Kejadian di Masjid Kampung Tedong, Melaka

Kalaulah kerana tiupan angin, maka ia mengundang pertanyaan2 berikut:

1. Angin mlm tu bertiup kencang dari beberapa hala dlm tempoh yg pendek? Angin puting beliong?

2. Kalaulah angin puting beliong, mengapa penghadang tu tak tumbang, bhgn2 lain masjid tak rosak dan kawasan sekitar tak tersentuh pun?

3. Mengapa 2 penghadang itu tak bergerak serentak sekali pun berlainan arah?

4. Mengapa penghadang tu blh ‘berehat’ serta merta? Apa berlaku pd momentumnya?

5. Angin boleh bertiup dari celah dinding?

6. Mengapa kipas angin tak kuat berpusing?

Kejadian yg unik di Masjid Tedong:

1. Kejadian ini Sahih berlaku pd 28 Mei lalu jam 3.20 pagi.

2. Sedar ia mdpt perhatian ramai.

3. Sedar terdapat bbrapa tafsiran dan pandangan. Harap ianya tak menjadi kontroversi.

4. LMT  berpendapat kejadian itu berlaku dgn izin Allah jua dan mungkin ada hikmah tertentu serta tak ada pula musibah akan menimpa ke atas kami.

5. Bagi tujuan mendalami ilmu, LMT bersedia utk mengkongsikan rakaman CCTV berkenaan utk dikaji oleh pihak yg berauthoriti.

 

 

Leave a comment

Prestasi Datuk Seri Idris Haron

MENYUSURI PENCAPAIAN DATUK SERI IR HJ IDRIS HJ HARON, KETUA MENTERI MELAKA, 2013 – 2015: KEJAYAAN SUDAH MENYERLAH

Senario tanaman

Jika kita menanam taugeh, kita perlu menunggu antara 68 jam – 72 jam untuk mendapat hasilnya; bukannya boleh dapat pada hari yang sama.

Jika kita menanam hibrid padi, kita perlulah menunggu kira-kira 110 hari sebelum ianya boleh dituai.

Jika kita menanam pisang, kita perlulah menanti 8 – 12 bulan masa berlalu sebelum buahnya boleh dipetik.

Jika kita menanam kelapa sawit, buahnya hanya boleh dipetik dalam tempoh dua tahun setengah hingga ke tiga tahun selepas ianya ditanam.

Jika kita menanam durian pula, kita hendaklah sabar menunggu buahnya gugur antara empat hingga lima tahun selepas ianya ditanam.

Demikianlah secara rengkas senario penantian masa sebelum sesuatu hasil tanaman itu dapat dinikmati. Ianya berbeza-beza; bergantung kepada benih yang ditanam.

Begitulah juga senarionya jika kita mahu menilai prestasi atau pencapaian seseorang ketua kerajaan. Malah masa yang lebih panjang lagi diperlukan untuk melihat hasil dan impak sesuatu projek pembangunan, khususnya yang berasaskan tanah atau land-based development.

Biasanya ianya memerlukan perkhidmatan sekurang-kurangnya selama dua penggal.

Yang demikian, untuk berlaku adil, penilaian terhadap prestasi atau pencapaian kepimpinan YAB Datuk Seri Ir Hj Idris Haron sebagai Ketua Menteri Melaka, yang baru berusia tiga tahun, wajarlah dilihat dalam konteks senario yang saya lakarkan di atas itu.

Namun begitu, izinkan saya meninjau dan menyusuri prestasi beliau sejak mengambil alih tampuk pentadbiran dari sudut yang dekat dengan hati rakyat yang memerlukan pembelaan kerajaan (ekonomi rakyat) dan hati para pelabur yang menjana pertumbuhan ekonomi (ekonomi modal). Saya akan menumpukan kepada beberapa angkubah (variables) penting sahaja.

Agihan Pertumbuhan Ekonomi

Dari segi mengurus dan mengemudikan ekonomi negeri, wajarlah diingat bahawa, sejak tahun 2013 hinggalah sekarang, Datuk Seri terus menghadapi persekitaran geo-politik serta ekonomi serantau dan dunia yang amat sukar lagi mencabar. Namun begitu, alahamdulillah, dalam konteks tersebut, secara relatif, beliau telah berjaya mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang sungguh memberangsangkan.

Pada tahun 2014, ekonomi / KDNK (GDP) Melaka tumbuh pada kadar 7.6%; ianya lebih tinggi dari pertumbuhan di peringkat negara sebanyak 6% dan jauh pula meninggalkan pertumbuhan di peringkat dunia yang hanyalah mencatatkan 3.4%. KDNK bagi tahun 2015 sedang disediakan. Diunjurkan pertumbuhan KDNK Melaka bagi tahun lepas tetap lebih tinggi dari pertumbuhan KDNK Malaysia (5%); dijangka ianya melebih 6%.

Yang lebih penting dari pertumbuhan per se itu ialah pertumbuhan ekonomi ini hendaklah turut memberi manfaat besar kepada rakyat, bukan sekadar kepada ekonomi negeri semata-mata. Ianya adalah pertumbuhan yang diagihkan (distributive growth), bukannya pertumbuhan semata-mata (growth only).

Pendapatan Isi rumah yang meningkat

Sebagai contoh, ekoran dari pertumbuahn ekonomi ini, purata pendapatan kasar isi rumah Melaka telah turut meningkat. Ianya meningkat sebanyak 12%, dari RM4,759 sebulan pada tahun 2012 kepada RM6,046 sebulan pada tahun 2014. Pendapatan semua kaum juga sama-sama meningkat; tiada kaum yang tercicir atau tertinggal.

Misalnya, pendapatan kasar isi rumah Melayu telah melompat sebanyak 26% dalam tempoh yang sama, dari RM4,600 sebulan kepada RM5,800 sebulan.

Impaknya, antara lain, ialah kadar kemiskinan kini hampir sifar (0.1%) pada tahun 2012 dan 2014.

Selain daripada itu, kita juga dapat menyaksikan lonjakan bayaran zakat pendapatan dan zakat perniagaan dalam tempoh tersebut serta pertambahan pembayar zakat. Sekali gus ianya membuktikan bahawa ekonomi Melaka berkembang secara menyeluruh dan memanfaatkan rakyat, termasuklah orang Islam.

Zakat melonjak

Zakat pendapatan melonjak kira-kita 46%, dari hampir RM21 juta pada tahun 2012 kepada RM30 juta pada tahun 2014. Pada tahun 2015, bayaraan zakat ini telah menokok kepada RM35 juta (+16%). Kenaikan ini pula menggambarkan bahawa pendapatan isi rumah telah mengukuh pada tahun yang sama, khususnya pendapatan isi rumah Muslim, walaupun tiada Penyiasatan / Kajian rasmi dilaksanakan pada tahun tersebut.

Dalam tempoh 2012 – 2014 itu, pembayar zakat pendapatan telah bertambah hampir 20%, dari kira-kira 21,500 orang kepada 25,700 orang. Bilangan mereka bertambah lagi 14% pada tahun 2015 kepada 29,200 orang.

Dalam tempoh yang sama, bayaran zakat perniagaan telah melompat hampir 28%, dari kira-kira RM9 juta kepada RM11 juta. Pada tahun 2015, nilai zakat ini terus meningkat dan telah mencatatkan lebih RM12 juta (+12%). Pembayar zakat kategori ini pula telah bertambah dari 1,100 orang kepada 1,400 orang (+27%) dan terus meningkat kepada 1,500 orang pada tahun 2015 (+8%).

Kadar pengangguran hampir sifar

Aktiviti ekonomi yang rancak telah menjana peluang pekerjaan yang banyak. Yang demikian, Datuk Seri telah mampu mengekalkan kadar pengangguran sekitar 1%, atau hampir sifar, pada tahun 2015. Kadar ini bukan sahaja terendah di Malaysia (3.1%) bahkan ianya terendah di kalangan semua negara maju (6.7%) dan jauh di bawah paras kadar pengangguran dunia (5.8%). Beliau juga berjaya mengekalkan kadar gunatenaga penuh (full employment) sepanjang tiga tahun yang lalu di mana kadar pengangguran terus berada di bawah paras 4%!

Kos sara hidup yang sederhana

Selain dari isu pertumbuhan ekonomi, pendapatan dan pekerjaan, isu kos sara hidup juga dekat dengan hati nurani rakyat. Sama saperti ketiga-tiga angkubah berkenaan, Datuk Seri juga telah berjaya mengendalikan isu kos hidup ini dengan berkesan.

Di negara kita, kos sara hidup atau kadar inflasi diukur dengan menggunakan Indeks Harga Pengguna (CPI) sebagai proksi kayu pengukurnya.

Sebelum itu, wajarlah diingatkan bahawa inflasi adalah umpama kolestoral; ada yang baik (good) dan ada pula yang jahat (bad).

Ramai pengguna biasa berpendapat bahawa hanya kenaikan harga yang tinggi, hyper inflation dan stagflasi sahaja yang buruk. Sebenarnya inflasi sifar (zero inflation) atau inflasi rendah saperti di USA serta deflasi (deflation) atau kejatuhan harga saperti yang dialami oleh Jepun berdekad lamanya juga tidak sihat kepada ekonomi.

