonomi yang sukar dan gusar, suram dan muram serta impaknya yang menghimpit kita, terutama sekali kesan ke atas pertumbuhan ekonomi negara yang semakin perlahan serta implikasinya dan sumber kewangan yang semakin merosot sedangkan permintaan, tuntutan dan desakan rakyat terus meningkat, maka saya boleh menjangka dan membayangkan kesulitan, kesukaran dan keperitan Datuk dalam menolong merangka Bajet 2017 ini.

5. Namun telah terbukti, berbekalkan ilmu pengetahuan yang mendalam dan digembeling pula dengan pengalaman yang luas, Datuk telah mampu membantu YAB menyediakan Bajet yang pragmatik, berhemah (prudent) dan mudah difahami serta diterima oleh rakyat.

PENCAPAIAN
YB TS YDP,

6. Diakui kerajaan BN tidaklah sempurna atau perfect tetapi, berdasarkan a basket of indicators berikut, saya inginlah merakamkan beberapa kejayaan kita pada tahun ini.

7. Pertama, dalam keadaan ekonomi global yang lemah dan tidak menentu itu, kita masih mampu mencatatkan prestasi pertumbuhan ekonomi yang agak impresif. Misalnya, pertumbuhan ekonomi kita pada separuh pertama 2016 adalah sebanyak 4.1%, lebih tinggi dari banyak negara saperti Jepun (0.6%), USA (1.2%) dan European Union (1.8%), Singapura (2.1%),

8. Malaysia terus mencatatkan gunatenaga penuh (full employment) selama 20 tahun berturut-turut sekalipun dikatakan aktiviti ekonomi kurang rancak dan banyak negara mengalami kadar pengangguran yang tinggi (melebihi 4%) saperti di UK (4.9%), Australia (5.8%), Peranchis (9.9%), Italy (11.4%), Sepanyol (20%) dan Greek (23.4%).

9. Kadar inflasi kita di tahap yang sihat iaitu 2.3% bagi tempoh 8 bulan pertama manakala sesetengah negara terus begelut dengan kadar inflasi yang tinggi saperti Mesir (15.5%) dan Venezuela (275%) atau kadar inflasi yang rendah saperti UK (0.6%) & USA (1.1%) atau deflasi seperti Jepun (-0.4%). Kadar inflasi yang terlalu tinggi (hyper inflation) atau yang rendah atau negatif (deflasi) adalah tidak sihat.

10. Keamanan – berdasarakan Global Peace Indeks, Malaysia di kedudukan no.30.

11. Kebahagiaan – berdasarkan World Hapiness Index, kedudukan Malayasia no. 47.

12. Kemakmuran – berdasarkan Legatum Prosperity Index, kedudukan Malayasia no. 44.

13. Seterusnya, di peringkat makro, kita kekal berada di kalangan kumpulan High Human Develpment berdasarkan ukuran Human Development Index (HDI) iaitu di tangga ke 62 pada tahun 2015.

14. Kejayaan-kejayaan ini menyuntik keyakinan rakyat dan para pelabur serta para peniaga. Keyakinan itu merupakan pra syarat asas untuk memacu ekonomi negara.

SEMAKAN REALITI (REALITY CHECKS)
YB TS YDP,

15. Dalam pada kita meraikan kejayaan-kejayaan tersebut dengan penuh kebanggaan dan keyakinan, wajarlah pula kita membuat semakan realiti atau reality checks agar kita mengetahui kedudukan yang sebenar, khususnya kelemahan-kelemahan kita dan seterusnya mengambil tindakan pencegahan dan pembetulan (preventive and corrective actions). Pada masa yang sama, kerajaan hendaklah memberikan maklumat yang sebenar dan tepat kepada rakyat dan, yang demikian, lebih mudahlah merayu understanding serta sokongan mereka.

16. Pada masa ini rakyat agak keliru atau confused. Di satu pihak, mereka diberitahu keadaan semuanya cantik dan baik. Di satu pihak lain, keadaan sebenar tidaklah secantik sepertimana yang digambarkan. Contohnya, banyak perniagaan ditutup, ramai diberhentikan, ubat untuk pesakit di hospital kerajaan dikurangkan, pembayaran biasiswa tertangguh dan sebagainya. Kekeliruan seperti ini, jika berteruskan, tentulah tidak sihat.

17. Saya yakin pendekatan yang telus dan ikhlas saperti yang saya sarankan ini akan dapat membantu mengembalikan keyakinan rakyat dan, yang demikian, akan bertambah mudahlah kerajaan menarik sokongan mereka.

18. Pertama sekali kita kenalah akui bahawa walaupun pertumbuahn ekonomi kita masih agak baik berbanding dengan banyak negara, seperti yang saya sebutkan tadi, namun kita patutlah akui bahawa kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia telah terus menurun sejak 2010 (7.2%) kepada 4.1% pada 6 bulan pertama tahun ini. Nampaknya pertumbuhan ini pula tidak sustainable.

19. Leading Economic Indicators menunjukkan kita amat bernasib baik kalau kita dapat mencatatkan kadar pertumbuhan 4.5% bagi tahun ini. Sebab utama ialah kejatuhan harga yang berterusan dan pengurangan pengeluaran komoditi utama, permintaan luar yang lemah dan juga Brexit. IMF mengunjurkan Brexit memberi impak negatif sebanyak -0.1% kepada pertumbuhan ekonomi dunia dan kita turut menerima tempiasnya.

20. Laporan Bank Dunia pula mengunjurkan bahawa pertumbuhan ekonomi negara kita tidak akan mencapai 5% dalam tempoh jangka pendek ini. Punca utama ialah kejatuhan mendadak permintaan barangan yang dikilang (manufactured goods) serta harga minyak mentah yang menjunam dan kekal rendah.

21. Pada masa yang sama ianya didorong oleh “a sharp global financial tightening, a further slowdown in world growth, including the Asia Pacific Region, particularly Asean, and a faster-than anticipated slowdown in China “.

22. Di samping itu, rancangan kerajaan untuk menuju ke tahap “ekonomi berasaskan pengetahuan, ekonomi bernilai-tambah tinggi” (knowledge-based economy, high value-added economy) dibantutkan pula oleh pihak swasta yang mengutamakan ‘labour intensive industries’  kerana lebih suka bergantung kepada tenaga buruh asing yang murah.

23. Di bawah mendung lanskap geo-ekonomi sedemikian rupa, bagaimanakah kerajaan hendak memandu dan memacu ekonomi kita ke tahap kemakmuran yg diimpikan itu?