Melaka dan Malaysia pernah diserang stagflasi pada awal tahun 1970an, mengalami deflasi dari bulan Jun 2009 – November 2009 (-0.1% hingga -3.4%) dan bergelut dengan inflasi yang dianggap telah begitu tinggi pada bulan Mei 2008 – Januari 2009 (4.0% – 9.5%). Namun serangan inflasi kita itu tidaklah seteruk apa yang pernah dialami oleh Mesir, Venezuela dan Zimbabwi.

Kadar inflasi yang sihat untuk ekonomi ialah kadar inflasi yang sederhana.

Tidak dinafikan bahawa rakyat Melaka kini sedang berdepan dengan kos sara hidup yang kian meningkat. Namun ianya tidaklah seteruk tahun 2008. Kita amatlah bertuah kerana Datuk Seri mampu mengawal dan menguruskan kadar inflasi kita di tahap yang sederhana. Purata kadar inflasi kita sepanjang tiga tahun yang lalu hanyalah 2.4%! Sesungguhnya ianya adalah sihat dari sudut ekonomi.

Dengan kenaikan pendapatan (12%) yang jauh melebihi kenaikan kadar inflasi (7.2%) maka sesungguhnya penduduk Melaka telah menikmati kenaikan pendapatan sebenar. Justeru kehidupan kita jauh lebih baik, misalnya, dari kehidupan rakyat Brazil, Venezuela, Mesir, Indonesia, Greek, Sepanyol dan sebagainya yang dicengkam oleh kemiskinan, dibebani oleh pendapatan yang merosot, dihimpit oleh kadar pengangguran yang tinggi serta ditekan pula oleh kadar inflasi yang tidak sihat.

Pelaburan

Akhirnya saya ingin menyentuh angkubah pelaburan yang merupakan salah satu pemandu ekonomi (economic driver) yang kritikal dalam konteks ekonomi modal.

Dalam suasana ekonomi global yang suram dan muram maka permintaan luar (eksport) turut menjadi lemah. Yang demikian, ekonomi Melaka dan Malaysia perlulah lebih bergantung kepada rangsangan permintaan domestik yang efektif dan pelaburan yang besar untuk menyuntik pertumbuhan ekonominya.

Berdasarkan maklumat pendapatan isi rumah di atas, jelaslah kita bernasib baik kerana pendapatan isi rumah kita telah meningkat dengan ketara (12%). Justru ianya telah membantu memacu permintaan domestik dan, yang demikian, membantu pula merangsang pertumbuhan ekonomi.

Pada masa yang sama, dalam suasana para melabur mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’, Datuk Seri pula telah menjadi seorang marketing advisor / sales advisor yang berjaya menjual Melaka kepada para pelabur dalam negeri dan luar negeri. Manifestasi kejayaan tersebut dapat kita saksikan melalui kenaikan mendadak nilai pelaburan yang diluluskan setiap tahun, dari RM1.5 bilion pada tahun 2013 kepada hampir RM7 bilion pada tahun lepas. Ia merupkan lonjakan sebanyak 360% sedangkan, dalam tempoh yang sama, nilai pelaburan yang diluluskan di peringkat Malaysia telah merosot 5%, dari RM52.1 bilion kepada RM49.5 bilion.

Dalam tempoh 3 tahun itu, beliau telah berjaya membawa masuk pelaburan yang diluluskan oleh MIDA bernilai hampir RM13 bilion; 62% daripadanya ialah pelaburan domestik (DDI) manakala baki 38% lagi ialah pelaburan asing (FDI). Pelaburan ini bersama-sama dengan penggunaan domestik telah menjana sebahagian besar pertumbuhan ekonomi Melaka.

Apa yang dilakarkan ini hanyalah merupakan sebahagian sahaja dari Kad Laporan (Report Card) Datuk Seri bagi tempoh tiga tahun yang lalu. Banyak lagi yang perlu dinilai dan dilaporkan.

Pada masa yang sama, beliau masih lagi di peringkat awal tempoh pentadbiran. Namun kejayaan beliau sudah menyerlah dan kita telahpun menikmati faedahnya.

Terbukti beliau umpama pohon nan rendang yang boleh menjadi tempat kita tumpang berlindung dan berteduh.

Pergi ke huma pergi ke ladang
Tanam nenas di rumpun buluh
Datuk Seri umpama pohon nan rendang
Hujan dan panas tumpang berteduh.

Tahniah dan ribuan terima kasih, Datuk Seri.

Berkat Tepat Cepat

Diyakini banyak lagi yang ingin beliau usahakan di bawah Melaka Maju Fasa II ini dengan BERKAT TEPAT CEPAT. Contohnya, tentunya beliau mahu melihat pendapatan isi rumah rakyat Melaka melonjak dengan ketara menjelang tahun 2020. Untuk mencapai visi tersebut, gaji para pekerja, mislanya, perlulah dinaikkan ke tahap yang setara dengan gaji pekerja di negara berpendapatan tinggi.

Pada masa ini, separuh daripada keseluruhan pekerja di Melaka mempunyai gaji di bawah RM1,500 sebulan. Untuk mencapai objektif berkenaan, sudah tentulah beliau perlu berunding dengan para majikan dan warga pekerja secara berhemah. Banyak faktor perlu diambil-kira, termasuklah produktiviti, daya saing dan ketahanan syarikat.

Dalam pada itu, beliau tentunya mahu berhati-hati kerana tidak ingin melihat pisang berbuah dua kali. Tidak guna berhempas pulas memaju dan membangunkan negeri tetapi akhirnya parti beliau sendiri kehilangan pusat pentadbiran dan kuasa sepertimana hilangnya DUN Kota Laksamana & Parlimen Kota Melaka serta terlepasnya DUN Ayer Keroh, DUN Bukit Baru & Parlimen Bukit Katil.

Maka sudah tentulah beliau ingin merancang dengan lebih teliti dan TEPAT lagi.

Akhirnya, tentulah beliau mahu kesemua yang difikir, dirancang dan diusahakan itu mendapat keredhaan Allah SWT agar kita pula mendapat BERKATNya. Tidak guna Tepat dan Cepat jika tidak Berkat.

Resipi: Sokongan padu

Untuk membantu Datuk Seri berjaya dalam memaju dan memakmurkan Negeri Hang Tuah yang bertuah ini dan kita pula yang mendapat nikmat kejayaan itu maka seluruh rakyat negeri Melaka perlulah memberikan sokongan padu kepada beliau.

Beliau tidak boleh memandu seorang diri dan kita pula tidak boleh maju kehadapan tanpa kepimpinan yang tegas, berkesan dan berwawasan.

Justru pemimpin dan rakyat hendaklah sebahu dan sederap melangkah memajukan negeri dengan gigih dan iltizam yang jitu.

Patah atap kerana buluh
Terbang melayang burung tempua
Patah sayap bertongkatkan paruh
Namun tetap bersama terbang jua.

Inilah pra syarat dan resipi Melaka Maju Fasa II, Berkat Tepat Cepat.

Wallahu’alam.

Sumber: Pelbagai.

20160505_102105

20160505_113601-2

, , ,

1 Comment

Ekonomi yang bercelaru, bagaimana menanganinya?

DI PARLIMEN SESI MAC 2016 – Jika saya Wakil BN…

Tan Sri Yang DiPertua,

  1. Pertama kali, marilah kita mengangkatkan kesyukuran kehadrat Allah swt serta mengucapkan salam kepada Baginda Rasullullah saw kerana kita telah diberikan kesihatan badan, kekuatan mental dan  kelapangan masa untuk kita menghadiri sidang Dewan yang mulia ini. Kehadiran kita adalah semata-mata untuk menyempurnakan amanah dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat.
  1. Kedua, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada YB Tan Sri Yang DiPertua kerana memberi peluang keemasan ini kepada saya untuk turut membahaskan Titah Seri Paduka Baginda Yang DiPertua Agong. Semoga apa yang ingin saya perkatakan ini akan mendapat perhatian yang saksama dari pihak kerajaan.
  1. Dan ketiga, titah perasmian oleh ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agung telah menyentuh pelbagai bidang dan isu semasa, termasuklah politik, keselamatan, perpaduan kaum, ekonomi, pendidikan, dan lain-lain lagi.
  1. Pada hemat saya, semua yang telah dititahkan itu menuntut perhatian serius dari kita semua. Seharusnya kita menghayati titah ucapan ke Bawah Duli Baginda dan sama-samalah mengambil iktibar serta dijadikan pedoman untuk kita meneruskan tugas dan amanah sebagai wakil rakyat dan juga sebagai penggubal undang-undang di Dewan yang mulia ini.

Tan Sri Yang DiPertua,

  1. Eloklah awal-awal lagi kita akui bahawa perasaan bias itu memanglah merupakan sebahagian daripada fitrah manusia. Justeru itu, tidak hairanlah terdapat individu atau kumpulan individu yang hanya bercakap yang baik-baik saja mengenai satu-satu pihak dan terdapat pula satu kumpulan individu lain yang  akan hanya menumpukan kepada keburukan pihak yang sama itu. Namun apa yang menjadi tuntutan ramai ialah bercakaplah secara berimbang dan adil.
  1. Saya sendiri akui bahawa ianya tidak mudah untuk bercakap secara berimbang dan adil kerana dua sebab utama. Pertama saya sendiri mempunyai bias, dan kedua, saya tidak memiliki maklumat yang lengkap dan tepat. Namun saya akan cuba.

Tan Sri Yang DiPertua,

  1. Dunia telah melalui tahun 2015 yang sarat dengan bencana alam, pergolakan dan cabaran. Banjir besar berlaku di India, Pakistan, Malawi dan Mozambique meragut 700 nyawa dan hampir sejuta keluarga kehilangan rumah. Typhoon Komen  pula menyerang Myanmar, India dan Bangiadesh dengan 120 kematian dan 400,000 keluarga  memerhatikan kemusnahan rumah mereka. Gempa bumi berlaku di Nepal menimbus 900 orang dan hampir 350,000 keluarga meratapi kemusnahan rumah dan harta benda mereka.  Peperangan sesama Islam terus berlaku di Timur Tengah dengan ratusan ribu kematian dan berjuta orang menjadi pelarian.
  1. Menyaksikan kesemua keganasan, kesengsaraan dan kesedihan itu, kita sepatutnya berasa syukur kerana negara kita masih selamat, aman dan makmur. Namun kita tidak lupa gema bumi yang melanada Ranau pada 15 Jun tahun lalu di mana 19 orang telah mati dan kemusnahan ditaksirkan bernilai RM100 juta.
  1. Di bawah persekitaran geo-politik dan eko-keselamatan yang tenang dan sarat dengan ancaman, ekonomi dunia telah berkembang lebih perlahan pada tahun 2015 berbanding tahun 2014. Berdasarkan IMF World Economic Outlook, pertumbuhan GDP dunia hanyalah 1% pada tahun lalu berbanding 3.4% pada tahun 2014.
  1. Pertumbuhan ekonomi Malaysia juga dalam arah aliran menurun yang sama. Ekonomi kita mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5% pada tahun lalu berbanding 0% pada tahun 2014. Sesungguhnya pencapaian tersebut boleh dibanggakan kerana persekitaraan global yang hostile. Apatah lagi prestasi ekonomi banyak negara berada dalam keadaan yang lebih teruk lagi berbanding negara kita. Antaranya ialah USA, Eurozone, Jepun, Taiwan, Korea dan Thailand.
  1. Dalam konteks ini, secara relatif, prestasi ekonomi kita jauh lebih baik berbanding dengan negara-negara berkenaan. Ia disokong oleh beberapa petunjuk ekonomi yang memberansangkan seperti kadar pengangguran yang terus rendah  (Disember 2015 = 7%) dan kadar inflasi yang sederhana (Disember 2015 = 2.7%).
  1. Dalam pada itu, kita telah berjaya mengekalkan dan menikmati kadar gunatenaga penuh atau full employment terus menerus sejak 21 tahun lalu, lebihan dagangan bulanan selama 217 bulan berturut-turut dan lebihan akaun semasa  sepanjang  18 tahun yang lalu. Ada negara lain memiliki rekod sehebat kita ini?

Tan Sri Yang DiPertua,

  1. Signifikannya data akaun semasa ialah ia membantu memberi beberapa petunjuk. Sebagai contoh, lebihan akaun semasa bagi suku tahun keempat 2015 sebanyak 4b, tertinggi sejak 6 suku tahun yang lepas, membayangkan nilai Ringgit akan naik dan lebih banyak dana asing akan mengalir masuk.
  1. Benar sekali, bersama sokongan kenaikan harga minyak mentah  yang kini telah melebihi USD40 setong dari serendah sekitar USD27 setong, nilai Ringgit telah mengukuh sekitar USD1 = RM4.06; mengukuh dari serendah USD1 = RM4.48 pada 29 September 2015.
  1. Pelaburan juga terus mengalir masuk. Pada minggu berakhir 4 Mac 2016, aliran masuk bersih di pasaran saham kita adalah sebanyak RM300 juta. Indeks KLCI telah kembali menembusi tahap saikologi 1,700 mata pada 7 Mac 2016.
  1. Pada tahun lalu, nilai pelaburan yang diluluskan adalah sebanyak RM178b. Walaupun ianya lebih rendah daripada tahun 2014 (RM234b), namun ianya adalah lebih tinggi daripada sasaran RMK10 iaitu sebanyak RM148b.
  1. Yang memberansangkan kita ialah, dalam tempoh yang sama itu, FDI kita telah meningkat sebanyak 15%; daripada RM34b kepada RM39b.
  1. Dalam pada itu, sekalipun senario yang  saya lakarkan itu nampaknya menarik, namun kita perlulah berhati-hati. Pertama, dalam keghairahan mendengar guruh di langit bahawa harga  minyak mentah OPEC akan mencecah USD50 setong dalam tempoh sederhana ini, kita janganlah lupa bahawa  the global glut is still big.
  1. Kedua, pelabur yang membawa masuk dana mereka ke pasaran saham kita boleh juga membawanya ke  luar ke pasaran yang lebih selamat dan menjanjikan keuntungan yang lebih besar. Justeru menjadi tanggung jawab kita bersama untuk mengekalkan persekitaran politik dan ekonomi yang kondusif dan selamat, jika kita mahu terus menikmati kemakmuran.
  1. Maka hentikanlah segera politicking berkepentingan sempit, sepertimana yang disarankan oleh Baginda Seri Paduka. Berikanlah sokongan padu kepada YAB PM dan marilah kita melangkah ke hadapan sederap dan sebahu bersama beliau.

Tan Sri Yang DiPertua,

  1. Di celah-celah pertumbuhan ekonomi yang menurun dan disilam pula oleh berita-berita yang positif itu, terdapat pula berita yang lebih mengembirakan rakyat. Pendapatan rakyat tetap meningkat sepertimana yang dilaporkan oleh Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah yang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.
  1. Pada tahun 2009, purata pendapatan kasar bulanan isi rumah adalah sebanyak RM4,025. Ia telah melonjak kepada RM6,141 pada tahun 2014. Yang perlu ditekankan di sini ialah kenaikan pendapatan itu adalah lebih tinggi iaitu 4% setahun; melebihi kenaikan kadar inflasi tahunan pada tahap 2.3% setahun bagi tempoh yang sama.
  1. Apa yang telah saya perkatakan ini bukan saja menyentuh kejayaan dari segi capital economy bahkan juga merangkumi  kejayaan people’s economy. Justeru patutlah kita  bersyukur kepada Allah swt dan berterima kasih kepada YAB PM kerana  berjaya mengemudikan ekonomi negara kita yang amat mencabar itu.
  1. Saya yakin hiruk pikuk sejak setahun yang lalu yang mahu menggugat kedudukan YAB Dato’ Sri sebagai Presiden UMNO dan PM Malaysia tidak akan berjaya melunturkan semangat DS untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan negara. Marilah kita sama-sama berdoa agar beliau sentiasa dalam peliharaan Allah swt serta diberikan kesihatan dan kekuatan untuk meneruskan amanah yang kita pikulkan ke atas bahu beliau.