PEMACU UTAMA
TS YDP,

24. Seterusnya parameters ini yang merupakan pemacu utama pertumbuhan ekonomi merisaukan saya:

24.1 Labour productivity growth kita yang merupakan game changer, bagi tempoh 2009 – 2015, telah menurun kepada 1.2% berbanding 2.81% bagi tempoh 2003 – 2009.

24.2 Berkait rapat dengan prestasi produktiviti yang lemah itu, maka tidak hairanlah kedudukan daya saing Malaysia di peringkat global menurun dari tangga ke 18 ke tangga 25, menurut Laporan World Economic Forum, 2016 – 2017. Apakah tindakan segera untuk meningkatkan semula produktiviti dan daya saing kita itu?

24.3 Akaun dagangan menyusut 16.1% dari RM23.6 bilion (ST2 2015) kepada RM19.8 bilion (ST2 2016),

24.4 Akaun perkhidmatan pula menjunam 76.5% dari RM8.1 bilion (ST2 2015) kepada RM1.9 bilion (ST2 2016). Nampaknya kita berpotensi mengalami defisit kembar dalam akaun semasa. Soalan saya, apakah usaha-usaha yang hendak diambil untuk mengelakkan ancaman ini daripada berlaku?

24.5 Rizab antarabangsa mengecil 16.1% dari RM442 bilion (2013) kepada RM391 bilion (Julai 2016).

24.6 FDI merosot 47.6% dari RM16.8 bilion (ST2 2015) kepada RM8.8 bilion (ST2 2016),

24.7 Dalam pada itu, hutang kerajaan terus melonjak 88.1% dari RM348.6 bilion (2009) kepada RM655.7 bilion (Jun 2016) atau 54.8% daripada nilai GDP kita. Lalu Bayaran Khidmat Hutang melonjak 104% dari RM14.2 bilion (2009) kepada RM26.6 bilion (2016). Nisbah Bayaran Khidmat Hutang pun turut meningkat; dari 9.0% kepada 12.5% dalam tempoh tersebut. Pada tahun 2017, hutang berkenaan akan menokok lagi sebanyak RM40.3 bilion, sebelum ditolak Bayaran Khidmat Hutang, kerana kita kekurangan hasil untuk menampung keseluruhan perbelanjaan.

24.8 Pada masa yang sama, hutang luar negara juga meningkat iaitu sebanyak 57.8% dari RM537.5 bilion (2010) kepada RM848.2 bilion (ST2 2016). Maka Nisbah Khidmat Bayaran Hutang pun melompat dari 7.5% kepada 13.9% dalam tempoh yang sama.

24.9 Penggunaan persendirian (private consumption) mengecil sebanyak 27.6% jika mengambil penjualan kenderaan bermotor pada bulan Julai 2016 berbanding Julai 2015 sebagai proksi, Difahamkan nilai jualan di pasar raya merosot lebih 30%.

Antara kesan segera akibat permintaan luar yang lemah, pelaburan yang menurun dan penggunaan persendirian domestik yang mengecil ini ialah penutupan perniagaan, kehilangan pekerjaan / pendapatan dan kejatuhan GST yang bakal dikutip. Pada masa yang sama, Kerajaan juga hilang sebahagian sumber cukai dari minyak.

24.10 Kadar pengangguran meningkat dari 2.9% pada tahun 2014 kepada 3.5% pada bulan Julai 2016 manakala bilangan penganggur pula melonjak 25.6% dari 411,100 orang pada tahun 2014 kepada 516,200 orang pada bulan Julai 2016. Sebab utama adalah ekonomi yang lemah yang menyebabkan double impact iaitu kurangnya new openings dan hilangnya pekerjaan kerana penutupan kilang / syarikat (hilang 101,000 pekerjaan berpendapatan tinggi) manakala new entrants kira-kira 400,000 orang setiap tahun pula terus memasuki pasaran buruh.

Keadaan ini diperburukkan lagi oleh kehadiran buruh asing yang ramai – sah dan PATI. Dilaporkan bilangan mereka adalah antara 4 juta orang (Menteri KSM) dan 6 juta orang (MEF) Antara kesan yang boleh dijangka ialah kenaikan kadar kemiskinan kerana ketiadaan / kehilangan pendapatan, penglebaran jurang kekayaan serta bertambahnya masalah sosial,

24.11 Malangnya, berkait rapat dengan masalah sosial itu, kombinasi suhu perkauman kita yang semakin tinggi dan tindakan pihak pelampau yang bertambah berani turut membimbangkan saya kerana, berdasarkan Global Peace Index, kedudukan kita telah merosot dari tangga ke 24 pada tahun 2012 kepada tangga ke 30 pada tahun 2015. Lantas Indeks Jenayah yang menunjukkan jenayah berkurangan adalah meragukan.

24.12 Kedudukan kita dari segi kebahagian (happiness) juga telah menurun; dari tangga ke 56 ke tangga ke 61, menurut World Happiness Index.

24.13 Begitu juga kedudukan kekayaan kita telah menurun dari tangga ke 39 (2009) ke tangga 44 (2015) berdasarkan Legatum Prosperity Index.

24.14 Impak semua ini ialah kedudukakn kita, berdasarkan HDI, menurun 2 mata ke tangga 62.

24.15 Seterusnya akibat kesan berganda pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan nilai Ringgit yang lemah berbanding USD, maka sasaran untuk mencapai W2020 dan negara berpendapatan tinggi mungkin tidak tercapai. GNI Per kapita US$9,387 pada tahun 2011 telah menurun kepada US$7,011 pada tahun 2015; jauh di bawah threshold US$12,475.

KEDUDUKAN KEWANGAN
YB TS YDP,

25. Saya menjangkakan Bajet 2017 sudah pasti menjadi instrument untuk mendepani isu-isu rumit yang saya senaraikan tadi dan juga isu-isu lain.

26. Sebelum saya teruskan perbahasan ini, terlebih dahulu saya ingin mencadangkan agar kerajaan membentangkan report card tentang prestasinya yang lepas berlatarbelakangkan janji-janji yang dibuat. Misalnya, berapa banyak rumah PPRT, rumah mampu milik, jalan luar bandar, klinik, sekolah, outcome membantu golongan miskin B40 seperti petani dan nelayan dan sebagainya. Maklumat ini tidak pernah dibentangkan.

27. Untuk meneruskan perbahasan selanjutnya, amatlah penting bagi kita memahami terlebih dahulu kedudukan kewangan kerajaan dari segi hasil yang diperolehi serta liabiliti yang ditanggungnya dan tuntutan rakyat yang perlu dipenuhi. Yang demikian, mudahlah kita memaklumkan kepada rakyat fakta dan gambaran yang sebenarnya.