Tan Sri Yang DiPertua,

  1. Sesungguhnya kejayaan yang saya lakarkan itu memang wajar kita raikan dan patut pula berasa bangga. Namun, pada masa yang sama, kita perlulah sama-sama berusaha untuk mengekalkan rekod cemerlang ini. Ia merupakan satu cabaran yang besar kerana kita berada dalam persekitaran geo-politik dan eko-keselamatan global yang amat hostile serta mendepani global headwinds yang sangat ganas.
  1. Lantaran itu, janganlah kita mengabaikan petunjuk-petunjuk penting ekonomi yang agak negatif di awal tahun 2016, sekalipun harga komoditi seperti minyak mentah, getah dan kelapa sawit telah mula pulih. Contohnya, permintaan global masih lemah, Eurozone masih bergelut dengan ekonomi yang lemah dan kadar pengangguran yang tinggi manakala Jepun terus dihantui oleh deflasi dan kini menyaksikan pula perbelanjaan isi rumah yang merosot.
  1. Maka antara impaknya ialah nilai eksport telah mengecil sepertimana yang dialami oleh USA dan kita pada bulan Januari lalu. Permintaan kilang dunia pun turut mendatar manakala PMI China dan Malaysia menurun.  Ringkasnya, pertumbuhan, pelaburan dan perdagangan dunia masih  lemah manakala komuniti peniaga dan pengguna lebih berhati-hati; perniagaan tidak berkembang dan pengguna pula tidak berbelanja.
  1. Justeru kerajaan telah pun factor in semua faktor berkaitan dan mengunjurkan bahawa pertumbuhan ekonomi kita pada tahun 2016 ini akan lebih rendah dari tahun 2015 iaitu sekitar 4% ke 5% sahaja, selaras dengan lanskap pertumbuhan ekonomi dunia yang lembab. Dan jangan lupa bahawa dibimbangi USA akan mengalami kemelesetan ekonomi. Benar kebimbangan tersebut telah berkurangan tetapi ianya belum lagi hilang.
  1. Keadaan ini bakal mengundang pelbagai masalah sosio-ekonomi yang akan menghimpit rakyat. Pertama sekali, bilangan penganggur yang sedia ada (450 ribu; 141 ribu atau 31% adalah berkelulusan tertiari) segera akan meningkat.
  1. Peningkatan tersebut datangnya dari 2 punca – mereka yang baru masuk ke pasaran buruh seperti mereka yang baru tamat belajar dan mereka yang terpaksa diberhentikan demi untuk menyelamatkan sayarikat. Contohnya pengumuman MAS, Petronas dan CIMB yang akan memberhentikan beribu  pekerja masing-masing. Mereka ini pula akan bersaing dengan pekerja asing yang membanjiri negara kita.
  1. Ini bermakna kadar kemiskinan akan menokok. Pada masa yang sama, rakyat akan diserang oleh kenaikan kos sara hidup yang melambung ekoran dari kenaikan harga minyak mentah dan sebab-sebab lain sedangkan gaji dan pendapatan mendatar atau tidak mampu mengenjar  kenaikan harga barang. Yang demikian, kualiti hidup rakyat akan meruncing dan penyakit social akan merebak dan menular.
  1. Sesungguhnya gaji pekerja Malaysia amatlah rendah. Menurut laporan Penyiasatan Gaji dan Upah yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, gaji penengah mereka pada tahun 2014 hanyalah RM1,575 Hanya Pengurus dan Profesional menerima gaji penengah bulanan sekitar RM4,000 – RM5,000; yang lain layak menerima BR1M sebab di bawah RM2,600 sebulan.
  1. Dari segi negeri, hanya Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mencapai gaji penengah sebanyak RM3,100 – RM3,500 sebulan; negeri-negeri lain adalah bawah RM2,600 sebulan dengan Sabah mencatat yang terendah iaitu RM1,569

Tan Sri Yang DiPertua,

  1. Isu gaji dan upah adalah isu kritikal yang perlu didepani head on dalam usaha untuk melonjakkan taraf hidup rakyat kerana hampir tiga suku gunatenaga kita adalah makan gaji. Lebih menggusar dan menyedihkan, Pemandu telah mengunjurkan bahawa kira-kira 7 juta pekerja kita akan menerima gaji dan upah bawah RM2,000 sebulan menjelang tahun 2020. Nilai RM2,000 pada tahun 2020 mungkin sama nilainya dengan RM1,500 pada masa ini. Bayangkanlah bagaimanakah kehidupan mereka pada masa itu? Sungguh sedih dan memilukan.
  1. Dari segi MBE, gaji dan upah yang rendah ini akan menggugat usaha kita untuk mencapai tahap ekonomi berpendapatan tinggi. Dari segi ukuran negara maju, sumbangan gaji dan upah atau pampasan pekerja kepada GDP hendaklah di tahap sekitar 60%. Kita baru mencapai sekitar 35%. Bukan saja sasaran 60% itu tidak akan tercapai, sasaran 40% yang ditetapkan oleh RMK11 juga tidak mampu dikejar.
  1. Justeru saya menyarankan agar isu pasaran buruh yang kompleks dan sarat dengan masalah ini segera dikaji secara menyeluruh, termasuklah isu gaji dan upah, conditions in work places, produktiviti, pergantungan kepada pekerja asing dan isu 3D.
  1. Saya yakin rakyat Malaysia tidak takut dan jijik dengan pekerjaan 3D. Ini dapat kita saksikan dari ribuan mereka yang bekerja di Singapura dan di Australia. Isu gaji & upah, perumahan dan pengangkutan mungkin merupakan isu kembar tiga yang perlu diberi perhatian dan diselesaikan sekali gus.

Tan Sri Yang DiPertua,

  1. Berkait rapat dengan pendapatan, selain daripada isu gaji dan upah yang rendah, ialah isu jurang pendapatan antara (inter) kumpulan yang semakin melebar. Ia perlu diakui dan didepani bersama. Janganlah kita menafikannya kerana jangkitan penyakit sindrom penafian.
  1. Di awal tadi saya telah menyatakan bahawa pendapatan isi rumah kita telah meningkat antara tahun 2009 dan 2014. Kadar kemiskinan pun turut menurun; 6% pada tahun 2014. Kejayaan kerajaan BN membasmi kemiskinan dari sekitar 50% pada tahun 1970 kepada hampir sifar pada tahun 2014 merupakan satu mercu tanda kejayaan yang gemilang. Kejayaan ini mendapat pengiktirafan badan dunia seperti PBB, Bank Dunia dan IMF.
  1. Diakui bahawa sama seperti kemiskinan yang mempunyai banyak kaedah mengukurnya, jurang pendapatan juga demikian. Sesungguhnya, lain kaedah boleh memberikan output dan gambaran yang berbeza.
  1. Namun janganlah kita menolak satu-satu kaedah atau output berkenaan. Sebaliknya hendaklah kita menggunapakai kesemuanya untuk membolehkan kita memahami anatomi jurang pendapatan dan kekayaan dengan lebih tepat dan menyeluruh lagi.
  1. Kita boleh berasa syukur bahawa jurang intra kumpulan, berdasarkan Pekali Gini, telah mengencil. Di peringkat seluruh Malaysia, ianya telah menurun 3 mata, dari 431 pada tahun 2012 kepada 0.401 pada tahun 2014. Corak yang sama juga dapat di lihat di strata bandar, luar bandar dan kaum-kaum Melayu, Cina dan India.
  2. Walau bagaimanapun, apabila dibandingkan pula antara kumpulan seperti bandar berbanding luar bandar, Melayu banding dengan Cina, T20 banding dengan B40 dan sebagainya maka kita akan segera dapat menyaksikan fenomena yang menggerunkan itu.
  1. Sebagai contoh, antara tahun 2002 – 2009, jurang pendapatan antara kaum Melayu dan Cina telah menguncup 27% tetapi antara tahun 2009 – 2014, jurang tersebut telah melebar semula sebanyak 53%. Dalam tempoh yang sama 2009 – 2014, jurang antara bandar dan luar bandar pula telah mengembang 39% manakala jurang antara T20 dan B40 telah melebar sebanyak 38%!
  1. Lanskap jurang kekayaan lagi menggerunkan. Antara tahun 2009 dan 2012, pemilikan bangunan perumahan Bumiputera telah menurun dari 2% kepada 26.1% manakala pemilikan bangunan komersial dan kompleks industri yang sudahlah kecil terus merosot dan tinggal hanya seciput. Dalam tempoh yang sama, bangunan komersial milik Bumi mengecil dari 5.8% kepada 5.4% dan kompleks industri  pula  hanya tinggal 0.2% dari pemilikan asal sebanyak 3.1%.
  1. Meneliti lanskap tersebut dengan penuh hiba, saya meminta kerajaan menjelaskan di mana silapnya dasar dan pelaksanaan serta menerangkan pula apakah langkah kehadapan yang akan diambil dengan segera dan drastik to mitigate the deteriorating situation.
  1. Sehubungan itu, saya ingin mengingatkan janji YAB DS semasa melancarkan MBE pada 30 Mac 2010:

“A fair distribution must encompass the whole spectrum of measuring wealth such as equity ownership, other financial and non-financial assets, and access to wealth creating opportunities such as long term concessions and contracts. Even in measuring ownership, it should go beyond equity to include other properties, such as retail, landed properties, comercial buildings, intelectual property and other services as well as managerial positions”

  1. Saya juga ingin mengingatkan amaran YAB DS yang disampaikan pada 11 November 2013:

“This is not simply a matter of economic justice; it is also of national stability. Poverty and inequality have a destabilising and corrosive effect on societies. Why should law and order mean anything to people who hardly benefit from them? Why should the marginalised support a political system if it only widens the gap between the rich and the poor?” 

Tan Sri Yang DiPertua,

  1. Sekarang saya ingin beralih kepada topik yang lebih dekat dengan sahabat-sahabat kita.
  1. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Dewan Undangan Negeri Melaka telah meluluskan kenaikan saraan ADUN-ADUN mereka. Pada masa yang sama, dewan tersebut telah juga meluluskan kenaikan pencen bagi YB-YB yang telah bersara.
  2. Ramai sahabat kita telah membisikkan kepada saya agar mantan ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat turut diberikan nikmat kenaikan pencen setara dengan kadar saraan yang kita terima sekarang ini.
  1. Bagi mereka yang tiada punca pendapatan lain dan hanya bergantung kepada pencen bulanan yang sedia ada, sesungguhnya mereka itu turut layak beratur menerima BR1M. Amatlah menyedih dan memalukan.
  2. Saya mohonlah agar rayuan saya ini dipertimbangkan. Kenangilah jasa mereka dan perhatikanlah nasib mereka, terutama yang uzur dan daif. Kita pun berada di sini kerana sumbangan dan penat lelah mereka.