28. Di samping anggaran jumlah hasil pada tahun ini iaitu sebanyak RM212.6 bilion atau kurang RM13 bilion dari unjuran asal dan unjuran sebanyak RM219.7 bilion pada tahun depan yang telah dibentangkan itu, saya mohon maklumat-maklumat tambahan.

29. Pertama, bagi tempoh tahun 2014 dan 2016, berapa banyakkah:

29.1 hasil berpunca dari petroliam dan barangan berasaskan petroliam?

29.2 hasil dari SST / GST?

29.3 perbelanjaan subsidi?

30. Mengambil kira (a) nilai SST adalah sebanyak RM17 bilion pada taun 2014 dan (b) pengurangan subsidi adalah sebanyak RM15 bilion antara 2014 dan 2016 maka (c) adakah benar pendapat golongan tertentu bahawa GST (RM38.5 bilion) TIDAK diperlukan sekalipun kutipan dari sumber-sumber lain berkurangan?

31. Menurut golongan tersebut, sebarang shortfalls, jika masih ada, bolehlah ditampung melalui penguatkuasaan yang lebih ketat, kutipan cukai yang lebih extensive dan intensive serta pembasmian ketirisan dan penghapusan rasuah?

32. Kedua, berapakah jumlah hutang kerajaan Persekutuan?

32.1 dalam dan luar negara?

32.2 di bawah bajet dan di luar bajet (off budget) saperti PFI, hutang 1MDB, MRT dan Lebuhraya Pan Borneo?

32.3 apakah saiz hutang tersebut dari segi:

(a) nisbah kepada GDP?

(b) defisit fiskal?

(b) dan yang lebih penting lagi, apakah tahap kemampuan membayar balik hutang dari segi debt service ratio?

32.4 mengetahui banyak projek tersebut adalah tidak self financing seperti Lebuhraya Pan Borneo, MRT dan UiTM, mohon diperjelaskan sumber dan kaedah financing and funding masing-masing.

PILIHAN UTAMA
TS YDP,

33. Dalam keadaan ekonomi masa kini, apakah pilihan yang ada pada kerajaan? Pada asasanya, kerajaan mempunyai dua pilihan utama. Pertama, berbelanja mengikut kemampuan hasil yang ada atau mengukur baju di badan sendiri. Atau, kedua, berbelanja lebih dari hasil yang diperolehi tetapi ianya hendaklah dibelanjakan secara produktif, berhemah dan pragmatik dengan tujuan untuk merangsang semula aktiviti ekonomi kita serta melonjakkan semula hasil kerajaan.

34. Pilihan pertama itu, biasanya, amat sesuai diamalkan oleh individu dan sesebuah keluarga tetapi, pada hemat saya, ianya kurang sesuai bagi negara. Pada pendapat saya, pilihan kedua adalah lebih tepat untuk dilaksanakan oleh kerajaan yang mengutamakan kesejahtaeraan hidup rakyat, khususnya keamanan dan kemakmuran. Pendekatan inilah yang telah diambil oleh kerajaan dan saya menyokong sepenuhnya.

35. Dalam lain-lain perkataan, kerajaan menggunapakai pendekatan jaguh ekonomi Lord Keynes untuk memulihkan semula kerancakan aktiviti ekonomi kita kerana, Mengikut Pengrah Urusan IMF, the global growth is too low for too long. Bread is better than butter. Growth is better than butter!

36. Sesungguhnya adalah tepat masanya Kerajaan mengambil alih tugas memandu perjalanan ekonomi ini dari pihak swasta yang sudah pasti lebih berhati-hati dari segi pelaburan baru dan pengembangan (expansion) aktiviti ekonomi mereka.

37. Sekiranya kedua-duanya, kerajaan dan swasta, mengurangkan pelaburan / perbelanjaan masing-masing dalam tempoh yang suram ini maka sudah pasti ekonomi akan menguncup dan rakyatlah yang akan menanggung kesengsaraannya dari segi pengangguran yang meluas, pendapatan yang merosot, kemiskinan yang meningkat dan penyakit sosial yang merebak.

38. Lantas dialu-alukan peningkatan perbelajaan / pelaburan tersebut demi mengekalkan kemakmuran rakyat. Sesungguhnya kerajaan telahpun melaksanakan pendekatan ini sejak suku ke tiga 2015 apabila mencerapi senario yang saya lakarkan tadi. Buktinya, Perbelanjaan Akhir Kerajaan pada suku tahun kedua 2016 telah melonjak sebanyak 6.5% berbanding 3.6% pada suku ke tiga 2015.

39. Tanpa pemacuan tersebut maka sudah pasti kita tidak mampu mencapai pertumbuhan sebanyak 4.1% itu. Yang demikian, kita terus dapat menikmati kemakmuran dalam suasana ekonomi global yang muram, suram dan mencabar itu.

ISU UTAMA
TS YDP,
40. Pada masa yang sama, saya ingin menarik perhatian kerajaan kepada tiga isu utama yang berkaitan dengan pertumbuahn ekonomi dan kemakmuran ini; tiga sahaja iaitu (a) perbelanjaan berhemah, (b) jurang kekayaan dan (c) kos sara hidup.

41. Kini saya ingin menyentuh isu perbelanjaan berhemah dalam konteks best value for money atau value managmement.

Perbelanjaan Berhemah
YB TS YDP,

42. Perkara ini memanglah menjadi paksi pengurusan kewangan kerajaan. YAB PM, antara lain, sering menyarankan penambah-baikan sistem penyampaian perkhidmatan, peningkatkan produktiviti, mengurangkan pembaziran dan ketirisan, value for money dan less for more. Saranan dan amalan ini menjadi lebih kritikal lagi dalam keadaan kita mengalami kekurangan hasil dan aktiviti ekonomi yang kurang rancak dan, pada masa yang sama, perlu juga membetulkan ketidak-seimbangan monetarI dan fiskal.

43. Sehubungan itu, saya ingin membuat tiga saranan utama. Pertama, menambah hasil, kedua mengawal kos dan, ketiga, menyusun semula keutamaan.

44. Memperkenalkan cukai baru atau menaikkan kadar cukai yang sedia ada dengan harapan untuk menambah hasil kerajaan adalah tidak sesuai dalam persekitaraan sekarang ini. Maka sebab itulah kerajaan amat berhati-hati dalam memperkenalkan cukai baru.

45. Lantaran itu, ruang yang ada ialah memperkasakan lagi usaha mengutip cukai, terutama ke atas evaders dan avoiders. Forensic scrutiny hendaklah dibuat ke atas akaun syarikat-syarikat gergasi, terutama mereka yang bijak dalam menyediakan creative accounting. Bertepatan dengan syor ini maka saya menyokong penuh tindakan kerajaan menubuhkan Collection Intelligence Arrangement itu.

46. Sesungguhnya pengurusan dan pengawalan kos / perbelanjaan yang berhemah pula hendaklah meresapi keseluruhan sistem pentadbiran kerajaan. Dari pusat di Putrajaya hinggalah ke PBT di Kudat dan Baram. Dari pembelian yang kecil seperti pen dan pensil hinggalah kepada projek bernilai berbilion Ringgit seperti MRT.

47. Sebagai contoh, difahamkan kos asal BRT Sunway sepanjang 5.5 km itu ialah RM300 juta. Namun kosnya telah melonjak 110% kepada RM634 juta dan purata kosnya seKM adalah sebanyak RM115 juta bagi 1,000 penumpang. Kos ini tentulah dilihat begitu exorbitant dan membuat kita melopong jika dibandingkan dengan kos membina seKm LRT yang lengkap di Jakarta dan boleh membawa 20,000 penumpang. Sudah tentu kos koc LRT lebih mahal dari bas tetapi kos LRT Jakarta hanyalah RM80 juta seKM!

48. Begitu juga dengan kos membina MRT. Semasa membentangkan Bajet 2011, YAB PM/MKI telah memaklumkan kepada Dewan yang mulia ini bahawa ianya adalah dibiayai oleh pihak swasta. Kini, saya difahamkan, ianya ditanggung oleh kerajaan. Bagaimanakah ianya boleh bertukar sedemikian? Adakah kos tersebut kini telah dimasukkan ke dalam Bajet 2017?

49. Dalam pada itu, nampaknya kos pembinaannya macam tidak terkawal. Mengikut laporan, kos pembinaan MRT1 kita adalah sebanyak RM451 juta per KM; 110% lebih tinggi dari kos membina MRT Jakarta iaitu hanyalah RM215 juta! Jika dibandingkan dengan Singapura pun kita lebih mahal – RM442 juta per KM! Anggaran kos asal sapertimana yang diunjurkan oleh PEMANDU hanyalah RM40 bilion. Dilaporkan kini ianya telah menjangkau lebih RM70 bilion! Adakah laporan tersebut benar?

50. Kos membina MRT2 juga lebih tinggi dari kos membina MRT1. Setelah dibuat normalisation dari segi underground dan elevation, kos pembinaan MRT1 adalah sebanyak RM328.6 juta / KM berbanding RM404.0 juta/KM untuk membina MRT2 iaitu lonjakan asebanyak 23%!

51. Nampaknya kita perlu lebih serius lagi dengan saranan value for money dan less for more itu!

52. Di samping itu, dalam kedudukan kewangan kita yang terhad dan berkurangan ini, saya ingin menyarankan agar disusun semula keutamaan kita dengan memberi perhatian kepada konsep marginal utility dan low investment high return.

53. Sehubungan itu, pertama, kerajaan hendaklah mencari pilihan lain yang viable tetapi lebih murah dan cost effective. Mengambil contoh di atas, Kerajaan sewajarnyalah membina BRT dan bukannya MRT.

54. Di samping itu, dalam keadaan Kementerian Kesihatan terpaksa memotong perbelanjaan sebanyak RM300 juta kerana kekurangan peruntukan dan bergelut dengan kematian, wajarkah kerajaan (Khazanah Malaysia) berbelanja RM650 juta untuk mengindahkan kawasan Tugu Negara atas nama better life style?

55. Wajarkah kerajaan menghabiskan wang rakyat sebanyak RM100 juta dengan membina jambatan pejalan kaki yang menghubungkan KL Sentral dengan Taman Tasik yang mana unjuran purata penggunanya tidak sampai pun 1,000 orang sehari?

56. Patutkah kerajaan memboros RM350 juta ke atas sebuah terowong yang menghubungkan stesyen MRT di depan Muzium Negara dengan KL Sentral sedangkan ianya berhampiran dengan jambatan pejalan kaki tersebut dan unjuran purata penggunanya juga tidak sampai pun 1,000 orang sehari?

57. Kedua, kerajaan hendaklah menambah dan mengutamakan projek luar bandar dan untuk membantu B40 serta M40. Dalam hal ini, saya mengalu-alukan semua langkah yang telah diumumkan khusus untuk membantu golongan sasar ini seperti penambahan bantuan BR1M, perumahan, penyelenggaran rumah flat, klinik kesihatan, jalan luar bandar dan bekalan air serta api.

58. Namun masih banyak lagi isi rumah luar bandar di Kelantan, Pahang, Sabah dan Sarawak yang belum lagi mendapat kemudahan asas seperti air dan letrik. Apa yang menimbulkan kemarahan rakyat dan menyusahkan pula kerajaan ialah kadar pelaksanaannya amatlah lambat. Pengumuman dibuat saban tahun tapi ianya umpama mendengar guruh dilangit tetapi hujan tidak turun-turun.

59. Khusus bagi Melaka, saya mohon agar kali ini kerajaan mengotakan janjinya sejak RMK 9 untuk membina Kolej Sain Kesihatan Bersekutu di Melaka yang mana tapaknya telah pun disediakan dan membina Pusat Kadiologi di Hospital Melaka yang telah dijanjikan dalam RMK10.

60. Peruntukan dan perhatian hendaklah ditumpukan ke arah menambah pendapatan mereka seperti memodenkan sektor pertanian, menumpukan kepada pengeluaran produk berhasil tinggi saperti durian Musang King, membantu pemasaran secara online yang mana 7.3 bilion penduduk dunia boleh menjadi pasaran yang terbentang luas.

61. Golongan B40 dan M40 pula hanya memerlukan rumah yang mampu milik; bukan istana yang hanya mampu tenguk. Mereka memerlukan pekerjaan yang mampu memberikan pendapatan yang munasabah dalam keadaan kos sara hidup yang terus meningkat dan pendapatan yang stagnant.

62. Malangnya, data terkini menunjukkan bahawa walaupun kerajaan menjanjikan pengwujudan pekerjaan berpendatan tinggi tetapi apa yang berlaku ialah 88% atau 271,000 dari 310,000 pekerjaan baru pada tahun 2015 adalah dalam kategori pekerjaan asas / buruh kasar. Gaji median bulanan kategori ini adalah bawah RM1,000.