Catatan: andaian masa yang diberikan oleh YB TS YDP hanyalah 20 minit saja.

, , ,

Leave a comment

YB BN Hendaklah Menjuarai Kebimbangan Rakyat

tweet

Saya menyokong penuh prinsip yang diungkapkan oleh YB Menteri MITI bahawa dalam sebarang perundingan:

pertama kita hendaklah menerima hakikat dan berpegang kepada prinsip bahawa “kita tidak boleh dapat semua dan kita tidak mahu hilang semua.”

Kedua, kita tidak boleh pula berpegang kepada pendirian “Hak kita, kita punya; hak orang boleh runding.”

Seterusnya, ketiga ialah menerima-pakai prinsip “majority rule” iaitu kalaulah kebaikan itu lebih banyak maka kita terima, kalaulah keburukan lebih banyak, kita tolak.

Inilah pendekatan yang digunapakai dalam merundingkan TPPA dan pendekatan inilah juga yang wajar diterima-pakai dalam menghalusi dan membahaskan dokumen TPPA berkenaan.

Saya akui TPPA mempunyai kelemahan tetapi dengan menyertai TPPA diunjurkan kita akan mendapat pula lebih banyak faedah dari keburukan; more benefits than costs. Sebaliknya, dijangka kita akan mengalami lebih banyak kerugian jika tidak menyertai TPPA.

Kerana masa yang terhad, saya tidak bercadang untuk menyenaraikan semula segala faedah dan kebaikan menyertai TPPA. Saya yakin semua YB telah tahu setelah meneliti dokumen asal TPPA, laporan ISIS dan laporan PwC serta buku  yang telah disediakan oleh MITI untuk menangani kebimbangan, salah faham dan tuduhan mengenai TPPA. Ia boleh difahami dengan mudah.

Pada masa yang sama, kita boleh juga membaca dan mendengar banyak keburukan jika kita menyertai TPPA.

Justeru saya ingin menggunakan masa yang terhad dan sangat berharga ini untuk membantu YB Menteri dengan menyenaraikan saoalan-soalan yang sering ditimbulkan oleh mereka yang masih bimbang dan takut serta keliru tentang keburukan TPPA.

Kebanyakan soalan berkenaan telahpun dijawab oleh YB Datuk Seri tetapi nampaknya mereka masih belum berpuas hati dan masih bimbang serta memerlukan jawapan tambahan. Kebimbangan mereka itu berasas dan usaha ingin tahu itu juga adalah ikhlas.

Saya yakin YB Menteri akan mengupas soalan-soalan saya dengan lebih lengkap dan telus lagi. Bukan saja memberikan jawapan, malah turut memberikan penyelesaian / solutions kepada masalah-masalah yang dibimbangi itu.

Lantaran  diyakini jawapan dan hujah yang bakal diberikan oleh YB Menteri itu akan mampu menghapus dan menghakis segala kebimbangan, ketakutan, kekeliruan serta salah faham tentang TPPA ini. Yang demikian, proses buy-in akan berlaku dan mereka itu akan menjadi the new converts, in syaa Allah.

Pertama ialah TPPA tidak boleh dilihat dalam konteks ekonomi semata-semata. Ia hendaklah juga dilihat dari sudut kedaulatan dan kesamarataan. Laporan ISIS menegaskan bahawa these “concerns … are not without basis”. Sesungguhnya dua aspek tersebut tidak ternilai; jika diberikan nilai, pada hemat saya, ianya melebihi semua combined values of all economic parameters. Justeru adakah benar kedaulan kita tidak terjejas dan TPPA ini bukannya alat penjajahan baru oleh Amerika Syarikat?

Kedua, TPPA lebih menekankan Capital Economy, seperti yang dihuraikan dalam laporan PwC. Manakala rakyat pula lebih berminat hendak tahu faedah-faedah di bawah People’s Economy yang dikatakan terlalu sedikit. Mohon YB Menteri jelaskan isu-isu berikut:

Difahamkan pekerjaan baru sebanyak 1 ke 2 juta akan di wujudkan dalam tempoh 10 tahun (2018 – 2017). Jika benar,:

adakah pekerjaan baru tersebut merupakan tambahan kepada pekerjaan baru yang diwujudkan tanpa menyertai TPPA iaitu 1 ke 2 juta + x?

jika itulah sahaja pekerjaan baru yang bakal diwujudkan, tidakkah bilangan tersebut lebih rendah dari 3.3 juta pekerjaan baru yang telah / akan diwujudkan di bawh RMK10 dan RMK 11 iaitu kita mampu mengwujudkan lebih banyak pekerjaan baru tanpa menyertai TPPA?

adakah majoriti rakyat Malaysia yang bakal mendapat faedah besar dari pekerjaan baru yang banyak itu? Wajar diingat, laporan tahunan 2014 (AR2014) untuk Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dikeluarkan oleh PEMANDU dan dipetik oleh RMK11 menunjukkan bahawa, daripada 1.8 juta pekerjaaan baru yang telah diwujudkan di bawah RMK10,  hanya 620 ribu merupakan pendaftar baru di KWSP. Apa jadi dengan baki 1.2 juta pekerja? Siapakah mereka? Pekerja asing?

Menurut AR2014 lagi, 1.5 juta dari 1.8 juta pekerjaan itu adalah dijana oleh NKEA. Bukankah objektif NKEA adalah untuk mengwujudkan kerja bernilai tinggi dan bergaji-tinggi? Siapakah yang sebenarnya menikmati sebahagian besar pekerjaan tersebut? Kera-kera di hutan?

Dengan lebih banyak syarikat asing beroperasi di negara kita tanpa boleh dikawal seperti sekarang, dengan kelonggaran yang diberikan oleh TPPA kepada pekerja untuk bekerja di negara-negara yang menjadi komuniti TPPA dan bukan sahaja kebenaran diberikan kepada pekerja asing untuk menjadi ahli kesatuan sekerja malah mereka juga diberikan kebenaran untuk  menerajui kesatuan sekerja maka tidakkah berkemungkinan besar pekerja Malaysia akan menjadi lebih terpinggir lagi? Tidakkah mereka akan senasib dengan ayam di kepuk mati kelaparan, itek di air mati kehausan?

Jika musibah tersebut berlaku, tidakkah kadar pengangguran di kalangan Bumiputera akan melonjak dan kadar kemiskinan akan meningkat serta jurang pandapatan antara Bumi dan bukan Bumi pula akan semakin melebar?

Bukankah ini bermakna TPPA memburukkan lagi kebajikan / welfare Bumiputera, khasnya dan rakyat Malaysia umumunya serta mencemarkan pula keadilan sosial / social justice?

Kelonggaran yang diberikan kepada pekerja asing itu menakutkan rakyat Malaysia. Berdasarkan  unjuran yang dibuat, benarkah berduyun-duyun pekerja asing akan membanjiri Malaysia? Benarkah bilangan mereka akan melompat kepada 28% dari jumlah penduduk dan 43% daripada jumlah gunatenaga menjelang 2027?

Jika benar, maka sudah pasti ketakutan itu adalah satu realiti yang ngeri. Seterusnya tidakah kerajaan memungkiri janji dan komitmenya  untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, sepertimana yang terpahat dalam RMK11?

RMK11 menegaskan 60% dari pekerjaan berpendapatan tinggi akan diperuntukkan kepada Bumiputera? Bolehkah dan bagaimanakah dasar ini hendak diteruskan, terutama sekali terhadap syarikat asing? Di ingatkan bahawa di bawah Perkara 9.9 (Performance Requirement), Bab Pelaburan, syarat-syarat sedemikian adalah diharamkan sama sekali.

berkait rapat dengan isu jawatan berpendapatan tinggi, bagaimanakah komposisi pekerja professional dan pengurusan mengikut kaum pula hendak diteruskan?

hampir tiga suku pekerja kita adalah makan gaji. Benarkah tambahan gaji mereka hanyalah antara RM25 – RM33 menjelang 2027? Setelah mengambil kira kenaikan kos sara hidup, berapakah nilai gaji sebenar (real wages)? Jika unjuran mereka salah, apakah pula unjuran pihak kerajaan?

GAJI NAIK RM25 SAHAJA

berkait  rapat dengan tambahan gaji yang rendah itu, benarkah unjuran yang mereka buat bahawa, berdasarkan andaian pemotongan tariff, purata pendapatan bulanan isi rumah bukannya meningkat malah ianya akan menurun sekitar RM120 menjelang 2027? Jika unjuran mereka salah, apakah pula unjuran pihak kerajaan?

Kita masih lagi menghadapi pelbagai masalah sosio-ekonomi yang bertambah buruk akibat pelaksanaan lebih banyak dasar liberalisasi dan kerana semakin kurangnya tindakan affirmative.  Masalah tersebut telah disedari oleh Kerajaan dan cuba di atasi di bawah RMK11.

Dengan terlaksananya TPPA, persaingan akan menjadi lebih ganas / brutal lagi. Di bawah keadaan padang yang tidak sama rata, prinsip persaingan yang sihat boleh bertukar menjadi ganas dan, outcomenya, yang lemah akan pasti mati, sepertimana yang berlaku di bawah undang-undang rimba / law of the jungle.

Justeru apakah impak ke atas:

sasaran pemilikan ekuiti 30% with effective control di bawah RMK11,

jurang ekonomi antara kaum,

kemiskinan bandar,

pendapatan isi rumah dan gaji B40 yang rendah,

kos sara hidup yang meningkat,

keupayaan Bumiputera untuk merapatkan jurang pendapatan dan kekayaan,

ketidak-mampuan memiliki rumah kerana harga rumah meningkat,

bilangan atau nisbah golongan professional, berkelayakan tinggi, pengurusan tinggi dari kalangan Bumiputera yang masih rendah,

masalah tahap pendidikan Bumiputera yang tak setara dengan kaum lain,

tahap employability Bumiputera yang lemah,

jurang dari segi modal, business network, supply chain, support system, access to capital, serta dasar, peraturan dan undang-undang yang tidak memihak kepada ‘underdogs’(factor endowments),

kedudukan ekonomi masyarakat keushawanan dan korporat bumiputera yang rendah,

tahap ‘social mobility’ masyarakat  bumiputera yang terhad,

Inclusive nation building and shared prosperity, dan

kerharmonian antara kaum dan perpaduan nasional?

Difahamkan TPPA akan menjana tambahan nilai GDP sebanyak USD107 bilion – USD 217 bilion sepanjang 20 tahun, dari 2018 -2027. Mohon ambil perhatian, dalam tempoh 5 tahun di bawah RMK11 iaitu tanpa bantuan TPPA, diunjurkan kita mampu menjana tambahan GDP yang jauh lebih besar bernilai RM750 bilion. Justeru adakah wajar kita menyertai TPPA?

Pada masa yang sama saya berkongsi kekhuatiran mereka mengenai Perkara 9.1 (Definasi) dan Perkara 9.9 (Performance Requirement), Bab Pelaburan di bawah TPPA. Perkara-perkara tersebut akan melarang kerajaan untuk meletak sebarang syarat pada bentuk dan jenis pelaburan. Ini bermakna kerajaan kita akan dilarang untuk menolak atau tidak menggalakkan pelaburan yang tidak bernilai-tinggi, yang intensif pekerja (labour-intensive), yang berteknologi rendah dan yang tidak mesra-alam.

Ini bermakna matlamat penhijrahan Model Baru Ekonomi (NEM) dari ‘pendekatan lama’ (pekerja kemahiran rendah, gaji rendah, hasil eksport nilai-tambah rendah) kepada ‘pendekatan baru’ (proses inovasi, teknologi terkini, penghasilan produk nilai tinggi, dan gaji tinggi) akan dilarang dan terbantut.

Impaknya ialah kita akan terus terperangkap dengan struktur dan paradigma ekonomi lama, berpendapatan sederhana  ke arah rendah dan dicengkam pula oleh kemiskinan. Bagaimanakah kerajaan hendak medepani kekhuatiran dan kebimbangan tersebut?

Ketiga, masyarakat Bumiputera, kaum terbesar di negara ini, bimbang hak keistimewaan mereka yang dilindungi oleh Perlembagaan  di bawah Perkara 153 akan terhapus, terjejas  atau terhakis.  Kita berterima kasih kepada kerajaan kerana hak-hak berikut telah dipertahan / dikekalkan:

Pengecualian mutlak bagi KWSP, KWAP, LTAT, MARA, TERAJU, EKUINAS, PNB dan  LTH. Di sini saya ingin bertanya mengapakah KHAZANAH dan PETRONAS tidak dimasukkan ke dalam senarai tersebut?

30% dikhaskan untuk kontraktor Bumiputera di sektor pembinaan di atas threshold. Soalan tambahan pertama saya ialah mengapa keistimewaan ini tidak turut dipanjangkan ke sektor-sektor lain seperti barangan dan perkhidmatan?

Soalan tambahan kedua saya ialah mengapa keistimewaan yang sudah sedikit itu diperkecilkan lagi apabila threshold yang ditetapkan pada tahap RM315 juta pada tahun 2018 akan diturunkan kepada RM70 juta pada tahun 2038? Ini bererti pada tahun 2038, kontraktor asing akan diberikan lebih banyak peluang untuk bersaing dengan kontraktor Bumiputera iaitu bermula dari projek bernilai lebih dari RM70 juta. Bukankah ianya memberikan gambaran bahawa kerajaan yang berteraskan UMNO ini lebih suka menyusukan kera di hutan sedangkan bukannya kera  tersebut yang meletakkan UMNO di persada kuasa?

Keutamaan sehingga 40% peruntukan pembelian tahunan SOEs diberikan kepada Bumiputera, termasuklah PKS. Soalan tambahan saya ialah benarkah keistimewaan ini tidak eksklusif bagi Bumiputera sahaja kerana mereka akan bersaing juga dengan PKS bukan Bumiputera dan syarikat-syarikat yang berlokasi di Sabah dan Sarawak yang boleh dimiliki oleh bukan Bumi dan bukan warganegara Malaysia? Jika benar, maka kerajaan yang ditunjanggi oleh UMNO akan sekali lagi terdedah kepada tuduhan sebagai tidak menghormati dan melindungi secukupnya Perkara 153.

Seterusnya sejauh manakah benarnya  pengecualian yang diberikan kepada Bumiputera itu adalah sesungguhnya terhad iaitu setakat mana ianya tidak menjejaskan kepentingan pelabur asing sapertimana yang disenaraikan dalam peraturan-peraturan di bawah Bab Pelaburan, khususnya provisi Minimum Standard of Treatment, Fair & Equitable Treatment dan Expropriation? Jikalah benar maka nampaknya keistimewaan untuk Bumiputera itu hanyalah tinggal  sekelumit saja.

Seterusnya, mohon YB Menteri memberikan pengakuan yang tegas, tepat dan jitu bahawa “enabling policies and initiatives” yang mengandungi dasar-dasar dan langkah-langkah yang tidak berkaitan dengan projek, kontrak atau lesen & permit, sepertimana yang terdapat dalam strategi Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (PEB) dan RMK-11 (Bab 3 – Memperkukuhkan Inklusiviti), akan sesungguhnya tetap dilaksanakan semasa pasca TPPA sekalipun dasar dan initiatif tersebut tidak termasuk dalam pengecualian yang dirundingkan.

Contohnya ialah dasar di bawah Strategi E4 (RMK-11) bertajuk “Mengurangkan industri bernilai tambah rendah” dan “Mempertingkatkan program bersepadu”:

Pembangunan Rantaian Bekalan “dari ladang ke meja makan” bagi usahawan Bumiputera.

Program Pembangunan Vendor dan Groom Big.

Dasar carve-out bagi kontrak yang bernilaimelebihi RM500 juta

Persoalan pokok: Adakah kerajaan / MITI telah mengkaji keperluan dan implementability PEB dan RMK-11 semasa memuktamadkan TPPA?

Keempat, saya perhatikan bahawa PwC, dalam usahanya membuat unjuran tentang impak liberalisasi, telah menggunakan dataset lapuk (obsolete) – GTAP 8 (2007) sedangkan kita telahpun mempunyai dataset terbaru GTAP 9 (2010). Seperti yang kita semua maklumi, di era pasca  NEM/ETP (2010), lebih banyak inisiatif liberalisasi telah dilaksanakan hinggakan kita mendahului Amerika Syarikat dan Kanada.

Soalan pertama saya di sini, tidakkah perbuatan PwC itu boleh menimbulkan sangkaan buruk terhadap kerajaan? Soalan kedua saya pula ialah apakah senario baru yang boleh kita cerapi jika dataset terbaru itu diguna-pakai? Adakah faedah liberalisasi untuk kita sebenarnya minimal?

Kelima, PwC terlalu kerap menggunakan perkataan “MAY” dalam analisa / laporannya. Mengikut perkiraan saya, ianya digunakan sebanyak 179 kali. Ia memberikan tanggapan bahawa pakar-pakar di PwC pun tidak pasti atau mereka itu sebenarnya adalah kurang pakar. Yang demikian, pandangan dan syor PwC itu bolehlah dilihat sebagi tricky. Justeru  ia lebih menyukarkan penggubal dan pelaksana dasar untuk membuat tafsiran yang tepat bagi tujuan decision making dan pelaksanaan.

Contohnya seperti berikut:

* Such procurement practice MAY be affected under the TPPA as preferential treatment by SOEs will be limited to a maximum of 40% of their annual purchases

* Some existing developmental policies undertaken by SOEs contradict with this commitment. For example, the practice of a “Buy Malaysia First” policy by some SOEs, which MAY not be consistent with commercial considerations such as price, quality and availability of the good or service to be purchased, MAY breach the commitments set out in the TPPA.

* The commitment on SOEs to act in accordance with commercial considerations that are similar to a privately owned enterprise in the relevant industry when purchasing goods or services MAY constrain the role of some SOEs in supporting local enterprises.

* Mechanisms for SOEs in supporting nation building agenda MAY change

* Stronger protection for foreign investors MAY impede the Government from setting public policy in the interest of the nation.