63. Dalam pada itu, tindakan BNM memanjangkan tempoh bayaran balik hanya membebankan lagi golongan ini yang mana hutang isi rumah sudahpun merupakan yang tertinggi di Asia (2015 = 89.1% daripada GDP). Dalam pada itu, tindakan tersebut menguntungkan pula pemaju dan bank.

64. Kerajaan sepatutnya mengawal harga rumah supaya tidak melebihi empat kali ganda gaji median tahunan kumpulan tersebut. Inilah threshold atau benchmark tahap mampu milik.

65. Dalam konteks pekerjaan dan gaji ini, kerajaan disarankan supaya mengambil tindakan drastik dan segera untuk menyelesaikan isu buruh asing ini. Sekurang-kurangnya terdapat tiga sebab utama tindakan segera perlu diambil.

66. Pertama, sebahagian besar iaitu kira-kira 50% dari 1.8 juta pekerjaan baru yang diwujudkan di bawah ETP telah dirampas oleh pendatang asing ini. 56% pekerja asing sebenarnya bekerja dalam sektor berpendapatan tinggi; Hanya 44% daripada mereka yang menjadi buruh kasar. Justeru persepsi bahawa majoriti mereka itu bekerja 3D adalah tidak betul.

67. Kedua, kebanjiran pendatang asing yang ramai kerana tarikan nafsu para majikan akan menyebabkan rancangan kerajaan untuk memperluaskan knowledge-based economy, high value-added economy terbantut kerana majikan masih berminat dengan labour intensive industries disebabkan upah buruh yang rendah. Buktinya, seperti yang saya katakan awal tadi, 88% daripada pekerjaan baru adalah dalam kategori buruh kasasr.

68. Ketiga, oleh kerana majikan lebih berminat untuk mengambil pendatang ini kerana mereka bersedia menerima gaji yang lebih rendah maka mereka ini telah menekan gaji daripada berpeluang untuk meningkat. Justeru B40 terus kekal dalam kelompok yang sama.

69. PEMANDU telah mengunjurkan seramai 7 juta pekerja atau 43% akan masih menerima gaji bawah RM2,000 sebulan pada tahun 2020 nanti. Keadaan ini amatlah membimbangkan kerana masih ramai yang berpendapatan rendah (pendapatan median RM1,600 sebulan) sedangkan kita dijangka telah mencapai taraf ekonomi berpendapatan tinggi pada masa itu.

70. Justeru kerajaan hendaklah segera kembali kepada saranan dalam RMK10 dan 11 yang mahu mewujudkan lebih banyak pekerjaan berpendapatan tinggi. Sesungguhnya pendekatan tersebut bukan saja mampu membasmi kemiskinan malah, yang lebih penting lagi, membolehkan kemakmuran dikongsi bersama (shared prosperity).

Jurang Kekayaan
YB TS YDP,

71. Turut membimbangkan ialah jurang kekayaan kini semakin melebar dan dijangka akan terus melebar. Sebagai contoh, antara 2009 dan 2012, pemilikan rumah kediaman Bumiputera menurun dari 27.2% kepada 26.1%, pemilikan terraced factories / warehouses merosot dari 45% kepada 35.1%, commercial buildings mengecil dari 5.8% kepada 5.4% dan industrial complexes menyusut dari 3.1% kepada 0.2%. Sudahlah sikit semakin menyusut pula.

72. Pemilikan kekayaan bukan Bumiputera sudahlah membukit semakin menggunung pula!

73. Untuk mengetahui keadaan terkini agar kita sama-sama boleh menangani beban jurang kekayaan ini, saya mohon agar YAB PM memaklumkan kepada Dewan yang mulia ini nilai dan peratus pemilikan berbagai aset saperti yang disebutkan tadi mengikut kaum.

74. Juga dipohon jumlah bilangan profesional mengikut bidang masing-masing seperti doktor, peguam, jurutera dan lain-lain lagi mengikut kaum dan dinisbahkan mengikut kaum masing-masing.

75. Dari segi purata pendapatan bulanan isi rumah pula, jurang antara kaum juga lebar. Sebagai contoh, purata pendapatan bulanan isi rumah Bumiputera pada tahun 2014 hanyalah 72% (RM5,548) dari apa yang dimiliki oleh kaum Cina (RM7,666) atau 88% dari apa yang diperolehi oleh kaum India (RM6,246). Maklumat lanjut terdapat di sini https://darahtuah.wordpress.com/2016/01/08/jurang-pendapatan-tambah-melebar-selepas-2009/

76. Jurang kekayaan dan pendapatan yang melebar ini merupakan isu besar yang boleh mengancam keamanan dan kemakmuran negara kerana kaum yang terpinggir itu adalah kumpulan majoriti iaitu kaum Bumiputera.

77. Lantaran itu, tindakan mitigasi dan intervensi yang positif dan konstruktif hendaklah segera diambil dari segi menyemak semula segala dasar dan kaedah pelaksanaan yang telah menyumbang kepada jurang yang melebar itu. Antara yang perlu disegerakan ialah melaksanakan janji YAB PM yang telah beliau lafazkan pada 30 Mac 2010 semasa melancarkan Model Baru Ekonomi (MBE).

“A fair distribution must encompass the whole spectrum of measuring wealth such as equity ownership, other financial and non-financial assets, and access to wealth creating opportunities such as long term concessions and contracts. Even in measuring ownership, it should go beyond equity to include other properties, such as retail, landed properties, comercial buildings, intelectual property and other services as well as managerial positions”

78. Sementara kita masih mempunyai masa untuk mendepani PRU14 maka wajarlah kita menyegerakan tindakan mitigasi ini kerana sesunguhnya ingatan YAB PM pada 11 November 2013 boleh memercikkan peluh dingin:

“This is not simply a matter of economic justice; it is also of national stability. Poverty and inequality have a destabilising and corrosive effect on societies. Why should law and order mean anything to people who hardly benefit from them? Why should the marginalised support a political system if it only widens the gap between the rich and the poor?”

79. Menyentuh tentang fair distribution, inequality and marginalised group, sesungguhnya Malaysia amatlah aneh dan unik. Ianya aneh dan unik kerana kumpulan majoriti memegang tampuk kuasa politik/pemerintahan tetapi golongan yang sama itulah yang terpinggir dari segi ekonomi dan pemilikan kekayaan negara.

80. Menyusuri juarang kekayaan dan pendapatan yang dilakarkan itu, amatlah merunsingkan lagi apabila kita meneliti pula statistik yang menelanjangkan kebobrokan kaum majoriti ini:

• Lebih 75% orang miskin (B40) = Bumiputra
• Lebih 75% pekerja am = Bumiputera
• Lebih 75% bergaji rendah = Bumiputera
• Lebih 70% bekerja sendiri = Bumiputera
• Lebih 70% penganggur = Bumiputera
• Lebih 70% peminjam PTPTN = Bumiputera

Jumlah Bumiputera berada dalam cengkaman kemiskinan ini = 5 juta.

81. Kebanyakan mereka ini tidak memiliki jaring keselamatan (safety net) seperti gaji minima RM1,000 sebulan, pencen, EPF, SOCSO, insuran dan sebagainya. Lantas yang menjadai sasaran salah menyalah ialah kerajaan.

82. Justeru jika kerajaan dapat merangka serta melaksanakan dasar dan program yang poor-biased / shared prosperity dengan fokus untuk mengatasi masalah mereka itu, terutama sekali menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan untuk menambah pendapatan dan mengurangkan beban mereka serta menyediakan jaring keselamaatan, maka pasti saranan YAB agar “janganlah harta itu berlegar di kalangan orang-orang kaya di antara kamu sahaja” akan menjadi kenyataan. Sekali gus majoriti golongan ini akan kembali menyokong kerajaan.

83. Sehubungan dengan jaringan keselamatan itu, sukalah saya menyarankan agar kemudahan SOCSO yang diberikan kepada pemandu teksi turutlah dipanjangkan juga kepada kumpulan-kumpulan lain di bawah B40 seperti petani, nelayan, peniaga kecil dan sebagainya. Kemudahan insuran sepertimana yang diberikan kepada PKS wajarlah juga dipanjangkan kepada mereka.

Kos Sara Hidup
YB TS YDP,

84. Awal tadi saya ada menytakan bahawa kadar inflasi kita berada di tahap yang sihat dari segi ekonomi. Namun ianya bukanlah bermakna kadar inflasi tidak meningkat setiap tahun. Ianya juga tidaklah bermakna semua rakyat hidup selesa. Dalam keadaan majoriti rakyat berpedapatan rendah iaitu bawah RM4,585 sebulan, real wages pula menurun manakala kos sara hidup meningkat maka kehidupan rakyat bertambahlah perit.

85. Proksi peningkatan kos sara hidup ini boleh dilihat dari kenaikan kadar inflasi. Pada tahun 2012, misalnya, kadar inflasi kita hanyalah 1.6%. Pada bulan September 2015, kadar ini telah melompat hampir 2 kali ganda kepada 3.1%! Kini ia meningkat lagi sebanyak 2.3% bagi tempoh 8 bulan pertama tahun ini.

86. Yang demikian, adalah wajar sekali pendekatan serampang dua mata dilaksanakan segera iaitu (a) usaha menambah pendapatan melalui pengwujudan lebih banyak peluang pekerjaan dan menjana peluang perniagaan serta (b) mengawal kenaikan kos sara hidup.

87. Jawatankuasa Khas Ekonomi telah diwujudkan. Apakah faedah yang telah dinikmati oleh rakyat?

YB TS YDP,

88. Mohon semua syor yang telah saya majukan ini dipertimbangkan dengan saksama.

24 Oktober 2015.

Leave a comment

Status Kaum di Malaysia

untitled1

,

1 Comment

KEDUDUKAN TERKINI EKONOMI MALAYSIA

untitled

untitled2

 

 

,

Leave a comment

Prestasi Mencapai Tahap Negara Berpendapatan Tinggi

untitled

,

Leave a comment

Kejadian di Masjid Kampung Tedong, Melaka

Kalaulah kerana tiupan angin, maka ia mengundang pertanyaan2 berikut:

1. Angin mlm tu bertiup kencang dari beberapa hala dlm tempoh yg pendek? Angin puting beliong?

2. Kalaulah angin puting beliong, mengapa penghadang tu tak tumbang, bhgn2 lain masjid tak rosak dan kawasan sekitar tak tersentuh pun?

3. Mengapa 2 penghadang itu tak bergerak serentak sekali pun berlainan arah?

4. Mengapa penghadang tu blh ‘berehat’ serta merta? Apa berlaku pd momentumnya?

5. Angin boleh bertiup dari celah dinding?

6. Mengapa kipas angin tak kuat berpusing?

Kejadian yg unik di Masjid Tedong:

1. Kejadian ini Sahih berlaku pd 28 Mei lalu jam 3.20 pagi.

2. Sedar ia mdpt perhatian ramai.

3. Sedar terdapat bbrapa tafsiran dan pandangan. Harap ianya tak menjadi kontroversi.

4. LMT  berpendapat kejadian itu berlaku dgn izin Allah jua dan mungkin ada hikmah tertentu serta tak ada pula musibah akan menimpa ke atas kami.

5. Bagi tujuan mendalami ilmu, LMT bersedia utk mengkongsikan rakaman CCTV berkenaan utk dikaji oleh pihak yg berauthoriti.

 

 

Leave a comment

Prestasi Datuk Seri Idris Haron

MENYUSURI PENCAPAIAN DATUK SERI IR HJ IDRIS HJ HARON, KETUA MENTERI MELAKA, 2013 – 2015: KEJAYAAN SUDAH MENYERLAH

Senario tanaman

Jika kita menanam taugeh, kita perlu menunggu antara 68 jam – 72 jam untuk mendapat hasilnya; bukannya boleh dapat pada hari yang sama.

Jika kita menanam hibrid padi, kita perlulah menunggu kira-kira 110 hari sebelum ianya boleh dituai.

Jika kita menanam pisang, kita perlulah menanti 8 – 12 bulan masa berlalu sebelum buahnya boleh dipetik.

Jika kita menanam kelapa sawit, buahnya hanya boleh dipetik dalam tempoh dua tahun setengah hingga ke tiga tahun selepas ianya ditanam.

Jika kita menanam durian pula, kita hendaklah sabar menunggu buahnya gugur antara empat hingga lima tahun selepas ianya ditanam.

Demikianlah secara rengkas senario penantian masa sebelum sesuatu hasil tanaman itu dapat dinikmati. Ianya berbeza-beza; bergantung kepada benih yang ditanam.

Begitulah juga senarionya jika kita mahu menilai prestasi atau pencapaian seseorang ketua kerajaan. Malah masa yang lebih panjang lagi diperlukan untuk melihat hasil dan impak sesuatu projek pembangunan, khususnya yang berasaskan tanah atau land-based development.

Biasanya ianya memerlukan perkhidmatan sekurang-kurangnya selama dua penggal.

Yang demikian, untuk berlaku adil, penilaian terhadap prestasi atau pencapaian kepimpinan YAB Datuk Seri Ir Hj Idris Haron sebagai Ketua Menteri Melaka, yang baru berusia tiga tahun, wajarlah dilihat dalam konteks senario yang saya lakarkan di atas itu.