Akhir sekali saya ingin menyarakan kepada YB Menteri agar mengguna-pakai pendekatan perakaunan / accounting approach iaitu menyediakan balance sheet mengenai buruk baik menyertai TPPA dan buruk baik tidak menyertai TPPA. Balance sheet tersebut akan membantu rakyat memahami dengan lebih mudah kebaikan dan keburukan yang saya maksudkan itu. Yang demikian, buy-in akan lebih mudah diperolehi.

Leave a comment

JURANG PENDAPATAN TAMBAH MELEBAR SELEPAS 2009!!!

1. Pendapatan isi rumah meningkat, kadar  kemiskinan menurun tetapi jurang pendapatan isi rumah di negara kita semakin melebar sejak 2009.

2. Lanskap ini adalah berdasarkan data dari Penyiasatan Isi Rumah (HIS) yang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. Silalah teliti Jadual dan Carta-carta di bawah.

3. Adakah ianya disebabkan oleh  falsafah & dasar (Model Baru Ekonomi/New Economic Model) atau program  (ETP & GTP) atau pelaksanaan yang silap / lemah atau disebabkan oleh ketiga-tiga parameters utama tersebut?

4. Jurang kekayaan  (pemilikan aset) lebih teruk lagi sepertimana yang dipaparkan oleh carta seterusnya.

5. Apakah yang patut kita sama-sama buat?

Screen Shot 2016-01-08 at 1.44.59 PM

Screen Shot 2016-01-08 at 1.45.06 PM

Screen Shot 2016-01-08 at 1.45.14 PM

Screen Shot 2016-01-08 at 1.45.21 PM

Screen Shot 2016-01-08 at 1.45.27 PM

Screen Shot 2016-01-08 at 1.45.33 PM

Screen Shot 2016-01-08 at 1.45.39 PM

carta8

,

1 Comment

Melaka hebat dan berkat (sambungan)

Sebelum ini saya telah menegaskan bahawa taraf hidup rakyat Melaka jauh lebih baik dari rakyat Pulau Pinang.

Antara lain saya telah membuktikan bahawa lebih ramai rakyat Melaka (84.4%) memilik rumah berbanding orang Pulau Pinang  (82.0%) kerana pendapatan isi rumah yang lebih kukuh dan harga rumah yang lebih berpatutan.

Dari segi perumahan, tempat kita berehat dan berteduh, kualiti tersebut belum lagi cukup. Melaka memiliki banyak lagi  nilai tambah yang boleh dibanggakan;  malah di ‘envy’ oleh ramai orang, termasuklah orang Pulau Pinang.

Hampir 100% rumah yang dimiliki oleh orang Melaka  itu adalah kukuh kerana hampir 90% adalah berdinding batu. Justru ianya bukan sekadar peratus pemilikan yang tinggi sahaja.

Dalam pada itu kerajaan BN Negeri Melaka meningkatkan kualiti dan nilai tambah dengan menyediakan kemudahan infra. Kemudahan- kemudahan itu menyumbang kepada pengukuhan kesejahteraan hidup rakyat.

Antara kemudahan tersebut ialah 100% isi rumah mendapat bekalan air paip, berdekatan dengan pusat kesihatan  awam dan berhampiran pula dengan sekolah rendah kerajaan – jaraknya kurang dari 9 km.

Semua kualiti berkenaan yang dimiliki oleh Melaka itu mampu mengatasi Pulau Pinang dengan mudah.

Di samping  itu, outcome dari purata pendapatan bulanan isi rumah yang lebih tinggi itu, anak cucu Hang Tuah, misalnya, mampu memiliki lebih banyak kereta (91.4%), motorsikal (77.9%) dan alat pendingin hawa (52.3%) berbanding orang Pulau Pinang.

Pemilikan kemudahan-kemudahan tersebut sudah pasti meningkatkan lagi  kesejahteraan hidup orang Melaka.

Lantas sukalah saya menegaskan sekali lagi bahawa kesejahteraan dan taraf hidup rakyat Melaka jauh lebih baik dari kehidupan orang pulau yang nampaknya sudah hilang cahaya mutiaranya itu.

Sesungguhnya orang Melaka  berasa bersyukur,  beruntung dan bertuah kerana terus  dipimpin oleh BN /UMNO sejak hampir 70 tahun yang lalu. Hidup kami  mendapat berkat.

Syabasy, tahniah dan ribuan terima kasih kepada Datuk Seri Ir Idris Haron dan semua pemimpin BN/UMNO yang lalu.

Buah nyiur dari bukit
Buah jagong berkati-kati
Jasa pemimpin UMNO bukan sedikit
Tidak tertanggung hingga ke mati.

Dalam pada itu kita tidak melupakan nasib ahli keluarga kita yang kurang bernasib baik di Pulau Pinang. Kita sedia membantu.

Untuk mengilap semula mutiara yang sudah malap itu, Ketua Menteri Pulau Pinang  diundang pulang ke Melaka untuk berguru dengan Datuk Seri Ir Idris Haron sebagai SIFU.

Demi kesejahteraan hidup rakyat Pulau Pinang, tidak ada apa yang hendak dimalukan. Ianya sebahgian daripada learning curve dan pembelajaran  sepanjang hayat  (3L).

Kapal dagang dari seberang
Sarat muatan kayu meranti
Dari Pulau Pinang Ketua Menteri datang
Ketua Menteri Melaka sedia menanti.

Berpeganglah kepada maksud pantun ini dalam  belajar dan  berguru. Sesungguhnya, dalam bidang ini, Datuk Seri Ir Idris Haron is the RIGHT SIFU for you. Pada hemat saya, beliau bersedia berkongsi pengetahuan dan pengalaman.

Berburu di padang datar
Dapat rusa bergelang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi.

Datuk Akbar Ali
YDP Pertubuhan Kesejahteraan Ummah

17 Disember 2015.

image1

,

Leave a comment

Ulasan Bajet 2016 – KDN

YB TS YDP,

Dalam membincangkan  Bajet 2016 bagi KDN, saya hanya ingin mengambil sedikit masa Dewan  yang mulia ini untuk membincangkan 3 perkara saja. Perkara dan isu lain bolehlah dibincangkan oleh rakan-rakan saya yang lain.

Pertama adalah isu pekerjaan dan buruh asing yang mana ianya turut melibatkan KDN.

Terlebih saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAB PM kerana mengujudkan Jawatankuasa Khas Universiti Dan Industri untuk menanganim isu pengangguran. Tahniah kepada YAB DS Idris Jusuh dan DS Wahid Omar kerana diberikan kepercayaan untuk memimpin JK tersebut.

Saya menjangkakan isu pekerjaan dan pengangguran yang kompleks ini akan ditangani secara holistik dan tuntas; tidak boleh secara piece meal.  Ia bukanlah sekadar (a) supply-demand mismatch issue; malah ianya merangkumi isu (b) labour market distortion / imperfection, (c) wrong output mix, (d) pendidikan dan latihan yang kurang relevan, (e) tahap gaji dan upah yang rendah, (f) persekitaran bekerja yang tidak kondusif, (g) diskriminasi kaum dan gender yang meluas, (h)  produktiviti buruh dan daya saing yang rendah, (i) teknologi yang kurang advance, (j) modal yang tidak mencukupi, (k) sikap tamak majikan, (l) sikap rakyat yang memilih kerja, (m) kebanjiran buruh asing dan sebagainya.

Sebahagian daripada isu yang saya senaraikan itu telahpun saya sentuh semasa membahaskan Bajet di bawah JPM. Saya tidak bercadang untuk menyentuh isu-isu tersebut. Saya akan lebih menumpukan kepada isu buruh asing.

Diakui bahawa buruh asing diperlukan untuk turut merancakkan aktiviti ekonomi negara.

Dalam pada itu, disedari bahawa tahap kebergantungan yang tinggi terhadap mereka tidaklah boleh berterusan kerana, dari segi jangka panjang, ianya boleh menggugat keamanan dan kemakmuran negara.

Justru awal-awal lagi saya mohon YB Menteri memaklumkan kepada Dewan yang  mulia ini statistiks berikut yang dapat membantu memberikan gambaran ngeri itu:

jumlah pekerja asing secara sah dan tidak sah atau PATI yang berkeliaran di negara kita pada masa ini.

nilai sumbangan mereka kepada ekonomi dalam tempoh 5 tahun yang lalu.

nilai remittance (melalui sistem kewangan / perbankan dan di luar sistem kewangan / perbankan) yang telah mereka hantar ke negara masing-masing sejak 5 tahun yang lalu

usaha untuk mengurangkan bilangan mereka yang dilaporkan telah menjangkau 30% dari jumlah pekerja tanpa menjejaskan kemapanan aktiviti ekonomi kita.

e) bilangan pelancong  yang telah masuk secara sah tetapi telah sengaja over stay serta usaha to flush them out dan tahap kejayaan usaha  tersebut.

f) kadar jenayah dan penyakit sosial yang telah mereka sumbangkan dalam tempoh 5 tahun yang lalu.

Selain  daripada 6 isu yang saya ketengahkan itu, terdapat beberapa isu besar yang lain yang berkisar kepada isu buruh asing ini, khasnya sasaran gaji dan ekonomi berpendapatan tinggi.

Untuk mencapai taraf ekonomi berpendapatan tinggi, kerajaan mensasarkan pampasan pekerja atau compensation of employees sebanyak 40% (CE40) daripada nilai GDP kita pada tahun 2020 nanti berbanding 34.9% pada tahun ini.

Untuk mencapai sasaran tersebut, sasaran gaji dan upah median disasarkan akan meningkat dari RM1,500 sebulan kepada RM2,500 sebulan. Malangnya sasaran ini menjadi lebih susah untuk dicapai kerana adanya pekerja asing yang semakin ramai itu.

Sebab utama kesukaran mencapainya ialah kerana majikan yang tamak lebih suka mengambil pekerja asing. Sebabnya ialah mereka bukan saja dibayar gaji yang lebih rendah bagi pekerjaan yang sama malah tenaga mereka juga boleh diperah seperti hamba abdi.

Jelas pekerja asing adalah antara penyebab kenaikan  gaji ditekan (suppressed). Yang demikian, sasasaran tahap gaji bulanan sebanyak RM2,500 akan sukar dicapai.

Sekiranya sasaran gaji tersebut tidak dicapai maka sasaran sumbangan CE40 juga sekali gus tidak akan tercapai. Lantas sasaran tahap ekonomi berpendapatan tinggi akan turut tergugat!

Gaji mereka yang lebih rendah dan dispariti yang melebar adalah bukti kukuh mengenai senario yang jelek ini. Sebagai contoh, pada tahun 2013, gaji median warganegara Malaysia dan pekerja asing adalah masing-masing RM1,700 dan RM980 sebulan.

Pada tahun 2014, gaji 2 golongan itu masing-masing meningkat kepada RM1,800 dan RM1,030 sebulan. Ini bermakna jurang gaji median bulanan antara warganegara dan pekerja asing telah melebar dari RM720 kepada RM770. Data ini mengesahkan andaian atau teori saya itu.

Dalam pada itu, perlulah diingat bahawa sumber utama pendapatan kumpulan B40 adalah gaji dan upah, terutama Bumiputera. 83% kaum Bumiputera bergantung pada gaji sebagai sumber pendapatan mereka manakala kaum Cina hanyalah 56% dan India pula 58%.

Ini bermakna usaha menambah pendapatan kumpulan B40 dan usaha menolak mereka ke kumpulan M40 tidak akan berjaya jika isu yang berkisar dengan gaji ini tidak ditangani segera dengan berkesan dan tuntas. Maaf, YB TS YDP, pada cerapan saya, usaha ini nampaknya kurang diberi perhatian.

Yang demikian, tidak hairanlah Pemandu mengunjurkan kira-kira 46% atau 7 juta pekerja kita akan kekal mendapat gaji bawah RM2,000 sebulan pada tahun 2020 nanti.

RM2,000 pada tahun 2020 mungkin bersamaan nilai RM1,700 pada tahun ini; lebih rendah dari gaji sebanyak RM1,800 sebulan pada tahun 2014! Justru golongan tersebut seolah-olah di condemned agar kekal miskin sekalipun negara telah  mencapai tahap ekonomi berpendapatan tinggi nanti.

Mereka ini juga akan kekal miskin kerana kerana jawatan yang  sedia ada dan jawatan baru akan disapu oleh pekerja asing. Nampaknya kita semacam suka menyusukan kera di hutan atau kita umpama kerbau yag penat membajak di sawah tetapi kucing yang kenyang makan nasi dirumah!

Lanskap ini jelas terbukti dari 1.8 juta jawatan baru yang diwujudkan oleh ETP. Dari 1.8 juta pekerja itu, hanya 620,000 sahaja yang mendaftar sebagai penyumbang kepada EPF. Majoriti mereka ini adalah rakyat Malaysia.

Apa jadi kepada baki 1.2 juta pekerja? Siapa mereka? Dijangkakan sebahagian besar mereka itu adalah pekerja asing yang telah sapu bersih pekerjaan ini. Mereka hapi dapat kerja walaupun gajinya rendah. Majikan juga hapi kerana boleh membayar gaji yang rendah dan  tidak perlu pula mencarum EPF dan SOCSO untuk mereka. Cheap labour!

Maka yang kekal menganggur adalah rakyat kita seramai 440,000 orang. Bilangan mereka akan meningkat dalam keadaan aktiviti ekonomi dan pasaran buruh yang tidak menentu ini.

Perlulah diingat bahawa mereka ini juga adalah pengundi. Adakah mereka akan mengundi parti kita nanti?

Apa yang boleh saya ringkaskan dari lakaran sebentar tadi ialah isu pekerja asing ini boleh memberikan impak negatif kepada (a) sasaran  CE40, (b) sasaran gaji median sebanyak RM2,500 sebulan, (c) kenaikan gaji, (d) mobiliti sosial, (e) pengangguran dan (f) dividen politik.

Lantaran ianya memberikan kredibiliti kepada saranan saya supaya isu pekerja asing ini ditangani segera dengan berkesan.

YB TS YDP,

Sekarang saya ingin menyentuh pula isu kedua iaitu keamanan.

Saya menjangkakan penduduk Afghanistan, Syria, Somalia, Libya, Yemen dan beberapa buah negara lain yang sentiasa dalam keadaan berperang dan kucar kacir tentunya dahagakan keamanan.

Kalau kita tanyakan ibubapa kita yang masih hidup, tentunya mereka tidak mahu kesengasaraan, keganasan dan kezaliman di zaman pemerintahan Jepun dan Bintang Tiga berulang lagi. Kita juga tidak mahu peristiwa pahit 13 Mei menjenguk kembali.

Malangnya iklim perpaduan kaum kita nampaknya selari dengan musin jerebu yang sedang kita alami sekarang. Ianya membimbangkan saya kerana, berdasarkan Global Peace Index, kedudukan kita telah merosot dari tangga ke 24 pada tahun 2012 kepada tangga ke 28 pada tahun 2014.

Kedudukan kita dari segi kebahgian (happiness) juga telah menurun; dari tangga ke 56 ke tangga ke 61, menurut World Happiness Index.

Oleh itu marilah kita sama-sama menjaga keamanan yang telah kita nikmati selama ini kerana ia juga merupakan pra syarat dan tiang seri kemakmuran negara. Jika keamanan bertukar kepada huru hara maka syurga bertukar menjadi neraka manakala kemakmuran pula bertukar kepada kebuluran dan kesengsaraan.

Justru semua pihak hendaklah ikhlas dalam membina dan memupuk keharmonian kaum; bukan telunjuk lurus kelengkeng berkait atau kokok berderai-derai tetapi ekor bergelumang dengan najis.

Pada masa yang sama, saya mohon YB Menteri, khasnya PDRM kita, terus meningkatkan usaha untuk mengurangkan kadar jenayah, selaras dengan tuntutan NKRAnya, dan memelihara keamanan yang amat berharga ini.

YB TS YDP,

Sekarang saya ingin meyentuh isu ketiga dan terakhir iaitu peruntukan di bawah KDN. Ringkas sahaja.

Saya perhatikan banyak peruntukan pembangunan di bawah KDN sama ada langsung tidak dibelanjakan atau sangat kurang dibelanjakan. Maklumat ini tertera di m/s 629 – 631, Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2016.

Oleh kerana senarai ini agak panjang maka izinkan saya mengambil  beberapa contoh perbelanjaan sifar sahaja bagi tempoh 2011 – 2014:

a. Ibupejabat KDN.

b. Pengkomputeraan KDN.

c. PGA

d. Senjata Api & Peluru.

e. Kapal terbang.

f. Alat Bantuan Teknik.

g. Sistem Teknoloji Maklumat.

h. Pengkomputeraan.

i. Pengkomputeraan dan Kad Pintar

j. Langkah- langkah Keselamatan.

k. Pembaikan dan Ubahsuai.

Adakah sesungguhnya projek-projek tersebut belum dilaksanakan lagi? Apakah cerita yang sebenarnya? Mohon penjelasan dari YB Menteri.

Namun apa yang saya faham daripada maklumat tersebut ialah, daripada RM3.9 bilion yang telah diperuntukkan bagi tempoh 4 tahun itu, hanya RM0.22 bilion atau 5.7% sahaja yang telah dibelanjakan atau kira-kira  RM55 juta setahun. Nampaknya macam tidak lojik.

Justru mohon YB Menteri maklumkan kepada Dewan yang mulia ini kedudukan sebenar rekod tersebut atau sebab-sebab prestasi yang nampaknya amat rendah itu, jika rekod tersebut adalah benar. Apakah outcomenya terhadap RMK10?

Untuk tahun 2016, dipohon pula sebanyak RM841 juta, lebih 15 kali ganda daripada rekod pencapaian purata tahunan lalu. Mampukah ianya dibelanjakan secara berhemah berteraskan value for money dalam tempoh setahun ini?

Sekian, terima kasih, YB TS YDP.

, ,

Leave a comment