Namun begitu, izinkan saya meninjau dan menyusuri prestasi beliau sejak mengambil alih tampuk pentadbiran dari sudut yang dekat dengan hati rakyat yang memerlukan pembelaan kerajaan (ekonomi rakyat) dan hati para pelabur yang menjana pertumbuhan ekonomi (ekonomi modal). Saya akan menumpukan kepada beberapa angkubah (variables) penting sahaja.

Agihan Pertumbuhan Ekonomi

Dari segi mengurus dan mengemudikan ekonomi negeri, wajarlah diingat bahawa, sejak tahun 2013 hinggalah sekarang, Datuk Seri terus menghadapi persekitaran geo-politik serta ekonomi serantau dan dunia yang amat sukar lagi mencabar. Namun begitu, alahamdulillah, dalam konteks tersebut, secara relatif, beliau telah berjaya mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang sungguh memberangsangkan.

Pada tahun 2014, ekonomi / KDNK (GDP) Melaka tumbuh pada kadar 7.6%; ianya lebih tinggi dari pertumbuhan di peringkat negara sebanyak 6% dan jauh pula meninggalkan pertumbuhan di peringkat dunia yang hanyalah mencatatkan 3.4%. KDNK bagi tahun 2015 sedang disediakan. Diunjurkan pertumbuhan KDNK Melaka bagi tahun lepas tetap lebih tinggi dari pertumbuhan KDNK Malaysia (5%); dijangka ianya melebih 6%.

Yang lebih penting dari pertumbuhan per se itu ialah pertumbuhan ekonomi ini hendaklah turut memberi manfaat besar kepada rakyat, bukan sekadar kepada ekonomi negeri semata-mata. Ianya adalah pertumbuhan yang diagihkan (distributive growth), bukannya pertumbuhan semata-mata (growth only).

Pendapatan Isi rumah yang meningkat

Sebagai contoh, ekoran dari pertumbuahn ekonomi ini, purata pendapatan kasar isi rumah Melaka telah turut meningkat. Ianya meningkat sebanyak 12%, dari RM4,759 sebulan pada tahun 2012 kepada RM6,046 sebulan pada tahun 2014. Pendapatan semua kaum juga sama-sama meningkat; tiada kaum yang tercicir atau tertinggal.

Misalnya, pendapatan kasar isi rumah Melayu telah melompat sebanyak 26% dalam tempoh yang sama, dari RM4,600 sebulan kepada RM5,800 sebulan.

Impaknya, antara lain, ialah kadar kemiskinan kini hampir sifar (0.1%) pada tahun 2012 dan 2014.

Selain daripada itu, kita juga dapat menyaksikan lonjakan bayaran zakat pendapatan dan zakat perniagaan dalam tempoh tersebut serta pertambahan pembayar zakat. Sekali gus ianya membuktikan bahawa ekonomi Melaka berkembang secara menyeluruh dan memanfaatkan rakyat, termasuklah orang Islam.

Zakat melonjak

Zakat pendapatan melonjak kira-kita 46%, dari hampir RM21 juta pada tahun 2012 kepada RM30 juta pada tahun 2014. Pada tahun 2015, bayaraan zakat ini telah menokok kepada RM35 juta (+16%). Kenaikan ini pula menggambarkan bahawa pendapatan isi rumah telah mengukuh pada tahun yang sama, khususnya pendapatan isi rumah Muslim, walaupun tiada Penyiasatan / Kajian rasmi dilaksanakan pada tahun tersebut.

Dalam tempoh 2012 – 2014 itu, pembayar zakat pendapatan telah bertambah hampir 20%, dari kira-kira 21,500 orang kepada 25,700 orang. Bilangan mereka bertambah lagi 14% pada tahun 2015 kepada 29,200 orang.

Dalam tempoh yang sama, bayaran zakat perniagaan telah melompat hampir 28%, dari kira-kira RM9 juta kepada RM11 juta. Pada tahun 2015, nilai zakat ini terus meningkat dan telah mencatatkan lebih RM12 juta (+12%). Pembayar zakat kategori ini pula telah bertambah dari 1,100 orang kepada 1,400 orang (+27%) dan terus meningkat kepada 1,500 orang pada tahun 2015 (+8%).

Kadar pengangguran hampir sifar

Aktiviti ekonomi yang rancak telah menjana peluang pekerjaan yang banyak. Yang demikian, Datuk Seri telah mampu mengekalkan kadar pengangguran sekitar 1%, atau hampir sifar, pada tahun 2015. Kadar ini bukan sahaja terendah di Malaysia (3.1%) bahkan ianya terendah di kalangan semua negara maju (6.7%) dan jauh di bawah paras kadar pengangguran dunia (5.8%). Beliau juga berjaya mengekalkan kadar gunatenaga penuh (full employment) sepanjang tiga tahun yang lalu di mana kadar pengangguran terus berada di bawah paras 4%!

Kos sara hidup yang sederhana

Selain dari isu pertumbuhan ekonomi, pendapatan dan pekerjaan, isu kos sara hidup juga dekat dengan hati nurani rakyat. Sama saperti ketiga-tiga angkubah berkenaan, Datuk Seri juga telah berjaya mengendalikan isu kos hidup ini dengan berkesan.

Di negara kita, kos sara hidup atau kadar inflasi diukur dengan menggunakan Indeks Harga Pengguna (CPI) sebagai proksi kayu pengukurnya.

Sebelum itu, wajarlah diingatkan bahawa inflasi adalah umpama kolestoral; ada yang baik (good) dan ada pula yang jahat (bad).

Ramai pengguna biasa berpendapat bahawa hanya kenaikan harga yang tinggi, hyper inflation dan stagflasi sahaja yang buruk. Sebenarnya inflasi sifar (zero inflation) atau inflasi rendah saperti di USA serta deflasi (deflation) atau kejatuhan harga saperti yang dialami oleh Jepun berdekad lamanya juga tidak sihat kepada ekonomi.

Melaka dan Malaysia pernah diserang stagflasi pada awal tahun 1970an, mengalami deflasi dari bulan Jun 2009 – November 2009 (-0.1% hingga -3.4%) dan bergelut dengan inflasi yang dianggap telah begitu tinggi pada bulan Mei 2008 – Januari 2009 (4.0% – 9.5%). Namun serangan inflasi kita itu tidaklah seteruk apa yang pernah dialami oleh Mesir, Venezuela dan Zimbabwi.

Kadar inflasi yang sihat untuk ekonomi ialah kadar inflasi yang sederhana.

Tidak dinafikan bahawa rakyat Melaka kini sedang berdepan dengan kos sara hidup yang kian meningkat. Namun ianya tidaklah seteruk tahun 2008. Kita amatlah bertuah kerana Datuk Seri mampu mengawal dan menguruskan kadar inflasi kita di tahap yang sederhana. Purata kadar inflasi kita sepanjang tiga tahun yang lalu hanyalah 2.4%! Sesungguhnya ianya adalah sihat dari sudut ekonomi.

Dengan kenaikan pendapatan (12%) yang jauh melebihi kenaikan kadar inflasi (7.2%) maka sesungguhnya penduduk Melaka telah menikmati kenaikan pendapatan sebenar. Justeru kehidupan kita jauh lebih baik, misalnya, dari kehidupan rakyat Brazil, Venezuela, Mesir, Indonesia, Greek, Sepanyol dan sebagainya yang dicengkam oleh kemiskinan, dibebani oleh pendapatan yang merosot, dihimpit oleh kadar pengangguran yang tinggi serta ditekan pula oleh kadar inflasi yang tidak sihat.

Pelaburan

Akhirnya saya ingin menyentuh angkubah pelaburan yang merupakan salah satu pemandu ekonomi (economic driver) yang kritikal dalam konteks ekonomi modal.

Dalam suasana ekonomi global yang suram dan muram maka permintaan luar (eksport) turut menjadi lemah. Yang demikian, ekonomi Melaka dan Malaysia perlulah lebih bergantung kepada rangsangan permintaan domestik yang efektif dan pelaburan yang besar untuk menyuntik pertumbuhan ekonominya.

Berdasarkan maklumat pendapatan isi rumah di atas, jelaslah kita bernasib baik kerana pendapatan isi rumah kita telah meningkat dengan ketara (12%). Justru ianya telah membantu memacu permintaan domestik dan, yang demikian, membantu pula merangsang pertumbuhan ekonomi.

Pada masa yang sama, dalam suasana para melabur mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’, Datuk Seri pula telah menjadi seorang marketing advisor / sales advisor yang berjaya menjual Melaka kepada para pelabur dalam negeri dan luar negeri. Manifestasi kejayaan tersebut dapat kita saksikan melalui kenaikan mendadak nilai pelaburan yang diluluskan setiap tahun, dari RM1.5 bilion pada tahun 2013 kepada hampir RM7 bilion pada tahun lepas. Ia merupkan lonjakan sebanyak 360% sedangkan, dalam tempoh yang sama, nilai pelaburan yang diluluskan di peringkat Malaysia telah merosot 5%, dari RM52.1 bilion kepada RM49.5 bilion.

Dalam tempoh 3 tahun itu, beliau telah berjaya membawa masuk pelaburan yang diluluskan oleh MIDA bernilai hampir RM13 bilion; 62% daripadanya ialah pelaburan domestik (DDI) manakala baki 38% lagi ialah pelaburan asing (FDI). Pelaburan ini bersama-sama dengan penggunaan domestik telah menjana sebahagian besar pertumbuhan ekonomi Melaka.

Apa yang dilakarkan ini hanyalah merupakan sebahagian sahaja dari Kad Laporan (Report Card) Datuk Seri bagi tempoh tiga tahun yang lalu. Banyak lagi yang perlu dinilai dan dilaporkan.

Pada masa yang sama, beliau masih lagi di peringkat awal tempoh pentadbiran. Namun kejayaan beliau sudah menyerlah dan kita telahpun menikmati faedahnya.

Terbukti beliau umpama pohon nan rendang yang boleh menjadi tempat kita tumpang berlindung dan berteduh.

Pergi ke huma pergi ke ladang
Tanam nenas di rumpun buluh
Datuk Seri umpama pohon nan rendang
Hujan dan panas tumpang berteduh.

Tahniah dan ribuan terima kasih, Datuk Seri.

Berkat Tepat Cepat

Diyakini banyak lagi yang ingin beliau usahakan di bawah Melaka Maju Fasa II ini dengan BERKAT TEPAT CEPAT. Contohnya, tentunya beliau mahu melihat pendapatan isi rumah rakyat Melaka melonjak dengan ketara menjelang tahun 2020. Untuk mencapai visi tersebut, gaji para pekerja, mislanya, perlulah dinaikkan ke tahap yang setara dengan gaji pekerja di negara berpendapatan tinggi.

Pada masa ini, separuh daripada keseluruhan pekerja di Melaka mempunyai gaji di bawah RM1,500 sebulan. Untuk mencapai objektif berkenaan, sudah tentulah beliau perlu berunding dengan para majikan dan warga pekerja secara berhemah. Banyak faktor perlu diambil-kira, termasuklah produktiviti, daya saing dan ketahanan syarikat.

Dalam pada itu, beliau tentunya mahu berhati-hati kerana tidak ingin melihat pisang berbuah dua kali. Tidak guna berhempas pulas memaju dan membangunkan negeri tetapi akhirnya parti beliau sendiri kehilangan pusat pentadbiran dan kuasa sepertimana hilangnya DUN Kota Laksamana & Parlimen Kota Melaka serta terlepasnya DUN Ayer Keroh, DUN Bukit Baru & Parlimen Bukit Katil.

Maka sudah tentulah beliau ingin merancang dengan lebih teliti dan TEPAT lagi.

Akhirnya, tentulah beliau mahu kesemua yang difikir, dirancang dan diusahakan itu mendapat keredhaan Allah SWT agar kita pula mendapat BERKATNya. Tidak guna Tepat dan Cepat jika tidak Berkat.

Resipi: Sokongan padu

Untuk membantu Datuk Seri berjaya dalam memaju dan memakmurkan Negeri Hang Tuah yang bertuah ini dan kita pula yang mendapat nikmat kejayaan itu maka seluruh rakyat negeri Melaka perlulah memberikan sokongan padu kepada beliau.

Beliau tidak boleh memandu seorang diri dan kita pula tidak boleh maju kehadapan tanpa kepimpinan yang tegas, berkesan dan berwawasan.

Justru pemimpin dan rakyat hendaklah sebahu dan sederap melangkah memajukan negeri dengan gigih dan iltizam yang jitu.

Patah atap kerana buluh
Terbang melayang burung tempua
Patah sayap bertongkatkan paruh
Namun tetap bersama terbang jua.

Inilah pra syarat dan resipi Melaka Maju Fasa II, Berkat Tepat Cepat.

Wallahu’alam.

Sumber: Pelbagai.

20160505_102105

20160505_113601-2

, , ,

1 Comment